Monday, September 8, 2008

Antara Glen Walford dan WS Rendra

Setiap zaman ada geloranya ! Setiap zaman ada jeritnya ! Setiap zaman ada baranya !
Itulah kesimpulan saya selesai membaca ruangan pojok mutakhir Abdillah SM bertarikh 3 Januari 2008. Saya terlepas keluarannya di Utusan Sarawak atas sebab-sebab teknikal yang tidak dapat dielak. Namun membacanya di blog rasmi Abang Dill (www.dilsm.blogspot.com) seperti memberikan satu kepuasan yang tak terhingga. Abang Dill membawa pembacanya menuyusuri denai kenangan penglibatannya dalam bidang teater. Tak banyak yang kenal akan aura dan pesona Abang Dill sebagai seniman teater. Lebih banyak yang mengenalinya sebagai cerpenis dan kadang-kadang sebagai pemuzik lagu puisi dan sekali-sekala sebagai penyair. Tapi setelah membaca ruangan pojok terkini itu, tersingkaplah pengalaman berteaternya yang bukan calang-calang.
Saya terkesan satu perkara yang amat penting di dalam tulisannya itu. Satu perkara yang baru kini saya sedari. Perkara itu ada kaitannya dengan sebuah nama iaitu Glen Walford. Saya tidak kenal siapa itu orangnya, tidakpun pernah berjumpa dan tidakpun dapat membayangkan bagaimana rupanya dramatis itu. Namun setelah mencari-cari dapatlah saya latar belakang Glen Walford ini yang diletakkan sebagai “ artistic director, theatre specialist, innovator of epic productions, expert at directing in any language - Shakespeare & musicals in Japanese (Tokyo, Nagoya, Kyoto) and Cantonese (Hong Kong), Prometheus in Greek (Epidaurus), Blood Brothers in Russian (Siberia) and HMS Pinafore in California.” (dari laman rasmi Glen Walford)
Kerjaya teaternya baik sebagai pengarah mahupun pelakon bermula sejak tahun 1966 sehingglah sekarang menjadikan nama ini cukup besar di United Kingdom. Kepakarannya diakui di dalam “ adaptations, master-classes, workshops. Musicals, opera, comedy, farce and Shakespeare” .Selepas itu, barulah saya menyedari betapa besarnya nama itu. Tak dapat disangkal, generasi Abang Dill sesungguhnya telah memperoleh ilmu teater yang amat penting.Ini ditegaskan oleh Abang Dill seperti berikut, “ Gah habis! Memang benar seperti yang dijangka bahawa bengkel yang hebat itu telah memperkenalkan kami serba sedikit akan seni pementasan teater, sebagai pelakon dan selainnya sebagai anggota yang bekerja di belakang pentas. Dahsyat yang amat! Miss Glen Walford bukan sembarang nama tapi beliau pernah mengajar drama sampai ke Israel…”
Maka lahirlah nama-nama hebat seperti Ramli Ali, Archie Bujang, Fatimah Hashim, Margie Leo, Saniah Zainuddin dan ramai lagi. Sementara itu ada juga penggiat yang memang sudah berkecimpung lama dalam teater dan terkenal pakar bagi kami seperti Zaini Ozea, dan Esmawy Hj Husly, sekadar menyebut dua nama. Pelakon drama radio sehebat gelagat mereka di pentas teater juga memang sudah ada seperti Ahmad Badwi Narawi dan Mulyadi M Massino. Pendekata, seluruh eksistensi dan esensi Rusda dibina di atas kebesaran nama Glen Walford itu.
Akhirnya Rusda sebagai sebuah kumpulan teater berpengaruh mendominasi senario teater Sarawak untuk beberapa darsawarsa. Rusda menjadi agen pengembangan seni dan sastera dan mendapat kepercayaan kerajaan negeri untuk mengendalikan acara-acara penting kerajaan. Orang-orang kuat Rusda sehingga kini menduduki kerusi penting baik di peringkat kerajaan negeri, persekutuan mahupun non governmental organization.
Asas yang diberikan oleh Glen Walford lewat bengkel teater Tugau telah memberikan kekuatan dan magis kepada generasi tersebut dalam mencorakkan perkembangan teater tempatan sekitar tahun 70-an sehingga awal 90-an. Begitu hebatnya Glen Walford. Begitulah hebatnya anak didiknya. Namun di mana silapnya, sayapun tidak tahu.
Rusda akhirnya kecundang dalam arus perkembangan teater moden. Perpecahannya pada awal tahun 90-an (tepatnya tahun 1993) tidak dapat dielakkan lagi yang akhirnya merobohkan empayar kemegahan Rusda, tersungkur di kaki politicking yang semakin menjadi-jadi ketika itu. Rusda berkubur tanpa nisan.
Bagaimana pula ‘the other side of the coin’ ?
Generasi saya muncul pada waktu Rusda berada di ambang sore. Tahun 1990 dianggap sebagai tahun keruntuhan empayar Rusda dan tahun pembinaan kelompok muda yang baru. Semua ini bermula selepas Kursus Teater Sepanjang Tahun anjuran Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak bertempat di Pangkalan Sapi (Kuching Waterfront kini). Selepas pementasan graduasi kami iaitu teater Protes karya Dinsman dan arahan saya, kami (saya dan Tajol Ashikin) telah sepakat untuk bergabung dan menubuhkan sebuah kumpulan teater. Beberapa rentetan perbincangan diadakan; di Saujana Food Court, Tapian Gelanggang, Benteng Satok dan Pangkalan Sapi. Akhirnya pada April 1990 Grup Teater Sedarpun ditubuhkan dengan 25 ahli yang rata-rata terdiri daripada anak-anak muda belasan tahun. Projek pertama kami naskhah Adi Badiozaman Tuah, Suara Tenggang di Pekan Teater Negeri Sarawak 1993. Tiga tahun pertama kami seperti ‘ronin’ yakni ‘samurai tanpa tuan’.
Sebenarnya kami masih hauskan tunjuk ajar dan bimbingan.
Akhirnya semua itu berubah. Tahun 1993, rezeki untuk berguru dengan sebuah nama besar teater dunia tercapai. WS Rendra dijangka mengadakan beberapa siri bengkel di Sarawak. Ya, WS Rendra sebuah ikon besar teater Indonesia, bahkan juga terkenal seantero dunia. Selesai pengajiannya di New York, dia kembali menubuhkan Bengkel Teater Rendra (BTR) ; sebuah kelompok dramatis yang komited dan dedikasi terhadap pengerjaan kesenian. Kembaranya sehebat Glen Walford; pernah mengadakan pementasan di Tokyo, Amsterdam, New York, London, Sydney, Kuala Lumpur dan beberapa bandaraya utama dunia. Naskhah berbisanya seperti Perjuangan Suku Naga meninggalkan kesan terhadap pemerintahan Presiden Soeharto sehingga beliau pernah dipenjarakan kerana itu. Mas Willy, begitulah nama kunyahnya adalah pemimpin, pembimbing, pengarah, pelakon, pejuang kebenaran sehingga mendapat gelaran Si Merak.
Ya, begitulah. Rezeki akhirnya menjengah di dalam kehidupan seni kami yang baru bertatih itu. Beberapa ahli Sedar telah terpilih; Abdillah Untong, Mohd Rosli Muta, Malek Hassan dan saya sendiri. Peliknya tiada ahli Rusda ataupun bekas ahlinya yang turut serta.Kami berbengkel selama seminggu di Kem Belia Pueh, Sematan. Kami didedahkan dengan metoda Daya Hidup dan Daya Cipta amalan Bengkel Teater Rendra di Depok. Benar, latihan-latihan yang didedahkan lain daripada kebiasaan yang telah kami jalani. Apa yang berubah ? Segala-galanya. Bengkel itu telah memberikan sesuatu yang lain dan telah mengubah persepsi kami terhadap teater. Kami mulai menilai dalaman dan luaran dunia teater yang kami cintai itu.
Kami menuntut mutu hidup yang tumbuh dan berkembang khususnya dalam bidang teater. Bengkel itu mengubah kami menjadi lebih berani dan mengerti akan hakikat perjuangan memaknakan yang fana. Lalu lahirlah beberapa produksi eksperimental impromptu (teater tanpa naskhah) seperti Impromptu dan Impromptu “…?!”. Semangat itu menyebabkan kami tidak dapat dibendung lagi sehingga membawa kepada projek teater keliling ke Indonesia pada tahun 1996.
Ya, siapa sangka, kumpulan teater dari Sarawak mampu ke Indonesia. Satu pencapaian yang di luar daripada jangkaan. Ekstrem ! Anak hingusan dari Bumi Kenyalang berhasrat untuk pentas di Indonesia. Tidakkah itu kerja gila ! Tiga pementasan di Indonesia di tiga lokasi penting- Jakarta, Bandung dan Aula Bengkel Teater Rendra di Depok. Sedar menjadi kumpulan pertama dari Malaysia yang mengadakan pementasan di Indonesia.
Sekembali daripada Indonesia, metoda WS Rendra itu diserapkan kepada ahli Sedar yang lain. dan inilah yang menjadi asas kepada kemunculan beberapa individu teater dan beberapa kumpulan teater zaman sekarang. Nama-nama seperti Malek Hassan, Abdillah Untong, Safian Bujang dan Mohd Addly Mohd Alli tidak dapat tidak dianggap sebagai dramatis yang lahir secara tidak langsung daripada aura Rendra. Begitu juga dengan Jamsari Saili yang kini merupakan playwright yang gah di persada teater tempatan. Pelakon berbakat Wezan Saili juga pernah mengikuti latihan sedemikian (dibawah Setiausaha BTR, Marjuki Gading Rejo)
Sebuah lagi kumpulan teater yang datangnya daripada serpihan Sedar dan punya pengaruhnya ialah Grup Teater Kias Kasturi pimpinan Mohd Helmi Isa dan Nuraliza Othman. Grup yang aktif ini sering tampil dengan beberapa karya sendiri dan begitu prolific mengadakan pementasan mahupun bengkel teater. Sedangkan Sedar sendiri masih aktif di bawah pimpinan saya dan mulai mengorak langkah bermakna pada tahun 2007.
Didalam dunia sastera pula gerakan Angkatan Pengkarya Indie yang berlandaskan Lingkaran Energi Cinta Kasih (LECK) dapat dianggap memperoleh kekuatannya juga daripada metoda WS Rendra. LECK itu merupakan ambilan daripada konsep persaudaraan di dalam kelompok BTR.
Ampun. Bukannya berniat untuk membuat perbandingan ataupun mengadu domba antara kedua-dua nama besar itu mahupun untuk merasa taksub.
Tidak dapat dinafikan, itulah sebenarnya perkembangan yang akhirnya mencorakkan suasana teater Sarawak amnya dan Kuching khususnya. Antara Glen Walford dan WS Rendra, kedua-duanya telah memberikan sumbangan penuh bermakna kepada pengisian teater Sarawak dan juga terhadap pembangunan dramatisnya.
Seperti yang saya katakan pada awal tadi; setiap zaman ada geloranya ! Setiap zaman ada jeritnya ! Setiap zaman ada baranya !

No comments: