Monday, September 8, 2008

Sastera Mesti Turun Padang !

"Throughout history, liquor has been present wherever people have lived. Drinking alcohol is documented in the Hebrew and Christian bibles, in Greek literature as old as Homer and by Confucius. Due to its popularity and the failure of most prohibitions to curb the drinking of alcohol, it looks as though liquor will continue to remain a part of human culture."

Begitulah gahnya sejarah arak, setua sejarah manusia itu sendiri! Apa yang lebih menarik ialah kepopularan arak sudah mengakar begitu jauh sekali didalam kewujudan manusia sehingga ia telah dianggap sebagai sebahagian daripada kebudayaan manusia. Ada kebenarannya kerana didalam mana-mana kebudayaanpun arak tetap boleh dilihat- 'saki' di Jepun, 'vodka' di Russia, ‘moonshine’ di Amerika dan dalam konteks negeri kita pula, terdapat pula jenis yang terkenal seperti tuak, langkau dan 'apek' .
Hal-ehwal arak ini tercetus didalam diri saya apabila melewati sebuah latar tempat yang dianggap sebagai mercu tanda di bandaraya ini. Latar masanya ketika itu ialah pada hari Sabtu, sementara latar situasi dikuasai oleh golongan anak muda belasan tahun yang juga dikenali sebagai remaja. Secara kebetulan kawasan tersebutpun dianggap sebagai kawasan tua (namun tidak setua sejarah arak itu), kawasan yang masih 'pekat' pengaruh kolonialismenya, kawasan dimana segala-galanya bermula di sebuah bandaraya yang pesat pacuan harinya.
Kawasan yang menjadi kebanggaan rakyat jelata !
Tapi sayang ! Kawasan yang sebegitu cantik dan bermakna sebaliknya menawarkan panorama yang 'pathetic' atau menyedihkan tentang keberadaan pewaris masa depan tanah air kita ini, "pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara" . Di situ mereka rebah tersungkur oleh penangan ‘botol-botol kaca’.Tiba-tiba pula saya teringat kepada sindiran tajam menusuk sebuah sajak penyair berbakat besar Sarawak Hipani Alwi berjudul ' Dari Tubuh Bercinta 2' yang kira-kira berbunyi seperti berikut :

dari tubuh yang bercinta
dia melihat nafas
kagum
dengan botol-botol

Kadang-kadang jika bernasib 'baik' akan ada aksi perkelahian yang menyajikan rusuhan 'adrenalin' bukan saja kepada yang terlibat tetapi juga kepada penonton yang dipaksa menjadi saksi kepada keberangan darah muda akibat pengaruh alkohol itu.
"Kita sedang dilanda kemajuan. Industrilisasi benar-benar telah mencengkam remaja kita. Mereka sedang berasimilasi dengan kemodenan. Merekalah kemodenan itu sendiri," nada menyindir begitu terasa dilafazkan oleh seorang tua yang kebetulan duduk berehat di situ. Melihat setiap minggu remaja kita meralikkan diri dengan arak, saya tertanya-tanya didalam hati kecil, apakah sebenarnya yang sedang berlaku?
Apakah ini cengkaman zaman industri terhadap keluhuran kebudayaan timur kita sehingga ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’ kita menjadi mangsa kepada kerakusannya ? Salah siapakah ini? Salah ibu mengandung? Salah sekolah mengajar? Ayah kencing berdiri, anak kencing berlari ? Atau ini sebahagian daripada konspirasi barat yang berhasrat mahu memusnahkan kebudayaan bangsa lain dengan mempromosi kebudayaan mereka yang didakwa bertamadun itu? Saya lebih suka kepada andaian ini. Nampak sofistikated dan global ! Ha ha ha
Alkohol hanya satu daripada banyak senjata yang digunapakai barat untuk meruntuhkan keluhuran kebudayaan bangsa lain ke arah mencapai cita-cita imperialisme kebudayaan mereka (cultural imperialisme). Tepatnya pilihan mereka menjadikan alkohol sebagai senjata ampuh kerana ia ibu kepada segala dosa-dosa keji. Diriwayatkan didalam sebuah hadis mengatakan,” "Sesungguhnya dosa-dosa terletak disebuah rumah dan kuncinya ialah minum khamar. Yakni siapa yang minum bererti telah membuka untuk dirinya pintu-pintu dosa semuanya."
Memang dosa-dosa keji yang lain seperti seperti seks bebas, gangterisme, dadah (kini paling popular ‘designer drug’ seperti ecstasy, amphetamine dan sebagainya) hanya menyusul kemudian dengan begitu mudah sekali.
Sementara promosi gaya hidup moden yang ditonjolkan lewat klip video artis-artis barat amat membantu sekali dalam menyebarkan lagi kepercayaan kepada kehidupan yang serba terbuka dan futuristic itu, kononnya ! Tema-tema seperti arak, seks, gangster, dadah dimanipulasi secara halus. Menyerap kedalam diri remaja melalui genre muzik kegemaran mereka, menjadi sebahagian daripada diri mereka, identiti mereka. Artis-artis barat yang terkenal dengan kehidupan bebas mereka sering dijadikan sebagai ikon oleh remaja kita. Gaya berpakaian, langgam bahasa, corak kehidupan dan pola psikologi menjadi ikut-ikutan remaja kita.
Pendek kata, artis-artis barat menjadi ‘nabi’ baru bagi remaja kita.
Betapa rapuhnya periode yang dinamakan remaja itu. Periode yang merupakan peralihan yang paling crucial kepada kedewasaan seorang kanak-kanak. Jika dikampung periode ini akan diisi dengan pengkayaan ilmu agama, persilatan dan kemahiran rumah tangga (seperti bermasak, menjahit dan lain-lain) dan sebagainya. Itu pengisian yang benar.Namun jika salah pengisiannya, maka outcomenyapun jadi tidak menentu dan lantas melahirkan generasi yang sama sekali berbeza daripada leluhurnya. Pastinya hal-hal ini akan mengikis sedikit demi sedikit budaya dan adat ketimuran yang kita banggakan itu (sebenarnya sudahpun terhakis).
Alangkah malangnya bangsa Melayu itu ! Dan bagaimana pula hubung kaitnya dengan dunia sastera dan golongan sasterawan kita?
Pandangan saya begini: sudah tiba masanya sastera keluar daripada kepompong ekslusifnya dan mulai benar-benar merakyat yakni secara langsung mendepani permasalahan massanya. Dengan kata lain sastera mesti turun padang ! Sasaran terhadap golongan bermasalah ini terutamanya di tempat-tempat awam merupakan stategi jangkamasa panjang yang harus difikirkan lebih serius. Birokrasi sastera, NGO dan sasterawan perlu memikirkan peranan memereka dalam membentuk nilai dan norma masyarakat. Sekali gus menyelamat tamadun kita daripada dirongrong rakus oleh imperialisme barat itu.
Pendekatan popular yakni yang sesuai dengan jiwa dan kehendak remaja-remaja ini sewajarnya difikirkan. Kaedah penyampaian karya-karya sastera sewajarnya mengambil kira situasi jiwa remaja kita itu. Sementara tumpuan harus diberikan kepada lokasi-lokasi seperti Kuching Waterfront, Bangunan Masja, India Street, kawasan Segitiga Emas dan Reservoir Park untuk dijadikan sebagai venue bagi sebarang acara seni dan sastera. Sastera harus proaktif mempromosikan dirinya kepada khalayak terutamanya remaja kita yang masih berpelisiran tanpa arah dan tuju itu.
Jika aktiviti seni dan sastera hanya terperosok di Balai Budaya sahaja, nescaya ini tidak akan dapat menjadikan sastera sebagai sebuah institusi yang boleh diharapkan untuk mencorakkan pembangunan masyarakat kita. Sastera tidak akan mencapai status jurutera social (social engineering). Ia akan hanya berfungsi sebagai dekorasi didinding masyarakat sahaja , menghimpun debu sebelum akhirnya pudar warna dan kepentingannya. Justeru sastera harus menjadi petunjuk, pembimbing dan pendorng kepada remaja kita untuk memajukan pemikiran serta kehidupan mereka.
Saya percaya mereka ini sentiasa dahagakah pengisian yang berbobot itu. Kata orang-orang tua, melentur buluh biar dari rebungnya, tapi jika rebungnya sudah menjadi buluh jangan dilentur lagi. Jika dilentur ia akan patah.
Lalu bagaimana menanggapinya ? Tepuk dada tanya minda ; )

No comments: