Monday, September 8, 2008

PLACEBO - Potret Manusia Moden Menuju Makrifatullah


“ Wahai jiwa yang tenang-tenteram! Kembalilah kepada Tuhanmu
dengan hati yang puas lagi diredhaiNya.” Surah Al-Fajr

*

Abdillah SM bukanlah nama asing didalam direktori sastera Bumi Kenyalang. Namanya sebaris beberapa penulis tersohor kita seperti Jais Sahok, Saiee Driss, Majuni Palira, Zaini Ozea dan Adi Badiozaman Tuah.

Untuk beberapa waktu, nama beliau tenggelam. Samada sengaja atau tidak, Abdillah untuk beberapa ketika dilihat begitu memperjuangkan hayat sasteranya; berdepan dengan cabaran birokrasi dan tahap kesihatannya yang seperti roller-coster itu.

Namun, kini Abdillah mulai mengalir semula di daerah kecintaannya. Blog yang diusahakannya kini adalah bukti betapa semangat Abdillah seperti dibakar oleh suatu daya yang memungkinkan beliau ‘angkat pena’ semula pada akhir tahun 2007.

Daripada susunan muzik, lakaran berseni, puisi, cerpen sehinggalah ruangan pojok yang pernah popular suatu masa dahulu ‘Maaf Cakap’ , menunjukkan bakat luar biasa seniman kelahiran Kuching ini.

Saya tidak terlepas mengikuti jaluran pemikiran dan kreativiti beliau. Lalu di sinilah bermulanya cerita tulisan ini, apabila sebuah cerpen beliau yang mutakhir yang berjudul Placebo dijadikan bahan tatapan pengunjung ke blognya.

Saya memberanikan diri untuk membicarakan tentang beliau dan karya terbarunya itu bukan atas sebab ingin menunjuk pandai. Siapalah saya untuk berlagak pandai di hadapan seorang yang lebih dahulu kenal sepak terajang dunia sastera.

Namun setelah selesai membaca Placebo, berdetak di hati saya untuk memulaikan sebuah cetusan fikiran tentang beliau dan karyanya itu. Placebo- agak eksotik judulnya dan ternyata mengundang seribu satu persoalan. Paling penting judul sedemikian teramat provokatif dan mempunyai nilai komersil tinggi.

Justeru, teramat afdal kiranya saya memulai tulisan ini dengan beberapa kerat ayat tentang tafsiran istilah Placebo. Menurut Longman Dictionary of Contemporary English placebo ialah suatu kata benda (noun) yang membawa tafsiran “a subtance given instead of real medicine, without the person who takes it knowing that it is not real.”

Dalam konteks ini, substance yang dimaksudkan itu berfungsi sebagai kaedah peperawatan dengan memanipulasikan kuasa cadangan (power of suggestion) sebagai kaedah penyembuhan sesuatu jenis penyakit.

Satu contoh yang dapat saya perturunkan di sini ialah mengenai kes penyakit lumpuh. Di petik satu kenyataan berhubung kes ini seperti berikut, “Many paralyses have been removed by giving sugar pills called placebos, with the assurance that the medicine always works.” (Psychology Made Simple-Abraham Sperling Phd ms 227)

Dalam konteks cerpen Abdillah itu, watak aku seperti mengalami satu sesi terapi penyembuhan. Penyakit yang dialaminya sesungguhnya amatlah serius. Gambaran ini dapat diikuti pada rangkap pertama cerpen itu.

“ Detik basirah kualami dulu rupanya benar dan cukup jelas tersingkap. Telah keliru aku bagi pertama kalinya tentang alamat dan bayangan maut. Dan aku belum padam lagi. Syukran. Bukan takdir kalau belum terjadi.”

Memang benar. Detik didatangi maut akan mengubah 369 darjah persepsi kita, seperti mengalami U-turn. Itulah yang berlaku pada watak aku. Segala pemahamannya tentang maut dan alam barzakh bertukar seperti ditegasnya, “ ..menuju sebuah kehidupan di alam barzakh itu bukanhlah semudah yang kufahami dulu.”

Perenungan lanjut menjadikan saya sebagai pembaca berfikir bahawa tidak banyak sebenarnya yang dapat kita ftentang diri kita (baca: manusia). Saya teringat sebuah firman Allah didalam Hadis Qudsi yang berbunyi, “Manusia adalah Rahsiaku dan Aku adalah rahsia manusia.”

Mungkinkah watak aku sudah mencapai satu tahap tinggi didalam kehidupannya? Saya suka memikirkan kemungkinan ini setelah selesai membaca cerpen terbaru Abdillah itu. Ini disebabkan Abdillah memulakan cerpennya dengan sepotong ayat yang cukup signifikan.

Ayat itu berbunyi, “Nur dari limpahan kudrat terusan berdenyut dalam otakku-menjana memori dan minda” Saya mengeri ada justifikasi kuat disitu, lebih-lebih lagi apabila perkataan nur itu di tebalhitamkan.

Saya meletakkan sudut pandangan yang begini: ayat itu menyimpulkan segala apa yang tersurat dan tersirat didalam cerpen Abdillah itu. Amat mudah dan pemurah sekali. Pilihan penggunaan istilah nur (bukan cahaya) merupakan satu usaha pemaknaan yang tinggi.

Dalam konteks ini, suka saya mendekati duduk perkara nur ini menurut penyataan Al-Ghazali. Menurutnya, pengertian cahaya berbeza menurut golongan manusia ; orang awam, orang khusus dan orang yang lebih khusus.

“ Golongan khusus dan yang lebih khusus beruntung kerana telah mencapai tingkat hakikat kenyataan yang membuka rahsia kedua-dua tingkat itu. Apabila tingkat-tingkat itu dicapai akan jelas diketahui bahawa Allah swt adalah Nur Yang Maha Tinggi dan Maha Jauh, dan apabila tabir rahsia ini terbuka di alam kenyataan, maka yakinlah mereka baha Allah Nur Yang Nyata dan Nur Yang Hak, Dia adalah Esa tidak bersyarikat kerana disampingnya tidak ada cahaya lain.” (Al-Ghazali; Misykat al-Anwar hlm 1)

Apa mungkin watak aku tergolong di dalam salah satu daripada golongan tersebut? Hal ini dapat kita lihat apabila mengikuti pembacaan seterusnya cerpen itu. Watak aku seperti merasakan dia diberikan satu peluang kedua.

Peluang itu amat disedarinya ; :Kerana tertundanya peristiwa itu jugalah maka, terus kusentap kesempatan yang ada ini untuk menerima cabaran mencari pertada dan ilmu yang terdaya kukutip dari sisa hidup yang masih dizinkanNya bagiku”.

Bernada keinsafan, watak aku memulakan kemahuannya itu seperti yang pernah dialami oleh Nabi Muhammad saw iaitu dengan Surah Iqra’ . Sungguh ini adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang bermakna.

Antara pam biologi (jantung), memori dan mindaku (otak) , roh dan lembut janggutku merupakan usaha penanaman imejan kematangan usia yang mencecah tahap pemikiran yang tinggi. Hanya manusia yang sudah mengalami sesuatu yang besar sahaj akan mempersoalkan hal-hal ini.

Jangkauan pengarangnya bukan hanya setakat maut yang pernah menyapanya suatu ketika dulu tetapi alam yang lebih jauh dari itu. Lihat gambaran ini, “ Segala yang diketahui melalui maklumat yang didapati didalam memoriku adalah apa yang pernah dihasilkan dari detik ke detik awal kejadian sehingga terjadinya sebiah kemusnahan’ atau dalam peristiwa yang kusangkakan lematianku itu. Bukan bermulanya dari rahim ibuku tetapi lebih jauh lebih awal daripada peristiwa itu. Wujudku ketika di luar rahim kasih Ibu. Pernah aku wujud dalam dunia metafizika. Dunia yang wujud pada nama dan maya.”

Ya, yang dimaksudkan pada kalimat yang terakhir itu ialah alam Lahut, tempat Allah swt menciptakan semua roh dalam bentuk yang terbaik yang hakiki. Ia adalah alam asal bagi seluruh manusia setelah 4,000 tahun Allah menciptakan Arasy dari nur zat Nabi Muhammad saw.

Proses apakah yang sebenarnya dialami oleh watak aku ini ? Sesuatu yang besar sebenarnya sedang berlaku didalam dirinya setelah peristiwa hampir maut itu. Kesedaran yang begitu tinggi ini seperti membawa watak aku ke satu dimensi baru.

Nur dari limpahan kudrat itu telah mengubahnya menjadi orang lain. Nur itu makrifat dan makrifat itu nur. Namun tiada satupun perkataan makrifat digunakan oleh Abdillah, cuma saya merasakan konsep mencapai makrifat itu tidak diberikan gambaran yang jelas.

Ia adalam mesej sublime cerpen ini.

Watak aku memang tergolong antara golongan yang khusus atau golongan yang lebih khusus. Kesedaraan terhadap Allah swt amat terasa pada akhir-akhir cerpen ini, menyatakan lagi intensity watak aku terhadap kecintaannya.

Samada ia berahi dan mabuk itu tidak tergambar secara jelas, barangkali inilah peringkat permulaan ! Permulaan kepada pewujudan Tiflul Ma’ani (bayi maknawi) atau roh al-Qudsi. Keadaan ini akan wujud daripada dasar berikut :

“1) Ia lahir dari hati, seperti lahirnya bayi dari rahim seorang ibu dan ia diurus dan dibesarkan hingga dewasa. 2) Dalam mendidik anak-anak tentang keislaman, ilmu yang didahulukan adalah ilmu makrifat. Begitu juga bayi maknawi ini. 3) Bayi bersih dari kotoran dosa lahiriyah. Begitu pula bayi maknawi , ia bersih dari syirik (menyekutukan Allah) dan gaflah (lupa pada Allah).

4) Perumpamaan bayi maknawi merupakan gambaran kesucian kerana anak-anak lebih banyak yang suci daripada lainnya. Oleh kerana itu bayi maknawi terlihat dalam mimpi dengan rupa yang indah dan tampan. 5) Ahli syurga disifati dengan sifat anak-anak, sebagaimana firman Allah swt, “ Anak-anak muda melayani mereka, bagai mutiara yang terpendam. (At-Thur:24)

6) Bayi maknawi itu halus dan suci. 7) Tiflul Ma’ani adalah majazi ditinjau dari kaitannya dengan badan, ia berwujud seperti rupa manusia, juga kerana manisnya bukan kerana kecilnya; dan dilihat dari awal adanya ia adalah manusia hakiki kerana dialah yang berhubung langsung dengan Allah swt.

Saya tidak berniat untuk lebih memperdalamkan urusan ini. Barangkali, ia akan menjadi terlalu sulit untuk dimengertikan. Namun begitulah tanggapan saya terhadap cerpen Placebo karangan Abdillah ini. Watak aku mengalami tranformasi yang vital .

Proses yang diberikan tadi merupakan hanya permulaan ke arah sebuah perjalanan yang masih jauh. Tapikan permulaan itu yang paling sulit untuk dimulakan. Tapikan itu juga yang paling penting.

Apa yang dialami watak aku ialah manifestasi kemanusiaan yang paling agung iaitu mencapai tujuan penciptaannya- menuju makrifatullah. Dan apa lagi dorongan yang lebih berkesan selain daripada merasai detik kematian sendiri.

Seperti dilahirkan semula ! Nabi Isa bersabda, “Manusia tidak akan bisa masuk ke malakut langitNya, kecuali telah dilahirkan dua kali seperti burung.” Tidak sukar untuk memahaminya, bukankan fikiran dan matahati anda.

Burung dapat terbang setelah dua kali dilahirkan; pertama keluar telur dari induknya dan kedua menetas dari telurnya. Begitu juga manusia akan merasai pengalaman yang sama; pertama lahir dari rahim bondanya dan kedua lahir Tiflul Ma’ani dari dirinya !

Maaf, saya tidak ingin menyulitkannya tetapi begitulah tanggapan saya. Menyusuri isi kandungan cerpen terkini Abdillah ini membuka dimensi lain di dalam memahami makna hidup di dunia yang fana ini.

Kita tidak mungkin akan sengaja mendambakan pengalaman traumatik watak aku itu tetapi sekadar membacanya menimbulkan kesedaran bahawa hidup ini begitu singkat dan begitu juga kita harus menghargai apa yang ada kurniaan Yang Maha Esa.

Menambahkan lagi keinsafan kita.

Akhir persoalan, dimanakah placebo yang dimaksudkan dalam cerpen ini? Saya memberanikan diri untuk memperhitungkan rasional dan sampai pada satu kesimpulan bahawa placebo itu ialah pada peluru maya.

Gambarannya seperti berikut; “ Sambil mengurut-urut lembut janggutku semakin memutih, terasa dadaku diserang peluru maya sehingga terbit pada minda dan memoriku, cinta dan benci. Terkelu aku kerana kusedari kini wujud jauh dalam sanubariku perasaan sakit dan benci. Terjalin kini inspirasi dan minat terhadap sekelilingku.”

Peluru maya, substance yang tidak real tetapi masih mampu untuk memberikan talian hayat kepada watak aku. Membangkitkan semula makna kehidupan dan excitementnya namun bukan pula berpakaian palsu dunia materialistik tetapi pakaian yang lebih murni dan suci.

Pengarang memberikan kemenangan kepada watak aku, sekali gus memberikan satu perasaan empati didalam diri pembaca. Di sinilah kebijaksanaan Abdillah dalam menemukan penyelesaian kepada cerpennya ini.

Paling mengesankan ialah klimaks cerpen yang saya anggap satu-satunya yang sedemikian rupa pernah dihasilkan oleh seorang pengarang baik di Sarawak mahupun di Malaysia. Inisatif untuk memberikan salam perkenalan kepada Sang Pencipta merupakan satu momen yang syahdu dan penuh keinsafan:

Assalamualaikum, Ya Rabul Alamin
Assalamualaikum, Ya Rabbi
Assalamualaikum, Ya Ilahi
Ana Abdullah
Ana Abdillah
Ana Abdallah
Ana Mawujud
Mawujud
Syukran
Syukran
Thankyou, Allah
Thank you, Ilahi, Rabbi

Salam perkenalan seperti itu juga merupakan petanda bahawa satu penghidupan baru bermula buat watak aku. Inilah nur yang telah diberikan kepada watak aku (tidak sukar untuk menerka bahawa watak aku itu sebenarnya adalah sang pengarang sendiri)

Nur yang mengubahnya menjadi manusia baru, meninggalkan kekejangan jiwa materialistik dan memulakan perjalanan batin memperoleh makrifat yang hakiki.

Inilah permulaannya. Keluar dari kegelapan dan masuk ke pencerahan seperti yang ditegaskan, “ Di keluarkan oleh Tuhan dari kegelapan kepada Nur.” Al-Baqarah 2:257
Ya, luar biasa sekali. Saya percaya Danartopun akan ternganga membacanya !

Secara keseluruhannya, pembawaan Abdillah di sepanjang cerpen ini biarpun mudah dan sederhana, namun pengisian jiwanya begitu tinggi. Saya secara peribadi amat terkesan membacanya dan secara peribadi meletakkan inilah karya terbaik beliau.

Mengapa ? Ya, saya meletakkan dasarnya begini: “ Sebuah cerpen yang baik tidak semestinya sarat dengan pengungkapan teori penulisan ataupun pemanipulasian teknik mahupun penggunaan bumbu sastera. Sebuah cerpen yang baik dan menyentuh dapat juga berdiri eksistensinya daripada persembahan naratif yang sederhana tetapi berkesan, paling penting yang datang dari hati yang jujur dan tulus.”


*
“Allah membimbing kepada cahayaNya sesiapa yang Dia kehendaki”
Nasharuddin Al-Baidawi , Tafsir Anwar Ut tanzil wa Asrar al- Ta’wil




No comments: