Monday, September 8, 2008

Terima Kasih Daro !


di sisi silam
serangga bunuh diri di cermin kereta
menciprati darahnya kelabu
putus asa mengejar malam
tangan waktu menyihir detik
menyerap gelap ke dalam ruang
berasap cakerawalaku
uban merakyat atas kenangan

Serasanya sudah 13 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke Daro. Benar-benar tempoh itu sudah melayakkan ia untuk diklasifikasikan sebagai ‘silam’. Memang silam benar. Kali terakhir ialah pada tahun 1994. Ketika itu rakan-rakan Grup Teater Tamu Seri Kuching (TASEK) sudahpun bertolak ke Kuala Lumpur buat menggalas cabaran didalam Pekan Teater Peringkat Kebangsaan. Sedangkan saya terpaksa menangguh pemergian kerana membawa sekumpulan anak-anak muda dari Kuala Lumpur untuk ‘pentas’ di Daro.
Mislina Mustapha, Rosdeen Suboh, Noraida Che Mustapha, Duratu Ain Abdullah, Tomok dan Namron (mereka sebenarnya pelajar Akademi Seni Kebangsaan) ketika itu bergabung sebagai Alternative Stage Co. mengadakan ‘pentas eksperimental’ di Dewan KEMAS, Daro dengan naskhah Dinsman ‘Di Pulau Sa dan Di’ (perjalanan mereka sebenarnya ialah teater keliling. Sebelum sampai di Daro mereka pentas di Kuching dan Sri Aman). Dipendekkan cerita, pementasan itu amat berjaya menampilkan satu dimensi baru teater ke Daro. Permainan mereka amat berkesan terutamanya dua aktor itu-Mislina dan Rosdeen, di samping kerja penyutradaraan Namron yang unik, berani dan inovatif. Saya merindui teater seperti itu !
Selepas itu saya menyepi daripada Daro. Sentiasa berharap untuk kembali tetapi pasti ada saja halangan.
Tiga belas tahun berlalu. Ternyata pada tahun ini tuah menyebelahi saya dan akhirnya saya menjejakkan kaki ke Daro semula. Perjalanan daripada Sibu-Mukah-Daro mengambil masa empat jam. Saya memasuki daerah kecil yang terkenal dengan ikan teruboknya itu ‘pada waktu paling afdhal’ iaitu sebelum Isya’. Di sepanjang perjalanan hanya ‘menyerap gelap ke dalam ruang’. Begitulah kira-kira gambaran puitisnya sajak yang saya beri nama ‘Tatkala Memasukimu Pada Waktu Paling Afdhal’. Tidak banyak yang dapat diperhatikan ketika itu. Hanya menunggu pagi untuk memulakan tugasan yang diberikan di dalam Praktikum Seni KPSU 2006 !
Kali terakhir saya mengendalikan pratikum sedemikian ialah ketika di Kapit bersama Yusuffansuri yang berperanan sebagai pembantu saya ketika itu. Itu pada tahun 2000 (kalau tak salah silap saya). Kini KPSU memberikan semula kepercayaannya dan pada pagi itu dihadapan saya duduk dengan penuh disiplin, anak-anak sekolah berjumlah 28 orang yang berusia sekitar 13-14 tahun daripada sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Puan Datu Patinggi Hajjah Normah. (Secara keseluruhannya 90 peserta terlibat didalam praktikum seni yang turut mengajar tarian tradisional dan muzik kreatif. Satu kejayaan bagi penganjurnya. Kudos! ).
Jangkawaktu yang begitu singkat iaitu empat hari sahaja (8-11 November) menjadi cabaran untuk mana-mana fasilitator mengerahkan keringat tubuh dan akalnya. Apatah lagi apabila berhadapan dengan peserta-peserta yang boleh dikatakan masih mentah dalam bidang teater itu. Pendek kata, mereka belum kenalpun apa itu teater.Pada peringkat inilah pembinaan asas penting agar selepas kursus mereka mempunyai keupayaan untuk bergerak.
Jika dikumpulkan jumlah masa yang boleh dimanfaatkan untuk sesi pembelajaran hanya 24 jam sahaja ! Anak-anak sekolah itu begitu berminat. Mereka tekun mendalami setiap topik yang diberikan. Sebenarnya hanya ada tiga topik penting yang saya rasakan amat perlu sebagai bekalan ‘hari-hari mendatang’. Pertama ialah mengenal teater dan unsur-unsurnya. Kedua ialah mengenal dunia lakonan dan unsur-unsurnya dan ketiga ialah mendalami pengerjaan sesebuah produksi. Itulah asasnya !
Disebabkan motto sekolah itu ialah ‘Berdisiplin dan Berdikari’ maka saya manipulasikannya menjadi kekuatan peserta kursus. Seawal hari pertama, mereka telah diarahkan untuk menghasilkan sebuah naskhah yang akan dipentaskan pada keesokan harinya. Minat dan keyakinan mereka amat terserlah dan pada penghujung waktu berkursus, dua buah naskhah terhasil dan menunggu untuk dibedah sebelum diangkat oleh sutradara masing-masing ke pentas. Seingat saya dua sutradara baru menyahut cabaran-Mas dan Norzi.
Hari kedua menghampir tengahari, mereka mula berlatih untuk pementasan. Masing-masing telah diberi tugasan; ada yang bertindak sebagai pengurus pentas, beberapa pula bertanggungjawab dengan kostum, yang lain sebagai pengurus pro dan latar dan sebagainya. Pendek kata pendedahan tentang hal-ehwal sesebuah produksi dpraktikkan .Pada hari ketiga sebelah pagi mereka pun mementaskan naskhah yang telah dilahirkan daripada buah fikiran masing-masing. Saya hanya jadi penonton !
Kedua-duanya tentang masalah gejala sosial; penglibatan remaja dalam dadah, arak dan sebagainya, di samping masalah kenakalan di sekolah. Selesai pentas, ulasan dan komenpun dibuat oleh fasilitator. Kelemahan dipertunjukkan dan diberi saranan bagaimana untuk memperbaikinya (inilah sebenarnya sari berbengkel). Masing-masing mencatat di dalam buku nota yang telah diedarkan oleh pihak penganjur. Tiba-tiba pada waktu tengahari, pihak sekolah memaklumkan bahawa acara penutupan akan diadakan di dewan sekolah dan pihak sekolah berkehendakkan sebuah persembahan yang menggabungkan semua peserta (teater, tarian dan muzik kreatif)
Lantaran, perubahan kepada konsep persembahan terpaksa dilakukan kerana harus memasukkan semua peserta di samping berintegrasi dengan kumpulan daripada tarian dan muzik kreatif itu. Penyelesaiannya ialah sebuah lakon teater gerak berjudul ‘Improvisasi 28’ yang merupakan sebuah lakon gerak bernada satrikal. Assemble teater ini mengambil masa beberapa jam sebelum dipentaskan pada hari keempat. Para peserta memberikan konsentrasi yang sepenuhnya ketika berlatih beberapa aksi dan gerak terpilih dan akhirnya pementasan itu berjaya dilaksanakan di dewan sekolah itu.
Pementasan di dewan sekolah memanfaatkan pentas arena, sesuatu yang dirasakan terlalu 'advance' bagi mereka tetapi telah dilakukan dengan baik. Syabas !
Sebelah malam hari keempat, sempat juga bersua kembali dengan aktivis seni Daro, Hashimah Siri. Pada malam itu, beliau sibuk mengajar anak-anak didiknya menari. “Jikalau menari, menari dengan kesungguhan hati, Bukan main-main,” katanya sedikit keras kepada calon anggota KASDA itu. Hashimah memang terkenal dengan disiplin tinggi dan komitment yang tegar. Beliau jugalah mentor saya ketika berusaha untuk ke puncak bidang deklamasi puisi hari kebangsaan suatu ketika dulu. Sekitar tahun 1980-an, bersama seorang lagi seniman ulung Daro, Mokhtar Hasim pernah menggegar persada teater tempatan.
Kini Hashimah masih aktif bergerak bersama KASDA, Mokhtar semakin dalam penerokaannya dalam bidang politik tetapi perlahan pengalirannya dalam bidang seni, namun seorang anaknya menjadi peserta tarian. Namanya Ken Zuraida (nama isteri seniman besar Indonesia Rendra). Persamaannya, mereka berkongsi bentuk dagu yang sama, runcing !
Tanggal 11 November pementasan teater ‘Improvisasi 28’ melewati perjalanan dua jam ke Mukah untuk dijadikan sebagai acara penutup Praktikum Seni KPSU 2006. 'Pentasnya' di Dataran Setia Raja, pentas terbuka. Secara tidak langsung peserta kursus itu telah melakukan sesuatu yang diluar daripada kemampuan mereka (dan sayapun tidak mejangkakan perkara itu akan berlaku) iaitu sebuah perjalanan teater keliling ; Daro ke Mukah. Sesungguhnya pengerjaan ‘Improvisasi 28’ merupakan satu pengalaman yang penuh bermakna bagi saya. Melihat anak-anak sekolah menguji tahap kemampuan mereka, melihat mereka mahu belajar daripada kesilapan, benar-benar menguja saya untuk berfikir.
Saya tersihir. ‘Berasap cakerawala’ pemikiran saya dek kerana kata-kata seorang daripada mereka, “Cikgu,jika kita hendak belajar janganlah datang dengan cangkir yang penuh. Jika penuh ilmu yang dicurah kedalamnya akan melimpah keluar. Sia-sia. Datanglah dengan cangkir yang kosong.’ Molek bahasanya dan benar kata-katanya. Sayapun kembali ke Kuching dengan kosong dan sebuah hasrat untuk belajar semula. Barangkali itulah penemuan paling bermakna di dalam perjalanan kali ini. Harta yang akan saya simpan sehingga ke akhir hayat.
Terima kasih Daro ! ACP









No comments: