Monday, September 8, 2008

Kami Mahu Sebuah Taman Seni !

Tanggal 8 Februari lalu, saya dijemput menghadiri sebuah mesyuarat di Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan warisan Negeri Sarawak (Jabatan) . Jemputan meliputi mereka yang tersohor didalam berpencak silat teater mewakili beberapa persatuan teater yang aktif di sekitar Bandaraya Kuching seperti Kias Kasturi, Ngoncong, Saramart, Sanggar Akar, Sanggar Kreatif, Sifar, Asek, daripada institusi pengajian tinggi; Unitar dan UiTM serta yang paling utama ialah induk teater Sarawak iaitu Majlis Teater Negeri Sarawak (Mantera). Bagi saya itulah pertemuan kedua terpenting selepas seminar Perkembangan Drama Pentas di Sarawak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (Dewan) tahun lepas. Inisiatif Pengarah baru Jabatan, Encik Chua Tek Lui seharusnya dipuji dalam memastikan kesinambungan kerjasama terus wujud diantara Jabatan dan NGO teater.
Di antara banyak persoalan yang dibentangkan, saya amat tertarik dengan persoalan Taman Seni (sebut Taman sahaja). Seingat saya, isu Taman ini sudah berlanjutan berdekad lamanya tanpa penyelesaian konkrit. Sarawak (selain Johor) begitu ketinggalan dalam usaha mewujudkan Tamannya sendiri. Sedangkan Sabah jiran kita kini begitu berkobar-kobar menunggu Tamannya siap dan menjadi gelanggang permainan para dramatisnya. (Pastinya ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan teater di Sabah kelak.) Namun status Sarawak sehingga kini masih tergantung. Sebenarnya hal-ehwal Taman ini sudah saya dengar sejak zaman alif lagi. Sewaktu khidmat saya sebagai Jurulatih ‘tidak bertauliah’ Teater di Pejabat Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak (Pejabat ketika itu) dibawah Encik Mohd Radzi Mohd Nor, Taman sudahpun wujud namun dalam bentuk spiritual. Sebarang bantuan dana untuk projek teater kami, akaun Tamanlah yang menghulurkan sumbangan. Ini satu proses birokrasi yang mudah dan berkesan.
Kemudian hal ini bersambung pada era Encik Laliman Ahmad (yang saya anggap sebagai abang angkat itu). Pada waktu ini keseriusan isu Taman mulai menyerlah. Impian dan harapan untuk memiliki sebuah Taman, seolah-olah semakin jelas sehingga pada satu peringkat pihak Pejabat pernah terfikir untuk menyewa sebuah premis (rumah dua tingkat) dan dijadikan premis sementara Taman itu tetapi ide bernas ini tidak pernah terrealisasikan. Dalam jangkamasa pentadibiran pengarah lain seperti Encik Zaini Nyak Othman, Encik Rosli Adam dan Che Kassim Mahmud pula isu Taman seperti sudah menjadi bahan cerita basi dan kini diumpamakan mitos rakyat pula
Apa beza dengan Chua teraju baru Jabatan? Kita tunggu dan lihat.Setakat ini saya tertarik dengan keramahan dan kerendahan budinya.
Simpang parodoksnya, di pihak Dewanpun pernah tercetus ide untuk membangunkan sebuah Taman serupa itu. Ketika pentadbiran Encik Khalid Ahmad, cetusan pembinaan Taman begitu serius sehingga ke tahap pembinaan model mock-upnya. Berdasarkan perancangan, gudang gadang Dewan (pejabat Dawama sekarang) akan ditranformasikan menjadi sebuah auditorium dengan beberapa kemudahan lain seperti ruang latihan teater dan tari, bilik persalinan, ruang untuk berseminar dan berbengkel. Rasional Pengarah ketika itu ialah untuk menjadikan Dewan sebagai pusat seni di bandaraya Kuching.Ini sesungguhnya satu visi yang tinggi. Di samping itu katanya, “ Ini juga saya anggap sebagai sumbangan saya kepada Sarawak sebelum perpindahan ke Semenanjung.” Saya kira ketika itu, dialah penyelamat teater Sarawak dan mengharapkan cetusannya itu bakal menjadi realiti dan bukannya sekadar fantasi.
Namun yang dibimbangi pula menjadi kenyataan. Ide Encik Khalid itu hilang dengan tidak semena-mena, mungkin dibawanya pulang menjadi kenangan manis sewaktu berkhidmat di bumi Darulhana ini. Muncul pengarah baru, kitapun terpinga-pinga.
Kemelut Taman ini sebenarnya mudah sahaja. Isu tanah. Pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA) hanya perlukan sebidang tanah untuk tujuan membangunkan Taman itu. Struktur bangunan bertingkat yang dianggar bernilai menjangkau belasan juta ringgit, akan mengandungi beberapa komponen seperti auditorium, ruang latihan untuk teater, tari muzik, bilik persalinan, bilik VIP, bilik rehat, seminar serta kursus, disamping ruang pejabat yang kelak akan dimanfaatkan untuk kemeriahan teater di Sarawak amnya dan Bandaraya Kuching khasnya.Namun bukan mudah untuk mendapatkan tanah walaupun untuk tujuan murni seperti pembangunan Taman itu. Ia sehingga kini tiada penyelesaian apabila kedua-dua pihak (persekutuan dan negeri) bermain tarik tali. Siapa akan menang ?
Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu, begitulah pandangan saya jika tiada anjakan positif berlaku dalam waktu terdekat ini.
Jika begini sudahnya, proses pembangunan Taman akan berlanjutan lagi untuk beberapa tahun. Paling cepat 5 tahun dan paling lama tambahan 10 tahun lagi. Jadi jika logik ini digunapakai, paling cepat Sarawak akan mempunyai Taman ialah pada 2012 dan paling lama ialah pada tahun 2017. Realistik atau tidak itu terpulang. Semoga jangkaan saya ini tidak benar.Jika kenyataan ini benar, ketika itu betapa ketinggalannya kita. Betapa ruginya kita. Keluhan daripada orang-orang teater kedengaran berulang-ulang kali . “Kita perlukan sebuah Taman kerana sebelum ini anak-anak teater amat merempat,” begitu kata salah seorang sutradara daripada Ngoncong. Barangkali ‘merempat istilah yang agak kasar dan berbaur seperti menagih simpati Jabatan. Saya tidak beranggapan orang-orang teater itu merempat. Jika di Indonesia, saya percaya ini berlaku tetapi di sini orang-orang teater kita sebenarnya hidup manja.
Merempat atau tidak, itu sebenarnya bukan masalah anak-anak seni.
Sebaliknya, kita harus memikirkan persediaan kita untuk menyambut sebuah Taman yang serba menjanjikan kewujudan yang kukuh untuk teater Sarawak itu. Secara peribadi saya meragui akan keperluan sebuah Taman. Entah mengapa saya selalu memikirkan betapa orang teater itu belum diurus dengan begitu baik terutama oleh Mantera. Sistem pentadbiran teater kita masih di takuk lama. Mantera tidak berfungsi sepatutnya; menjadi payung kepada kumpulan-kumpulan teater yang ada. Asas untuk ke arah kecemerlangan harus bermula daripada Mantera sendiri dan bukannya daripada orang luar. Benar, tak ada urgency daripada kalangan orang-orang teater untuk mendesak kerajaan negeri mempercepat proses pembangunan Taman.
Bukannya di kalangan orang teater tidak berkemahuan untuk sesuatu yang sebesar itu, tetapi mereka tidak punya saluran efektif untuk menyatakan kemahuan mereka. Jika hanya satu dua suara, saya fikir itu tidak mencukupi apatah lagi relevan. Kita perlukan tolakan penuh bermakna daripada pemimpin yang dikatakan tersohor dan berkaliber di dalam Mantera untuk tegar mengatakan ‘Kami mahu sebuah Taman Seni !” Ternyata hakikat yang tidak dapat dinafikan, orang teater perlukan Mantera berfungsi sebaik mungkin-sebagai pentadbir dan bukan berperanan sebagai towkay bangsawan.
Namun selama ini, Mantera mengamalkan sistem feudalistik yang tebal; orang bawahannya hanya menunggu arahan dan tiada inisiatif langsung untuk menjanakuasakan perkembangan teater kecuali jika disalurkan dana, maka bangsawanlah jawabnya. Atau lebih mudah di kalangan ahli jawatankuasa tertinggi sebenarnya tidak punya daya kepimpinan. Secara sedar mahupun tidak sedar, Mantera mengabaikan kumpulan-kumpulan yang ada, tidak membantu mereka untuk tumbuh dan berkembang dengan baik, membiarkan mereka kekurangan zat untuk membesar dan akhirnya ada diantara kumpulan ini yang terencat mahupun mati. Sayapun sebenarnya berada di dalam ahli jawatankuasa kecil Mantera, namun tidak dilibatkan secara langsung mahpun tidak langsung didalam aktivitinya. Saya ingat salah seorang naib Presidennya iaiatu Zaini Oje pernah mengadu tidak dimaklumkan tentang sebarang mesyuarat Mantera.
Saya pula diibaratkan melukut di tepi gantang !
“Kemungkinan kita akan menyaksikan Mantera dibubarkan adalah besar,” saya kaget ! Sejarah akan berulang !!!!! And we are back to square one. Mungkin ada benarnya keluhan dramatis veteran Ahmad Beduwie Narawie, “ Kita terlalu mudah menuding pihak luar diatas kegagalan kita. Namun kita lupa kehancuran kita sebenarnya buatan orang-orang kita, daripada dalaman sendiri.” Seperti juga keruntuhan empayar teragung Melayu iaitu Melaka. Saya berharap nada saya ini tidaklah sekeras dulu ketika saya dianggap ‘pengacau’ di dalam persada teater di Sarawak ini. Namun sekali lagi waktu memihak saya , apabila segala kemelut Mantera terkeluar tanpa tapisan di dalam mesyuarat itu. Mujur Sang Pengarah baru itu bijaksana orangnya, tidak mahu terlalu menurut kekecewaan dan kemarahan orang-orang teater.
Lalu dengan senyum-simpul dan budi bahasa orang Kelantan mengajak para hadirin menikmati jamuan yang disediakan pihak Jabatan.
Teater oh teater ! Saya kira sampai bulan berbelah duapun, kemelut teater tidak akan selesai. Dari dulu hingga sekarang, temanya masih sama. Klische. Orang teater tidak mahu berubah ? Itupun satu kemungkinan juga. Yang berubah ialah warna rambut sesetengah orang-orang teater yang mulai menguning seperti padi masak di Bukit Siguntang itu. Modenisme sedang melanda atau sekadar kebodohan zaman berang. Masuk air sembahyang, ke atau tak bersembahyang langsung ?
Mungkinkah kerana sebahagian besar orang-orang teater itu Melayu, maka keadaan dunia teater itu selalu akan dirundung layu? Itu juga satu perkara yang menarik untuk direnung. Apakah harus ditukar nama Melayu kepada satu nama baru?
Wallahualam

















No comments: