Monday, September 8, 2008

ANGAN-ANGAN SUMBER KEKUATAN


ADOLF HITLER sebelum bergelar ‘Reich’ hanyalah seorang anak muda yang begitu ghairah terhadap bidang lukisan tetapi gagal memasuki mana-mana akademi seni di Eropah. Bahkan dia dilabelkan penuh angan-angan dan tidak berbakat. Gelora darah muda telah memberi provokasi kepadanya untuk memikirkan saluran alternatif untuk berkarya. Ironinya, kekecewaan itu memberikan Hitler kekuatan lain untuk menyuburkan ambisi kesenimanannya. Revolusi anak-anak tangga yang dicetuskan Hitler telah membangunkan kepimpinannya sehingga dengan mendadak seorang marhaen diangkat menjadi ‘Reich Ketiga’. Perang Dunia Kedua (1940-1945) adalah ledakan ‘kesenimanan’ Hitler yang terhambat. Dengan perang Hitler berkarya ! Beliau mengembang kredo keseniannya; bahawa Aryan adalah bangsa terpilih dan Yahudi adalah marga terkutuk dan diterjemaahkan dengan begitu ‘teliti’ sekali lewat kemusnahan total di seluruh dunia.
Hitler berjaya memanipulasikan angan-angan menjadi satu sumber kemahuan tinggi. Dengan serapan disiplin jitu, komitmen utuh, dedikasi likat, angan-angan akan mengarahkan kepada gagasan bernas. Entah daripada kitab mana Hitler menelaah semua ini tetapi ternyata tokoh bertubuh kecil dan bermisai pelik itu telah menjadi pemimpin unggul yang berjaya menjadikan Perang Dunia Kedua sebagai titik peralihan dalam sejarah ketamadunan manusia melalui kebolehannya melukis dengan darah, seperti katanya, “perang ialah suatu bentuk seni.” Namun bukan agenda artikel ini untuk memahkotakan Hitler sebagai tokoh teladan, jauh sekali menghalalkan penderitaan 5 tahun yang telah mengorbankan jutaan nyawa di seluruh dunia, namun percubaan ini sekadar menegaskan kenyataan bahawa angan-angan atau angan-angan merupakan sumber kekuatan yang boleh dieksploitasikan sedemikian rupa sehingga mampu menjanakan dunia kejahatan tanpa batas.
Ataupun simpang paradoks kepada imej di atas ialah masa depan penuh harapan seperti dicetuskan oleh Pablo Picasso dan George Braque yang memulakan abad ke 20 dengan cukup sensasi, di samping kontraversi apabila gerakan kiubisme berjaya menganjak pemikiran konvesional dunia catan yang sedang mula menyuburkan kebosanan aliran impresionisme. Apa yang dicapai mereka ialah “a point at which visible realities were so completely dismantled and geometrically arranged in their paintings that they became virtually invisible". Penglahiran karya-karya Picasso seperti ‘The Potrait of Ambrose Voillard’ ’(1909-1910), ‘The Violin’ (1912) dan ‘The Violin and Grapes’ (1912) dan ‘Still Life with Chair Caning’ (1912) cukup menghadirkan gugahan mental dan menyajikan santapan rohani yang sama sekali berlainan. Intensiti pengkaryaan lewat percubaan demi percubaan telah menyempurnakan lagi bentuk seni yang unik dan kreatif itu menjadi penemuan hebat abad ke 20 iaitu analytic cubisme.

Kehebatan itu memuncak apabila Picasso menghasilkan lukisan mural ‘Guernica’ (1937-Perang Dunia Pertama) , sebuah karya satrikal mengutuk peristiwa pengeboman tentera Nazi ke atas sebuah pekan kecil kelahiran Basque bernama Guernica. Lewat ‘Guernica’, teknik dan imej terdahulu lukisan Picasso diolah menjadi “a great cry of shock and pain” melahirkan imej ‘analytical cubisme’ yang menggugah perasaan .! Pencapaian ini merupakan puncak kepuasan selepas Picasso bergelut dalam kembara nurani yang bergelora ; Madrid -permulaan hambar sebagai pelajar seni, Barcelona-- masa gelandangan yang perit, Paris – Period Biru (1901-1905) yang kusam dan kelam, disusuli Period Rose (1905) yang lembut dan lunak sebelum mempelopori gerakan ‘analytic cubisme’ yang akhirnya menjadikan Picasso artis berpengaruh abad ke-20 .
Ketokohan Hitler atau Picasso dengan punya bisa magis tersendiri. Ia mempersona dan punya daya magnetic tinggi. Sebenarnya yang mempertahankan kekentalan perjuangan ialah sikap idealis, fundamentalis, egois dan sentimentalis dan terbukti segala-galanya ‘menjadi’. Yang jelas kedua-dua tokoh ini berusaha membangun sesuatu yang penting—Picasso membangun daya hidup, tetapi Hitler membangun daya mati. Masing-masing berusaha dengan intense untuk memberi makna pada kehidupan yang fana tetapi yang membedakan ‘outcome’ ialah kawalan yang dipraktikkan. Hitler melulu tanpa kawalan sehingga membawa kemusnahan sejagat dan dirinya (membunuh diri). Picasso pula membangunkan mutu hidup dengan kewajaran sehingga menjadi kebanggaan warga Malaga daerah kelahirannya. Justeru, ini melayakkan Hitler diiktiraf ‘Bapa Anarki Moden’ sementara Picasso ‘Bapa Seni Kontemporari’

Hitler dan Picasso menawarkan prospek kebangkitan yang luar biasa. Meskipun dunia sudah melangkah ke millineum baru, sumbangan mereka masih diperkatakan dengan meluas oleh sarjana-sarjana, (malah wujud kumpulan ekstreme atau ‘cult’ yang meneruskan prinsip perjuangan mereka). Kebangkitan sedemikian sewajarnya memberi kita ruang dan peluang untuk sesi rentas fikiran dalam menilai pasang-surutnya kesusasteraan mahupun kesenian kita. Dalam konteks ini, suatu ketika dulu prospek gerakan gelombang baru (saya lebih senang melabelkannya sebagai kebangkitan orang muda) seperti kemunculan Grup Teater Sedar (1990) dan Ikatan Karyawan Muda Sarawak (seterusnya dirujuk sebagai Angkatan Pengkarya Indie-API) menyaksikan pertembungan latar zaman berbeza yang akhirnya mencetuskan rentetan polemik sastera.
Kerja-kerja dekonstruksi daripada kelompok Sedar telah memecah dominasi dua dekad (1970-1990) Rumpun Seni Drama Sarawak (Rusda) yang lebih cenderung kepada ritual peristiwa, glorifikasi tokoh dan sindrom prosinium. Kerja-kerja eksperimental Sedar seperti teater ‘Suara Tenggang’, ‘Embrio’, ‘Sel’, ‘Bukan Bunuh Diri’ dan siri teater Impromptu tidak diterima baik oleh dramatis setempat, bahkan sering kali mengundang reaksi dangkal daripada tokoh-tokoh drama kita. Selanjutnya API pula memacu gerakan ‘bawah tanah’ dan cuba memberi intreprestasi alternatif dari pelbagai sudut tentang kesusasteraan (seperti antipersatuan sastera, konsep dunia selari sastera, gagasan ‘penulis membantu penulis’, penghasilan genre alternative sastera seperti 60pp, makalah PAKSI. filem pendek dan lain-lain).

Kerabat API juga menerima reaksi serba tidak kena dan mengundang sarjana-sarjana sastera kita untuk bereaksi secara lebih keras (antaranya Abg Patdeli Abg Muhi dan Saiee Driss).

Dalam konteks ini, kesedaran orang muda sebenarnya lebih kepada ‘survival ’masa depan dengan melalui proses demi proses untuk mencarigali kaedah pergerakan dan pengkaryaan yang otentik,segar dan bernas. Upaya dan usaha ini merupakan pelaburan jangkamasa panjang demi untuk memecah kebuntuan ekspresi yang kian dicengkam kejenuhan . Namun sikap pesimis dan buruk sangka di kalangan sasterawan ataupun seniman (mahupun birokrasi) tersohor menunjukkan suhu kebimbangan masing-masing yang semakin meningkat; sesuatu yang tidak berasas dan berkiblatkan sentimen peribadi dan kroni. Kebimbangan ini pelan-pelan menjadi ‘angst’ (ketakutan yang mencengkam). Saya terkesan kebimbangan ini sebenarnya ketakutan luar biasa mereka terhadap bayang-bayang sendiri.

Keengganan dan kedegilan mereka untuk mengiktiraf sebarang usaha golongan muda adalah petunjuk kemahuan tinggi mereka untuk terus berperanan sebagai pencengkam dalam sastera. Memang akhirnya merekapun kembali kepada berpolitik sebagai saluran untuk kembali berkuasa mencantas teras kepada perjuangan baru itu iaitu angan-angan mencari ikon sastera !




No comments: