Monday, September 8, 2008

Dimana letaknya sastera ?

“ SAYA kini mantan Sasterawan Negara dan tidak mahu lagi menggunakan gelaran tersebut.” tempelak A. Samad Said atau lebih dikenali di kalangan pengikutnya sebagai Pak Samad di salah sebuah akhbar tempatan .Marah bercampur kecewa, begitulah andaian saya.
Banyak yang terkejut, tidak kurang yang terpinga-pinga dan ada juga yang tidak berani berpihak.
Kita harus cuba memahami situasi yang menghentam Pak Samad. Barangkali, beliau marah dan kecewa kerana segala usahanya (baca:komuniti sastera) memartabatkan bahasa dan sastera diperlekehkan oleh sesetengah pihak. " Buat apa gelaran Sasterawan Negara jika karyanya tidak mendapat perhatian kerajaan (baca: Kementerian Pelajaran Malaysia)" bisik hati kecil saya.
Di antara banyak Sasterawan Negara, Pak Samad boleh dikatakan yang paling dikenali; bukan saja kerana penampilannya yang unik tetapi juga kerana karyanya yang mampu menggapai khalayak umum yang luas. Siapa tidak kenal Wira Bukit (novel), Lantai T. Pinkie (drama), Hujan Pagi (novel), Salina (novel) dan Di mana Bulan Selalu Retak (drama).
Berdiri sebagai ikon sastera di bumi Malaysia, Pak Samad mempunyai alasan kukuh untuk berkata demikian. Datangnya daripada seorang yang berkarekter teguh dan tegas, Pak Samad pasti telah meikirkan masak-masak akan keputusannya itu. Kita percaya ia dibuat daripada pertimbangan yang penuh bijaksana.
Namun perkara begini bukanlah baru bagi Pak Samad. Sekitar 1990-an, Pak Samad pernah menggemparkan negara apabila mengumumkan apa yang dikatakan sebagai ‘mogok seni’ sebagai bantahan kepada pihak tertentu terhadap layanan tidak munasabah terhadap dirinya yang sekali gus menjejaskan urusan kewajaran hidupnya sebagai seorang manusia.
Namun kali ini ia bukan atas landasan peribadi tetapi lebih kepada perjuangan komunitinya.
Kini Pak Samad membuka pula lembaran baru apabila dengan berani dan lantang menempelak pihak berwewenang berhubung isu teks baru Komsas yang akan digunakan di sekolah-sekolah menengah di Malaysia. Namun, kini suara Pak Samad seperti mewakili suara komuniti sastera Malaysia yang selama ini memang seperti melukut di tepi gantang.
Isu ini sebenarnya sudah berlarutan berminggu-minggu lamanya di ruang maya. Pemilihan teks baru “tidak menyenaraikan puisi, cerpen, novel dan drama dari pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta” sebaliknya menyenaraikan pengarang seperti Ahadiat Akashah, Zaid Akhtar (Mohamad Yazid Abdul Majid) dan Sharifah Abu Salem yang karya mereka dilabelkan sebagai karya popular.
Teringat pula zaman persekolahan saya tatkala teks sastera yang digunakan ialah Antologi Cerpen Suatu Subuh Yang Bening, karya klasik Hikayat Malim Deman, novel Seorang Tua Di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah dan Drama Tiga Zaman. Teks-teks tersebut mengetengahkan karya-karya daripada penulis tersohor Malaysia seperti Zakaria Arriffin, Lim Swee Tin, Rahman Shaari dan Usman Awang, A. Samad Said (sekadar menyebut beberapa nama)
Namun kini senarionya berubah. Pengumuman Kementerian Pendidikan (sehingga kini belum ada keteapan khusus diambil untuk menangani isu ini) untuk mengambil karya-karya popular itu benar-benar mengejutkan pelbagai pihak, bahkan peneraju alam bahasa dan sastera negara, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia seperti kelu seribu bahasa, tidak dapat memberikan respon secepat mungkin terhadap kemelut yang timbul itu.
Pengarang karya-karya popular didakwa tidak mewakili aspirasi bahasa dan sastera sebagai wadah pembentukan pemikiran kelas satu melihat kepada kelonggaran mereka dalam melahirkan karya masing-masing. Di satu sisi, penggunaan bahasa Melayu yang bersifat rojak (di selang-seli dengan bahasa Inggeris) dan beberapa istilah bahasa pasar atau slanga dikhuatiri bakal meminggirkan bahasa itu.
Di sisi lain pula, mesej-mesej remaja yang dimuatkan dalam karya-karya tersebut mungkin akan memberi impak negatif kepada para pelajar sekolah.Para pelajar tidak didedah dan dilatihkan untuk berfikiran lebih kritis dan analatikal dan ini dibimbangi akan melahirkan generasi Malaysia yang lembab daya fikirnya berlawanan dengan ambisi negara ke arah yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Bagaimanapun Kementerian Pelajaran sempat tampil dengan rasionalnya sendiri iaitu ia tidak mahu sukatan pelajaran membebankan para pelajar dengan karya sastera yang berat !
Apakah ini keputusan terbaik untuk remaja kita tatkala kita cuba membangunkan modal insan sebagai aset pembangunan negara pada masa hadapan ? Apakah ini perkara yang wajar diterapkan didalam pemikiran anak-anak kita tatkala ledakan infiormasi barat semakin menjadi-jadi merongrongkan seni dan budaya kita? Apakah ini jalan terbaik untuk membangunkan sebuah masyarakat masa hadapan yang bercirikan first class mentality?
Tidak dapat disangkalkan, karya popular yang rata-ratanya bertemakan cinta amat diterima oleh para pelajar. Temanya jarang yang berbelit-belit, bahasanya yang ringkas menyajikan pembacanya suatu bentuk hiburan minda yang mudah. Tidak dapat disangkalkan lagi, kemunculan penulis karya picisan ini seperti cendawan tumbuh selepas hujan dengan pelbagai nama samaran seperti watak-watak dalam filem cereka.
Ini ditambah lagi dengan permintaan syarikat penerbitan swasta yang memang merasakan projeksi laba keuntungan apabila menerbitkan karya-karya popular berbanding karya-karya sastera. Projeksi keuntungan ini menjadi motivasi mereka dan melipatgandakan usaha dalam mencari penulis-penulis yang berpotensi di seluruh negara Malaysia.
Di Sarawak sendiri, dua penulis yang dianggap sudah berjaya menghasilkan karya-karya popular ialah Dahiri Saini dan Radzemah Bolhassan.
Dimanakah agaknya titik penyelesaian kepada kemelut ini? Adakah pihak berwewenang akan mempertahankan keputusannya untuk mengangkat martabat karya-karya popular? Adakah mereka akan mengekalkan status quo dan menyenaraikan semula karya-karya sastera bermutu tinggi yang diakui baik di peringkat kebangsaan mahupun Asia Tenggara ? Atau adakah mereka akan cuba berkompromi, mencapai titik penyelesaian win-win situation bagi kedua-dua genre itu? Walau apapun penyelesaiannya, biarlah ia mengambil kira aspirasi negara yang berhasrat menjelma menjadi sebuah bangsa yang unggul.
Ya, unggul daripada segala segi; ekonomi, politik dan sosial ! Begitulah hendaknya? Soalannya dapatkah disandarkan gagasan yang begitu besar itu dibahu karya-karya popular yang sibuk menelaah urusan hati dan perasaan cinta tiga segi. Begitulah !
Namun agak hairan juga, ke mana pergi Sasterawan Negara yang lain, dimana menghilangnya pendirian pemenang SEA Writes Award itu (sehingga kini hanya Lim Swee Tin yang memberikan respon, itupun secara berseloroh mengatakan yang beliau akan mula menulis novel popular) dan bagaimana pula ketegasan penerima Hadiah Sastera Perdana itu dalam memperkatakan hal-ehwal ini ? Mengapa menyepi?
Paling penting, mengapa komuniti sastera yang selama ini berdegar-degar memperjuangkan agendanya membisu seribu bahasa ? Mengapa tiada kesatuan dalam menanggapi pokok persoalan yang boleh mengubah persepsi
Atau adakah pak Samad bersendirian dalam hal ini ? Wallahualam.





No comments: