Monday, September 8, 2008

Menelaah ‘Cinta SiPemain Pedang’


Penerbitan ‘bawahtanah’

“ Barangkali, kelahiran sebuah antologi merupakan kemuncak kepada eksistensi seorang penyair. Kerana itu setiap penyair akan cuba menggembleng segala kudrat dan iradatnya untuk menghasilkan antologi peribadi. Segala-galanya akan ditumpahkan kepada pengerjaan dan pemilihan karya-karya terbaik untuk dimuatkan ke dalam antologi. Sebuah antologi akan menjadi bukti keberadaan atau ‘being’ penyair di dalam gelanggang pertarungan kata-kata. Apatah lagi jika ia penerbitan sulong.” Petikan kata-kata itu sungguh bermakna kerana ia mengandung semangat perjuangan yang tinggi. Nadanya bersungguh-sungguh dan seperti tidak akan nampak sebarang kelemahan. Begitulah yang dinyatakan oleh Yususffansuri, penyair muda yang mulai meningkat wibawanya di persada sastera Darul Hana.
Antologi terkini beliau ialah ‘CInta si Pemain Pedang’ [seterusnya disebut Cinta sahaja]. Biarpun Cinta merupakan penerbitan kelima beliau, namun semangat kepenyairannya masih likat dan asyik. Situasi ini benar. Dengan bermodalkan RM150, beberapa peralatan pejabat yang dipinjam dan masa hujung minggu yang berharga itu, Cinta berjaya disiapkan dalam tempoh 6 jam melalui penerbitan ala-bawahtanah yakni underground. . Diakui dirinya sendiri selepas itu ‘nasib sesuatu bangsa tidak akan berubah melainkan bangsa itu sendiri mengubahnya.’
Dengan beraninya saya mengatakan bahawa himpunan Cinta merupakan pengerjaan Yusuffansuri yang terbaik setakat ini !
Apabila Cinta berada di tangan saya, amat terasa likatnya dunia pengkaryaan Yusuffansuri yang dikatakan baru saja belajar berjalan itu. Sang penyair berusaha sedaya upaya menemukan diri serta khalayaknya akan kredo kesenimanannya. Stail penulisan puisi-puisi pendek menjadi pilihan Yusuffansuri dan gaya sedemikian seperti sudah menjadi akrab dan mengakar di sanubarinya. Di dalam kata pengantarnya, Roslan Jomel seorang penyair muda yang bergelandangan di kota Kuala Lumpur meletakkan pandangan seperti berikut :
“ Menulis puisi pendek yang baik kesatuan struktur dalamannya sesukar menulis puisi panjang yang kukuh penjelasan dalamannya.” Dengan kata lain darjah kesukaran menulis puisi pendek terletak pada kebijaksanaan penyairnya dalam memanipulasi kata-kata secara minimal tetapi memberikan maknanya ke tahap maksima. Himpunan Cinta mengandung sejumlah 30 buah puisi yang rata-ratanya mengungkap cinta sebagai tulang sumsum pengkaryaannya kali ini. Melihat kepada hasil pengkaryaan Cinta ini, barangkali boleh dianggap Yusuffansuri merupakan penemuan terbaik abad ke 21.
Yusuffansuri bukan sekadar cuba mempersembahkan tema cinta yang sudah diangap klische itu, tetapi beliau cuba menemukan bentuk pengucapan yang segar dan terasa unik di kuping telinga, apatah lagi untuk sampai di hati. Cinta di benak fikiran Yusuffansuri mengalami transisi yang drastic yang akhirnya menjadikan cinta sebagai tema baru yang menjanjikan penemuan yang mengejutkan. Yusuffansuri memberikan nafas yang lain kepada cinta. Sang penyair lain yang selama ini barangkali imun terhadap tema cinta, seolah-olah diberi kemungkinan lain bahawa cinta masih topic yang relevan.
Cinta menjadi lebih tajam didalam Cinta. Cinta menjadi lebih syahdu didalam Cinta.. Cinta menjadi lebih ragu didalam Cinta. Cinta menjadi lebih derita didalam Cinta. Cinta menjadi lebih rindu didalam Cinta. Cinta menjadi lebih pasrah didalam Cinta. Ya, cinta mengalami anjakan paradigma dek welschasstaung Yusuffansuri. Itulah dia Cinta Fansuri.
Di dalam sajaknya ‘Kedua Yang Pertama’ amat terasa ketajaman rasa cinta yang cuba disampaikan oleh Yusuffansuri. Penggunaan kata-kata ‘hati aku debar zulaikha tatkala menatap wajahmu’, ‘di tangan luka tak terasa dihiris tajam mata cinta’, memberikan satu sensasi pembacaan dan penghayatan yang tinggi.Jika diamati Yusuffansuri amat berhati-hati dalam pemilihan kata-katanya. Hal seperti ini bukanlah sesuatu yang baru di dalam dunia persajakan. Namun aspek diksi [pemilihan kata-kata] penyairnya begitu baik dalam usahanya untuk memberikan satu pengucapan yang segar.
Didalam sajak ‘Hanya Tuhan Bisa Tahu’ Yusuffansuri begitu bijak memanipulasikan imejan berikut ‘basah tangan, basah lagi hatimu’, yang akhirnya memberikan suatu perasaan syahdu yang teramat. Ia dapat memberikan keberkesanan dalam memberi pembayangan saat cinta yang meruntun. Didalam bait terakhir, penyair memberikan satu kesimpulan yang kukuh apabila menyatakan, ‘tatkala parut mula bernadi, luka lama bernafas lagi.”
Dalam konteks ini, unsur personifikasi digunakan tepat pada waktu dan ketikanya dan saya merasakan inilah satu lagi kewajaran Yusuffansuri. Kewajaran yang dimaksudkan ialah kebolehan penyairnya untuk menyusun plot yang dapat membimbing pemahaman penikmat sastera. Plot di dalam sajak Yusuffansuri rata-ratanya dipecahklan kepada beberapa bahagian yang tidak semestinya punya formula khas.
Saya meneliti salah sebuah sajak kegemaran saya iaitu Cinta SiPemain Pedang [judul antologi ini.] Di dalam bait pertama Yusuffansuri menulis; ‘entah berapa kali/ Ingin aku tinggalkan/ medan permainan ini’ . Bahagian ini merupakan satu penyataan sikap meragui didalam dirnya. Sikap yang menjadi benalu yang memamah ketenangan sanubarinya. Selanjutnya penyair membuka ragu sikap keraguan dan membawa kita menelusuri kepasrahannya dalam mengharungi predicament perasaan dengan bait berikut;

Namun tak terdaya
Menawan kudrat
Cuba mengelak
Setiap gerak
Cuba menepis bijak
Helah angin.

Seterusnya kita dibawa untuk merasai penderitaan akibat daripada rasa menahan itu. Yusuffansuri pada bahagian ini begitu tulus menggambarkan keruntunan hatinya yang berbunyi ; ‘parut aku masih/ belum sembuh/ darah di tubuh/ belum dibasuh’. Akhirnya kesimpulan yang amat sadistic sifatnya cuba diketengahkan oleh Yusuffansuri apabila dengan nada pesimistik penyair meletakkan rumusan berikut:

Entah sampai bila
Aku harus tega
Mengasah pedang cinta
Yang sesekali hampir
Meragut nyawa ?

Sememangnya sejak dahulu lagi, cinta memberikan opportuniti untuk ledakan perasaan yang seumpama Gunung Karatakotoa. Beribu-ribu sajak ditulis tentang cinta ; jatuh cinta, cinta pertama, derita cinta, rindu dek cinta, cinta Tuhan dan sebagainya, semuanya mengungkapkan rusuhan emosi yang meluap-luap. Yusuf tidak terkecuali daripada ini, cima yang menjadikan sajak-sajak beliu unik ialah keikhlasannya membuka diri untuk dinikmati oleh khalayak.
Melalui sajak-sajaknya, Yusuf memberikan kontemplasinya untuk dijadikan iktibar kepada penikmatnya. Dia seumpama lilin membakar dirinya, memberikan didaktif cinta buat bekalan makhluk beremosi seperti manusia mengharungi dunia cinta yang sememangnya penuh berliku itu. Yusuf membangunkan momen cinta, menjadikannya ruang penikmatan sekaligus peluang pemikiran tentang cinta. Kata Yusuf, cinta menjadikan manusia tidak menentu seperti ungkapannya didalam sajak 'Dan Berlalu" sukarnya/ memilih untuk/ kepastian satu/ simpang antara /hujung tiada.
Kata Yusuf, cinta menjadikan manusia sentiasa merasa syukur dan reda akan apa yang ada seperti sajak 'Seekor Kupu-kupunya' :

Kau tinggalkan debu
singgah
seringkali meski acapkali
aku jamu sesisip madu !

Kata Yusuf lagi, sepi adalah kemuncak cinta; apabila basah meresap rasa/ sunyi mula bernadi/ (dingin amat jelas diasosiasikan dengan perasaan rindu mendalam) hujan telah mencumbu/ setiap ruang waktu/ (dan pada akhirnya menjelmalah letusan cinta yang hebat itu) di puncak sepi/ rindukan matahari ! ( dari sajak 'Hujan Telah')
Menurut Shahnon Ahmad "...seorang sasterawan yang sah dan yang sahih sentiasa berjiwa pengorbanan sepanjang hidupnya. Dia mengorbankan tenaganya, masanya, daya kreativitinya, daya kepekaannya, pemgalamannya dan segala kenikmatan dirinya untuk menghasilkan karyanya kerana proses penghasilan karya ini adalah satu proses yang pedih lagi banyak liku-likunya."
Barangkali kerana itu kita mudah terasa kesan apabila menikmati sajak-sajak cinta Yusuf. Hanya manusia yang tidak berperasaan sahaja akan merasa asing dengan persoalan yang cuba diterapkan oleh Yusuf itu. Yusuf adalah penyinta kepada cinta itu sendiri.

A true lover is proved by his pain of heart.
No sickness is there like sickness of heart.
The lover’s ailment is different from all ailments;
love is the astrolabe of God’s mysteries.

Namun pada akhirnya ia bukanlah tentang unsur sastera [i.e personifikasi, metafora, hiperbola dan sebagainya.] yang digunakan didalam pembikinan setiap sajak itu, tetapi bagi Yusuffansuri semua sajaknya harus berkesan berbicara menyampaikan sari rasa yang dimaksudkan sang penyair, harus meresap ke dalam jiwa penikmatnya dan meninggalkan kesan mendalam bahawa cinta bisa membawakan kesan keinsafan terhadap nilai-nilai kemanusiaan yang semakin menipis itu.

No comments: