Monday, September 8, 2008

Orang sastera syok sendiri ?

Suasana di Kuching Waterfront malam itu sedikit lengang. Malamnya malam biasa. Sekejap lagi akan hujan. Malam itu saya dan Yusuf Fansuri ada janji temu dengan seorang anak muda yang amat meminati seni dan sastera. Namanya Mizan.
Beberapa gelas teh tarik, beberapa pinggan kueh tiaw dan perbualanpun bermula.
"Orang sastera syok sendiri !" Mizan mulai melontarkan persoalan. Terasa benar nada marah berbaur kecewa padanya. "Orang sastera syok sendiri," sekali lagi dia memuntahkan kesimpulan pahit itu. Saya dan Yusuf Fansuri hanya terdiam sambil memerhati tepat ke arah anak matanya.
Teringat pula zaman rebellious kami suatu ketika dulu. Kami saling berpandangan dan tersenyum, faham benar. Kami tidak pula mudah melatah tetapi cuba memahami geloranya itu. (Sewajarnya kita yang dulu merasa masinnya garam harus menjadi pendengar yang baik, Itulah yang diperlukan oleh anak muda seperti Mizan)
Kamipun menjadi pendengar yang cuba mengerti.
Pada akhirnya, saya menyimpulkan bahawa duduk perkara sebenarnya memang terjadi. Hakikatnya , memang orang sastera syok sendiri tetapi persepsi ini hendaklah dirungkai dan dirinci akan tafsiran serta pengertiannya dan bukan pula cuba disalahmengertikan, dimanipulasikan, disensasikan sehingga mencetuskan kepandiran fikiran.
Apakah sebenarnya yang berlaku ?
Begini ceritanya : rekod masa lalu menunjukkan kebanyakan kegiatan sastera di Bandaraya Kuching ini berpusat di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak. Ini fakta bukan auta. Sebabnya, kerana faktor kedudukannya yang strategik, birokrat yang mesra sastera, kemudahan mencukupi, sewa murah.
Walaupun ada cubaan untuk membawa kegiatan keluar daripada kepompong menjenuhkan itu, namun seperti ada kuasa yang menarik orang sastera untuk kembali mengimarahkan dewan itu, Akibatnya sastera menjadi suatu kegiatan yang ekslusif yakni khusus untuk orang sastera sahaja.
Persoalan menarik, siapakah pula orang sastera itu ?
Para penulis alias sasterawan, para pelajar seni dan sastera daripada sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, aktivisi seni/sastera, para peminat sastera yang sebenarnya kawan-kawan orang sastera, inilah dia khalayak sastera dan amat mengejutkan majoriti mereka ini adalah orang Melayu/Bumiputera.
Jadi tidak hairanlah dewan itu juga yang menjadi pilihan kerana letaknya yang strategik di kawasan Petra Jaya yang majoritinya penduduknya adalah Melayu/Bumiputera. Jadi persoalan seterusnya, adakah kegiatan sastera ini eklusif untuk orang Melayu/Bumiputera sahaja? (Maaf cakap, saya bukan cuba bernada rasis tetapi hanya cuba membuktikan bahawa hala tuju sastera kita perlu penilaian kembali.)
Dan bagaimana pula apreseasi daripada masyarakat Cina, India, Jawa, pelajar asing seperti dari Afrika, Eropah dan lain-lain yang dimaklumi begitu banyak jumlahnya di Bandaraya Kuching ini? Tak percaya, lihat saja di Kuching Waterfront.
Justeru, sastera kita harus berubah.
Saya pernah membangkitkan hal ini suatu ketika dulu. Malangnya tidak mendapat sambutan. Malu tersipu-sipu saya. " Action speaks louder than words," geramnya hati saya ketika itu. Lalu saya dan beberapa sahabat cuba mengusahakan acara baca puisi jalanan di Tebingan Kuching. Kami namakan cara itu Festival Seniman Jalanan.
Sambutan pada mulanya agak dingin.
Tetapi lama-kelamaan manusia kota mulai menghargai (kalau tidakpun memahami) puisi. Pernah kami menjemput beberapa deklamator (bidan terjun sebenarnya) Cina untuk turut serta dalam sesi. Pernah juga kami mendapat penyertaan dari pelancong asing seperti dari UK , Netherland dan sebagainya.
Mereka baca puisi dalam Bahasa Malaysia. Tidakkah itu membanggakan. Kegiatan seperti ini jika diteruskan tidak mustahil akan mencetuskan satu budaya menghargai sastera dan bahasa yang meluas didalam masyarakat kita. Tidak mustahil, sastera akan merakyat.
Ya, merakyatkan sastera, begitulah bunyinya.
Seingat saya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak pernah tampil dengan aktiviti Bajo Muzikasari; suatu bentuk aktiviti seni dan sastera yang memberi tumpuan kepada beberapa karyawan tempatan. Paling penting ia diadakan juga Tebingan Kuching.
Pegawai projek Encik Nizam sebenarnya mengambil risiko tinggi apabila bercita begitu besar untuk merakyat sastera. Katanya, dia berani. Kata saya, teruskan. Boleh dikatakan projek itu berjaya memberi pendedahan tentang seni dan sastera kepada khalayak di Halaman Rakyat, khalayak yang sebenarnya buta sastera, buta seni.
Bukankah itu sebenarnya urusan kita, mencelikkan rakyat untuk mengenali hal-ehwal kesenian dan kesusasteraan tempatan dan kebangsaan. Namun jalannya berbeza pula apabila kita hanya memberi tumpuan kepada khalayak yang sememangnya sudah celik seni dan sastera. Apakah itu sindrom bebalisme yang dipopularkan oleh Syed Hussein Al-Attas? (Sila baca buku Intelektual Dalam Masyarakat Membangun)
Barangkali atau inilah yang dikatakan orang sastera syok sendiri !
Daripada seorang anak muda bernama Mizan yang berfikiran jauh kehadapan seperti juga ketika Hang Nadim memberikan buah fikirannya yang bernas untuk menyelesaikan masalah Singapura di langgar todak. Masalah selesai ! Selebihnya, tepuk kepala tanya minda.
Ya, saya bersetuju. Mengapa tidak orang sastera turun ke gelanggang rakyat. Kerabat Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA) mahupun beberapa kumpulan teater yang ada di sekitar Bandaraya Kuching boleh mengadakan persembahan di tempat awam seperti Kuching Waterfront.
(Untuk makluman, statistik tidak rasmi menunjukkan Tebingan Kuching menjadi pilihan masyarakat Cina untuk bersantai dan beriadah pada hujung minggu, lebih tepat lewat petang sehingga malam. )
Pastinya pihak Pengurusan di situ amat mengalu-alukan kehadiran persembahan seperti ini. Saya percaya mereka akan memberi sokongan padu. Percayalah. Buat saja apa-apa kegiatan sastera; latihan baca puisi, teater, seminar, bengkel dan sebagainya, saya percaya pihak Pengurusan akan menyokong seratus peratus.
Adakah ini suatu yang terlalu tinggi untuk diminta? Adakah orang sastera terlalu merasa diri besar sehingga merasa terhina untuk turun ke teratak marhaen? Adakah ini ' kasta baru' yang ada didalam masyarakat kita ? Adakah peranan sastera menjadi jiwa bangsa (baca: rakyat) sudah berputar 360 darjah? Bahasa Jiwa Bangsa atau Bahasa Jiwa Melayu saja?
Adakah sastera hanya untuk sastera dan bukan untuk rakyat ? Atau orang sastera lebih selesa untuk syok sendiri.

1 comment:

setiakasih said...

Salam..mm.. Saudara Zach.
Saya bukan org teater namun penulisan saudara amat menyentuh hati saya.
Mungkin teater di Sarawak ini belum punya ketokohan ke'pengarah'an yang mantap disamping kurangnya sokongan dari segi ekonomi.
Namun, berbeza dengan cabang seni persembahan yang lain lebih menonjol berbanding teater.
Saya berharap perjuangan saudara tetap akan diteruskan.