Monday, September 8, 2008

Tukang Ensera dan Lembaran ‘Baru’ Sifar


Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri Sarawak akhirnya melabuhkan kontraversinya apabila Persatuan Seni Persembahan Sifar (Sifar) berjaya didalam pemilihan peringkat zon ke Festival Teater Malaysia 2008 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur sekitar November 2008 kelak. Dengan itu buat pertama kalinya, johan negeri (Grup Teater Ngoncong) tidak layak untuk menggalas cabaran negeri di peringkat kebangsaan.

Barangkali, festival kali ini dapat dianggap sebagai yang paling kontraversi. Ia bermula daripada protes Sifar terhadap keputusan festival yang berkisar isu hakim dan ini membawa kepada pencetusan inisiatif bagi membuka satu kemungkinan penilaian semula dilakukan.( Untuk makluman, penilaian semula tidak dilakukan, hanya penilaian peringkat zon sahaja). Ketika itu juga beberapa kumpulan berbelah bagi samada untuk menyokong ataupun tidak. Semestinya ini turut mencetuskan rentetan argument tersendiri.

Di pihak penganjur iaitu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak sewajarnya mengariskan segala yang telah berlaku sebagai iktibar ke arah menjadikan penganjuran festival seterusnya lebih baik dan sistematik. Di pihak kumpulan yang bertanding turut sama digesa untuk lebih berhati-hati apabila menyertai sebarang pertandingan dan lebih prihatin terhadap syarat-syarat penyertaan yang digariskan oleh pihak penganjur. Jangan pisang berbuah dua kali (walaupun tidak mustahil ia berlaku)

Namun untuk menuding kesalahan masing-masing, rasanya itu perkara yang paling tidak wajar dilakukan. Saya hanya mahu mengatakan; begitulah berakhirnya episod festival. Namun untuk Sifar pula, bermulalah satu proses persediaan untuk ke peringkat kebangsaan. Sebagai sebuah kumpulan baru yang menghimpun banyak orang lama, Sifar sememangnya mengidam-idamkan peluang keemasan seperti ini. Penglibatan beberapa kerabatnya seperti Suffian Haji Jalet dan Abdul Malek Hassan di peringkat kebangsaan pasti akan membantu Sifar.

Berprofesi seorang guru dan juga jurulatih di sekolah seni , Suffian sendiri pernah menjadi tonggak kepada kekuatan teknikal teater Vakum oleh Grup Teater TASEK yang bersaing di Festival Teater Malaysia 1998, sementara Abdul Malek pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik untuk teater yang sama. Untuk ‘Tukang Ensera’ (TS) Suffian berperanan sebagai Pengarah dan Abdul Malek pula memegang watak utama Remong. Pastinya kombinasi ini akan membuahkan hasil yang diharapkan.

Sifar juga memiliki keampuhan pimpinan Safian Bujang yang pernah mengarah teater ‘Sel’ ketika bersama Grup Teater Sedar Sarawak (Sedar) suatu ketika dulu. Safian seorang pegawai bank mempunyai ketajaman fikiran yang boleh digunapakai untuk lebih menajamkan lagi tombak saingan TS. Sementara graduan Industrial Design Universiti Teknologi Mara, Mohd Addly Mohd Ali telah menampakkan sentuhan ajaibnya ketika merencanakan kekuatan skenografi TS. Addly benar-benar telah memberi satu efek ilusi reality tiga alam TS yang memukaukan, yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pereka set sebelum ini. Di samping itu, banyak sebenarnya individu berpengalaman besar yang memberi sokongan secara langsung mahupun tidak langsung terhadap Sifar; Ahmad Beduwie Nahrawi,, AB Nor, Khalid Drahman (aktivis veteran), Jamsari Saili (playwright yang tersohor namanya) dan Abdillah Untong (graduan Universiti Sains Malaysia mengkhusus bidang lakonan dan pengarahan) yang pastinya merupakan aset Sifar mematangkan lagi persembahan mereka.

Pendek kata, sebuah kumpulan baru yang punya pengalaman bertahun-tahun lamanya. Rata-ratanya merupakan bekas anggota Sedar, tidak dapat disangkal idealisme yang diperturunkan Sifar masih mengekalkan semangat lama itu. Barangkali inilah kesan daripada perubahan pendekatan Sifar dalam menangani kewujudan mereka sendiri. Seperti yang ditegaskan oleh Presiden Sifar, Suffian, “ Sifar memiliki cara dan pembaharuan sendiri dalam perlaksanaan pengurusannya “ Ya, cara dan pembaharuan inilah yang telah membuahkan hasil penuh membanggakan dan amat memberangsangkan. Tiada yang lebih bahagia daripada mendapat apa yang dicitakan.

Di atas kebijaksanaan dan kreativiti Suffian, ‘Tukang Ensera’ (TS) mengalami tranformasi yang selama ini amat diperlukan. Kebijaksanaan dan kreativiti yang ada pada Suffian ini adalah kelebihan tersendiri Sifar. Jarang benar kita melihat kualiti pengarah yang sedemikian kecuali pada Suffian. Naskhah itu pernah dipertandingkan di peringkat kebangsaan apabila diarahkan oleh penulisnya sendiri dan meraih kedudukan Naib Johan dengan satu kemenangan solo Pelakon Lelaki Terbaik oleh Pau Utek (watak Remong). Semestinya kejayaan ini menjadi motivasi untuk Sifar mengatasi pencapaian terdahulu itu atau setidak-tidaknya meraih kedudukan yang sama.Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

Berdasarkan kepada pemecahan watak didalam TS, Sifar mempunyai peluang untuk meraih beberapa kategori seperti Pelakon Lelaki Terbaik (watak Remong) , Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Raja Barat atau Bomoh), Pelakon Wanita Terbaik (Sunti) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (isteri Remong atau Permaisuri). Sementara kemampuan teknikal juga boleh dipertaruhkan, apalagi untuk Pengarah Terbaik dan Drama Terbaik keseluruhannya. Ya, peluang untuk bergelar johan itu memang cerah.

Pastinya 3 juta jiwa di negeri Bumi Kenyalang ini menunggu sebuah kumpulan dari Sarawak untuk dinobatkan sebagai johan di peringkat kebangsaan. Begitu besar dan tingginya harapan itu setelah kegagalan beberapa kumpulan sebelum ini baik diperingkat zon mahupun kebangsaan seperti Art of Saramart dengan teater ‘Sesat’, Sanggar Kreatif dengan teater ‘Terdampar’, pasti ini akan membakarkan lagi kemurnian jiwa Sifar dalam mengenengahkan sebuah pementasan yang punya nilai ‘first class mentality’ .Kali terakhir Sarawak berjaya menggondol gelar johan ialah pada tahun 1998 apabila Grup Teater Ngoncong dengan naskhah Sawo menggalas cabaran negeri.

Suffian, Safian, Mohd Addly dan Abdul Malek; empat tonggak utama merupakan manifestasi ‘modal insan yang cemerlang dan seimbang’ yang lahir daripada ‘implementasi kemurnian jiwa’ dokongan Sifar itu. Mereka juga adalah contoh ‘transformational leadership’ yang membawa Sifar mencapai kedudukan yang dinikmati kini. Individu seperti ini boleh dijadikan role model untuk anak-anak muda yang berhasrat mencebur diri dalam bidang teater. Mereka punya kualiti untuk menjadi tokoh teater pada masa hadapan. Beruntungnya negeri kita ini dan kitapun bolehlah memasang angan-angan untuk menjadi reaktor kesenian dan kebudayaan Asia Tenggara dengan adanya barisan pelapis yang berkaliber dan berdinamika itu.

Melihat kepada latar belakang penubuhan Sifar dan pencapaian singkat mereka ini, ia sewajarnya dijadikan petunjuk bagi kebangkitan teater anak-anak muda di negeri Sarawak ini. Kumpulan lain seperti Grup Teater Kias Kasturi, Grup Teater PEKASA, Grup Teater Sanggar Akar, Grup Teater Kakilima, Grup Teater Sanggar Kreatif, Grup Teater Ngoncong, Grup Teater Sedar Sarawak seharusnya menjadikan Sifar sebagai iktibar bukan saja untuk mematangkan [pementasan tetapi mengejar yang namanya kemashyuran. Tanpa prejudis, barangkali Sifar juga boleh mengongsikan pengalaman dan kecemerlangan mereka bersama grup lain yang masih bertatih dalam gelanggang persilatan teater ini; menuangkan pengetahuan bertahun-tahun lamanya itu, menuntun aktivis teater tempatan dalam membangunkan kewibawaan kemanusiaan yang murni itu, mencorak teater Sarawak menjadi arena pertembungan idealisme yang jernih dengan menjadikan ukhuwah islamiyah sebagai dasar silaturrahmi dan akhirnya membangunkan teater menjadi sebuah institusi sosial yang boleh dipertanggungjawabkan ke atas pundaknya pembangunan negeri dan negara.

Begitulah, demi untuk perkembangan teater, demi untuk memperjuangkan martabat orang teater, demi untuk memperkasakan lagi pengisian teater, demi untuk kesinambungan teater di negeri Sarawak Darul Hana yang kita cintai ini, begitulah retoriknya dari dulu hingga sekarang.

Semoga teater kita menjadi semakin murni. Saya tetap doakan yang cemerlang, gemilang dan terbilang untuk kalian. Amin.

No comments: