Monday, September 8, 2008

Memberi Makna Pada Hidup Yang Fana

Kami mula berteater pada tahun 1990. Kami tubuhkan Sedar. Produksi pertama kami ialah naskhah ‘Si Tenggang’ karya seorang penulis tersohor. Dengan sedikit pembaharuan, kami pentaskan sebuah teater yang memenuhi daya kreatif kami. Jiwa dan perasaan anak-anak muda yang berpegang pada kata-kata keramat ‘Jerit Baru Yang Bara’. Selepas itu kami tidak pernah menoleh ke belakang. Selepas itu segalanya menjadi sejarah.
Namun setengah dekad selepas itu, kami dihambat oleh sesuatu yang tak bisa dielak- kejenuhan repitasi !
Kami sedar kami sebenarnya melakukan kerja copycat yang kritikal. Beberapa naskhah selepas itu; ‘Sasau’, ‘Sangkar Madu’, ‘Raja Pengemis’ dan ‘Bukan Bunuh Diri’ hanyalah pilihan popular. Kami sebenarnya tiada pilihan untuk naskhah lain kerana hanya itu yang ada. Kami berpaling pula pada naskhah bikinan playwright tempatan. Namun realitinya naskhah daripada mereka amatlah kurang baik daripada segi kuantiti mahupun kualiti.
Kami ketandusan !
Memang fitrah kelahiran kami ialah untuk menyemarakkan pentas teater tempatan. Semangat ketika itu amat berkobar-kobar. Kamipun mencari jalan penyelesaian, mencari naskhah-naskhah teater yang baik; yang sesuai dengan kemampuan kami ; teknikal dan spiritual. Lalu kamipun berpindah wadah. Kami memilih beberapa genre sastera untuk dijadikan modal berkarya. Novel dan cerpen menjadi alternatif. Ternyata sastera menawarkan kami banyak kemungkinan.
Kami percaya pada memaksimumkan daya kreatif.
“ Daya kreatif adalah kemampuan untuk bereaksi dan beraksi secara unik. Artinya, penuh dengan kepribadian, tidak sekadar berdasarkan kebiasaan yang umum. Oleh kerana itu, daya kreatif selalu mengesankan kesegaran, obat yang diperlukan untuk melawan kejenuhan dan kemacetan,” begitu amanat seniman besar Rendra kepada segelintir daripada kami ketika itu.
Dan itulah penawar yang dicari, daya kreatif untuk melawan kejenuhan dan kemacetan ! Kamipun memulakan proses kreatif yang perit dan mengujakan.
Sejurus itu pada tahun 1994, kami mula mengungkap novel ‘Keluarga Gerilya’ karya Promoedya Ananta Toer. Judul barunya ‘Sel’ mengambil bab di dalam penjara sebagai bahagian yang mempunyai unsur teaterikal yang tinggi. Beberapa monolog di sana-sini dan dialog antara sesama mereka yang tajam menusuk, ‘Sel’ sukses muncul sebagai produk terbaru kami yang “..penuh dengan kepribadian, tidak sekadar berdasarkan kebiasaan yang umum.”
Audien di Dewan Tun Ahmad Zaidi Adruce tampil dengan dengan reaksi bercampur-baur; ada yang memuji , “satu pendekatan terkini.” Ada pula yang mengeji , “ terlalu panjang dan berjela-jela.” Ada pula yang sekadar oblong, “entah..” Kami menerima dengan hati terbuka. Ketika itupun kami sudah ada kepercayaan bahawa ‘Sel’ merupakan permulaan kepada sesuatu yang lebih bermakna di hadapan.
Benar. Selepas itu aktiviti eksperimentasi kami berkembang. Menumbuh dan membesarkan keberanian sehingga akhirnya melahirkan teater impromtu. Kami menyelak-nyelak kamus daripada beberapa bahasa asing. Apa maknanya impromtu ? Maknanya - 1. Impromptu adj & adv tanpa persediaan: an ~ speech, ucapan tanpa persediaan ; to sing ~, bernyanyi tanpa persediaan ; n (mus) impromptu .
Dengan kata lainnya, teater tanpa persediaan naskhah khusus.
Dan kami serapkan beberapa latihan teater urakan yang menjurus kepada pembangunan mental dan spiritual. Latihan ketat dan keras sebegitu menimbulkan kesedaran kami bahawa teater itu dimensi yang amat memberi pencerahan (enlightment). Akhirnya lahirlah teater Impromptu 1 yang telah dipentaskan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Psutaka Cawangan Sarawak. Dua aktor dikelilingi seliratan akar, lalu terciptalah sejarah. Bagi kami setelah pementasan itu, teater memasuki gerbang pengalaman yang unik dan mengasyikkan.
Kami menganggapnya sebagai suatu penemuan. Jika tidakpun disifatkan baru, maka ia sesuatu yang lain daripada kebiasaan. Teknik pementasan ‘impromptu’ merupakan permulaan kepada era eksperimentasi yang berani daripada kami. Bermula daripada hanya ide kecil sewaktu latihan improvisasi di Kem Belia Pueh, Sematan, ia berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar dan bermakna.
Namun, paling menarik ialah risiko yang diambil untuk menjayakan teater impromptu iaitu kesediaan para pelakunya untuk berlaku ikhlas dan jujur terhadap diri terutama mengambil kira persediaan cerita yang dilakukan hanya beberaoa minit sebelum pementasan. Beberapa minit sahaja ! Lalu permainan ini bertitik-tolak daripada ‘self as content’ atau diri sebagai subjek dan prediket.
Lalu kerana ini, akan terbitlahlah sedikit luahan peribadi bercampur-baur welschastauung anak muda, menjadi sebab dan akibat yang menolak perubahan aksi dan reaksi para aktornya. Tidak mustahil lahir juga unsur-unsur bawah sedar para aktornya yang kadang-kadang mengkagetkan audien, mengundang perasaan tidak puas hati mereka dan akhirnya terperangkap di dalam labyrinth intelektual.
Pernah suatu ketika, teater impromptu itu telah mengundang reaksi yang di luar jangkaan iaitu apabila beberapa penonton naik ke pentas secara spontan ikut terlibat di dalam perjalanan pementasan. Mereka tergerak hati untuk menghadirkan diri atas sebab ingin mempertahankan hak mera yang di cabuli oleh beberapa dialog panas yang dilontarkan. Maka terjadilah polemik menarik.
Teater impromptu wujud untuk beberapa ketika. Saya bersama seorang lagi rakan lain berusaha untuk memikirkan pembentukan teater impromptu ke arah suatu bentuk teater yang unik dan berentiti seperti teater kabuki dan noh di Jepun. Begitu tinggi idealisme kami ketika itu. Begitu tinggi sehingga ia membawa teater impromptu berjudul “...?! berjalan keliling melangkaui sempadan negeri Sarawak Darul Hana ini.
Kami ke dua destinasi penting di Indonesia iaitu Institut Kemahiran Ilmu Perguruan, Bandung dan Bengkel Teater Rendra, Depok sebelum mengakhir perjalanan di Akademi Seni Kebangsaan, Kuala Lumpur dengan sebuah komentar penuh sinikal daripada tokoh teater Malaysia Ahmad Yatim. Kata beliau, “ Teater apa ini? Ini bukan teater! Sayapun tak tahu ini apa ?
Itu sekadar berkongsi pengalaman. Pengalaman masa lalu yang mengasyikkan.
Realiti mutakhir sebenarnya tidak jauh berbeza. Kini rata-rata dramatis yang ditemui menyatakan rasa jenuh masing-masing. Sekali lagi- kejenuhan repitasi. Persediaan untuk Festival Teater Malaysia 2007 benar-benar menguja dan menguji kebijaksanaan mereka untuk memilih. Terdapat beberapa naskhah berada di ambang kepupusan minat para dramatis.
Ada yang menganggap naskhah seperti ‘Ajong’, ‘Kerusi’ ‘Pemakaman Kaduk’, ‘Bumiku Oh Bumiku’, ‘Rekaan Utama’ ‘Mayat’ dan ‘Injap Sembilu’ (sekadar menyebut beberapa contoh) sudah obsolete dan tidak relevan dengan kehendak zaman. Mereka tidak segan-silu membuang jauh-jauh naskhah-naskhah lapuk itu dan mulai mencari kiblat lain.
Ada yang mengarah ke Indonesia, ada pula menjejaki Eropah dan tak kurang ke Jepang.
Beberapa siri Festival Teater Malaysia menyaksikan naskhah asing mulai mendapat tempat di hati dramatis tempatan. Naskhah playwright Jerman Slwomir Mrozek , ‘Terdampar’ menjadi Johan Negeri FTM 2005 . Terdapat juga beberapa penyertaan mengemukakan naskhah asing lain seperti produksi Sedar dengan naskhah ‘Pemburu’ karya penulis berbangsa Israel Wolf Mankowitz yang merupakan bahagian daripaha kitab Injil
Di dalam siri pementasan teater berkala anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sarawak, sebuah naskhah besar daripada bapa absurd dunia Samuel Beckett akan diangkat ke pentas oleh Grup Teater Sedar 07 dengan judul barunya ‘Ingatan Terakhir Krapp’ pada 16 Jun depan.
Bagaimana pula dengan naskhah bikinan playwright tempatan ?
Memang ada yang sudah mula yakin menulis naskhah teater. Contohnya Jamsari Saili. Berperwatakan ala-bohemian, Jamsari berjaya menempatkan diri sebagai antara plawright muda berbakat mengesankan. Pernah menjuarai sebuah pertandingan menulis naskhah drama pentas anjuran Teater Malaysia (TEMA) dengan naskhanya berjudul ‘The Last Frontier’ (kemudian ditukar kepada judul Melayu). Kemudian sekali lagi mengulangi kecemerlangannya (hadiah saguhati) dengan naskhah ‘Bah’ lewat pertandingan menulis naskhah drama pentas anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Nama lain pula ialah Dahiri Saini. Bidang utamanya penulisan novel popular tetapi kebelakangan ini bertukar selera kepada penulisan naskhah drama pentas. Naskhahnya Jeda Nur Iman (seterusnya hanya Jeda) memenangi hadiah ketiga didalam pertandingan menulis naskhah drama pentas anjuran DBP . Yang pastinya hadiah bernilai RM20,000 menjadi pendorong kepada beliau untuk terus melahirkan naskhah teater lain.
Syabas.
Di luar daripada kekuasaan pertandingan, playwright muda lain mula bertapak. Beberapa nama baru dikesani mulai menceburi bidang penulisan genre drama ini. Baru-baru ini Mohd Addly Mohd Alli atau nama penanya Mama Senggora mendapat suntikan semangat magis Sifar untuk mencetuskan naskhah ‘Terputt-putt, terciss-ciss’. Naskhah yang cuba menampilkan kelainan ini walaubagaimanapun masih longgar proses penciptaannya.
Tidak lama lagi, seorang lagi dramatis muda, Fauzi Abdillah Baki pula akan muncul dengan naskhah tulisan tangan sendiri iaitu ‘Siapasoefi’. Fauzi akan memproduksikan ‘Siapasoefi’ sebagai Penulis dan Pengarah. Pementasan naskhah tersebut akan dilaksanakan pada 30 Jun ini bersempena jadual pementasan teater berkala.
Namun bagi saya yang amat menggetarkan kesabaran ialah kemunculan moderator laman sastera_sarawak, Yusuffansuri dengan naskhah teater bungasnya. Beliau yang tersohor didalam genre puisi, amat ditunggu-tunggu untuk menampilkan buah fikirannya di atas pentas teater. Naskhah pertamanya itu berjudul ‘Jahitan Sukma’ kini masih dalam proses kreativiti yang likat dan ralik.
Saya sendiripun tidak ketinggalan dalam arus mutakhir ini. Naskhah terkini saya ‘Kedalam Sumur Nyawa’ kini memasuki draf ketiga. Itupun draf yang masih menunggu ending kepada keseluruhan narasi saya. Masih berkira-kira, mencongak-congak, bermain-main dengan seribu kemungkinan untuk mencari satu kepastian yang jitu.
Saya berharap ‘Kedalam Sumur Nyawa’ akan menjadi makna pada hidup yang fana.


No comments: