Monday, September 8, 2008

Menyingkap Rahsia ‘ Dari Tubuh Bercinta 2 ’


dari tubuh yang bercinta
dia melihat nafas
kagum
dengan botol-botol

Sajak pendek ini tersiar di majalah Dewan Sastera Julai 2005. Jumlah kata yang terkandung di dalamnya cuma 10 patah sahaja dan telah dianggap menepati definisi puisi berdasarkan tafsiran Samuel Taylor Coleridge, “puisi adalah kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik.”. Hipani Alwi “bukan nama asing dalam bidang penulisan puisi Melayu di Sarawak. Malah nama ini sebenarnya nama yang sangat besar “ tegas Mat Pekasa lagi. Memang Hipani ialah calon penyair abad ke 21 yang boleh dibanggakan. Beliau telah pun mengusahakan antologi persendirian mutakhir berjudul “ Cerita Dari Sebuah Kampung Cahaya”. Di samping itu, beliau bergerak aktif di sebelah utara bersama Abizai Abi menjanakuasakan PUTERA mengembangkan sastera. Tidak dapat disangkal bakat Hipani merupakan aset sastera Sarawak yang harus diangkat dan dipertahankan.
Sajak ‘Dari Tubuh Bercinta 2’ saya anggap sebagai pengerjaan terbaik Hipani setakat kini. Barangkali sajak itu pada andaian awal saya ini merupakan percubaan Hipani untuk beralih angin (baca: peralihan) kepada pengucapan yang lebih padat, dengan perenungan yang dalam. Maka beliau pun menepati makna manusia sebagai homo fabulans (makhluk bersastera) . Menurut kritikus tersohor A. Teeuw, “ membaca karya sastera menuntut pembaharuan diri yang terus-menerus, penyesuaian diri dengan sistem konvensi yang tidak pernah stabil, menghendaki kehalusan budi dan setiap kali bersedia untuk membuka diri bagi kejutan dan penyimpangan yang membingungkan.” Bertitik-tolak daripada landasan ini, saya pun berhadapan dengan sajak ‘Dari tubuh bercinta 2’ ini yang saya akui seperti berhadapan dengan sebuah dunia yang sama sekali asing, berbeza, di luar pengalaman sebagai manusia normal.
Membaca sajak ini secara keseluruhannya, akan timbullah kesukaran untuk cepat-cepat memahami maksud penyairnya. Mat Pekasa hanya berupaya untuk memberi pentafsiran dangkal dan mengkal yang menyentuh perihal orang bercinta dan gejala alkoholisme. Aduhai ! Saya tidak bermaksud untuk menyanggah pentafsiran Mat Pekasa, tetapi selayaknya sebagai seorang sasterawan yang punya reputasi besar, adakah waras untuk meletakkan sajak ini sekadar menepati definisi puisi ? Banyak yang tidak sedia maklum (termasuk para pengkritik kita ) bahawa proses memberi makna pada teks sastera memerlukan pengetahuan sistem kod yang cukup rumit, kompleks dan beranekaragam. Untuk membaca amanat yang sebenarnya, kod-kod tersebut haruslah terlebih dahulu diirungkaikan.. Antara kod-kod yang harus dikesani kepentingannya ialah 1- kod bahasa; tatabahasa,kosa katanya dan bentuk pengucapan tradisi – pantun, gurnindam atau bahasa suku kaum, 2- kod budaya; sistem agama, citra masyarakat, amalan harian, welschastaung dan 3- kod sastera; simbol, unsur sastera, sistem bunyi dan sebagainya.
Sepintas lalu, sebagai pembaca kita mungkin tidak bermasalah untuk memahami bait demi bait sajak Hipani itu (melainkan jika yang tidak tahu membaca) kerana ia ditulis dalam bahasa Malaysia yang merupakan bahasa ruji dan rasmi bagi sasterawan kita. Daripada segi tata bahasanya pula tidak banyak penyimpangan yang berlaku, ia seperti satu sistem ayat yang lengkap dengan subjek dan prediketnya. Tidak hairanlah ada yang begitu mudah untuk menerima sajak ini sebagai sajak yang biasa-biasa saja ! Sesungguhnya merungkaikan kod bahasa di dalam sajak ini tidaklah sesukar mana.
Bagaimanapun, kita akan mula menghadapi kekeliruan apabila cuba memecah kod budaya pada sajak itu. Budaya apakah yang cuba ditonjolkan oleh penyair PUTERA ini ? Dunia bulat yang diciptanya memberikan kita konteks budaya yang mencerminkan kepribadian penyair yang lahir daripada suasana (kerja ) yang menebal dengan unsur-unsur alam itu. Apatah lagi imejan yang cuba disajikan beliau merupakan satu pengalaman menghampiri sureal (seperti melihat sebuah lukisan Salvador Dali ) – seseorangkah itu yang tengah mabuk bercinta melihat nafasnya mengagumi botol-botol ?, di peringkat awal begitulah saya cuba memaknakannya dalam frasa yang lain. Sesungguhnya ini adalah pengalaman spiritual yang tidak bersua logikanya ! Sebetulnya kita boleh saja menerima pentafsiran yang begitu mudah itu, tidak perlu memecah kepala untuk berfikir. Tidak ada salahnya !
Bagaimanapun, saya berpegang kepada sari bahawa “ di dalam sastera yang sudah bermakna biasa dapat diberikan makna luar biasa, berdasarkan makna yang biasa itu..” Hipani ternyata mempunyai amalan konvensinya sendiri dalam melahirkan sajak yang begitu minimum jumlah perkataan ini. Sesuatu telah dimasukkan dan disembunyikan secara berhemah oleh penyair di atas sebab-sebab yang beliau sendiri saja mengetahuinya. Sesuatu telah dicipta sedemikian rupa sehingga menepati kalimat Shelley yang menegaskan “ poetry strips the veil of familiarity from the world “ Lalu saya cuba membongkar ‘rahsia besar’ sajak ini. Dengan ini saya akan bermula dengan sudut pandangan ‘dia’ (sudut pandangan orang kedua) sebagai kata kunci utama, seterusnya ‘ dari tubuh bercinta’ dan ‘ nafas kagum’ (tekanan unsur personifikasi) serta ‘dengan botol-botol ‘ (penggunaan perlambangan ) .
Sehubungan itu, saya akan memetik sebuah sajak karya penyair-mati-muda Chairil Anwar iaitu ‘Senja Di Pelabuhan Kecil ‘ (dipetik rangkap kedua saja). Hal menarik yang saya maksudkan di dalam sajak ini ialah bagaimana Chairil telah menggunakan perlambangan helang sebagai mewakili dirinya.

Gerimis mempercepat kelam. Ada juga kelepak helang
Menyinggung muram, desir hari lari berenang
Menemu bujuk pangkal ke kanan. Tidak bergerak
Dan kini tanah dan air tidur hilang ombak


Hal ini ditegaskan lagi oleh A. Teeuw seperti berikut , “ tidak dapat disangkal adanya seekor burung helang- tetapi dia hanya menyinggung muram, dia pun melambangkan si aku Chairil- terasing, tanpa komunikasi dengan sesamanya, tanpa hubungan akrab dengan dunia di sekelilingnya hanya mampu menyinggung muramnya sebagai penyair. “ Oleh itu penyair telah meletakkan dirinya sedemikian rupa sehingga dia di dalam kedudukan unik iaitu ‘ sebagai orang pertama melihat orang kedua. ‘
Ini sesuatu yang menarik untuk dikupas dalam kaitannya dengan sajak Hipani itu. Sudut pandangan ‘dia’ sekali imbas akan memberi gambaran bahawa penyair sedang melihat seseorang yang lain. Saya tidak mudah mahu menerima rumusan ini, lalu saya mengubah persepsi saya dengan mengatakan sebenarnya penyair (Hipani ) sedang memerhati Hipani ( penyair ) yang sedang ‘bercinta’ itu. Memang agak mengelirukan. Namun penjelasan seterusnya akan menjernihkan kekalutan ini. Dalam konteks kod budaya, Hipani sememangnya dimaklumi sebagai seorang penyair yang “ menulis tentang …alam ‘ – sesuai dengan disiplin kerjayanya sebagai….yang menangani pembangunan infrastruktur negeri.” Tidak dapat tidak budaya kerja yang menyelubungi Hipani telah, sedang dan akan memberi kesan mendalam bukan saja terhadap sudut kehidupannya tetapi juga inti pati pengkaryaannya.
Lantaran kalimat “dari tubuh bercinta” sebetulnya ialah penyataan rasa kecintaannya terhadap alam yang telah pun sekian lama diperdaulatkan lewat gugusan sajak beliau. Alam telah lama menjadi alat permainan penyair ini. Alam dalam konteks yang lebih luas yang cuba diketengahkan penyair ini bukan setakat menyentuh khazanah flora dan fauna tetapi juga manusia sebagai makhluk paling berkuasa dalam kitaran itu- kedua-duanya mengalami perubahan dek dampak modenisasi yang dahsyat.
Namun di sini berlaku juga pertembungan yang aneh ; Hipani hanya mampu memberikan kekaguman, “dia melihat nafas kagum…” Kagum yang diberikan penyair mempunyai dimensi yang lain. Ia lebih mendekati penyataan ketidakberdayaan dirinya (baca: manusia ) terhadap apa yang telah, sedang dan akan berlaku Ia disamaertikan kepada aksi terpaku, terkedu dan tidak dapat berbuat apa-apa, (ini bukanlah kekhilafan pemilihan kata tetapi teknik yang disengajakan ataupun cuma kesedaran bawah sedar) Mungkin pengalaman menyaksikan keaslian alam terpaksa dikompromikan, telah menjadikan beliau ‘kagum’. ‘Kagum’ dalam hubungan ini lebih menyentuh proses mekanisme penyesuaian diri penyair. Tindakan sebegini tidak mudah untuk dimengertikan dengan akal sihat tetapi dinyatakan sebagai “ another way of handling ‘undesired desire’ is to desire the exact opposite…is called reaction formation. People who resent disapproval use this to turn aggressive urges into motives for conformity and law-abidingness “ (Abraham Sperling Phd : 'Psychology Made Simple' ). Justeru, ini menguatkan lagi pandangan saya bahawa Hipani sebenarnya menyatakan bantahannya secara halus dan berbudi pekerti Melayu.
Tetapi apakah agaknya yang membuat ‘dari tubuh bercinta, dia melihat nafas kagum ‘ itu ? Apakah yang sebetulnya membangkitkan rasa ‘kekaguman’ sedemikian rupa ?
Ini seterusnya membawa kita kepada tanda penting di dalam sajak ini iaitu “botol-botol’ yang jelas menjadi fokus kekeliruan apabila menelaah sajak ini. Sari perhubungan yang begitu janggal ini telah membawa saya ke satu pemecahan yang barangkali akan memutarkan persepsi sesiapa saja terhadap sajak ini. Penggunaan kata ‘botol’ itu merupakan indikasi kebendaan yang merupakan ciri penting manusia moden iaitu kecenderungan untuk terlibat atau dilibatkan dalam kancah kapitalisme. Kata ‘botol’ telah diperalatkan oleh penyair untuk menyampaikan ‘the final utterance’nya itu. Penciptaan botol (baik daripada bahan kaca, plastic, serat kaca atau bahan tiruan lain) telah menggantikan fungsi bambu ataupun belulang perut binatang sebagai tempat mengisi air.

Lantaran botol dalam kaitan dengan sajak Hipani merupakan perlambangan untuk suatu zaman kemajuan, zaman industri, zaman modenisasi yang realitinya begitu hebat membawa arus perubahan. Botol dalam rupa dan bentuk apa pun, telah diangkat menjadi wacana ilmu sajak ini kerana sebetulnya Hipani telah menemui sesuatu yang telah menggugah sensitivitinya. Di depan penyair ini, botol-botol (baca: kemajuan ) merupakan sesuatu yang membina saatnya setiap hari dan semestinya tidak dapat dielak. Tanda kemajuan industri ini cukup menjadikan tubuh bercinta itu kagum dengan botol-botol. Kita boleh saja meletakkan pelbagai contoh yang berkaitan dengan ‘kemajuan botol-botol’ ini seperti pembinaan bangunan pencakar langit, kawasan-kawasan perindustrian, penemuan teknologi supra sains seperti pengklonan manusia, mega cip dan sebagainya.
Seperti yang ditegaskan sebelum ini, kata ‘kagum’ apabila dihubungkan dengan makna sehari-hari tidak bertepatan dengan makna tersirat sajak ini. MH Abrams melihat ini sebagai “ a statement in which the implicit meaning intended by the speaker differs from what he ostensibly asserts’ (1971:80-84 , A Glosary of Literary Terms) Keadaan yang jelas bertembung sifat ini merupakan kenyataan yang cuba disalurkan oleh penyair kepada pembaca seperti yang digariskan oleh Shelley, “ poetry is a mirror which makes beautiful that which is distorted. “ ( puisi adalah cermin yang membikin hodoh menjadi sesuatu yang indah )
Saya meletakkan penggunaan unsur pertentangan (ironi) oleh Hipani merupakan kekuatan luar biasa sajak ini. Kekuatan seperti ini adalah perkara biasa dan begitu banyak kedapatan di dalam dunia kepengarangan Indonesia. Penyair seperti Goenawan Mohamad, Sapardi Djoko Damona, Subagio Sastrowordoryo (sajak ‘Salju’) dan Toeti Heraty (sajak ‘Cocktail Party’) sangat kuat menonjolkan gejala ironi ini. Dalam konteks ini, ‘Dari Tubuh Bercinta 2’ telah memberikan sebuah isu kemanusiaan yang cukup signifikan- yang bisa mempengaruhi kehidupan kita sebagai maklhluk bernama manusia. Seyogia, Hipani secara automatiknya telah menganjak tahap kepenyairannya ke kelas baru. Inilah amanat besar yang cuba disampaikan oleh penyair yang saya anggap sebagai bukti betapa besarnya wacana beliau. Hipani bukan sahaja telah menepati definisi puisi tetapi lebih penting ialah beliau telah berjaya membawa satu persoalan yang cukup besar untuk kita sama-sama renungkan. Dengan kata lain himpunan kata daripada sajak ‘Dari Tubuh Bercinta 2’ telah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menyampaikan amanat (baca: universal truth ) dalam bahasa yang berhemah sekali. Paling penting Hipani mendidik pembacanya dengan tahap pemikiran yang bobot dengan perenungan dan ini adalah permulaan yang baik. Hipani ( baik secara sedar ataupun tidak ) telah berupaya memanipulasikan kod bahasa, kod budaya dan kod sastera untuk mencapai objektif terakhir pengkaryaan beliau. Kebijaksanaan penyair ini dalam menyusun kata dan makna menjadi suatu yang bernilai seharusnya dicontohi oleh penyair muda yang lain ( tidak terkecuali penyair lama serta diri saya ) . Saya berharap akan menemui lebih banyak lagi karya sebegini bukan sahaja daripada Hipani, tetapi juga daripada sasterawan lain.
Akhir sekali untuk menyempurnakan kritikan ini, saya petik kata-kata Hipani sendiri iaitu, “ Bayangkan binatang-binatang rimba hidup harmonis dengan manusia. Bayangkan ada beribu-ribu kampung cahaya di celah pohon-pohon yang menghijau “ ( kata pengantar daripada ‘ Cerita dari Sebuah Kampung Cahaya’ )
Semoga saya telah menemukan cahaya penjernihan itu. Kudos Hipani !

No comments: