Monday, September 8, 2008

DIMENSI BARU ‘YANG INDAH ITU BAHASA’ ?

Bahagian 1


Ruangan Yang Indah Itu Bahasa (YIIB) akan dipindahkan ke akhbar Utusan Borneo (UB) ! Ini suatu peristiwa yang bersejarah, sekurang-kurangnya kepada golongan sasterawan tempatan. Sebelum ini YIIB amat sinonim dengan akhbar berpengaruh Utusan Sarawak (US). Setelah hampir satu darsawarsa bertapak di US, keputusan untuk berpindah ke tapak lot baru nampaknya mengundang kejutan. Saya tidak pasti apakah ini keputusan yang terbaik, namun mereka pastinya punya justifikasi untuk membuat penghijrahan sedemikian rupa. Barangkali juga ini ‘gesture’ bersempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini. Namun daripada segi magnitud peranan YIIB tidak akan banyak perubahan. YIIB tetap akan menjadi wadah untuk golongan sasterawan tersohor berpencak dengan ide dan pandangan masing-masing.
Lantaran itu, saya menerima khabar yang agak ‘menggemparkan’ itu dengan hati terbuka. Biarpun sebelum ini, perubahan seperti itu dirasakan ‘agak’ mustahil memandangkan dan tidak pernah tercetuspun di benak fikiran. Apatah lagi apabila menelusuri sejarah Utusan Sarawak sendiri dipenuhi dengan pergolakan jatuh-bangun yang amat dramatik; bermula daripada Fajar Sarawak (1930) yang dianggap memberi asas kepada penglahiran akhbar berbahasa Melayu di negeri ini, bertukar pula kepada Utusan Asas (1949) sebelum muncul Utusan Sarawak (1949) bermottokan 'Oleh Rakyat Untuk Rakyat' itu. Utusan Sarawak yang ada sekarang merupakan rentetan sejarah pergolakan akhbar berbahasa Melayu di bumi Darulhana ini. Utusan Borneo pula yang merupakan cabang daripada Kumpulan See Hua muncul agak lewat, namun sekitar 2006-2007, mulai menyusun strateginya untuk menjadi pesaing paling dekat terhadap US dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu di bumi Darulhana ini.
Menurut Jeniri Amir (Dari Budaya Ke Media), "Akhbar tempatan Utusan Sarawak mempunyai edaran harian 31,801 naskhah (angka terkini 40,000 naskhah), manakala Utusan Borneo difahamkan mempunyai edaran harian sekitar 10,000 naskhah sahaja" memberi perbandingan yang jelas akan kedua-dua akhbar tersebut. Tidak dapat dinafikan peranan US sudah membangunkan ketersohorannya dalam memperkembang dan memartabatkan seni dan sastera. Ketersohoran ini sering ditonjolkan didalam seminar baik di peringkat tempatan mahupun kebangsaan. Di samping itu, kepetahan dan kerancakan wartawan seni dan sasteranya iaitu Raden Azhar Raden Ahmad membuat liputan acara seni dan sastera baik di peringkat tempatan mahupun kebangsaan, menjadikan akhbar tersebut seperti ‘duta kecil’ dunia sastera di bumi 3 juta jiwa ini. Paling terakhir ialah Perhimpunan Penulis Pelbagai Kaum di Kem El-Azzhar, Banting,Selangor darul Ehsan pada 7-11 Disember 2006 (laporannya disiarkan di ruangan YIIB bertairkh 25 Disember 2006)
Namun kini kita terpaksa mendepani sebuah realiti biar betapa saspen sekalipun, si adik kini berusaha untuk menjadi yang terbaik daripada si abang. Namun persoalan yang perlukan sedikit perenungan ialah apakah dengan penghijrahan YIIB ke UB, senario seni dan sastera di Sarawak akan turut mengalami transformasi yang diharapkan itu ? Apakah pertukaran ini merupakan kerja ‘upgrading’ birokrasi pengelolanya yang selama ini sering dipertikaikan keberkesanannya dalam memartabatkan sastera dan bahasa kebangsaan sebelum ini? “Ini satu perkembangan yang pelik dan menarik untuk diikuti?” begitu saja saya memberi respon.

Bahagian 2

Sejarah telah menyaksikan dua pertukaran penuh dramatik yang akhirnya mengubah lanskap politik, ekonomi dan sosial dunia. Pertukaran pusat dunia ternyata memberi impak yang tidak kurang hebatnya terhadap kehidupan manusia sejagat.
Peristiwa pertama ialah pertukaran paling besar didalam ketamadunan agama Islam apabila Allah swt memerintahkan Nabi Muhammad (saw) menukarkan kiblat umat Islam dari Jerusalem (Baitul Maqdis) ke Mekah Al-Mukarammah Umum mengetahui Jerusalem merupakan sebuah bandar suci bagi Bani Israel yang sehingga kini menjadi objek perebutan di antara golongan Yahudi dan gentile (bukan Yahudi termasuk Arab). Ketika kiblat masih di Jerusalem, Nabi Muhammad berdepan risiko di perangi Bani Israel memandangkan kedua-duanya berkiblatkan pada arah yang sama. Namun pertukaran kiblat ke Mekah dianggap satu 'pertukaran stategik' yang akhirnya membangkitkan kemarahan puak Bani Israel.
Bagi mereka, pertukaran ini dilihat sebagai satu penghinaan kepada ‘ketamadunan’ bangsa mereka yang didakwa marga terpilih itu. Era kegemilangan sejarah kenabian mereka seperti telah dimomokkan oleh perintah Allah Maha Esa itu.
Maka, semenjak itu umat Nabi Muhammadpun mula bersembahyang dengan kiblat baru, sekaligus menyelamatkan 'survival' umat Islam sehinggalah ke hari ini. Sedangkan Baitul Maqdis masih kekal sebagai objek perebutan dan sentiasa dirudung konflik demi konflik sehingga mengakibatkan pertumpahan darah. Begitu merugikan.
Peristiwa kedua pula ialah apabila pusat tumpuan dunia bertukar dari negera Great Britain (GB) ke Amerika Syarikat (AS) . Sebelum Perang Dunia Kedua, Great Britain telah berperanan sebagai pusat dunia atau dengan kata lainnya 'pemerintah dunia'. Segala perkembangan tidak kira ekonomi, politik mahupun sosial adalah dibawah pengaruh Great Britain. Bahkan negera itu jugalah yang bertanggungjawab melahirkan negara Israel melalui Deklarasi Balfour 1917. Namun GB berhadapan zaman kesukaran ketika terlibat didalam kancah Perang Dunia Pertama, mereka nyaris-nyaris menjadi mangsa kekalahan pihak musuh. Namun campurtangan AS didalam perang tersebut telah menyelamat maruah GB, namun dengan sebuah harga yang tinggi iaitu menyerahkan tampuk 'pemerintahan dunia' kepada AS.
Selepas itu segalanya berubah; Paun Sterling kepada Dollar US, Downing Street ke Oval Office, London Bank ke World Trade Center, Big Ben ke Statute of Liberty, Beatles kepada The Doors, Perdana Menteri kepada Presiden dan seterusnya GB hanya menjadi pak turut di belakang buntut AS ! Hal ini semakin terasa pada zaman nuklir ini. Sebagai contohnya, peranan GB didalam Perang Teluk, krisis pemerintahan Taliban di Afghanistan, krisis pemerintahan Saddam Hussein di Iraq dan kini percaturan nuklir Iran.
Ternyata ke dua-dua contoh berkenaan telah menunjukkan impak yang begitu besar dan penuh bermakna dalam memperkatakan tentang tranformasi total yang dilakukan oleh pihak berkenaan. Yang jelas keputusan banyak mengambil kira percaturan stategi demi memastikan agenda masing-masing masih dapat dilaksanakan dengan penuh jayanya.
Bahagian 3
Namun apakah pula percaturan di sebalik pertukaran YIIB ke UB ?
Saya dimaklumkan menurut cerita hikayat di kaki tangga ia ada kena mengena dengan persoalan kurangnya dana sokongan, namun ada juga yang mengatakan sudah tiba masanya YIIB kembali ke pangkuan UB; tempat ia dilahirkan, seperti kata pepatah seperti sireh pulang ke gagang. Ada pula yang meletakkan kestabilan sebagai faktor penyebab perpindahan ini. Maaf cakap, saya bukan hendak mempertikaikan kredibiliti sesiapapun, jauh sekali kewibawaan kedua-dua akhbar itu. Bagi saya kedua-duanya boleh co-exist bersama dalam kapasiti fitrahnya. Walau apapun sebab-musababnya YIIB beralih angin daripada Jalan Abell ke Jalan Pending, diharapkan perubahan ini akan memberi satu nafas segar dalam usaha membangunkan seni dan sastera. UB mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dihadapan untuk memenuhi tuntutan memartabatkan dunia sastera kita ke satu tahap yang lebih tinggi daripada sebelumnya kerana ditangan mereka kini sudah ada satu saluran yang cukup berprestij, tempat golongan sasterawan tersohor berhimpun dan berinteraksi. Sementara US sewajarnya mencari alterbatif untuk menggantikan YIIB.
Anehnya saya mempunyai pandangan tersendiri apabila memperkatakan tentang hal ini. US harus muncul dengan ide dan inspirasi yang lain dalam menyahut cabaran untuk memartabatkan seni dan sastera tempatan. Ada banyak aspek didalam perkembangan seni dan sastera yang boleh dikembangkan. Sebagai contohnya pergerakan sastera alternatif yang mulai mendapat perhatian boleh diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan satu ruangan sedemikian rupa. Pergerakan Angkatan pengkarya Indie (API) umpamanya pernah muncul dengan akhbar sastera mereka berjudul Paksi.
Kesungguhan mereka ini terbukti apabila tiga keluaran Paksi menemui khalayak, namun disebabkan beberapa isu teknikal, ia terpaksa dihentikan. Namun kesungguhan seperti ini boleh dimanfaatkan oleh akhbar US seterusnya diperkembangkan ke tahap lebih tinggi. Saya percaya API (dengan sokongan US) jika diberi kepercayaan akan dapat memacu seni dan sastera di US. Cuma mereka ini sering diketepikan baik dari segi ide mahupun keringat yang mereka ada. Jika ini dilaksanakan, saya percaya dunia seni dan sastera di Bumi Kenyalang ini akan lebih meriah dengan pelbagai saluran untuk berekspresi; Paksi dan WBS di US, YIIB dan Suara Anak Seni di UB.
Masing-masing dengan keperibadian tersendiri !
Namun segala-galanya untuk satu tujuan, SATU TUJUAN SAHAJA iaitu untuk memantap dan memartabatkan seni dan sastera kita. Maisng-masing dengan peranan menyokong sesama sendiri dan BUKANNYA memusnahkan dan mencantas usaha yang dilakukan oleh pihak yang satu lagi.
Marhaban ya marhaban YIIB !

No comments: