Monday, September 8, 2008

Hashimah Siri Kilauan Permata Daro

Sewaktu ziarah saya ke Daro tidak berapa lama dahulu, saya sempat bersua dengan Hashimah Siri; dramatis, deklamator, koreografer serta aktivis yang tidak asing lagi di daerah magis itu. Bagi saya ziarah ke Daro tidak sempurna jika tidak bertemu dan berbual dengannya. Ia seperti satu kewajiban.Kunjungan pertama kali saya pada tahun 1994 sewaktu teater keliling 'Dunia Di atas Ranjang' bersama Grup Teater Sedar. Masih segar diingatan 'hospitality' Hashimah dan kerabatnya begitu berbekas di dalam sanubari. Oleh sebab itu kebanyakan dramatis begitu akrab dengannya dan daerah kecil Daro itu.
Kini Hashimah masih seperti dulu, tidak banyak yang berubah meskipun sudah berusia namun usia seperti tidak menjengahnya. Senyumnya masih manis dan keramahannya masih seperti dulu. Namun satu perkara penting yang berubah ialah arus pengaliran keseniannya.
Dia terus mengalir dan melimpahkan auranya !
Itu barangkali kesimpulan yang tepat dapat saya berikan apabila dikhabarkan Hashimah akan muncul di dalam antologi puisi yang berjudul 'Ko Sayang Daro' yang bermaksud 'Aku Sayang Daro' yang turut menghimpunkan penyair berleluhurkan Daro lain seperti Ahmad Abang, Azizi Fauzan, Hossen Siai. Mustapha Hasim, Norsari Hadi dan Rahayu Omar. Pelancaran antologi tersebut telah diadakan di Dewan Kemas, Daro pada 23 Disember 2006. Pelancaran yang disempurnakan oleh YB Morni Suhaili (N37 Daro) dan YB Abu Seman Jahwi (N 38 Jemoreng) pada jam 8 malam itu merupakan titik peralihan kepada bakat kepenyairan Hashimah dan penulis lain yang seharusnya dilihat sebagai aset bagi sastera di mandala Darul Hana ini.
(Dalam masa yang sama pelancaran itu juga merupakan sambutan 'Malam Tautan Kasih' bersempena persaraan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak Encik Zaini Oje yang juga diraikan sebagai tetamu kehormat pada malam itu)
Antologi yang memuatkan 98 buah sajak itu akan membawa logo organisasi daun lontar (Dewan Bahasa dan Pustaka) itu dapat disifatkan sebagai penambahan kepada profil seni Hashimah yang sesungguhnya mulai mekar itu; sebagai dramatis, deklamator, koreografer, aktivis budaya dan kini penyair. Kini sebagai Ketua Dua, Kelab Anak Seni Daro (Kasda) Hashimah berjaya membangunkan Kasda sebagai sebuah persatuan yang berjaya. Alhamdulillah Kasda telah berusia 20 tahun.
Menurut Ketua Satu Kasda Jamaluddin Haji Ibrahim di dalam rakaman penghargaannya, "Kejayaan menerbitkan antologi sulong ini dapatlah dianggap sebagai hadiah paling berharga bagi Kelab Anak Seni Daro (Kasda) dalam menyambut ulang tahun ke 20 pada tahun 2007."
Bagaimanapun (pada pandangan saya) antologi itu sebenarnya lebih merupakan kejayaan peribadi Hashimah yang sebelum ini begitu banyak berkorban masa dan tenaga untuk menjadikan Kasda khususnya dan Daro amnya sebagai sebuah daya seni dan sastera yang berpengaruh. Tidak keterlaluan dikatakan, Hashimahlah sebenarnya dalang yang menggerakkan wayang kesenian di daerah yang terkenal dengan ikan terubok itu.Tidak dapat disangkal Daro telah muncul sebagai antara lokasi penting di dalam peta negeri Sarawak ini. Ia merupakan sebuah daerah yang dianggap mempunyai aura keseniannya tersendiri dan sentiasa menjadi daya tarikan kepada beberapa seniman tersohor.
Seingat saya dikatakan Allahyarham Esmawi Haji Husly sering ke Daro semasa hayatnya dan daerah itu dikatakan 'rumah kedua' baginya. Kesempatan ini diambil oleh Hashimah untuk menimba seberapa banyak ilmu teater dan puisi daripada maestro Rusda itu. Sedikit-sebanayk ini memberikan Hashimah asas untuk muncul di persada teater negeri Sarawak dengan penuh karisma.
Begitu juga dengan dramatis Allahyarham Aziz HM dan A.Samad Said sekitar 1990-an sering mengunjungi Daro. Aktor 'Gubra' iaitu Namron, yang muncul dengan karekter 'bilal' juga pernah menjejakkan kakinya ke Daro dan terpukau dengan "kealamannya yang begitu mistik," begitulah gambaran Namron terhadap Daro.Saya mengesani keunikan fenomena ini dan cuba mengikuti jejak seniman besar itu untuk mengetahui apa sebenarnya keistimewaan Daro. Saya tidak akan dapat menjelaskannya di sini tetapi saya tahu ada sesuatu yang magis ada di Daro. Namun saya membuat kesimpulan sendiri bahawa ada sesuatu di alam ini yang tidak dapat dijelaskan tetapi hanya dapat dialami.
Barangkali tiada siapa yang dapat menjelaskannya dengan lebih baik selain daripada warganya yang bernama Hashimah itu. Namun dalam masa yang sama, semangat kesenimanan yang selama ini mengalir di dalam urat nadi Hashimah membuak-buak inginkan sesuatu yang bermakna. Lantaran antologi itu merupakan manifestasi kepada kemahuannya untuk tumbuh dan berkembang. Untuk memberikan daya hidup kepadanya.
Hashimah ingin berubah ! Ya, seperti katanya :

Kehidupan
adalah rentapan
antara ketentuan
dan kemahuan
[Hashimah Siri, 'Kehidupan' ms 25]

Sajak yang pendek (ditulis diatas lukisan tangan kanan) tetapi memberikan pemikiran Hashimah yang tajam, menghampiri darjat kefalsafahan yang tinggi nilainya. Tahniah Hashimah di atas sesuatu yang begitu bernas itu.
Begitulah saya menanggapi sesuatu yang berjudul "Ko Sayang Daro' itu. Saya dijemput untuk membaca sajak-sajak Hashimah daripada antologi ini. Saya berasa amat terharu kerana jemputan itu dan berharap suatu hari nanti (insyaAllah) akan dapat bersama Hashimah untuk meraikan kejayaan manis itu.
Namun suatu ketika dulu janji pernah dimungkiri bukan oleh kemahuan diri tetapi oleh desakan keadaan yang tidak dapat dielakkan. Saya tidak mahu untuk mengulangi episod yang sama. Tidak dapat disangkal kesempatan ruang dan waktu amat menyempit. Akhirnya saya terpaksa akur dengan kehendak geografikal yang kadang-kadang amat mengecewakan saya. Namun sebagai tindakan yang dirasakan terbaik, maka rencana ini ditulis sebagai pengganti ketidakhadiran diri pada malam penuh bererti itu.
Semoga dengan kelahiran antologi itu akan membuka ruang dan peluang yang lebih baik kepada calon-calon penulis dari daerah kecil itu untuk tumbuh dan membesar di dalam taman sastera kita. Gesaan ini ditujukan terutamanya kepada birokrasi sastera seperti DBPCS. Hashimah dan penyair lain di dalam antologi ini ternyata merupakan permata sastera yang menyinar pada tahun ini. Bakat yang seharusnya diberi perhatian oleh pihak berwewenang dan seterusnya dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.
(Apatah lagi apabila bercakap soal penyair wanita. Sedikit-sebanyak kehadiran Hashimah di persada sastera Sarawak akan menambah jumlah penyair wanita Sarawak [terutama dalam bidang puisi] yang kita maklumi semakin gersang itu.
Dalam genre puisi, Hashimah boleh dianggap sebaris Zahirah Zaidani (Rosani Hiplee) dan Armiza Nila (Maslina Mahbu). Zahirah Zaidani akan muncul dengan antologi persendiriannya tidak lama lagi, sedang Armiza Nila setelah diiktiraf sebagai penerima Hadiah Sastera Galakan Kenyalang tahun ini masih dalam proses mematangkan lagi kepenyairannya. Tiga nama itu merupakan khazanah penyair wanita yang harus diberi perhatian.
Jangan sia-siakan mereka !
Di kesempatan yang lain, insyaAllah saya berusaha untuk mengupas antologi itu sebaik mungkin kerana tanpa kritikan 'sekali bererti, lepas itu mati'. Namun untuk saat ini saya hanya ingin menikmati She (nama samaran Hashimah) ' kata-kata terbaik dalam susunan terbaik' daripada She (nama samaran Hashimah) .

Kudos Kasda !













No comments: