Monday, September 8, 2008

DUA MUDA DALAM WAJAH KATA BERBEZA.

Sejak dari dulu lagi, saya tertarik dengan fenomena kemunculan watak misterius Penagunung. Penagunung, watak rekaan didalam laman sastera_sarawak yang sering mencetuskan kontraversi dan polemik sesama kerabat portal rasmi Angkatan Pengkarya Indie (API) itu. Lontaran debat dan hujahnya kadang-kadang menimbulkan rasa kurang senang terutama kepada yang ‘termakan cili’. Namun kehadiran Penagunung dilihat membawa satu senario berbeza di dalam dunia sastera Darul Hana.

Apatah lagi apabila menyentuh soal identiti Penagunung itu. Siapakah dia yang bersembunyi di sebalik nama Penagunung itu? Tuduhan demi tuduhan dibuat. Antara saspek-saspek utama yang pernah dikaitkan dengan entiti Penagunung ialah Yusuffansuri, ZachManan, Raden Azhar, Awg Rosli Awg Jaya, Taufek Said, Piee Ling, Pharo Abdul Hakim, Dahiri Saini, Jaafar Hamdan, Kelana Akira, Zahirah Zaidani, Roslan Jomel, Jeniri Amir dan Faizal Jamil.

Namun, bukan pula tujuan saya untuk memanjangkan isu ini. Tetapi saya menghargai ilmu yang dicurahkannya. Lantaran saya berhasrat untuk menyiarkan sebuah kritikannya yang pernah juga mencetuskan polemik. Diperturunkan di sini rencana tersebut, kritikan perbandingan Penagunung terhadap dua penyair muda Sarawak yang mulai membangunkan wibawa masing-masing; Yusuffansuri dan Jaafar Hamdan. Kritikan yang saya anggap bernas dan patut mendapat perhatian sewajarnya daripada komuniti sastera Darul Hana. Selamat membaca.


*
Akhirnya, kita pun bertolak daripada ‘mencari kelukaan’ kepada hal-ehwal yang lebih serius lagi. Minggu kebelakangan ini saya tergugah membaca beberapa gugus sajak penyair muda Sarawak, yang antaranya ialah Jaafar Hamdan dan Yusuf Fansuri. Kedua-dua penyair ini mempunyai kekuatan latar kepengarangan mahu pun pergerakan yang memberangsangkan. Kedua-duanya pernah menerima anugerah dalam pelbagai kategori. Kedua-duanya merupakan dalang kepada pergerakan kegiatan berpersatuan.

Jaafar ialah Setiausaha Persatuan Karyawan Sarawak [ PEKASA ], Yusuf ialah penyelaras laman maya ‘sastera_sarawak’ di samping peneraju Angkatan Pengkarya Indie [API] . Yusuf pula telah muncul dengan beberapa mini antologinya; ‘Edan Waktu Kasmaran’, ‘Dari Kekasih Kepada Kekasih’, ‘Kembali Kepada Tuhan’ dan ‘Cinta Si Pemain Pedang’, namun dengan gaya penerbitan ‘underground’.

Cuma Jaafar masih belum ada antologi persendirian tetapi sajaknya banyak disiarkan di dalam antologi bersama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Untuk tujuan kritikan ini saya telah mengenal pasti beberapa buah sajak terbaik daripada kedua-dua tokoh muda ini untuk dikemukakan iaitu ‘Rumah Abadi’ [ Jaafar ] dan ‘Peluru Berahi’ [ Yusuf ] . Justeru untuk tujuan ini, saya suka meletakkan asas kritikan saya kepada petikan ini : “ nilai estetik kata didalam sajak itu biasanya merujuk kepada intuisi atau kepekaan dan pengalaman seorang penyair sehingga mampu menciptakan pengertian kata dalam dimensinya yang baru “Titon Rahmawan [ Galeri Karya, Cybersastra ]

Sajak Jaafar ‘Rumah Abadi’ merupakan satu contoh pembangunan kata yang longgar. Biarpun Jaafar mempunyai wacana murni yang menyentuh kesedaran beragamanya, namun penyair ini nampaknya lebih mengutamakan gagasan daripada pembinaan kata [ baca makna ] yang tinggi keupayaan sasteranya.

Bangunlah dari tiang yang asas
pada setiap lima waktu yang tepu
dengan akal dan iman berpanjangan

Membaca sepintas lalu, saya terkesan akan kelonggaran ekspresi Jaafar yang masih terikat kepada sistem bahasa yang ketat. Beliau tidak berusaha untuk membebaskan kata menjalankan fungsi puitisnya menyalurkan makna. Barangkali integriti sebagai seorang pegawai bahasa amat menebal pada beliau. Keberjayaan Jaafar hanya berhasil menggambarkan model dunia nyata yang mempengaruhi dan menguasai kehidupan individu dan masyarakat. Apabila mengabaikan kekuatan kata sebagai esensi sebuah sajak, pengucapan beliau hampir-hampir menyamai percakapan sehari-hari [ denotative ] sehingga membangkitkan kesan realiti yang terlalu naïf, terlalu biasa seperti laporan di dalam sebuah akhbar

Apatah lagi jika saya menyusun kembali kata-kata sajak ini seperti sebuah prosa akan nampaklah cirri denotative itu : Kemudian lindungkanlah siang dan suram malam yang hening dengan atap kesabaran untuk mendidik nafsu yang keliru kerana dindingnya nanti perlu berkat dari nilai zakat dan sedekah suci agar tingkap dan pintu sentiasa redha terbuka hingga mengerti untuk diuji qada dan qadar yang tidak pernah melupai janji takdir ketika bermukim di sini.

Sistem sastera berbeza dengan sistem bahasa. Menurut kritikus tersohor A’ Teeuw, “sistem sastera merupakan sebuah dunia yang sangat kompleks dan bersusun-susun; puisi romantis Inggeris merupakan dunia rekaan khas, demikian pula drama klasik Yunani dan puisi Pujangga Baru.” Justeru Jaafar sebagai penyair muda perlu mengelak daripada pemakaian kata tatabahasa aktif-pasif yang klise dan lain-lain, sebaliknya menghalakan bahtera kepenyairannya ke lembah sastera yang tulen

Pendeknya, sebagai bahan bacaan, ‘Rumah Abadi’ mudah difahami dan dimengerti dengan penggunaan kata biasa, tanpa perlu menelusuri bait demi bait mencari makna tersirat. Namun sebagai bahan perenungan sajak ini masih jauh jangkauan keabadiannya. Perlu dinyatakan di sini
‘Rumah Abadi’ dipilih hanya kerana ia telah disiarkan dua kali iaitu didalam antologi ‘Kota Asas Tamadun Bangsa’ [ 2002 ] dan antologi Dialog Borneo-Kalimantan ‘Nyanyian Pulau-pulau’ [ 2004 ] Sudah tentu ada keistimewaannya (?)

Sajak ialah himpunan kata terbaik ! Begitulah pandangan majoriti yang sering kedengaran. Namun pilihan kata terbaik belum menjamin nilai estetika terbaik. Sang Penyair yang mewah dengan kosa kata tetapi tanpa intuisi atau gerak hati mahupun imajinasi yang tinggi dan luhur, belum tentu menghasilkan sebuah sajak yang tinggi nilai sasteranya.

Dalam konteks ini, saya membawa pula pilihan karyawan kedua; Yusuf dengan sajak ‘Peluru Berahi’nya. Unsur personifikasi pada judul sajak ini seolah-olah mempunyai daya tarikan kuat terhadap pembaca untuk terus mengikuti maksud penyair. Saya perturunkan keseluruhan sajak ini dalam bentuknya yang asli.

Berahi Peluru Hidup !
membenam
ke dalam
aku !
Cedera
Yang
Bahagia

Sajak yang pendek tetapi segar pengucapannya. Ia pendek [ jumlah kata cuma 10 ] tetapi mampu membuka ruang perenungan yang tinggi. Gagasan yang dipilih oleh Yusuf adalah sama dengan Jaafar iaitu kesedaran beragama. Namun kaedah pengucapan Yusuf jauh berbeza. Yusuf nampaknya lebih mempunyai kesedaran untuk pemilihan kata yang intensif dengan tidak mengabaikan wacana yang telah direncanakan sedemikian rupa supaya kelihatan melakukan penyimpangan atau deotomatisasi – [ yang biasa, yang normal, yang automatik dibuang, yang dipakai harus khas, aneh, menyimpang, luar biasa ; Victor Shklovsky , Erlich ]

Beliau peka dengan unsur-unsur fizik sastera seperti sistem bunyi [ asonansi dan konsonan ], bentuk tifografi [ penggunaan huruf-huruf besar pada beberapa kata ], intonasi [ penggunaan kata seru ] dan sebagainya. Perkara sebegini jika diolah dengan cermat akan menghasilkan hubungan kata-makna yang indah dan menjadi. Di samping itu, pengaturan kalimat seperti bentuk tubuh wanita cuba memberi gambaran awal tentang sajak ini. Sekali imbas, kita akan terhibur hanya dengan memerhati keletah sajak ini menampilkan diri.


Namun apa yang lebih penting ialah keberadaan sajak ini sebagai ‘sajak dengan kata yang minima tetapi menawarkan makna yang maksima’ Beliau tidak berbicara yang berlebihan, yang berlebihan dianggap akan merencatkan sari sajak ini. Kata pilihannya dibentuk menjadi alat yang berkesan untuk menyampaikan kod sastera bahawa sesuatu yang biasa telah disampaikan secara luar biasa .

Kebangkitan beragama Yusuf memerlukan daya perenungan yang mencakupi karya sastera yang lain juga. Dalam konteks ini Yusuf [samada secara sedar ataupun tidak] telah berhasil mengungkap unsur penting sastera iaitu intertekstualiti – unsur pengaruh karya-karya lain dan dimasukkan ke dalam karya sedia ada. Ini menjadikan karya Yusuf sebagai sebuah karya yang terbuka. [bertentangan dengan pendekatan ‘structuralist ‘ yang menganggap sesebuah teks itu “ as discrete, closed-off entities and to focus exclusively on internal structures.” [Daniel Chandler, Semiotics For Beginners ]

Bertitik-tolak dari sinilah saya mengesani pengaruh ‘The Mathnawi {The Definition of Love] karya Mevlana Calaledin-I Rumi didalam sajak ‘Peluru Hidup’ ini. Namun saya tidak mudah untuk mengklasifikasikan sajak penyair API ini sebagai khazanah sufisme. Masih terlalu awal untuk itu. Kudos ! Ini adalah percubaan yang bersemangat daripada seseorang yang masih muda usia pengkaryaanya. Penyair turut melanggar tatacara dengan memperkenalkan sistem tanda yang peribadi sifatnya. Lihat saja penggunaan tanda ‘peluru hidup’ yang mungkin agak menyukarkan pembaca untuk cepat menangkap erti. Jika penyair menggunakan tanda ‘panah arjuna’ mungkin akan lebih mudah untuk diterjemahkan sebagai ‘cinta’.

Sesuatu yang menarik. Dalam konteks Ysusuf, cintanya tidak lagi dikaitkan dengan busar dan panah warisan Dewa Eros itu, tetapi telah digantikan dengan dengan senapang dan peluru. Dengan kata lain, di dalam sajak itu Yusuf cuba menjelaskan bahawa beliau telah ditembak cinta. Tetapi Cinta siapa ?

Hal lain akan terjawab apabila kita menelaah penggunaan huruf-huruf besar pada beberapa kata yang seperti mengisyaratkan terdapatnya bobot makna yang luar biasa. [lihat pada ungkapan ‘Peluru Berahi Hidup’ dan ‘Cedera Yang Bahagia’] . Keadaan ‘kecederaan yang memberikan kebahagian’ sesungguhnya bersifat absurd [ tidak masuk akal ] dan pembaca sudah tentu teruja pemikirannya. Kalimat ‘Cedera Yang Bahagia’ itu memberi sensasi perasaan yang menyeramkan, sensasi yang misterius, sensasi yang agak sulit untuk difahami. Sensasi yang di luar norma biasa. Sensasi itu telahpun diungkapkan oleh Rumi seribu tahun yang lalu sebagai Cinta :


A true lover is proved by his pain of heart
No sickness is there like sickness of heart
The lover’s ailment is different from all ailments
Love is the astrolabe of God’s mysteries


Sajak ‘Peluru Hidup’ ialah satu contoh pengkaryaan yang menurut Herbert Read ‘predominantly intuitive, imaginative and synthetic’ berbeza dengan sajak ‘Rumah Abadi’ yang juga satu contoh pengerjaan karya sastera yang kurang berbobot. Di pihak yang satu, kata kembali menjadi raja kepada makna. Di pihak yang satu lagi, gagasan merebut status sebagai yang berkuasa.

Sayugia saya sampai pada satu rumusan bahawa kata adalah segala-galanya. Sebetulnya kiita mempunyai banyak penyair yang terlalu sibuk dengan fikiran yakni gagasan tetapi lupa bahawa dia sebenarnya sedang menulis sajak. Oleh itu sebahagian besar sajak kita tidak mempunyai daya ‘phenomenal’ . Kata menjadi penghubung [ a linking bridge ] diantara pengkarya dan pembaca dan keberkesanan kata menyampaikan gagasan akan mampu meninggalkan kesan rasa dan daya tanggapan yang jauh mendalam.

Selanjutnya saya harus meletakkan nilai pada kedua-dua karya tersebut. Putu Arya Tirtawirya mendefinisikan, ‘ sajak adalah puisi tetapi puisi belum tentu sajak.” ‘Rumah Abadi’ adalah contoh puisi yang mengungkapkan makna secara luaran samar dengan maksud tersirat dan kata cenderung kepada erti yang konotatif. dan diterima umum. Sedangkan ‘Peluru Hidup’ ialah contoh sajak yang merupakan “ cermin tempat manusia berkaca, tampak sosok dirinya dalam masa lalu, masa kini dan masa depan.”

Sajak ialah apa yang tersirat; himpunan kata yang membawa pembaca ke alam lain iaitu alam sastera sebagai dunia ide yang wujud didalam manusia [ Plato ].Sebagai pengakhiran, izinkan saya menamatkan kritikan ini dengan sebuah sajak daripada penyair besar Asia Tenggara, Sitor Sitomorang berjudul ‘ Malam Lebaran’ :

bulan di atas kuburan.











No comments: