Monday, September 8, 2008


Kudos ‘Penulis Pelbagai Kaum’ SEA Writes Awards


Ya, mengapa ‘penulis pelbagai kaum’? Itulah persoalannya.

Pagi minggu lepas, beberapa kerat kerabat Angkatan Pengkarya Indie (API) terlibat didalam diskusi sastera informal di warung Kyros Kebab yang bertanya soalan yang sama dan sempat mengharungi beberapa fasa perbincangan yang hangat dengan pro dan kontranya. Apa lagi beberapa hari selepas itu, saya dan moderator laman maya Sastera Sarawak Yusuffansuri berkunjung ke toko buku Dawama Sdn Bhd dan terserempak dengan sebuah buku yang menghimpunkan karya-karya daripada ‘penulis pelbagai kaum itu’.

Hal lain yang menarik pula ialah tentang pemergian seorang novelis muda yang berpusat di utara ke perhimpunan Mastera di Bogor oleh sebuah birokrasi sastera di atas tiket ‘penulis pelbagai kaum’. Di samping itu, beberapa aktiviti khusus menanggapi hal-ehwal ‘penulis pelbagai kaum’ pernah diadakan sebelum ini. Pendek kata hal-ehwal ‘penulis pelbagai kaum’ ini mendapat perhatian yang ‘luar biasa’ daripada pihak berwewenang. Alangkah beruntungnya mereka yang tergolong sebagai ‘penulis pelbagai kaum’ kerana diberikan keprihatinan sedemikian rupa.

Barangkali perkembangan yang amat memberangsangkan ialah pencapaian gemilang salah seorang daripada ‘penulis pelbagai kaum ’itu iaitu Jong Chin Lai yang dianugerahi South East Asia Writes Awards 2006 (seterusnya SEA Writes) oleh Raja Bhumiphol Alduyadej. SEA Writes merupakan sebuah anugerah berprestij di Asia Tenggara dan seringkali dianggap puncak kepada pencapaiaan bagi seorang sasterawan, apatah lagi sasterawan dari Sarawak. Setakat ini Jong Chin Lai merupakan penerima tunggal dari bumi Sarawak Darul Hana ini.

Justeru, kita kembali kepada persoalan awal tadi iaitu ‘penulis pelbagai kaum’ itu. Kemenangan Jong Chin Lai sedikit-sebanyak membuka mata para sasterawan tersohor lain tentang kemampuan mereka untuk ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tingg bersama Jong Chin Lai kelak (baca:penulis pelbagai kaum) kerana beliau(mereka) sudah semestinya dianggap penulis ‘hall of fame’ sekarang. Namun persoalan lebih serius ialah kemenangan Jong telah mencetuskan satu jurang yang besar di antara penulis melayu dan ‘penulis pelbagai kaum’ itu.

Kemenangan itu dapat dijadikan sebagai kayu ukur untuk melihat jurang perbazaan diantara penulis Melayu dan ‘penulis pelbagai kaum’. Memang agak janggal untuk meletakkan keadaannya sedemikian tetapi itulah kenyataannya. Pengkategorian ‘penulis pelbagai kaum’ dengan sendirinya telah mewujudkan satu pesempadanan di antara golongan penulis terbabit. Mahu tidak mahu bibit rasis sastera telah mula tercetus !Hal begini bukanlah merupakan petanda yang sihat bagi kesejahteraan dunia sastera kita.

Memang pada dasarnya pewujudan ‘penulis pelbagai kaum’ ialah sebagai satu usaha untuk menggalakkan kaum lain untuk menulis dalam Bahasa Melayu dan sekali gus menyebarkan lagi penggunaan Bahasa Melayu di kalangan yang bukan Melayu.Diakui setakat ini usaha ini telah berupaya melahirkan beberapa penulis berpotensi seperti Jaya Ramba, Lukas Takip, Benedict Talip, Douglas Jaga, Poul Nanggang dan Levis Empanang Taka.

Di peringkat kebangsaan pula, muncul nama-nama seperti Uthaya Sankar, Seroja Tevi, Chu E Liang dan paling menonjol ialah Lim Swee Tin yang juga pemenang SE Writes Awards.

Namun rasional ini dilihat sebagai dangkal kerana pada akhirnya pengkategorian demikian telah membawa dampak yang lebih banyak negative daripada positif. Pengkategorian seperti ini dengan sendirinya seperti meletakkan satu sempadan yang jelas di antara penulis bukan melayu dan melayu, seperti ada penyempadanan politik ! Mengapa perlu ada pemecahan sebegitu, tidak pula pernah dikupas dan dianalisa secara tuntas, namun yang pasti sekarang telah berlaku pemecahan yang diringi dengan keistimewaan tertentu terutamanya terhadap ‘penulis pelbagai kaum’ itu.

Berkemungkinan pihak berwewenang merasakan bentuk pengkaryaan daripada suku kaum lain tidak boleh disamakan dengan penulis Melayu kerana kononnya kedua-dua kelompok itu tidak mempunyai kepentingan yang sama dan masing-masing mempunyai agenda tersendiri (berunsur etnik).Namun sejarah pengkaryaan telah membuktikan beberapa penulis Melayu pernah menyentuh perihal suku kaum lain seperti yang dilakukan oleh Sinora Azma,Jais Sahok, Buang Haji Umar dan Awangku Merali.

Pengkategorian sebegini sebenarnya secara tidak langsung mewujudkan satu situasi ketidaseragaman dan ketidaksatuan didalam scenario sastera Bumi Kenyalang khususnya dan Malaysia amnya. Pengujudan golongan ‘penulis pelbagai kaum’ banyak memberikan impak negative kepada aspek perpaduan masyarakat yang kita banggakan sebagai multi racial ini’ . Jika dilihat golongan ‘penulis pelbagai kaum ini banyak mendapat perhatian daripada pihak berwewenang. Namun daripada segi mutu karya kedua-dua kelompok sebenarnya mempunyai tahap yang jauh berbeza.

Namun dengan pengkategorian ‘penulis pelbagai kaum’ itu seperti memberikan ‘privillege’ tanpa mempedulikan tentang tahap mutu karya tersebut.Sebagai contohnya terdapat sebuah karya daripada golongan ‘penulis pelbagai kaum’ pernah ditulis semula semata-mata untuk diterbitkan. Subsidi sastera sebegini sebenarnya akan mendatang kesan yang tidak baik bukan sahaja kepada penulis terbabit tetapi juga terhadap dunia sastera tempatan keseluruhannya.

Walau apapun yang diperkatakan, kita harus kembali kepada diri sendiri dan mulai mempersoal begini : mengapa kita tidak menggunakan istilah PENULIS SARAWAK sahaja ?








No comments: