Monday, September 8, 2008


“Benci tidak dapat dihilangkan dengan benci, tetapi hanya dengan cinta.
Itulah hukum yang abadi.” Sidharta Gautama

*

Di daerah selatan ini, barangkali pertembungan yang paling sensasi didalam dunia sastera tempatan ialah; di sebelah kanan saya Angkatan Pengkarya Indie (API) dengan bbekun bewarna merah, ketinggian belum mencapai langit dan berat badan asal cukup makan dan disebelah kiri pula Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA) juga berbekung warna merah, dengan ketinggian sudah hampir diperingkat nasional dan berat badan terlebih makan.
Entah perlawanan ini akan berlanjutan sampai ke pusingan ke berapa, tetapi yang pastinya tiada yang akan terkena pukulan knock-out. Ampun,tetapi ini bukan perlawanan tinju tetapi lebih kepada pertembungan ideologi. Pertembungan ini dapat dirasai sejak PEKASA diterajui penulis tersohor Sarawak Jais Sahok sehingga ke pimpinan baru penulis muda tersohor Jaafar Hamdan.
Namun hal yang menarik perhatian saya kali ini ialah andaian (baca:tuduhan) bahawa API tidak pernah mahu bekerjasama dengan PEKASA dalam apa-apa aktiviti sastera. Pelik tetapi benar, begitulah pertuduhannya atau boleh dikatakan, itu satu lagi rekod Ripley’s: Believe It or Not! Ini fakta bukan auta yang datangnya daripada seorang yang boleh dipercayai bicaranya, seperti pepatah Inggeris ‘straight from the horses mouth’. Jadi persoalannya, benarkan seperti apa yang diperikan ?
Sepanjang kewujudan PEKASA sebagai sebuah badan yang berdaftar di Pejabat Pendaftar Pertubuhan dan sebagai kerabat Gabungan Persatuan Nasional (GAPENA), API tidak pernah gagal untuk memberi sokongan baik terhadap sebarang perkembangan kerabatnya mahupun aktiviti anjuran PEKASA. Bahkan API pernah memberi penghormatan terhadap Pharo Hakim di dalam lamam sastera_sarawak baru-baru ini. Itu niat ikhlas tanpa sebarang sentimen ataupun agenda tersembunyi tetapi atas dasar persaudaraan.
Ya, apabila melihat segala-galanya yang berlaku terasa seperti kata pepatah Melayu, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong pula.
Biarpun kadang-kadang daripada segi prinsipnya beberapa aktiviti PEKASA tidak sealiran persepsi API (namun sebahagian kerabat PEKASA sendiripun kadang-kadang tidak sepakat terhadap beberapa aktiviti anjuran mereka sendiri) , namun ini tidak menjadi halangan bagi kerabat API untuk hadir memberikan sokongan terhadap usaha mereka kerana bagi API nilai persaudaraan itu penting dipeliharakan. Perbezaan pendapat itu hanya lumrah manusia sebagai makhluk berfikir.
Lebih-lebih lagi, API berhubung secara baik dengan beberapa orang kuat PEKASA seperti Pharo Hakim, Taufek Said, Kelana Akira, Raden Azhar Ahmad, Dahiri Saini dan Tuan Presiden sendiri, Jaafar Hamdan
Berbalik kepada persoalan kita tadi, adakah benar API tidak mahu bekerjasama dengan PEKASA ? Bagi saya itu lebih merupakan suatu petuduhan yang tidak berasas dan absurd dan seharusnya tidak ditimbulkan. Pada pendapat saya, andaian seperti itu mengandungi niat yang tidak baik.
Mana mungkin API mahu bekerjasama dengan PEKASA jikalau selama ini tidak pernah ada jemputan untuk bekerjasama? Mana mungkin API terhegeh-hegeh untuk bekerjasama jika tiada pelawaan daripada Ahli Jawatankuasa PEKASA? Mana mungkin API tiba-tiba mengetuk pintu PEKASA tanpa sebarang persetujuan antara dua pihak?
Pihak AJK PEKASA yang terdiri daripada golongan penulis bijak pandai seharusnya memilih kata-kata yang baik dan bersopan sebelum mengeluarkan assumption sedemikian. Saya tidak maksudkan semuanya, namun segelintir yang berpandangan bahawa API susah diajak berunding, API susah diajak bermuafakat, API susah diajak bekerjasama, API segala-galanya susah !
Barangkali kerana API ialah pergerakan (bukan pertubuhan berdaftar), maka terdapat pandangan juling terhadap kewujudan API berbanding dengan PEKASA yang kini gah bukan saja sebagai badan kerabat GAPENA tetapi juga anak emas Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak. Sehingga pada satu tahap API pernah dilabelkan sebagai pertubuhan haram oleh salah seorang kerabat PUTERA.
Apakah kerana ini wujud pengkelasan ‘atap genting atap rembia’ terhadap API sehingga untuk bekerjasamapun susah (ya, seperti menonton filem klasik P. Ramlee; Antara Dua Darjat’) Ya sebenarnya bukan API yang tidak mahu bekerjasama tetapi sebenarnya segelintir AJK PEKASA yang memberi gambaran negatif terhadap API sehingga ia menjadi satu gambaran menyeluruh yang palsu tentang API ataupun barangkali segelintir kerabat PEKASA itu merasakan dirinya sudah mencapai greatness hanya hingga lupa rumput di bumi.
Dan API hanyalah himpunan manusia yang sederhana dan miskin pula tu. Tak cukup dana untuk menampung aktivitinya. Antologi puisipun terbitan ala-underground hingga ada yang beranggapan membazir kertas A4 saja. Jual sendiri, untung sikit saja. Itupun untuk lepas soru. Semua aktiviti bertitik-tolak daripada keikhlasan kudrat dan iradat masing-masing. Tak ada imbuhanpun. Barangkali kerana itu, maka ia terjadi.
Di sini saya ingin memperbetulkan persepsi tentang API.
API tidak pernah menyombongkan diri terhadap sebarang usahasama dengan PEKASA. Marilah kita berbincang untuk satu usahasama. Selayaknya perbincangan, pastinya akan ada pro dan kontra sehinggalah kita mencapai kata sepakat. Setiap daripada kita mempunyai ide untuk diketengahkan. Sebab itu perlunya perbincangan. API tidak pernah cuak untuk berbincang. Lainlah kalau di pihak PEKASA yang berasa begitu.
Apa yang nak direbutkan. Jika populariti jadi kejaran segelintir AJK PEKASA, maka ambillah, API tidak perlukan itu. Jika kemasyhuran jadi dambaan segelintir mereka, maka ambillah, API juga tidak perlukan itu. Jika luasnya tanah jajahan sastera jadi dasar PEKASA, maka ambillah, API juga tidak mahukan itu. Kerana itu bukan niat dan matlamat API wujud di muka bumi Sarawak Darul Hana ini.
API wujud atas dasar persaudaran. Itu perkara yang mudah. Susahkah untuk menerimanya ?







No comments: