Monday, September 8, 2008

Bergemalah Semboyan Teater Sarawak 2008


Kata sahibul hikayat, berlabuhlah juga tirai 2007. Pejamcelik- pejamcelik tak terasa kita dahpun sempurna mengorbit matahari. Siang dan malam, hujan dan panas, silih berganti. Detik terus berdetak meninggalkan hari-hari menjadi kenangan. Hatta, begitulah juga kita pada tahun baru ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun yang satu ini seperti menjanjikan sesuatu yang besar. Begitulah harapannya. Manusia seperti kita yang sentiasa mengharapkan kurniaan daripada Yang Maha Esa.

Barangkali dapat dikatakan tahun 2007 penuh warna-warninya untuk perkembangan teater kita.

Untuk ini kita tabik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak (JKKNS) diatas usaha berterusan mereka. Pengarah barunya, orang Kelantan berjiwa Melayu amat terasa cuba menganjak paradigma teater tempatan.Program Teater Berkala menjadi titk-tolak kepada sedikit perubahan yang macet sebelum ini. Usaha menjadikan pementasan teater sebagai aktiviti bulanan dilihat mampu menternak khalayak, di samping sebagai kesinambungan pengkaryaan para dramatis.

Biarpun peruntukannya‘ciput’, namun ini tidak mematahkan semangat mereka, bahkan didalam kemiskinan mereka mampu melahirkan produksi teater yang memberangsangkan. Amat terasa aliran kreativiti para dramatis kita.Namun ada juga kes dramatis yang menjual mahal sehingga menolak pelawaan pihak JKKNS, kononnya kumpulannya terlibat dengan sebuah produksi ratusan ribu. Tetapi akhirnya, masuk angina keluar asap’

Sehingga kini, sudah 7 produksi teater dilangsungkan yang melibatkan kumpulan teater di sekitar Bandaraya Kuching ini. Antaranya Persatuan Seni Persembahan Sifar, Grup Teater Kaki Lima, Grup Teater Sedar, Grup Teater ASEK, Grup Teater Sanggar Kreatif, , Grup Teater Ngoncong dan Grup Teater Kias Kasturi

Bertuah sungguh orang teater Kuchin tapi bagaimana pula di daerah yang lain?.

Kalender teater juga diserikan dengan kelangsungan Festival Teater Negeri Sarawak (FTNS) Aktiviti inipun anjuran pihak JKKNS yang telah agenda penting para dramatis untuk sekian lama. Ada yang masuk nak tunjuk idealisme teater, ada pula yang masuk nak timba pengalaman, ada juga yang masuk sebab nak dapat peruntukan dan tak kurang yang masuk sebab nak menang ! Inilah klimaks aktiviti teater di Sarawak. Seperti tahun sebelum dan sebelum-belumnya, tahun ini FTNS masih berpusat di Bandaraya Kuching. Pelik tetapi benar. Sebabnya mudah, penyertaan hanya daripada bahagian Kuching saja. Bagaimana pula dengan bahagian lain ?

Tujuh kumpulan teater telah bersaing untuk dinobatkan sebagai Johan Negeri, sekali gus akan menjadi wakil Sarawak ke peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada tahun 2008 ini. Kata orang, inilah festival yang telah mencatatkan sejarah hitam di dalam lipatan sejarah teater Sarawak. Protes daripada sebuah kumpulan yang terbawa hingga ke peringkat tertinggi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, sedikit-sebanyak telah mencemar imej teater Sarawak. Tindakan cuba mendapatkan sokongan kumpulan bersaing untuk surat protes telah membawa kepada pemalsuan tandatangan telah memberikan impak negative terhadap teater kita.

Mengapa begitu terdesak ?

Hatta, berlakulah seperti apa yang dimaukan. Penilaian semula dibuat oleh pihak penganjur yang kononnya demi untuk memperjuangkan martabat teater orang Sarawak (atau saya lebih suka meletakkan, memperjuangkan keserakahan ego kumpulan tersebut) Lalu, begitulah catatan sejarahnya. Golongan ekstrem dalam bidang teater sudah sampai pada dimensi baru. Kalau ekstremnya hanya pada aliran teater saja, itu tidak mengapa. Memang digalakkan kita punya perbezaan dalam mengekspresikan seni sendiri. Tetapi jika ekstremnya sehingga ke peringkat membangkitkan sensitivity nasional, itu kita kena tangani khususnya di kalangan para aktivis muda yang mungkin akan mengambil iktibar di atas peristiwa protes itu.

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Alahai, malangnya orang teater kita.

Beberapa pementasan yang berada di luar kalender JKKNS telah juga berlangsung. Teater Arum Bulak karya dan arahan Zakaria Hassan menemui khalayak sejurus selepas kemelut FTNS. Teater ini seperti cuba memberitahu khalayak tentang ketidakpuashatian mereka terhadap prestasi sewaktu bersaing di FTNS.Saya bersetuju dengan pandangan ini dan menyanjung sikap ingin menjadi yang terbaik daripada kumpulan ini. Nyata, pementasan mereka itu lebih baik mutunya daripada sewaktu bertanding di FTNS (ini kenyataan yang saya petik daripaad seorang dramatis lama)

Seterusnya, teater Sidang Hantu-hantu daripada Grup Teater Pekasa (Pekasa) . Sebelum itu produksi Teater Tokoh-tokoh menjadi projek bungas mereka. SHH merupakan kesinambungan Pekasa didalam menyusuri arus teater tempatan. Dibawah pengarahan Kelana Akira, SHH berjaya menampilkan dirinya sebagai teater komidi paling berjaya pada tahun ini.Kehadiran penonton yang memenuhi setiap ruang Balai Budaya tidak dikecewakan dengan keletah setiap watak hatun yang ditonjolkan didalam SHH. Antara watak-watak yang menonjol ialah Tajul Ashikin Tambi (penagih dadah 2) , Shazwani Abdul Hamid (Gadis) dan Hasfarazy Johari Mawi (penagih dadah 1).

Gabungan muka lama dan baru berhasil menampilkan teater ini sebagai suatu usaha sama paling berkesan. Lebih-lebih lagi keproduktifan Kelana Akira sebagai pengarah muda. Biarpun daripada segi penulisan naskhahnya, SHH agak kurang berbisa dan masih perlukan perhatian terutama daripada aspek pementasannya (staging), namun daripada segi pengarahan Kelana berjaya menyampaikan objektif naratif teater tersebut.

Kini kelibat 2008 sudahpun terpacak di depan mata. Kalau 2007 boleh dikatakan peranan JKKNS amat signifikan, mungkin 2008 Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) pula yang turut berperanan yang sama. Kata sahibul hikayat, ini hanyalah saranan demi kebaikan perkembangan teater kita. Bagaimana pula dengan Majlis Teater Negeri Sarawak (MANTERA) yang sunyi dan senyap saja tahun lepas. Tahun ini, harap-harap bergemalah semboyannya.







No comments: