Monday, September 8, 2008

Dunia Tanpa Buku ?

Internet memberikan ruang dan peluang yang menakjubkan !
Barangkali dapat dikatakan internet merupakan fenomena penciptaan terunggul abad ke 20, meletakkannya sebaris dengan rekaan ngetop lain seperti telefon, elektrik, kereta, kalkulator dan tivi. Abad 21 telah menjelma menjadi medan pelayaran maklumat tanpa batas.Ia satu bentuk kebebasan seperti burung-burung yang terbang di langit terbuka ! Internet sebegitu penting sehingga ia mempengaruhi kebudayaan manusia sejagat. Daripada segala segi internet mulai meledakkan impaknya.
Internet telah mengecilkan dimensi dunia dan mengubah paksi bumi ke tahap fleksibeliti yang tinggi. Jika logiknya dulu diletak sebegini; jarak terdekat di antara A dan B ialah sebuah garisan (atau perjalanan) lurus. Kini dengan internet, jarak terdekat hanyalah ketikan pada papan kunci ! Interneti menjadi vessel pengembara yang memungkinkan sesuatu yang mustahil telah dapat dikecapi seperti berkunjung ke satu tempat hanya dengan senafas.
Jika dulunya hanya bisa dinikmati oleh segelintir manusia terunggul sahaja seperti para wali.
Namun kini mengembara senafas menjadi rutin harian hampir segenap manusia yang mengenal internet. Baik membuka laman atau beropersi secara realtime, akses seperti ini terbuka kepada sesiapa yang mempunyai kemahuan untuk 'mengembara di langit terbuka' Hampir segenap lapisan masyarakat tidak terkecuali daripada pengaruh internet. Ini termasuklah sasterawan kita. Ledakan fenomena moden kini mulai terasa menular di dalam komuniti sastera. Jika zaman lampau aktiviti sastera hanya tertakluk kepada kursus, bengkel, seminar, perkampungan dan kemuncaknya ialah penerbitan karya-karya dalam bentuk buku.
Sekian banyak antologi puisi, novel, cerpen, esei dan kritikan sastera mengisi ruang rak-rak di toko-toko buku , khutubkhanah dan menjadi koleksi peribadi. Begitu juga ruang di media cetak seperti akhbar, majalah dan penerbitan stensilan tidak akan ketandusan dengan penampilan karya-karya sastera sebagai indikasi berkembangnya dunia pengkaryaan para sasterawan kita. memang tidak dapat dinafikan penerbitan merupakan orgasme kepada dunia kepengarangan, memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga, nikmat yang boleh melunturkan kekecewaan bertahun-tahun dan menyuburkan semangat perjuangan seterusnya.
Namun ternyata itu ukuran lama, yang barangkali boleh dipertikaikan kini apabila munculnya sesuatu yang bernama moden.
Aya Wassef mengatakan ini seperti berikut, " kemodenan adalah sesuatu yag berbeza dengan masa lampau. Kemodenen melangkah beriringan dengan kemajuan saintifik; dengan kemajuan dibidang sains, industri, produktiviti besar-besaran, masyarakat pegun, perkembangan dalam media massa dan pengaruh kuat dalam kebudayaan."
Pada zaman moden ini, sasterawan mempunyai dimensi baru dalam memastikan dunia pengkaryaan mereka berkembang. Mereka tidak lagi berfikir buku ialah segala-galanya dalam memastikan dunia pengkaryaan mereka tumbuh dan berkembang. Jika dulu buku ialah tingkap kepada pengetahuan dan maklumat, kini mereka beralih pula kepada komputer dan jaringan internet sebagai alternatif mutakhir.
Tiada siapa dapat melarikan diri daripada perubahan ini. Tiada siapa yang terkecuali daripada perubahan ini. Semua kita terlibat didalam satu jaringan sejagat.
Menariknya, sasterawan kini juga bergelar bloggers dan amalan blogging mulai menambat hati mereka. Laman blog yang direka sedemikian rupa memberikan mereka kebebasan berekspresi yang tidak terbatas, hanya hati menjadi penentu kepada boleh dan tidak boleh . Kewajaran semestinya harus berada pada tahap yang tinggi dalam memastikan pengkaryaan tidak terkeluar daripada hukum alam, hukum masyarakat dan hukum akal sihat Pastinya ini akan melatih sasterawan (baca:bloggers) lebih bertanggungjawan terhadap kerja fikiran mereka.
Namun hakikatnya, sasterawan kini mempunyai simpang-yang-satu-lagi untuk berkarya, simpang alternatif. Ia seperti satu anugerah kebebasan; karya dalam pelbagai genre sastera di samping tumpahan fikiran yang mengesankan daripada akal yang berselindung didalam tempurung kepala itu, menjadi modal untuk diisikan di dalam blog masing-masing.
Hampir setiap hari lahirnya sasterawan ! Hampir setiap minit lahirnya puisi. Hampir setiap saat lahirnya cetusan fikiran baru.
Sasterawan-sasterawan baru ini pasti akan menyusulkan blog peribadi sebagai mercu kewujudan mereka di persada sastera maya. Inilah 'being' mereka. Karya-karya terbaru akan dimuatkan didalam blog yang sedapat mungkin diusahakan mencerminkan keperibadian, Cantuman warna, foto, muzik kegemaran, petikan pujangga agung dan sebagainya menambahkan lagi erti pada kewujudan blog mereka. Semuan ini dilakukan demi untuk menarik perhatian khalayak pelayar dalam menikmati karya-karya mereka.
Dalam konteks Sarawak, boleh dianggap pelopor kepada kegiatan seumpama ini ialah Angkatan Pengkarya Indie (API) yang mula-mula muncul dengan portal sastera_sarawak yang kini sudah mencecah tujuh tahun usianya (tepatnya 26 jun 2007 ini). Boleh dikatakan sastera_sarawak merupakan portal sastera yang amat berjaya menjanakuasakan pemikiran sastera terkini terutama daripada penulis-penulis muda di Sarawak. Namun demikian daripada portal inilah juga berkembangnya amalan blog di kalangan sasterawan muda.
Pautan-pautan yang dimuatkan di portal sastera_sarawak akan membawa pelayar ke blog-blog peribadi kerabat API, satu lagi pembaharuan kepada dunia sastera Bumi Kenyalang. Blog-blog seperti Makhluk Asing Timoer Jauh (puisi) , Rekayasa Pulpa (puisi), Basah Dalam Setitik Nila (puisi), Naratifisme (puisi dan esei), Peluru Hidup Yusuf Fansuri (puisi), Melayu Bumi Sempurna (puisi), Stail Utusan Sarawak (esei), Citra Sukma (puisi berfoto), Teropong Digital Api (himpunan foto) dan Pharo Hakim (puisi dan foro) sentiasa berusaha memuatkan karya-karya sastera terbaru daripada pelbagai genre.
Keproduktifan dan keprolifikan mereka ini seharusnya mendapat perhatian !
Pendek kata, saban hari ada saja yang bahan-bahan baru dimuatkan. Tidak dapat disangkal fenomena blog-blog sastera pasti akan mendapat sambutan daripada sasterawan lain memandangkan ini merupakan perkara terkini atau 'the in thing' pada zaman serba canggih ini. Manusia kini menuntut lebih daripada sekadar menjadi pendengar setia kerana masing-masing mahu didengar pemikirannya.
Sasterawan pula tidak payah menunggu bertahun-tahun untuk karyanya menemui khalayak. Kini alternatif maya memberikan jalan singkat untuk karya-karya anda menemui khalayak. Saya ringkaskan caranya di sini; pilih penyedia blog (yang percuma senang didapati tetapi jika inginkan nama domain kenalah berbelanja sedikit tetapi bayangkan jika nama sendiri digunakan seperti www.pharohakim.com, itu lebih kelas!). Dengan blog percuma anda boleh mereka sendiri blog anda. Selepas itu pilih karya-karya terbaik tak kira puisi, cerpen, novel, esei, sajen dan sebagainya.
Jika hendak memperoleh sedikit wang, kena tukarkan karya anda kepada format PDF, kemudian aturkan sistem muat turun dan kaedah pembayarannya. Perkara pertama yang penting jika hendak berjaya ialah pemasaran, perkara kedua ialah pemasaran dan perkara ketiga ialah pemasaran. Namun perkara teramat penting karya biarlah bermutu.
Namun saya memikirkan pula satu kemungkinan lain iaitu apabila sampai ke satu peringkat dunia kita akan wujud sebagai dunia tanpa kertas. Suatu ketika nanti kertas akan menjadi terlalu mahal kerana bilangan poko-pokok yang menghasilkan palpa untuk membuat kertas juga semakin berkurangan. Lantaran ini akan memberi kesan secara langsung kepada industri penerbitan buku. Lalu alternatif untuk mengatasi masala ini ialah penerbitan dalam bentuk maya; e-buku, e-majalah, e-akhbar dan segala macam 'e' lagi.
Muat turunkan saja 'Sirrul Asrar' karya Abdul Qadir Al-Jalaini ataupun 'Catcher In The Rye' oleh JD Salinger ataupun 'Satanic Verses' bikinan Salman Rushdie, kini format PDF hanya menunggu ketikan jari anda sahaja. Tidak kira ia percuma ataupun dengan sedikit bayaran, namun kosnya masih terlalu murah berbanding membeli sebuah buku. Ya, sampai satu peringkat, dunia kita akan wujud sebagai dunia tanpa kertas.
Tiba-tiba saya teringat sebuah filem lama arahan Francois Truffaut berjudul 'Fahrenheit 451'. Filem yang diambil daripada novel fiksyen Ray Bradbury itu menceritakan sebuah dunia tanpa buku, sebuah dunia yang diperintah oleh regim kuku besi Montag yang mengarahkan agar semua buku (karya sastera) yang ada dibakar pada kepanasan suhu 451 darjah Fahrenheit. Namun di satu sudut terpencil daerah itu, tinggal kelompok pencinta buku yang menyedari tidak berdaya lagi menyimpan buku (dalam bentuk aslinya) namun mempunyai cara lain untuk 'menyimpannya' iaitu dengan menghafal setiap patah perkataan, 'word by word' .
Dan bayangkan ada diantara mereka yang masih muda sudah berusaha menghafal buku-buku karya agung seperti ' War and Peace' - Doytoevsky, 'The Republic'-Plato ,'The Prince'-Machiavelli dan lain-lain. Situasi digambarkan ketika itu ialah apabila 'mankind becomes the ultimate evil'. Dan saya sedikit gerun dengan kenyataan naratif filem itu.
Dunia tanpa buku, sebuah realiti ataupun utopia ?

No comments: