Monday, September 8, 2008

2006 Tahun Penuh Warna-Warni

Tahun 2006 menghampiri detik akhirnya. Sementara tahun 2007 menunggu untuk memulaikan catatannya. Selama 365 hari dilalui, pastinya banyak yang telah berlaku. Segala-galanya menjadi catatan kenangan ; ada yang mahu diingati selamanya, namun ada pula yang mahu dilupakan terus. Dunia seni dan sastera pada tahun ini tidak terkecuali. Beberapa hari kebelakangan ini saya cuba mengingati dan mengapreseasi beberapa cebisan peristiwa bersejarah berkaitan dunia seni dan sastera.
Saya pula tidak mahu terlalu meletak nilai mahupun membuat analisis terhadap beberapa peristiwa itu tetapi hanya sekadar memperkatakannya. Bagi saya cukuplah dengan segala retorika yang diluahkan selama ini. Pasti anda sebagai pembaca mahu berehat daripada beban pemikiran yang bukan-bukan :)
Justeru, saya bermula dengan kejayaan sasterawan Sarawak iaitu Jong Chin Lai memperolehi pengiktirafan paling berprestij daripada Raja Bhumipol Aldayudej iaitu anugerah South East Asia Writes Award (SEA). Kejayaan Jong ini telah menganjak sastera bumi Darul Hana ini ke satu tahap yang baru dan pastinya memberikan dorongan yang luar biasa kepada sasterawan tempatan untuk berusaha lebih lagi dan menambah bilangan sasterawan kita yang berjaya di peringkat antarabangsa. Tahniah Jong !
Seterusnya ialah penerimaan Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA) sebagai afiliasi Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) menjadikan jumlah persatuan dari Sarawak yang bernaung di bawah GAPENA ialah dua buah. Di dalam sebuah majlis yang gilang-gemilang, penerimaan itu telah diraikan bersama-sama Ketua Satu GAPENA iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS). Syabas PEKASA !
Sementara Istana Budaya sekali lagi melebarkan pengaruhnya dengan sebuah pementasan muzikal “Suzana@60’ yang telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di Bandaraya Kuching khasnya. Keterlibatan artis-artis pop yeh-yeh menjadikan jualan tiket laris seperti goreng pisang tanduk. Namun hal yang lebih penting ialah peranan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam merancakkan lagi senario teater di negeri kita seperti semakin jelas. Keberlangsungan projek ‘Perkampungan Orang Gila’ selepas itu oleh Grup Teater Sanggar Kreatif juga bukti betapa DBKU semakin menunjukkan minatnya dalam berteater. Teruskan memaknakan teater kita, DBKU !
Kegagalan Grup Teater Sanggar Kreatif di peringkat kebangsaan di dalam Festival Teater Malaysia 2006 juga mendapat fokus istimewa daripada peminat teater tempatan. Persediaan selama setahun rupa-rupanya bukan jaminan untuk berjaya.Teater ‘Terdampar’ arahan Mohd Asri Ibrahim (Badul) hanya memenangi hadiah Pelakon Lelaki Terbaik melalui Mohd Zohren Sahari dan pulang dengan desas-desus yang mengatakan masalah disiplin merupakan antara faktor kegagalan kumpulan itu. Benarkah ? Jika ya, ini seharusnya dijadikan sebagai pengajaran.
Seminar ‘Sejarah dan Perkembangan Drama Sarawak’ anjuran DBPCS juga mendapat perhatian yang sentimental daripada aktivis teater khasnya. Beberapa minggu sebelum seminar, kelihatan beberapa pembentang melakukan penyelidikan. Satu inisiatif yang baik.Namun tidak semua bersemangat begitu. Akibatnya beberapa pembentangan tidak mendapat restu daripada para dramatis Sarawak dan berlakulah pertembungan yang memang dijangkakan. Inipun satu iktibar yang mesti kita ambil kira.
Sambutan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-50 juga menjadi kemuncak acara seni dan sastera di Bandaraya Kuching. Pelbagai aktiviti telah direncanakan sebagai tanda meraikan usia panjang DBP itu.Pementasan teater muzikal ‘Puteri Santubong Pata Puteri Sejinjang’ arahan Mat KR menjadi acara kemuncak. Penampilan Nurul AF dan Anding AF menjadi daya penarik kepada pementasan itu. Sambutan di luar dugaan telah diterima.Nampaknya pendekatan popular menjadi pilihan penggiat seni dan sastera kini.
Di pihak Angkatan pengkarya Indie (API) pula, heboh diwar-warkan di laman maya Sastera_Sarawak, kejayaan mereka menerbitkan filem pendek berjudul ‘Detour’. Filem pendek tersebut diarahkan oleh Zamawi Sawek .Dikatakan ia merupakan filem pendek pertama yang diusahakan oleh sebuah pergerakan yang berlandaskan seni dan sastera dan menjadi satu produk sastera yang unik daripada API. Namun sehingga sekarang ia belum dilancarkan secara rasmi. Bila lagi, API ?
Penerbitan program ‘Anjung Budi’ oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga merupakan satu aktiviti penting tahun ini. Penglibatan sebahagian besar penggiat seni dan sastera menjadikan program ini sebagai aktiviti yang begitu kompak. Antara yang terlibat ialah Norzahan Bahani, Hashimah Siri, Dahiri Saini, Yusuf Fansuri , Armizal Nila, Wan Abu Bakar Wan Hassan, Kumpulan Sanggar Akar, beberapa buah sekolah dan kumpulan lagu puisi. Syabas, mereka telah menunjukkan persembahan yang baik dan saya dimaklumkan format rancangan Sarawak telah dijadikan format keseluruhan program itu !
Beberapa penulis muda mulai membangunkan wibawanya di persada sastera kita. Khabarnya Zahiran Zaidani akan muncul dengan antologi persendiriannya berjudul ‘Sari Rasa Terindah’. Penyair API, Armiza Nila pula telah diiktirafkan di dalam Hadiah Penggalakan Penulis Sarawak dan merupakan satu kejayaan peribadinya yang cukup manis. Sementara penyair Daro, Hashimah Siri beberapa minggu lalu, telah melancarkan antologi bersama ‘Ko Sayang Daro’ menghimpunkan beberapa penulis muda dari Daro. Peletusan tiga nama ini sesungguhnya satu perkembangan positif kepada perkembangan dunia sastera kita. Teruskan berkarya.
Kemunculan Roslan Jomel secara lebih ketara di gelanggang sastera Sarawak juga menjadi erti yang penting. Pembongkaran nama Roslan ketika sebuah seminar sastera di Miri oleh Kemala, membuka mata beberapa pihak yang selama ini menyepikan namanya. Penerimaan Hadiah Galakan Sastera Kenyalang oleh Roslan melalui cerpen berunsur realisme magisnya (pengaruh daripada Gabriel Garcia Marquez) ‘Seorang Tua Yang Seluarnya Ditembusi Sayap Malaikat’ menjadi titik-tolak pengembangan ‘kerjaya’ Roslan sebagai pemfiksyen berpotensi.
Bagaimana pula dengan Yusuffansuri ? Penyair muda API itu mulai menampakkan hasil pengkaryaannya yang teliti dan penuh bertenaga. Juga antara penerima Hadiah Galakan Sastera Kenyalang, beliau semakin mengalir di dalam arus kata-kata, di samping memacu pergerakan API menjadi sebuah pengaruh yang perlu diberi perhatian. Namun bakat kepenyairannya tidak dapat dinafikan merupakan aset sastera Sarawak pada masa hadapan.Terus mengalir, Yusuffansuri.
Sementara di laman maya, kemunculan beberapa watak misterius yang berselindung di sebalik nama pena, semakin merancakkan lagi gelora gelombang sastera di Bumi Kenyalang ini.Kritikan pedas daripada beberapa watak seperti Penagunung, Drghostiq, Mycven, Citrasukma, Ikerinduan, Mofa_j, Armiza_Nila, Ahqim_Genius dan Kelana_Juara (sekadar menyebut beberapa nama) sedikit-sebanyak telah memberi satu dimensi baru kepada dunia sastera. Polemik nama samaran mengisi ruang pemikiran sasterawan kita untuk beberapa minggu tahun itu. Seni dan sastera selepas itu tidak pernah sama seperti sebelumnya. Siapa yang makan cili, dia terasa pedasnya.
Di samping itu, kemasukan Abdul Rasid Subert sebagai Editor ‘Yang Indah Itu Bahasa’ merupakan satu keberuntungan kepada dunia sastera kita. Rasid yang pernah mengepalai penerbitan jurnal puisi Melayu iaitu ‘Perisa’ pastinya akan berusaha menambahkan lagi nilai makna sastera Darul Hana. Perpindahan Awg Zaidell Awg Jamil , naib setiausaha PEKASA dan moderator laman Pekasa Online (POL) ke DBP Kuala Lumpur, juga dianggap sebagai aset sastera yang harus diberi perhatian. Zaidel ketika ini berperanan sebagai Penolong Penerbit majalah tersohor Dewan Sastera. Pastinya satu cabaran kepada sasterawan kita untuk lebih memantapkan diri.
Tahun ini juga akan menyaksikan penyair dan dramatis terulung Sarawak Zaini Oje bersara daripada jawatanya sebagai Pengarah DBPCS. Sesungguhnya Zaini seorang pengarah yang amat prihatin terhadap dunia sastera.Pastinya pemergian Zaini itu akan dirasakan ketiadaannya dan kita sentiasa akan mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran berpanjangan kepada beliau. Menurut perancangannya selepas bersara, Zaini akan mencuba membuat beberapa pementasan yang telah lama tertunda. Ada rahmatnya juga dia bersara !
Sementara beberapa polemik sastera telah berlaku terutamanya di laman maya Sastera_Sarawak (S_S) dan POL. Antara yang sempat saya catat ialah persoalan penyatuan persatuan sastera di Sarawak telah membangkitkan pertembungan di antara kerabat API, Penagunung (bebas) dan PUTERA (Jaya Ramba). Di laman POL pula, isu matlamat penubuhan PEKASA menjadi pokok polemik. Sekali lagi Penagunung berperanan utama berpolemik dengan Kelana Akira (wakil PEKASA) , sasterawan yang tidak asing lagi di bumi Sarawak.
Manakala polisi keterbukaan yang diamalkan oleh laman Sastera_Sarawak tajaan API mendapat bidasan beberapa pihak. Dalam masa yang sama, laman POL anjuran PEKASA mengamalkan dasar tertutup. Laman POL menerima tamparan yang hebat apabila mendapat sambutan dingin daripada komuniti sastera maya. Selepas itu pemimpin PEKASA akhirnya terpaksa akur terhadap dasar langit terbuka dan membuka laman POL kepada khalayak umum. Sementara itu kejayaan PEKASA memulakan ruangan sastera di akhbar Utusan Sarawak juga harus mendapat pujian. Semoga usaha itu akan diteruskan.
Begitulah serba ringkas sorotan peristiwa penting ‘hari ini dalam sejarah’ yang sempat saya kutip daripada bank memori saya yang amat terbatas ini. Jika ada yang tertinggal saya mohon maaf dan tolong dimaklumkan kepada saya di HYPERLINK "mailto:zach2bach@yahoo.com" zach2bach@yahoo.com. Kita berharap tahun 2007 akan menjanjikan perkembangan yang lebih bermakna daripada pemain-pemain utama di pentas seni dan sastera kita. Sasterawan dan seniman pastinya akan likat bergelumang dengan ilham dan inspirasi.
Bagi saya pula tahun ini, saya mulai menulis di Utusan Borneo setelah lama tidak menumpahkah ‘piece of mind’ saya kepada khalayak seni dan sastera (9 tahun !). Saya muncul semula dengan satu azam, ingin memberikan sumbangan bermakna kepada dunia seni dan sastera. Untuk ini saya mengucapkan terima kasih kepada rakan lama Matnor Arif diatas kepercayaan beliau terhadap saya.
Di samping itu, beberapa tulisan mencakupi soal teater juga terbit di majalah kelolaan Istana Budaya, PENTAS; yang pertama berjudul ‘Teater Sarawak Yang Absurd’ telahpun diterbitkan pada bulan November ini dan kedua bertajuk “Perkembangan Yang Dilupakan’ terbit Disember ini. Untuk ini saya merakamkan terima kasih yang tidak terkira kepada ‘mullah’ sastera Rahimiddin Zahari di atas jasa baiknya 'memaksa' saya kembali menulis.
Rumusannya saya (baca: kita) harus mahu belajar daripada kesilapan yang besar-besar ; muhasabah terhadap diri sendiri, memperbaiki kelemahan dan kekurangan ke arah menjadi manusia yang bermanfaat kepada diri sendiri, masyarakat dan agama. Ya, tahun depan pasti akan tiba. Saya punya perencanaan tersendiri, namun dengan satu tujuan ingin merasai perubahan lain ! Amin.
Selamat Tahun Baru dan Selamat Hari Raya Aidil Adha !
ACP









No comments: