Monday, September 8, 2008

Viva API ! Menelusuri Sejarah API 8 Tahun

Saya dijemput untuk sebuah majlis memperingati ulangtahun penubuhan Angkatan Pengkarya Indie (API) beberapa hari yang lalu. Kejadian berlaku di sebuah restoran franchise terkemuka Coffee Beans yang terletak di kawasan segitiga emas Bandaraya Kuching. API merupakan sebuah pergerakan sastera yang tidak berorientasikan pertubuhan kini berusia lapan tahun. Barangkali angka lapan dalam tahun 2008 begitu istimewa bagi sekumpulan anak-anak muda yang berjiwa revolutionaire ini. Saya sempat menanyakan sejarah penubuhan API dan beginilah penceritaannya:

Yusuffansuri, anak muda yang berusia 25 tahun ketika itu. Di Perhimpunan Penulis Muda SeNusantara di Batam, Indonesia, dia merupakan peserta termuda, seorang penyair yang baru mencari tapak kepenyairannya berbanding peserta lain yang sudahpun ada kedudukan dalam atlas sastera Nusantara seperti Sutardji Calzoum Bachri dan Siti Zainon Ismail. Sekembali daripada perhimpunan penuh bersejarah itu, Yusuffansuri mulai mengolah perencanaan ke arah pencetusan sebuah pergerakan sastera.

Hasrat Yusuffansuri disambut dengan hati terbuka oleh beberapa teman akrabnya Zamawi Sawek. Akhirnya dalam semangat perjuangan yang ikhlas, mereka mencetuskan Ikatan Karyawan Muda Sarawak (ringkasnya Ikatan) pada 26 Jun 2000 sebagai platform untuk memulakan sebuah idealisme bahasa dan sastera. Aktiviti pertama Ikatan ialah bicara sastera bersama Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Biarpun Shahnon tidak dapat hadir pada waktu itu, namun aktiviti itu telah berjaya menghimpunkan beberapa penulis tersohor tempatan, membangkit kesedaran sasterawan tersohor tempatan tentang eksistensi Ikatan sehingga berlaku pertembungan mengenai sari penubuhan Ikatan.
Ketika itu isu Ikatan yang dikatakan berhaluan kiri amat terasa hanya kerana hubungan dengan Shahnon (yang ketika itu ialah orang kuat Parti Islam SeMalaysia), lantas istilah alternatif yang sering dikaitkan dengan Ikatan disalahtafsirkan dan di anggap mempunyai hubungan dengan Barisan Alternatif yang begitu bara pada waktu itu. Lantaran, beberapa rencana telah ditulis ekoran isu ini; “Prospek Penulis Muda Sarawak : Abg Patdeli Abg Muhi’, “ Kemana Arah Penulis Muda Sarawak : Farmilla Hamdi (Jaafar Hamdan)”, Penulis Muda; Apa Lagi Mahunya : Abg Patedli Abg Muhi” ,“Perihal Muda dan Kemudaan : Abg Patdeli Abg Muhi.” dan “Sastera Kita Sastera Mereka: Jaafar Hamdan”


Dalam tempoh tiga tahun pertama, Ikatan mula mengumpul kerabat yang mempunyai semangat dan cita rasa yang sama untuk menggerakkan perubahan. Sajali Mohammad, Armiza Nila (Maslina Mahbu) dan Sinora Azma (Rashid Hassan) antara yang terawal memberikan penyataan sokongan terhadap Ikatan. Dengan ahli yang beberapa kerat itu, Ikatan mulai mengorak langkah dengan beberapa aktiviti sastera di Kuching Waterfront. Antara yang signifikan ialah mempopularkan acara baca puisi jalanan pada setiap bulan, di samping acara baca puisi bersempena hari-hari peristiwa dan kemuncaknya Festival Seniman Jalanan 2001.
Matlamat Ikatan ketika itu ialah merakyatkan sastera ! (Hal inipun pernah menjadi isu hebat suatu ketika dulu)
Ikatan berlangsung untuk beberapa ketika, sebelum berita menggemparkan itu mengubah segala-galanya. Seorang tokoh sastera muda dan seorang lagi tokoh veteran tersohor Bumi Kenyalang mendakwa penubuhan Ikatan ‘terhutang budi’ kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak (DBPS). Dikatakan kononnya inisiatif untuk menubuhkan Ikatan dimulakan oleh beberapa pegawai DBPS setelah “ mendapat restu daripada Pengarah DBPS” (sila rujuk Getus Sastera Sarawak) . “Terhutang budi” barangkali satu situasi yang kritikal kerana kerabat Ikatan beranggapan ia sepatutnya sebuah pergerakan sastera yang independence tanpa pergantungan baik secara lahiriah mahupun batiniah dengan mana-mana birokrasi sastera, apatah lagi DBPS. Ketidakbergantungan ini ditafsirkan sebagai kebebasan- adalah pengisian yang teramat mustahak dan harus dipertahankan.
Lalu sebuah musyawarah telah diadakan di kalangan kerabat Ikatan untuk mengambil satu ketetapan bagi menjawab permainan politik daripada golongan tidak beragenda itu. Lantaran, Ikatan mengalami tranformasi yang tidak dapat dielakkan itu sehingga membawa kepada pewujudan Angkatan Pengkarya Indie (ringkasnya API) pada tahun 2004. Dalam satu majlis ringkas di Kuching Waterfront, API mengambil alih eksistensi Ikatan.
Selepas itu perkembangan API amat memberangsangkan. Pertambahan kerabat amat terasa menambahkan lagi eksistensi API yang masih bertatih-tatih di persada sastera Darul Hana itu. Awang Kelana, Raden Azhar, Piee Ling, Zulkifli Obik, Banahsan Segaf, Fauzi Haji Abdillah, Mus Legimu Mapol akhirnya menyatakan persekutuan mereka bersama API.
Kini lapan tahun usianya, API sepatutnya mengorak langkah yang lebih dinamis dan sistematis. Keunikan API sebagai pergerakan menjadikan setiap anggotannya organik, mampu berdiri di atas kaki sendiri namun dalam keadaanm diperlukan masih dapat diasimilasikan apabila ada kerja-kerja berkumpulan diadakan. Semangat ikhlas, berinisiatif dan persaudaraan menjadi teras kepada kekuatan API. Pewujudan portal API laman maya sastera_sarawak menjadi menjadi strategi seterusnya dalam melakarkan perkembangan API. Ia akan menjadi nyawa kepada penyaluran maklumat, pengetahuan dan perbincangan mengenai dunia sastera Darul Hana. Biarpun sering dikecam, portal tersebut tetapi ia tetap berdiri sebagai wadah untuk bukan saja kerabat API tetapi khalayak sastera umumnya untuk mengikuti perkembangan API khususnya dan dunia sastera Sarawak amnya.
Portal tersebut juga merupakan gateway untuk ke laman blog kerabat API. Laman blog tersebut merupakan satu lagi pendekatan berkarya kerabat API yang memaparkan pelbagai genre karya (puisi, cerpen, esei, foto) . Antara laman-laman tersebut ialah Kelongsong Peluru Puisi Indie, Lagu Makhluk Asing Timoer Jauh, Mabuk Cendawan, Basah Dalam Setitik Nila, Teropong Digital Api, Sentuhan SenI, dan AA Radin.
Dari segi lain pula, penerbitan dirasakan sebagai satu aspek paling penting apabila memperkatakan tentang dunia penulisan. API menyedari akan peri pentingnya penerbitan karya-karya kerabatnya. Justeru API menggerakan enjin janakuasa penerbitannya dengan bersandar kepada stail penerbitan ‘underground’ yang sehingga kini telah memberikan beberapa antologi puisi daripada kerabatnya. Seluruh kerabat API merasakan stail penerbitan yang dirasakan mudah dan kurang karenah birokrasi itu sebenarnya boleh dikembangkan lagi ke tahap tinggi (menyamai mutu penerbitan DBPS) dalam sedekad kelak. Namun sehingga kini yang dirasakan terbaik pengerjaannya ialah antologi genre sipp (60 patah perkataan) “Bulan Di Taman” karya Sinora Azma.
Genre sipp sendiri merupakan produk sastera API. Secara mudahnya genre sipp ialah sebuah kaedan penulisan kreatif mutakhir yang boleh dianggap “a cross between poetry and short story” . Penulisan yang tertakluk kepada 60 patah perkataan ini boleh diusahan menjadi bentuk penulisan baru. API sendiri telah menerbitkan dua buah antologi sipp dalam tempoh tujuh tahun penubuhannya iaitu; “60 paper: Zacharia AbdulManan, Sinora Azma, Sajali Mohamad dan Yusuf Fansuri” dan “Bulan Di Taman : Sinora Azma” . Kemasukan genre sipp ke dalam dunia sastera Darul Hana diharap dapat mempelbagai lagi kaedah pengkaryaan sasterawan di Sarawak khususnya.
Sehingga kini daripada sudut pengkaryaan, dua penulis API sudah berjaya menempah prestij sendiri apabila dikurniakan Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak oleh DBPS. Dua penulis tersebut ialah Yusuffansuri dan Armiza Nila. Sementara Sinora Azma pernah juga memenangi beberapa sayembara sastera.
" Untuk tahun 2008 dan seterusnya, API akan terus bergerak menjadi satu daya yang; kalau tidakpun mengubah, sekurang-kurangnya memberikan satu atmosfera yang berbeza didalam dunia sastera Darul Hana ini. Untuk lapan tahun pertama ini ‘atmosfera berbeza itu’ tidak dapat disangkal telahpun dirasai oleh komuniti sastera tempatan dengan kemasukan API ke dalam gelanggang persilatan sastera kita. Kini API genap lapan tahun dan usia seperti itu menandakan bermulanya perjuangan sebenarnya API dalam persada sastera Darul Hana. Jalan masih panjang dan berliku di hadapan. Tiada siapa mengatakan perjuangan itu seperti makan kandos, ia sebenarnya merupakan satu perjalan yang bakal memerihkan dan mengujakan." tegas Yusuffansuri penuh bersemangat.
Selamat Ulang Tahun Ke 8 API ! Semoga API kekal bersama idealisme sasteranya dan terus tumbuh dan berkembang menjanakuasa sastera Darul Hana, memberikan anjakan paradigma yang amat diperlukan itu.









2 comments:

farid said...
This comment has been removed by the author.
farid said...

Well DONE is better than well SAID - Benjamin Franklin

well done API!! well done!

:D