Monday, September 8, 2008

Teater Sarawak Yang Absurd


Sedarsawarsa lalu saya cuba menanggapi duduk perkara teater Sarawak itu. Dalam usia yang begitu muda dan penuh dengan idealisme. saya telah menggunakan segala peluang bekerja sebagai seorang wartawan di akhbar Utusan Sarawak untuk memperkatakan (memberi keprihatinan) tentang segala aspek teater Sarawak. Antara persoalan yang paling mendatangkan reaksi segera para aktivis teater ialah tentang masa depan teater Sarawak itu. Ketika itu reaksi bercampur-baur diterima dan berlakulah polemik berpanjangan di antara sesama aktivis sehingga mencetuskan suatu ‘peperangan’ yang kurang manis. Saya tetap dengan pendirian sehingga kini bahawa masa depan teater sarawak sebenarnya masih belum jelas. Sepuluh tahun berlalu, saya merasakan bahawa waktu memihak kepada saya dan telah membuktikan kebenarannya.

Justeru pada 14 September 2006 lalu apabila diadakan Seminar Sejarah dan Perkembangan Drama Sarawak di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) saya merasakan seperti sensasi de javu mendatangi diri saya beberapa hari sebelum tarikh itu. Biarpun saya tidak sempat menghadirkan diri ke seminar itu, namun berdasarkan laporan dan aduan yang diterima daripada teman-teman, ternyata banyak perkara yang tidak usai. Seminar tersebut dianjurkan oleh DBPCS dengan kerjasama Majlis Teater Negeri Sarawak (MANTERA), suatu kedudukan yang barangkali sedikit pelik memandangkan MANTERA merupakan badan terpenting teater Sarawak tetapi hanya berperanan sekunder.

Yang pasti seminar itu amat ditunggu-tunggu oleh sekalian penggiat teater yang sebenarnya dahagakan perhatian keilmuan seperti itu. Apatah lagi apabila mengambil kira panel pembicaranya yang terdiri daripada ‘mereka yang terpilih’ di dalam bidang teater seperti Abg Patdeli Abg Muhi ,Hazami Jahari, Jais Sahok, Saiee Driss, Hafifah Vanitha Abdullah, Zaini Oje, AB Nor, Zakaria Hassan ,Awg Azman Awg Pawi dan Jeniri Amir. Sebaliknya saya yang tidak sempat untuk datang ke seminar itu, hanya mengikuti jaluran pemikiran mereka melalui saki-baki kertas-kerja yang diberikan oleh seorang sahabat yang prihatin (terima kasih). Pada akhirnya saya merumuskan bahawa mereka telah begitu baik dalam aspek ‘membaca sejarah’ tetapi amat lembab dalam ‘menelaah perkembangan’. Panel terpilih itu seperti melakukan kerja melepaskan batuk di tangga, di samping mengaut keuntungan jangka pendek hasil daripada honorarium DBPCS.

Ya, bagaimana sebenarnya perkembangan (baca:masa depan) teater Sarawak ?

Justeru saya ingin memulakan perbincangan ini dengan sedikit tafsiran ‘sendiri-sendiri’. Perkembangan dan masa depan saling berkait. Perubahan pula ialah kesan daripada perkembangan yang akan menjadi katalis kepada pencorakan masa depan. Perubahan ialah peralihan kordinasi daripada keadaan lama kepada baru; daripada satu ke dua, dua ke tiga dan seterusnya. Perkembangan-perubahan-masa depan ialah sebuah proses kebudayaan yang tidak harus dilihat sebagai kesan jangkamasa pendek. Prosesnya berlangsung berkesinambungan tanpa henti. Tinggal lagi yang pentingnya perancangan yang sistematik yakni sebuah wawasan atau gagasan sebagai panduan untuk meralisasikan proses tersebut. Perancangan sistematik seperti satu prasyarat sebelum apa-apa langkah boleh dilaksanakan. Begitulah sari kepada perbincangan saya nanti tentang hal-ehwal perkembangan teater Sarawak.

Jika melihat kepada perkembangan semasa, teater di Sarawak telah jauh berkembang. Daripada sebuah negeri yang sering dipandang rendah di peringkat kebangsaan, teater di Sarawak telah mampu mencorakkan sebuah ‘revolusi pentas’ di persada Festival Teater Malaysia. Perubahan itu bermula dengan Grup Teater Sanggar Kotaras di bawah pimpinan sasterawan tersohor Awangku Merali Pgn Mohamed dengan naskhah ‘Tukang Ensera’(naib johan), kemudian Grup Teater Tamu Seri Kuching (TASEK) dibawah pimpinan Malek Hassan dengan naskhah ‘Vakum’ (tempat ketiga) dan akhirnya Grup Teater Ngoncong di bawah pimpinan Hajjah Saptuyah Bolhi dengan naskhah ‘Sawo’ (johan).

Perubahan kerangka minda para penggiat teater di Semenanjung mulai berubah dan negeri Sarawak tidak lagi dipandang hanya memenuhi kuota tetapi sebaliknya berupaya memberikan cabaran penuh bermakna. Sementara perubahan kerangka minda juga berlaku di kalangan orang teater Sarawak; mereka semakin mempunyai ‘sense of pride’ terhadap bakat dan kebolehan masing-masing. Semangat untuk berteater semakin tinggi terutamanya menyentuh penyertaan di festival teater. Persediaan di mulakan dengan perancangan yang kemas dan teliti beberapa bulan sebelum berlangsungnya festival. Balai Budaya, DBPCS menyaksikan kumpulan-kumpulan teater terpaksa berbagi kawasan latihan sehingga ada yang berlatih di bawah lampu, gelanggang tenis, belakang stor , kaklilima jalan dan bagi yang bernasib baik di dalam dewan.

Namun selepas itu prestasi Sarawak seakan-akan menurun. Penyertaan seterusnya seperti ‘Kosong’, ‘Inflakasta’ dan ‘Mati’ (kedua-duanya daripada Grup Teater Ngoncong) gagal di peringkat kebangsaan, bahkan Johan Negeri tahun 2004 Art of Saramart (naskhah ‘Sesat’) gagal terpilih untuk ke final di Kuala Lumpur. Sementara Grup Teater Sanggar Kreatif (naskhah ‘Terdampar’) pada tahun 2007 pula seperti kehilangan taring. Kegagalan demi kegagalan dirasai oleh setiap wakil negeri dan ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada orang-orang teater Sarawak. Ternyata sedikit-sebanyak hal ini telah menjejaskan moraliti mereka. Rasa kekecewaan mereka dipendam begitu lama menjadi kesenyapan yang nyaring.

Timbul pula persoalan; apakah yang sebenarnya telah terjadi kepada mereka (baca:teater Sarawak) ? Ada yang berpendapat prestasi teater Sarawak di peringkat setinggi itu merudum dengan teruknya. Permulaan ‘Sawo’ sebagai johan kebangsaan tidak dapat dikekalkan oleh kumpulan-kumpulan seterusnya yang sekadar merangkul hadiah sampingan seperti Teknikal Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik mahupun Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Apabila selesainya festival dan kembalinya anak-anak Sarawak ini ke bumi Darul Hana, berita tentang kegagalan mereka tersebar untuk beberapa minggu, di samping isu salah-menyalah antara satu sama lain berlaku secara tidak rasmi.

Perlahan-lahan hidup (baca:teater) kehilangan makna, hala tuju dan semangat juang berganti kekecewaan. Keluhan demi keluhan kedengaran baik didalam bualan harian mahupun didalam sebuah seminar. Realiti yang mendatangi mereka dianggap sebagai sebuah mimpi. Kekalahan masa lalu dipampaskan dengan alasan luar jangka tanpa mahu meneliti ke dalam kelemahan sendiri. Apatah lagi salah-menyalah. Lambat-laun komuniti ala-The Palgue karya Albert Camus pun menjelma. Inilah gambaran teater Sarawak mutakhir. Gambaran seperti yang dikatakan Martin Esslin sebagai “disillusioned,harsh and stark picture of the world”

Dalam ungkapan pendeknya, teater sarawak sebenarnya ABSURD !

Namun jika kita kembali berpijak di bumi nyata, kita seharusnya melihat kekurangan yang kita ada. Seorang pengamal ‘networker’ QuestGold Vijay Eswaran pernah berkata,”Jika kita ingin memperbaiki diri sendiri, jangan lihat pada kelebihan. Lihatlah pada kekurangan.” Dalam konteks ini kejayaan di Festival Teater Malaysia itu tidak harus dianggap sebagai ‘critical touchstone’ untuk melihat masa depan teater Sarawak. bahkan ia harus dilihat sebagai ‘sekadar’ perkembangan dan tidak harus ditafsirkan sebagai kejayaan mutlak sekali gus dijadikan sebagai benchmark untuk mengukur masa depan teater Sarawak. Saya berpendapat inilah kesilapan kita.

Masa depan teater di Sarawak terletak pada orang-orang yang mengakui dirinya orang teater. Rangkai kata ‘orang teater’ itu sengaja dipertebalkan kerana tidak semua orang teater itu orang teater (dalam ungkapan lainnya, tidak semua orang teater itu mencintai bidang teater) Mengapa saya katakan begitu kerana beberapa kerat ‘orang teater’ mempunyai agenda bukan teater.

Agenda bukan teater ini amat dirasai sekarang apabila dilihat kesempitan hidup amat menuntut manusia untuk memikirkan ruang dan peluang untuk mengaut keberuntungan. Agenda bukan teater itu boleh saja dalam bentuk hedonisme (seks, alkohol, material, glamor), glorifikasi mahupun pemburu gelaran yakni heroisme. Agenda seperti inilah yang banyak merosak ‘kesucian’ dan ‘ketulusan’ (innocent) teater dan pengamalnya yang benar-benar. Apabila agenda lain menguasai minda para penggiatnya, ternyata mutu teater yang cuba diungkapkan mereka tidak menjadi dan sering kali menjadi celupan generasi mendatang.

Ambil saja Festival Teater Malaysia itu! (Beginilah kurang lebih penjelasan saya terhadap prestasi wakil Sarawak yang kian kritikal itu). Ternyata selepas Grup Teater Ngoncong mengungguli persada kebangsaan pada tahun 2001, corak teater mereka (aliran realisme) telah menjadi ‘kegilaan’ kumpulan-kumpulan teater seterusnya. Dalam setiap persaingan, masing-masing cuba untuk meniru teater yang diperjuangkan oleh Grup Teater Ngoncong itu. Teater-teater seperti ‘Inflakasta’ (2002), ‘Mati’ (2003), ‘Sesat’ (2004) dan ‘Terdampar’ (2005) merupakan ‘reinkarnasi’ Sawo dalam bentuk baru dan bentuk inilah yang juga cuba dipertaruhkan di peringkat kebangsaan berulang-kali.

Pola pemikiran yang seperti ini sebenarnya bertitik-tolak daripada keinginan sutrabara dan kumpulannya untuk meraih kedudukan terbaik dalam pertandingan itu. Saya beranggapan ini adalah pilihan jalan singkat dan jalan selamat dengan harapan imitasi seperti itu akan mebuahkan juga kejayaan yang serupa. Namun akhirnya ia menampilkan kenyataan bahawa para penggiat teater kita sekarang ketandusan daya cipta lalu melahirkan generasi yang lemah daya fikir untuk mencetuskan sesuatu yang besar, berwawasan dan berdaya maju ke hadapan.

Jika kita mahu melihat hal-hal lain sebagai sokongan kepada perkembangan teater kita, negeri Sarawak mempunyai perkembangan yang baik; beberapa fasaliti yang bagus untuk tujuan pementasan teater, lahir pula beberapa playwright yang mulai membina nama seperti Jamsari Saili, Awgku Merali Pgn Mohamed dan Dahiri Saini , sementara sokongan dana daripada birokrasi seni dan sastera seperti Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak (KPSU), DBPCS dan beberapa korporat yang prihatin seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), sementara kita juga mempunyai beberapa nama yang pakar dalam bidang tersebut.

Justeru ini bukanlah permasalahan kita !

Bertitik-tolak daripada situlah saya ingin mengemukakan hujah dan saranan ini: pola pemikiran para penggiat teater harus berubah kearah yang lebih dinamis, inovatif dan kreatif bukan sahaja daripada segi produksi tetapi juga gerak kerja. Individu dan kumpulan teater mesti melihat bidang ini sebagai satu bidang yang boleh diceburi secara serius. Jika di Kuala Lumpur, kewujudan syarikat teater seperti Five Arts Center dan Actors Studio (sekadar menyebut beberapa contoh) telah membuktikan bahawa teater boleh menjadi sebuah industri, di samping itu keberlangsungan Stor Teater DBP pula boleh dicontohi sebagai upaya untuk memberikan alternatif pergerakan kepada para penggiat teater yang mahu bergiat secara serius. Namun senario di bumi Darul Hana ini masih berorientasikan musiman dan jika adapun yang dilangsungkan di luar kalender festival, selalunya ia adalah perencanaan ad hoc cuma.

Oleh kerana itu, kita dapat katakan kebanyakan kumpulan teater yang gah di peringkat pertandingan akhirnya akan terkulai layu dalam beberapa purnama akan datang. Mereka tiada perancangan ataupun lebih tepat lagi tiada kemahuan untuk pergi lebih jauh daripada sekadar sebuah grup teater. Kumpulan-kumpulan yang masih wujud sehingga kini seperti Grup Teater Kias Kasturi, Sanggar Teater Akar, Sanggar Teater Kreatif, Grup Teater Sedar, Grup Teater Embrio, Grup Teater Ngoncong, Art of Saramart dan Grup Teater Kakilima (Kuching),_ Kasda, Permata (Mukah) hanyalah cendawan yang tumbuh mengikut musimnya dan sebenarnya menunggu saat dan ketikanya untuk berkubur.

Hal ini berlaku suatu ketika dulu kepada kumpulan-kumpulan teater seperti Rusda, TeaterHaus, Grup Teater GATRA, Wayangan Nian, Seniman Muda Sedar, Grup Teater Nikosa, Grup Teater Generasi Baru dan ini termasuk Majlis Teater Negeri Sarawak sendiri. Disebabkan ini, teater Sarawak hanya melakukan putaran bundar semata-mata dan setiap kali perjalanannya akan kembali ke titik kordinasi yang sama seperti sebelumnya. Biarpun terdapat usaha untuk memperbaiki keadaan, namun segala saranan dan cadangan akan menjadi seperti sebuah pementasan teater absurd dengan susunan dialogny ,”seems to have degenerated into meaningless babble.”(Martin Esslin-Theater of The Absurd)

Betapa absurdnya teater Sarawak sehingga ke satu tahap pengerjaan teater dirasakan sebagai pekerjaan yang futile. Bagi yang bersemangat ekstrem, repitasi sesuatu yang meletihkan, ia akan menjadi rutin.Tanpa ada penemuan baru dan percubaan unik, pengerjaan teater akan memasuki ruang kebosanan. Bagi yang hanya ingin cuba-cuba memasuki bidang teater itu, rutin akan cepat membunuh mereka (dan bakat yang ada) kerana akhirnya hati akan mempertikaikan segala-galanya termasuk keikhlasan untuk mencintai bidang teater tersebut. Secara keseluruhannya senario teater dan komunitinya Sarawak sebenarnya kerugian berpanjangan seperti membangunkan istana pasir, ia akan roboh apabila bah ‘zaman’ mendatanginya.

Istana pasir yang amat mengecewakan sekarang ialah Majlis Teater Negeri Sarawak (dengan abreviasi barunya MANTERA). Biarpun diterajui nama-nama ‘besar’ baik daripada NGO, golongan sasterawan tersohor, mahupun birokrasi seni dan sastera kerajaan, namun masih belum mampu menjanakuasakan suatu perubahan yang nyata.Peliknya mereka-mereka ini mempunyai latar pendidikan seni yang baik tetapi tidak pula boleh memikirkan ‘blue print’ pembangunan teater di Sarawak. Benar segala kemegahan dan kejayaan teater Sarawak adalah hasil daripada kerja keras kumpulan terbabit dan bukannya perencanaan sistematik MANTERA. Sebaliknya MANTERA terlalu sibuk menjadi ‘tauke bangsawan’ daripada menjadi pentadbir teater di negeri Sarawak.

MANTERA yang berentitikan ‘majlis’ itu seharusnya berupaya menjadi nukleus kepada perkembangan teater yang lebih bermakna dan menyeluruh mencakupi bukan sahaja kepentingan di bandaraya Kuching tetapi juga di bahagian-bahagian lain yang turut mempunyai kumpulan teater aktif seperti Mukah, Sarikei, Limbang, Bintulu dan Sibu. Kumpulan seperti KASDA, Grup Teater Kecil, PERMATA di Mukah, KASS di Sarikei (sekadar menyebut beberapa nama) seharusnya disifatkan sebagai afiliasi MANTERA dan tidak sewajarnya dimarginalise sedemikian rupa sehingga membantutkan semangat juang mereka, bahkan ada sebahagian daripada kumpulan ini mempunyai kekuatan tersendiri dan pernah bertanding di peringkat kebangsaan. Aset seperti ini semestinya dipelihara dan selanjutnya dikembangkan potensinya oleh MANTERA.

Namun malangnya perhatian MANTERA nampaknya sehingga sekarang tidak mampu untuk pergi lebih jauh daripada sempadan bandaraya Kuching dan akibatnya menyisihkan mereka yang berada di luar lingkungan itu. Setakat ini kebanyakan (sebenarnya tak banyakpun) daripada aktiviti boleh disifatkan sebagai ad hoc dan tidak setaraf dengan status dirinya sebagai sebuah majlis. Paling menyedihkan MANTERA tidak mampu untuk menyatukan dan membantu (terutama daripada segi dana) kumpulan-kumpulan teater di seluruh negeri Sarawak di bawah sayapnya. Akhirnya masing-masing mempersoalkan faedah untuk mempunyai sebuah majlis seperti MANTERA .

Seperti kata pepatah mat salleh , ‘we are back to square one !’ Bundar.

(Maka selepas ini saya harus bercakap dengan semangat berkobar-kobar !) Kini, sudah tiba masanya komuniti teater Sarawak untuk bangkit dan memikirkan tentang masa depan teater kita. Sudah tiba waktu dan ketikanya mereka itu membuat sesuatu yang belum pernah dibuat sebelum ini iaitu berfikir tentang masa depan sendiri kerana Allah swt menjanjikan bahawa nasib sesuatu bangsa tidak akan berubah melainkan bangsa itu sendiri yang mengubahnya. Memang sebagai individu saya tidak berupaya untuk memikirkan sebuah revolusi yang begitu besar itu kerana ia harus mencakupi kesedaran semua pihak, bukan seorang manusia sahaja.

Saya sering mewarwarkan hal ini, bahawa kita mesti memikirkan satu pelan pembangunan teater yang lebih terancang. Cakap memang mudah tetapi pengerjaannya diakui sulit dan memerlukan sokongan semua pihak; MANTERA, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Jabatan Ketua Menteri Sarawak melalui peranan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan NGO yang lain. Koloborasi pelbagai agensi ini jika direalisasikan akan mencetuskan suatu ‘revolusi’ teater yang akan memacukan perkembangan teater Sarawak seterusnya. Mereka ini sebenarnya sudahpun terkandung dengan baiknya di dalam MANTERA dan kesedaran dan pengetahuan tentang gerak kerja yang saya maksudkan itu sudahpun dimaklumi.

Tetapi masalahnya masing-masing dengan egonya yang besar tidak mahu memikirkan kebaikan bersama ! Mengapa terlalu bermasalah ? Saya sarankan, lupakan perbezaan masa lalu dan mulakan bekerja untuk kebaikan bidang yang sama-sama kita cintai ini. Memang secara tidak langsung saya sudah menyatakan dimana segala-galanya harus bermula. tetapi jika ada juga yang bertanyakan kepada saya, “dimanakan segala-gala ini harus bermula?”saya akan terlebih dahulu tersenyum sebelum ketawa terbahak-bahak kerana jawabannya telah saya sentuh ‘dulu, kini dan selamanya’. Jika ada lagi yang bertanyakan kepada saya, “dimanakah kita harus bermula?” saya akan merenung biji matanya dan kemudian menjerit pula sebuah nama - MANTERA !

Benar atau tidak tumpahan pemikiran saya ini, goncang kepala, tanya minda !



No comments: