Monday, September 8, 2008

Dunia kritikan Yang Terus Membisu

Isu adalah umpama nyawa kepada kritikan. Sesuatu kritikan yang dilontarkan akan mengandungi isu yang perlu dibincang lanjut. Bagi karyawan, dia barangkali tidak mengambil endah akan kepentingan isu kerana setahunya tugas hakikinya hanyalah berkarya, tetapi tidak pula bagi pengkritik, dia inginkan kesempurnaan daripada segala segi. Maka tidak dapat dielak akan berlaku pergeseran sudut pandangan di antara mereka. Entah siapa yang betul dan siapa pula yang salah, akhirnya tidak diketahui pihak mana yang menegakkan benang basah itu. Hal ini pasti akan menghangatkan lagi pengkaryaan dan sekali gus mempopularkan karya (atau isu) itu. Acap kali akan disentuh sama ada kritikan itu telah memenuhi tafsiran kritikan berhemah, kritikan membina ataupun kritikan menghentam .Sehubungan itu, beban untuk memutuskan perkara ini terletak pada pengkritik dengan keyakinan bahawa kritikannya harus dilihat berimbang.
Berimbang atau tidak itulah persoalannya ! Sebenarnya kedua-dua penilaian dilihat sama penting dalam mengamati serta memberi ‘merit’ terhadap karya. Sasaran terakhir ialah cuba untuk meletakkan sama ada karya itu bagus atau tidak, berisi atau hampa, serius atau main-main dan besar atau eceran. Begitulah gambaran kasar intisari yang terkandung di dalam dunia kritikan. Namun dalam konteks Sarawak dunia kritikannya sehingga sekarang berada pada tahap membimbangkan. Barangkali tiada siapa yang dapat menyanggah kalau saya menyatakan dunia kritikan kita terus membisu ! Sesuatu yang ternyata menggusarkan pihak berwajib sehingga berusaha untuk mencari bakal pengganti..
Sejarah telah mencatat pada tahun 2005 , nama-nama seperti Beb Sabariah, Radzemah Bolhassan, Khatim Ariffin, Jemat Ghani, Dahiri Saini, Radin Azhar, Poul Nanggang, Abdillah Tuah, Jaafar Hamdan, Jong Chin Lai dan Rosaini Hipli disandarkan tanggungjawab untuk merencanakan hal-ehwal mengkritik terutama yang berkaitan dunia sastera kita. Berpusat di Hotel Harbour View, bengkel kritikan itu adalah antara usaha pelaburan jangkamasa panjang Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dalam usaha menyelamat dunia kritikan daripada merebak menjadi pekak pula. Namun ketika itu, saya turut gusar dan hampir tidak pasti apakah genre kritikan itu pilihan muktamad atau mereka saja-saja hadir demi menghormati jemputan pihak penganjur. Soalan ini pastinya belum ada jawaban kerana hanya masa yang akan menentukan kewibawaan mereka dalam kerja-kerja mengkritik (sehingga kini, belumpun ada tanda-tanda mereka itu telah, sedang dan akan mengkritik dalam kapasiti yang signifikan). Namun seperkara yang harus ditekankan ialah setiap pelaburan perlu dilihat kesannya.Jika tiada impaknya, maka sia-sialah usaha itu.
Tapi itu hanya persoalan kecil.. Kita masih boleh bersimpati dan berempati terhadap DBPCS dengan mengatakan masih terlalu awal untuk kita memberi markah prestasi kepada para pengkritik baru itu.. Mari kita berikan mereka ruang lebih luas lagi untuk bernafas agar tenang jiwa dan raga mereka untuk mengkritik. Namun persoalan lain pula timbul; kemana pula menghilangnya kritikus lama ? Individu seperti Jeniri Amir mendahului senarai, diikuti pula oleh anak didiknya seperti Rudi Affendi Khalik, tidak lupa juga Abang Patdeli Abg Muhi yang sering kritis dalam kupasannya, Jali Kenoi juga bukan calang kritikus, sementara Abdillah SM kadang-kadang mencelah pedas serta Pauzan Nuruddin menggetarkan sukma para dramatis. Masih ingatkah lagi kepada Awang Rosli Awang Jaya yang kurang bercakap tetapi ampuh bila bereaksi, Mohd Taufek Firdaus dari Sri Aman juga apa kurangnya berpolemik dan Jais Sahok sekali-sekala campurtangan dengan ketertiban tatabahasanya.
Saban minggu ada saja isu dan selang beberapa hari ada tindak balas daripada beberapa rakan lain yang akhirnya mewujudkan perdebatan berpanjangan. Senario seperti itu kurang dirasai kini ! Biarpun lahir nama-nama baru seperti Awang Azman Awang Pawi, Dahiri Saini, Zakaria Hassan dan Jaya Ramba, namun kritikan mereka kurang memberi kesan yang diharapkan serta dan kurang aktif kecuali Awang Azman yang sering tampil dengan koleksi 'kritikan' yang pada sesetengah sasterawan ‘terlalu akademik’.. Pendek kata mereka belum mampu mengisi lopong yang ditinggalkan baik dari segi kualiti mahupun kuantiti. Saya cuba mencari jawaban kepada misteri yang menyelubungi ‘kehilangan’ pengkritik lama. Beberapa pertanyaan menyelinap di fikiran saya yang antaranya berbunyi : apakah individu tersebut (pengkritik lama) telah berubah perwatakan disebabkan tuntutan kehidupan moden yang serba pantas dan mencabar ini ?
Lalu tanpa simpati memamah ketokohan mereka yang akhirnya menjadikan mereka menghampiri cirri-ciri ‘individu kelas pertengahan baru’ (berakar daripada zaman Renaissance di Eropah sekitar abad ke 19) yang lebih mengutamakan kehendak nafsu (baca materialisme) daripada tuntutan jiwa yang lebih suci seperti inspirasi seni dan sastera (hal-hal non-praktikal seperti ini dipandang sebagai tetek-bengek kehidupan).Soalan seterusnya pula begini: apakah mereka itu telah berubah tumpuan kepada penyediaan peralatan dan kemudahan hidup ? Kehidupannya pula didasarkan kepada keselesaan dan kepenggunaan. Lalu mereka melupakan nilai-nilai yang lebih tinggi yakni keindahan, kebenaran dan murah hati (tiga nilai paling kekal dalam kebudayaan manusia ).
Kriteria pengukuhan tiga prinsip popularpun diserap namun dalam ‘pewarnaan setempat’ iaitu realisme (merujuk pendekatan aliran ‘berpijak di bumi nyata’ bagi apa-apa kerja-kerja sastera) kekuasaan (menyerang terus-menerus sisi-sisi pengaruh baru, warisan dan kebudayaan) dan kepenggunaan (manusia yakni orang-orang muda menjadi sekadar barang dagangan yakni sumber pengeluaran !) Biarpun dikatakan mereka berdaya saing dan bersemangat juang tinggi ; mengubah persekitaran daripada keadaan serba kaku dan beku, mengenal pasti seluruh kebolehan dan membongkar dimensi keduniaan, selanjutnya mengatasi halangan-halangan tradisi dan mengajar bahawa kita mampu lebih besar daripada zaman nenek-moyang, namun budaya kelas pertengahan (seterusnya budaya itu) tidak dapat menimbulkan inspirasi bagi suatu kreativiti tinggi mahupun cita-cita luhur.
Jika ini hakikatnya, maka sesungguhnya kita sudah berada pada tahap kritikal.
Lebih menakutkan ialah budaya itu tidak menelan bulat-bulat seni dan sastera tetapi perubahan lain akan berlaku (atau telah berlaku); semangat yang menguasai ialah unsur murahan daripada sikap pemalsu (plagiat dan ciplak), semangat cari untung jangka pendek (rekod acara seni dan sastera), semangat budaya kekuasaan (kecamuk persatuan penulis), budaya komersialisme (menulis jika ada honorarium) dan keruntuhan moral yang mencari kepuasan pada nafsu nista (hubungan sulit) . Norma-norma seperti ini adalah musuh kepada pelestarian budaya kita. Saban hari muncul karya-karya daripada sasterawan ternama mahupun yang baru tanpa kita (baca: masyarakat) maklumi mahupun fahami disebabkan tiada liputan dan ulasan daripada para pengkritik. Akhirnya kurang berbekas di hati masyarakat. Paling menyedihkan apabila sastera dikatakan tidak merakyat dan sasterawan dianggap cuma syok sendiri, keadaan yang hampir pasti membunuh semangat kesasterawanan mereka.
Lalu kita bertanya lagi soalan yang sama ditanya oleh SM Salim; apa dah jadi ?
Tusukan halus yang dibawa oleh arus globalisasi ini –ciri-ciri budaya itu sewajarnya ditanggapi dengan sebijak mungkin. Dalam dunia tanpa sempadan dan langit terbuka segala-galanya berkemungkinan. ‘Kehilangan’ nama-nama lama daripada arus perkembangan sastera Sarawak tidak wajar di pandang ringan. Mereka kini seperti tradisi sastera lisan ala penglipulara yang diceritakan dari mulut ke mulut, dari seminar ke seminar, dari bengkel ke bengkel menunggu lapuk dek hujan, kering dek panas. Sekarang terpulang kepada kita untuk memikirkan jalan keluar daripada kemelut ini. Meminjam kata-kata Shakepeare, “ Bertindak atau tidak, itulah persoalannya.,”
Sebenarnya pelbagai andaian boleh dibuat untuk menjelaskan ‘kehilangan’ para pengkritik lama itu, namun andaian budaya itu dicedok dengan penuh rasa tanggungjawab daripada kebangkitan golongan kelas pertengahan di Eropah pada zaman renaissance yang menyaksikan kemerosotan pihak gereja sebagai suprastruktur dalam masyarakat itu sekaligus perubahan mendadak lanskap ekonomi, sosial dan politiknya. Hakikatnya unsur-unsur budaya itu semakin ketara dewasa ini. Kita sebagai komponen masyarakat tidak akan terkecuali daripada kesan limpahan yang dibawa arus globalisasi itu. Walau apapun halangan yang dihadapi, kekuatan diri menjadi senjata untuk menyahkan segala rintangan dan akhirnya mengangkat panji-panji kemenangan.
Kita tidak mungkin dapat melawan perubahan dunia !
Atau para pengkritik lama itu sudah berada di luar jangkauan sastera tempatan memandangkan input (kemahuan) dan output (sumbangan) mereka sudah berbeza. Tidak terlibatnya mereka sudah menunjukkan tahap pengasingan dan ‘anjakan’ (merujuk kesan negatif) ke satu dimensi lain yang akhirnya menjadikan mereka ‘The New Renaissance Man’, serentak itu menyanggah prospek ‘Sasterawan Melayu Baru’. Dengan rasa rendah diri, saya tidak mengharap tulisan ini dilabelkan sebagai kritikan menurut definisi ‘kelas satu’ Mohammad Daud Mohammad, cuma berharap cetusan fikiran ini dapat membuka satu dimensi lain dalam melihat dunia sastera amnya dan dunia kritikan khususnya. Paling penting sebagai cabaran buat sesiapa saja terutamanya golongan sasterawan (termasuk calon pengkritik) untuk turut sama berfikir tentang masa depan genre kritikan yang saya anggap masih membisu.
Rangsangan dan saranan seterusnya akan menyelamatkan jiwa bangsa kita.
ACP

No comments: