Monday, September 8, 2008

Cinta ?

A true lover is proved by his pain of heart.
No sickness is there like sickness of heart.
The lover’s ailment is different from all ailments;
love is the astrolabe of God’s mysteries.


Ungkapan magis daripada karya magnum opus ahli sufi Maulana Jalalu-D-Din Muhammad I Rumi (1207-1273) ‘The Mathnawi’ menjadi pembuka selera fikiran pada minggu ini. Sengaja saya memilih topik cinta kerana cinta memang merupakan hal-ehwal yang teramat dekat di sanubari manusia. Daripada Adam dan Hawa, laila dan Majnun, Samson dan Delaila, Zack dan Azura , cinta merupakan khazanah yang tak akan pernah lapuk dek matahari dan lekang dek hujan. Minggu ini semestinya minggu cinta. Dimana-mana saja, saya terdengar, suara-suara bercakap tentang cinta.
Beberapa minggu lalu, sibuk orang memperkatakan filem cinta Indonesia yang berjudul ‘Heart’. Lakonan berkesan dua aktor muda itu berupaya mempengaruhi selera masyarakat kita. Lagunya pula yang dinyanyikan Irwansyah dan Acca bolehdidengari dimana-mana; pasar malam, pasar gelap, pasar ikan, pasar sayur bahkan bersiul dari bibir ke bibir; yang tua, yang muda, yang bekerja, yang menganggur, apatah lagi yang bercinta dan yang putus cinta. Teringat saya ke fenomena lagu ‘Isabella’ yang dipopularkan oleh kumpulan rock ‘Search’ suatu ketika dulu:

Demi cintaku padamu, kemanapun kaukan kubawa
Ke hujung dunia kebintang kejora
Demi cintaku padamu, kukorbankan jiwa dan raga,
biarpun harus ku redah lautan bara


Sementara dalam konteks Malaysia pula, kutipan tayangan filem ‘Cinta’ arahan seorang sutradara India menampakkan hasil yang memberangsangkan. Hari pertama saja mencecah RM350,000.00. Boleh dikatakan inilah filem cinta yang amat berjaya di Malaysia setakat ini.
‘Cinta’ membariskan para aktor tersohor tanah air merupakan jawaban kepada lambakan filem cinta remaja Indonesia; suatu ketika dulu Dian Sastrowardoryo meletup dengan ‘Ada Apa Dengan Cinta’ dan paling mutakhir ialah ‘Heart’. Namun kali ini ‘Cinta’ buatan Malaysia nampaknya tidak mengecewakan dan mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pengusaha filem Indonesia. Namun hal-ehwal cinta memang merupakan topik yang tidak pernah gagal memancing perhatian khalayak baik di alam fiksyen mahupun realiti.
Apatah lagi kisah cinta yang diberi latar konfrantasi Ambil saja filem ‘Sepet’ arahan Yasmin Ahmad itu yang menampilkan social confrantation iaitu pertembungan dua latar budaya yang berbeza. Jika dulu pokok persoalan itu merupakan taboo didalam masyarakat kita. Kini ia telah ditelanjangkan dengan penuh jujur oleh Yasmin .Tanpa disedari filem itu telah memulakan satu ‘revolusi kecil budaya’ dan seperti telah menyirnakan ketabooan isu ‘interacial marriage’ itu
Kemudian ia menjadi topik perbualan hangat dengan pro dan kontranya di dada akhbar, membikinkan hari-hari sutradaranya dirudung gelora berpanjangan. Itu soal cinta yang akhirnya membuat masyarakat sedikit rimas, sofistikated benar sifatnya. Tetapi apa sebenarnya permainan cinta ini ? Jika daripada sudut kesusasteraan, cinta sememangnya merupakan asas kepada pengkaryaan yang lebih serius dan tinggi tahapnya. Tanyalah mana-mana penyair, pasti ditangan mereka ada koleksi sajak-sajak cinta.
Di laman maya, ziarahlah blog rakan-rakan sastera baik daripada kerabat Angkatan Pengkarya Indie (Yusuffansuri, ArmizaNila, Sajali Morshidi, Zamawi Sawek ) mahupun Persatuan Karyawan Sarawak (Pharo Abdul Hakim, Taufek Said, Kelana Akira) pasti soal cinta akan terungkap dengan pelbagai corak ekspresi mahupun nada. Masing-masing akan memberikan pengalaman cinta mereka untuk dijadikan iktibar dan renungan kepada pembacanya.
Dan saya tidak terkecuali ! Ketika bermula menulis sajak, saya suka sekali dengan beberapa sajak cinta keras penyair-mati-muda dari Indonesia iaitu Chairl Anwar. Paling berbekas di hati ialah yang berjudul ‘’Merdeka’ daripada antologi ‘Kerikil Tajam’ . Susunan baitnya ialah seperti berikut :
Aku mau bebas dari segala/ Merdeka/ Juga dari Ida/ Pernah/ Aku percaya pada sumpah dan cinta/ Menjadi sumsum dan darah/ Seharian kukunyah-kumamah/ Sedang meradang/ Segala merenggut/ Ikut bayang/ tapi kini/Hidupku terlalu tenang/ selama tidak antara badai/Kalah menang/ Ah! Jiwa yang menggapai-gapai/ mengapa kalau beranjak dari sini/Kucuba dalam mati .
Benarlah seperti unjuran Jalaluddin bahawa,” bukti pencinta sejati ialah pada derita hatinya .” Sekarang dan selamanya saya mahu mempercayai ini bahawa tanpa penderitaan tidak mungkin lahir karya-karya cinta yang bagus-bagus itu.Terumbang-ambing dilambung ombak cinta memungkinkan jiwa sang penyair menerjah ke dimensi perasaannya yang paling halus dan dalam. Dia menjadi jujur dengan hatinya dan tidak peduli akan norma-norma konvesional yang menyelubunginya.
Cinta bisa membuat manusia tidak rasional, berfikiran di luar kehendak abnormaliti masyarakat. Mereka menjadi non-conformist dan hanya mengakui kepada kehendak perasaan sendiri saja., berada di dalam gelembung asmara ! Dalam alam teater, teringat saya pada naskhah ‘Pulau Sa dan Di’ karya Dinsman itu. Sa dan Di, dua karekter saling cinta-mencintai sanggup meninggalkan lingkungannya dan ke sebuah pulau semata-mata mahu menikmati saat percintaan yang amat meralikkan itu. Mereka sanggup memisahkan diri secara total dan mewujudkan dunia ciptaan mereka sendiri.
Bagaimana pula dengan pengorbanan yang kadang-kadang menghampiri ukuran insanity. Buktikan cinta dengan pengorbanan seperti yang dutarakan oleh dramatis Indonesia Bachtiar Siagian dengan naskhah ‘Sangkar Madu’.Ketulusan cinta SiButa akhirnya membuka hati Nesia untuk mencintainya tetapi Swastika pula bergelut dengan perasaan cemburu sebelum akhirnya membunuh kedua-dua mereka (dan diapun terbunuh sama). Tragis sekali. Siapa pula dapat melupakan epik agung Shakepeare ‘Romeo dan Juliet’.
Di layar perak naskhah ini telah beberapa kali di filemkan. paling berjaya ialah arahan Baz Luhrmann yang mengambil latar belakang kehidupan ultra moden namun masih mengekalkan langgam bahasa klasik Inggeris itu.
Filem lakonan Leonardo Di Caprio dan Claire Danes kini telah mencapai status cult adalah contoh cinta agung yang akhirnya membawa kepada pengakhiran yang tragis. Benar tiada penyakit seperti penyakit cinta. Simptomnya mudah, makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena. Ia akan melanda laksana lokomotif merempuh kesedaran sehingga membangkitkan satu sensasi asing, rasa terbuang, kesepian dan rasa ingin dikasihi dan mengasihi. Tanpa ampun dan simpati, ia akan melanda sesiapa saja ; kecil, besar, tua dan muda.
Cinta itu ialah misteri yang tak akan pernah selesai dikupas oleh manusia. Ia tak akan pernah habis memberi ilham kepada para pengkarya terutamanya sang penyair, pemfiksyen dan pementas. Ia takkan pernah berhenti memberi energinya untuk menggerakkan segala urat saraf seniman kita baik di alam pentas mahupun realiti.
Bagaimana pula dengan cinta yang tak kesampaian? Pastinya ia akan memberikan gambaran pengalaman batin yang penuh dengan penderitaan. Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi, namun bunyi lain pula yang menjelma.Bunyi kesunyian yang nyaring berbalik-balik diantara dinding kepala, cuba meyakinkan diri bahawa masih ada harapan, biarpun hakikatnya tiada sekelumit harapanpun.
Biru sering kali dikaitkan dengan warna kesepian. Sinonim dengan warna biru kesepian itu ialah lagu-lagu blues yang ternyata turut menjadi pilihan tatkala dirudung cinta. Sajak ‘Blues Untuk Bonnie’ karya dramatis tersohor Indonesia Rendra merupakan penyataan cinta yang intense.
Ketiadaan yang dirasai kehadirannnya tetapi kehadiran yang dirasai ketiadaannya alias gila bayang.
Apatah lagi apabila cinta yang berjaya sampai ke jinjang pelamin. hasrat teruna dan dara untuk mendirikan mahligai bahagian bersama-sama, pastinya merupakan momen penuh bererti dan dinantikan dengan antisipasi penuh bersemangat.Penyair surealistik bertukar mistik Suhaimi haju Muhammad pernah melahirkan sebuah sajak tentang hari perkahwainan ini. Saya amat terkesan dengan sajak ini dan berharap suatu hari nanti akan dapat mendeklamasikannya di hadapan seorang teman tatkala hari perkahwinannya.
Judulnya ‘Selamat pengantin Baru’ daripada antologi ‘Nyanyian Undan’ . Saya perturunkan beberapa bait yang amat mengesankan seperti berikut : “Pengantin baru/ mulai saat ini kebebasanmu terikat pada/teras kehebatan cintamu./ Jiwamu ialah kabut pagi/merendah di bumi waktu Subuh/menyerah di hujung rambut./ “ Tak kira yang lelaki ataupun perempuan, kebebasan seperti telah disita, dirampas dan yang tinggal hanya cinta yang mengikat hati merpati sejoli. mahligai yang dibina bersama perasaan kasih dan sayang akhirnya menjadi dunia tersendiri buat mereka.
Akhir sekali ialah sebuah cinta yang unik dan memerlukan lebih tenaga batin untuk memahaminya. Dikatakan ia cinta yang paling misterius iaitu cinta fansuri. Teringat saya kata-kata sasterawan negara Datuk A.Samad Said, cinta fansuri itu ialah cinta yang tidak dimiliki.
Saya suka meletakkannya sebagai begini, “menyayangi tidak semestinya memiliki ! Begitukah?
Namun segala-gala bermula dengan cinta yang membawa manusia berpusar-pusar sepanjang hayatnya untuk akhirnya mengenali sebuah cinta yang agung dan paling tinggi iaitu cinta kepada Sang Pencipta Yang Esa, pemunya yang maha kaya.
Sedangkan aku adalah sang pecintaya yang kehilangan kata-kata !

No comments: