Monday, September 8, 2008

DUNIA SELARI PENULIS MUDA
( dedikasi buat Angkatan Pengkarya Indie )


BELASUNGKAWA Gabungan Persatuan Penulis Sarawak @ singkatnya GPPS ! Hari hitam itu merupakan ‘history turning point’ terhadap perkembangan dunia sastera di selatan bumi Sarawak Darul Hana. Reputasi Bandaraya Kuching sebagai pusat pengembangan bahasa dan sastera di Sarawak tercemar. Biarpun kelompok sastera di daerah itu terpukul hebat, namun amat menghairankan insiden ini tidak pernah dikupas secara analitikal dan tuntas dalam mana-mana sesi sekalipun, bahkan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak ( DBPCS )sendiri memandang sepi perihal ini. Atau barangkali banyak pekung sensasi yang secara langsung menyentuh ketokohan beberapa penerajunya cuba disembunyikan. Namun artikel ini bukan untuk membongkar sebarang penyelewengan tetapi sekadar memperkatakan secara jujur dan ikhlas nasib dan masa depan dunia kesusasteraan era pasca-GPPS dengan memberi fokus kepada prospek penulis muda.

Mutakhir ini, arena sastera di Bandaraya Kuching berhadapan dengan tantangan serba ruwet. ‘Kematian’ GPPS sendiri merupakan ledakan dahsyat terhadap ketokohan mantan kerabatnya seperti Saiee Driss, Adi Badiozaman Tuah, Zaini Oje, AB Nor dan Zakeria Embi (sekadar menyebut beberapa nama). Reputasi mereka sebagai penulis tersohor tergugat dan kewibawaan zaman gemilangpun tercemar. Sedikit perkembangan selepas peristiwa pahit itu ialah penubuhan Angkatan Karyawan (AK)pimpinan Saiee Driss (bekas Setiausaha GPPS), namun AK tersungkur sebelum sempat melakarkan sebarang perkembangan signifikan. Penguncupan memang tidak dapat dielakkan. Yang mengikuti sejurus itu ialah kelibat tahun 2OOO yang dirasakan begitu perih. Tanpa ‘high profile obituary’, pemergian GPPS terus berbekas dalam; memamah sedikit demi sedikit kemapanan sastera Bumi Kenyalang di peringkat nasional, lantas mewujudkan VAKUM PERSATUAN PENULIS.

GPPS melengkapkan kronologi tragedi persatuan penulis di Bandaraya Kuching. Amat terasa tempias kepolitikan klasik yang menghantui PEBAS, kemudian diwarisi Angkatan Karya dan memuncak di GPPS. Badi orang lama begitu keras, begitukah? Menelaah eksistensi GPPS, ternyata norma antipraktikal begitu menonjol dalam persatuan yang berdaftar di Pejabat Pendaftar Pertubuhan itu. Umpamanya, sebagai institusi sastera yang diterajui Bumiputera itu , GPPS berupaya melahirkan SASTERAWAN POLITIKUS yang licik hasil daripada agenda antipraktikalnya, agenda yang mengambil berat hal-ehwal hirarki kuasa dan ‘power play’ ala-Nicollo Machiavelli tetapi mengabaikan urusan lebih penting iaitu pengisian sastera iaitu PROSES MEMATANGKAN PENGKARYAAN ! Kemunculan beberapa penulis muda ketika itu barangkali ‘kelahiran secara kebetulan’ .

Nama-nama seperti Rabian Ahim, Sofea Acol Abdullah, Abdul Malek Bedu dan Latifah HM yang suatu ketika dulu begitu galak berkarya di Utusan Sarawak, menghadapi ‘writers block’ yang kronik dan kini hilang tan jejak. Sebenarnya bakat-bakat ini kurang diberi perhatian serius, hanya berfungsi sebagai ‘mile-age’ untuk ketersohoran pemimpinnya. Lebih parah, terlalu mekanikal sehingga tanpa pemimpin mereka seperti ‘layang-layang putus tali.’ Justeru, era pasca-GPPS harus mengambil pendekatan berbeza dan memberi keutamaan terhadap penglahiran tunas-tunas baru. Membangunkan kelompok penulis muda merupakan pelaburan jangka masa panjang agar kita tidak ketandusan calon2 sasterawan atau lebih memilukan terperangkap dalam jaring glorifikasi penulis lama. Zaman baru menuntut energi dan semangat yang ‘greget’ (daya yang intense), di samping penerokaan ke dalam daerah pengkaryaan yang lebih berani dan bervariasi.

Kelompok penulis muda di Semenanjung Malaysia umpamanya sudah mula memupuk wibawa masing-masing. Biarpun usia begitu muda, namun kehadiran mereka sudah boleh dikira menggugah senario sastera nasional. Nama-nama seperti Faisal Tehrani, Hizairi Othman, Mawar Shafiee, Azman Hussein dan Uthaya Shankar muncul dengan ‘welschastauung’ (world view) yang tergelincir daripada landasan sastera konvesional. Penerbitan antologi karya baik persendirian mahupun cantuman terbukti mendapat sambutan menggalakkan daripada khalayak sastera. Bahkan kemenangan antologi cerpen ‘Dongeng Pasca Merdeka’ karya Azman Hussein, ‘Perempuan Politikus Melayu’ karya Faisal Tehrani dan ‘Bulan Dipuncak Notre Dame’ karya Hizairi Othman merupakan pengisian bobot terhadap eksistensi penulis muda.

Dalam konteks Sarawak, tanda-tanda awal bagi pembangunan prospek penulis muda dikesan dengan penubuhan Ikatan Penulis Muda Sarawak ( kini dikenali sebagai Angkatan Pengkarya Indie atau API) yang pelan-pelan memupuk wibawa mempelopori pergerakan ‘sastera alternatif’. Motif prima bagi pengujudan ‘sastera alternatif’’ ialah untuk memesongkan sama sekali kiblat terhadap sastera ‘main stream’ –[ ‘main stream’ alias ‘superstructure’ – frame sastera yang diterajui DBPCS, dengan nilai2 sastera konvesional; memanfaatkan saluran media seperti Utusan Sarawak, ruangan Yang Indah Itu Bahasa; di samping glorifikasi penulis-penulis abad ke-2O ] , lalu dengan keberanian mereka memisah diri dan mewujudkan apa yang dinamakan ‘parallel world’ . Di dalam komuniti marginal ini telahpun ada wadah komuniti maya sastera Sarawak dan akhbar sastera "Paksi' sebagai alternatif kepada media cetak mahupun birokrasi sastera /seni yang jelas dikontrol oleh penguasa dewasa kini, yang menjadi hambatan terhadap fungsi sastera /seni sebagai pembangun kesaksian semasa.

Biarpun saranan dalam ‘parallel world’ ini menuntut ‘kebebasan berkarya’, namun kewajaran yang membangun mutu hidup -- aksi, reaksi dan kontemplasi ; akal sihat dan panca indera, naluri dan batin; kewajiban, spontanitas dan idealisme; hukum alam, hukum akal sihat dan hukum masyarakat ; masih dilestari dengan bersungguhnya. Komuniti marginal ini dengan kemahuan tinggi serta kesenimanan yang intense mampu meledak dengan cetusan karya yang bernas dan menggugah yang diharap dalam jangkamasa panjang akan bisa menumbuhkan buah sastera yang ranum dan menggiurkan . Secara umumnya inilah kegagalan besar oleh orang-orang terdahulu. Justeru bertitik-tolak daripada ini usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan mengelolakan sesi bedah siasat karya, sesi diskusi bersama tokoh besar sastera, sesi apresiasi karya sasterawan besar tempatan dan dunia, acara baca puisi dan sebagainya dalam jangkawaktu yang likat akan mengujudkan ruang kesenimanan (habitat yang amat diperlukan untuk menjanakuasakan kemahuan berkarya yang intense ), sekali gus membuka kemungkinan penglahiran karya-karya besar.

Gerakan API adalah gerakan pencetus ke arah idealisme sastera yang lebih tinggi. Ia gerakan masa yang organik (tidak bergantung, merdeka), bebas dan fleksibel kerana setiap kerabat boleh berdiri sebagai entiti yang kukuh, bermobilitas ke mana saja, punya asimilasi yang tinggi terhadap rangkaian organisasi lain (samada sebagai ahli mahupun kerjasama). Ia tidak harus terlalu sibuk menguruskan hirarki kuasa dan ‘power-play kerana setiap entiti punya peranan yang boleh dikoordinasikan dengan mudah tanpa banyak retorik dan glorifikasi. Banyak entiti yang teguh bersoladaritas (bersatu) pasti akan membentuk budaya sastera berdaya. Dan sesuatu yang berdaya punya kemampuan untuk mengubah. Dan ini adalah prosesnya, ya umpama air lakunya. Penulis adalah penemuan terhadap diri sendiri dengan kesungguhan untuk mencarigali lubuk kreativiti yang sedia ada dalam diri sendiri iaitu sukma; sumber yang melahirkan kepribadian penulis berkaliber.

Ya, mengapa tidak lahir penulis besar di kalangan kita ?

No comments: