Thursday, December 25, 2008

Belasungkawa Grup Teater Sedar
(Jun 1991-Oktober 2007 )


Belasungkawa Grup Teater Sedar(Jun 1991- Oktober 2007) Tiada siapa menyangka ! Saya sendiripun seperti diambush ! A sitting duck ! Tetapi ternyata perkara sudah terlaku. Ada pihak yang tidak senang dengan kebangkitan Grup Teater Sedar (GTS) yang bermula pada tahun 2006 itu. Ada pihak yang sudah kemaruk dengan kemasyhuran sehingga takut dengan bayang-bayang sendiri. Dengan pembatalan pendaftaran GTS, maka senyaplah sudah ‘Jerit Yang Bara’.
Tiada lagi jerit.
Tiada lagi bara.
Sebermula apabila saya mengambilalih GTS daripada kelompok itu, saya berprasangka baik bahawa tiada apa-apa akan berlaku memandangkan GTS ketika itu hanya seperti rumah tak berpenghuni. Sebahagian besar daripada penghuninya telah berpindah ke rumah baru . Rumah jangan dibiarkan lama kosong, takut nanti ada yang lain akan mengisinya. Itu pesan orang tua yang saya pegang hingga sekarang. Setelah beberapa sesi muhasabah diri bersama sahabat saya Yusuffansuri, saya berkeputusan untuk kembali memeriahkan GTS yang semakin suram itu.
GTS memang amat bermakna bagi saya, sejarahnya adalah sejarah saya. Kerana itu kesedaran tinggi memayungi saya apabila GTS dibiarkan luyu tak bermaya bagai sayur-mayur di hujung hari. Namun tanpa saya sedari, bermulalah satu perjalanan rollercoster yang mengujakan. Pendaftarannya ketika itu sudahpun bagai telur dihujung tanduk. “Pertubuhan ini menunggu masa saja untuk dibatalkan pendaftarannya.” tegas seorang pegawai di Pejabat Pendaftar Pertubuhan (PPP). Lalu saya merayu agar diberi peluang kedua. Pihak PPP memberikan saya sebelum Tahun Baru Cina untuk menyelesaikan segala yang diperlukan.
Minit Mesyuarat Agung.
Laporan kewangan.
senarai AJK terkini.
Semuanya itu bermula dari tahun 2000-2006. Enam tahun, tempoh yang lama dan semestinya menunjukkan betapa tidak bertanggungjawabnya kelompok itu dalam memelihara nama serta kepentingan GTS. Hal ini telah saya tanggapi dengan baik dan akhirnya pendaftaran GTSpun diangkat semula. Untuk tempoh dua tahun (2006-2008) GTS membangunkan momentumnya untuk bangkit sebagai antara grup teater yang tersohor di Sarawak.
Untuk dua tahun GTS itu telah berjaya melakarkan kebangkitannya sedemikian rupa sehingga ada pihak yang mengatakan ia sebuah phenomenal. Memandang matahari dari satu sudut, memandang manusia dari segenap segi. Begitu GTS cuba melakar kembali langkah baru dalam persada teater tempatan. Sebuah odisi yang diharap dapat mengembalikan martabat GTS ke kedudukan sewajarnya.
Lalu, kebangkitannya direncanakan sedemikian rupa untuk menunjukkan betapa berdaya hidupnya GTS; dipentaskan naskhah tokoh absurd dunia Samuel Beckett ‘Krapp Last Tape’, penganugerahan Tajol Ashikin Tambi sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FTS 2007 dan pementasan ‘Wangi Jadi Saksi ‘ (WJS) karya U-Wei Haji Saari seorang tokoh filem nasional yang tersohor.
Hal ini memang dilihat mampu untuk memberikan momentum yang diharapkan; enter action with boldness ! Itu kata saya.
Hal sedemikian sedikit-sebanyak menimbulkan kegerunan di hati pihak tertentu. Barangkali mereka khuatir sekiranya GTS mampu untuk berkembang menjadi sebuah grup teater yang gah, mengatasi pencapaian setahun jagung itu. Dikhuatiri kebangkitan GTS ini akan membayangi kemasyhuran mereka (beberapa hari sebelum pementasan WJS, saya mendapat pengesahan kekhuatiran ini melalui sumber dalaman yang dipercayai) Mereka tidak menyangka GTS mampu mementaskan naskhah Samuel Beckett.
Mereka tidak menyangka GTS mampu menang anugerah Festival Teater.Mereka tidak menyangka GTS mampu mementaskan naskhah epik Melayu. Ya, tiada siapa menyangka ! Saya sendiripun seperti diambush ! A sitting duck ! Tetapi ternyata perkara sudah terlaku. Ada pihak yang tidak senang dengan kebangkitan GTS. Ada pihak yang sudah kemaruk dengan kemasyhuran sehingga takut dengan bayang-bayang sendiri. Dengan pembatalan pendaftaran GTS, maka senyaplah sudah ‘Jerit Yang Bara’.

Tiada lagi jerit.
Tiada lagi bara.
Yang tinggal hanya sebuah nama dan sejarahnya. Barangkali itu yang dimahukan mereka. Sebuah drama tragedi yang berakhir dengan pembunuhan sadis. Dasar Yunani !!!! Kerana terlalu berbaik sangka, maka inilah harga yang harus dibayar (dan saya menjadi seperti Julius Caesar yang tidak menyimpan sebarang syak wasangka pada Brutus yang akhirnya membunuh raja itu). Namun saya reda. Barangkali inilah kesudahan yang paling molek untuk GTS. Dalam masa yang sama saya sudahpun berdamai dengan diri sendiri. “Saya memaafkan kalian kerana kelemahan kalian ini.” ujar hati kecil saya penuh jujur.

Dalam masa yang sama, saya puas. Eksistensi GTS selama 16 tahun kewujudannya terisi dengan catatan sejarah yang luar biasa dan mengagumkan. Inilah yang saya dan sahabat pengasas Tajol Ashikin mahukan, memberikan sesuatu yang bisa memaknakan kehidupan yang fana ini.

Saya tidak mahu memanjangkan cerita, mengeruhkan suasana. Bagi saya segala yang terlaku sudah tidak relevan. Hidup mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun. Tidak mengengkari perjuangan meskipun nyawa terancam. Itu semangat Sang Sura yang saya tahu. Kelmarin adalah kenangan, hari ini adalah kenyataan dan esok adalah harapan !

Banyak sejarah yang telah dilakarkan, banyak nama yang telah lahir daripadanya, banyak fikiran yang tercetus daripadanya, banyak gelora yang terhasil daripada kocakannya, banyak juga pelajaran tentang hidup dan kehidupan yang terkutip lewat nafas hayatnya. Memang sejarah GTS ialah sejarah tentang perjuangan membongkar kemampuan diri, menabrak batas-batas diri sehingga menemukan kesejatian yang paling berharga itu.
Saya telah menemukannya. Terima kasih GTS.

Dan kini tiada lagi jerit yang bara. Justeru, saya tutup daya mati dan saya buka daya hidup !
ACP