Monday, September 8, 2008


Pelukis Jalanan Tegar Berkarya


Beberapa teman mencari makan dengan kerja seni di Kuching Waterfront. Mereka itu pelukis jalanan. Hakikatnya ‘profesi’ ini bukanlah kerjaya impian yang boleh menjanjikan gaji puluhan ribu ringgit ataupun kenaikan demi kenaikan di tangga kerjaya korporat. Namun teman-teman saya ini begitu bersungguh-sungguh memelihara kewajaran hidupnya, biarpun sering mendapat tentangan daripada masyarakat dan paling utama ahli keluarga sendiri. Komuniti pelukis jalanan mulai membina wibawanya di bandaraya Kuching ini. Lokasi paling mudah untuk melihat kelompok ini ialah di Kuching Waterfront.
Namun kira-kira lima tahun sebelumnya (atau lebih awal lagi) komuniti seperti ini jarang kita temui. Kelompok yang ada sekarangpun berjaya bertahan setelah beberapa percubaan gagal sebelum ini. Saya selalu menasihatkan agar ‘antibodi’ mereka tinggi jika mahu melihat budaya unik ini dapat diterima oleh masyarakat. “ Ia belum menjadi bahagian yang integral didalam masyarakat kita. Jadi kena banyak bersabar.” Begitulah kira-kira pesan ringkas saya.Memang bukan senang memujuk seseorang duduk beberapa minit untuk diambil potretnya. Hal seperti ini seperti satu kemustahilan beberapa tahun dahulu. Perasaan malu (baca: menjadi pusat perhatian bukan saja pelukis tetapi penonton yang datang karana curiga) masih menebal didalam masyarakat kita. Justeru ketika itu amat susah untuk pelukis jalanan ini mencari makan. “Untuk lepas sorupun susah,” kata Niki seorang kartunis yang kini ‘menetap’ di Kuching Waterfront.

Hal seperti ini juga berlaku di Central Market. Sebelum menjadi sebuah pasar seni, ia adalah sebenarnya sebuah pasar basah. Transformasi menjadi sebuah pasar seni menarik prospek pelukis jalanan untuk berhimpun dan berkarya di situ. Namun ia tidak semudah yang disangkakan. Masyarakat tidak mudah menerima, bahkan memandang sinis akan kehadiran para pelukis jalanan ini. Hal ini berlaku untuk beberapa waktu yang boleh dianggap amat menguja mereka. Tetapi berkat kejujuran dan banyak bersabar, pelukis di Central Market kini sudah menjadi seperti satu ‘lagenda’ tersendiri di Kuala Lumpur.

Di Taman Seni Ancol, Indonesia pula, terdapat komuniti pelukis jalanan. Mereka sebuah komuniti yang serba sederhana dan tampil dengan pelbagai nada dan warna. Saya terpukau sejenak melihat kepelbagaian ekspresi; ada pelukis potret yang memang tidak ada tolok bandingnya, ada pula pelukis abstrak, impresionisme yang memang luar biasa bakatnya, ada pula pelukis reproduksi iaitu meniru lukisan daripada para pelukis tersohor seperti Vincent Van Gogh, Pablo Picasso, Rembrandt dan hasilnya saling tak tumpah dengan yang tulen.Di satu sudut lain pula, Wirtono dengan berbekalkan gunting lipat kecil dan sekeping kertas manila hitam begitu asyik melahirkan karya uniknya iaitu meniru silhoutte (bahagian kepala sahaja) pelanggannya.

Saya mempunyai obsesi kecil terhadap dunia lukisan ini. Cuma malangnya saya tidak dilahirkan sebagai seorang pelukis. Namun beberapa teman rapat saya mempunyai bakat luar biasa, Cuma tidak diteruskan. Saya masih terkesan akan ekspresi penyair muda API iaitu Yusuffansuri suatu ketika dulu. Medium kegemarannya ialah charcoal. Gerak hati saya selalu merasakan bahawa lukisannya datang daripada naluri. Lakaran kasar namun bermakna tidak pernah gagal menggugah diri saya. Figura separuh tersembunyi, wajah yang diselubungi garis-garis kasar, perasaan yang dijelaskan dengan lorekan dan tarikan bebas menjadikan lukisan Yusuffansuri suatu refleksi serba misterius. Namun sekarang Yusuffansuri giat berpuisi dan meninggalkan bakat di belakang bingkai lukisan.

Seorang lagi rakan rapat saya yang mahir melukis ialah Vern. Ketajaman mata dan kehalusan intuisinya hampir merapatkan Vern (begitulah nama celupnya) ke harakat pelukis luar biasa. Kebundaran fokusnya kadang-kadang membawanya melukis sehingga ke dinihari, Beliau jatuh dalam kategori pelukis yang perfectionist, tidak mudah mahu mengalah pada kekangan mental mahupun fizikal apabila menghasilkan karya. Sebuah lukisan potretnya pernah digunakan didalam sebuah pementasan teater berjudul ‘Dunia Diatas Ranjang’. Kini Vernpun telah lama menggantung berus dan cat.

Saya tak pasti kapan mereka berdua itu akan melukis semula. Mungkin tidak akan terjadi !
Sementara komuniti pelukis jalanan di Kuching Waterfront sehingga kini masih tegar mempertahankan eksistensinya. Paling senior ialah Railey yang seangkatan Allahyarham Jaafar Selamat kini masih galak mempamerkan sentuhan ‘listriknya’. Sementara pasangan adik-beradik Halim dan Yan punyai kebolahan yang amat mempesonakan. Sering beberapa pelajar daripada sebuah kolej terkemuka di Bandaraya Kuching ini cuba mendapat pendidikan informal daripada mereka. Sementara pasangan suami-isteri Usufi dan Sofia telah menemui kejujuran mereka. Usufi dengan sentuhan halus potretnya mampu menarik perhatian pengunjung dan Sofia dengan seni lukis henna sering mendapat permintaan tinggi. Awang Ramli pula seorang pelukis yang unik. Kecacatan pada tangannya tidak menjadi penghalang untuknya muncul antara yang terbaik apabila memperkatakan tentang lukisan potret.

Pastinya tidak ketinggalan untuk memperkatakan tentang kartunis Niki. Karikaturnya amat digilai, di samping lukisan potretnya yang mudah dan cepat untuk dihasilkan. Ini menjadi kekuatan Niki yang telah lapan tahun bertapak di Halaman Rakyat.Mereka ini adalah seniman tulen yang hidup mencari rezeki halal membuat apa yang jujur pada hati dan perasaannya iaitu melukis. Pilihan mereka memang jarang dapat diterima dan seringkali respon sinis akan mereka terima. Namun sehingga kini, mereka telah membuktikan bahawa dengan melukis, mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan penjawat daripada profesi lain.

Cuma bagi saya mereka ini amat bertuah sekali dapat hidup didalam impian murni yang mereka tanam sejak kecil lagi. Namun ketegaran mereka mempertahankan kemahuan paling dalam mereka akhirnya berbayar apabila kini berjaya mencari rezeki dengan bergantung kepada bakat dan kehalusan intuisi masing-masing.
Begitulah kisah beberapa teman saya yang bergelumang dalam episod kehidupan di Kuching Waterfront, di sebuah kota raya. Mereka itu pelukis atau lebih tepat pelukis jalanan.

No comments: