Tuesday, January 13, 2009

Masa Depan Teater Sarawak ?


Sebelum Seminar Perkembangan Teater Sarawak yang telah diadakan di Balai Budaya, DBPCS suatu ketika dulu, saya didatangi saudara Saiee Driss yang berhajat menemuramah saya untuk kajian kertas kerjanya. Yang jelas beliau telah dilantik sebagai salah seorang pembentang kertas kerja di dalam seminar yang amat ditunggu-tunggu oleh sekalian penggiat teater itu. Maklumlah aktiviti keilmuan seperti itu jarang sekali diadakan.

Justeru janji temupun dibuat dan saya telah melangsungkan hajat saudara Saiee itu di puncak sebuah bukit yang kini merupakan markas pentadbiran bandaraya Kuching utara. Selepas segelas kopi ginseng CNI dan sepinggan nasi goreng, temu bualpun dimulakan. Kebetulan ketika itu saudara Mastijah Maslehpun turur bersama. Namun bukan pula niat saya untuk memperturunkan segala apa yang dipertuturkan pada waktu itu. Hanya mengambil intisari daripada wawancara itu.

Ternyata persoalan masa depan teater di Sarawak masih menjadi agenda saudara Saiee. Beliau bertanyakan soalan yang sama pernah saya tanyakan kepada Majlis Teater Negeri Sarawak suatu ketika dulu iaitu : ke arah mana teater Sarawak ? Persoalan ini seperti sudah menjadi tetek-bengek di hati saya kerana ternyata tiada jawaban yang bias diberikan.

Jika melihat kepada perkembangan semasa, teater di Sarawak telah jauh berkembang. Daripada sebuah negeri yang sering dipandang rendah di peringkat kebangsaan, teater di Sarawak telah mampu mencorakkan sebuah ‘revolusi pentas’ di persada Festival Teater Malaysia. Perubahan itu bermula dengan Grup Teater Sanggar Kotaras dibawah pimpinan sasterawan tersohor Awangku Merali Pgn Mohamed (naib johan), kemudian Grup Teater Tamu Seri Kuching (TASEK) dibawah pimpinan Hashim tahot (tempat ketiga) dan akhirnya Grup Teater Ngoncong dibawah pimpinan Hajjah Saptuyah Bolhi (johan).

Perubahan ‘mind set’ para penggiat teater di Semenanjung mulai berubah dan negeri Sarawak tidak lagi dipandang hanya memenuhi kuota tetapi sebaliknya berupaya memberikan cabaran penuh bermakna. Namun selepas itu prestasi Sarawak seakan-akan menurun. Penyertaan beberapa wakilnya seperti Art of Saramart dan Grup Teater Sanggar Kreatif seperti kehilangan taring dan sedikit=sebanyak hal ini telah menjejaskan morality para penggiat teater kita. Timbul pula persoalan; apakah yang sebenarnya telah terjadi kepada mereka (baca:teater Sarawak).

Justeru, pandangan saya ini hanya pandangan semata-mata hasil daripada perenungan saya terhadap bidang yang amat saya cintai itu. Apatah lagi setelah lama tidak melibatkan diri secara langsung dengan teater Sarawak . Seseorang boleh saja menganggap bahawa saya sebenarnya rajuk teater (itu mungkin ada kebenarannya). Dalam konteks ini, kita seharusnya kembali untuk melihat kekurangan dan kelebihan yang kita ada. Seorang pengamal ‘networker’ QuestGold pernah berkata,”Jika kita ingin memperbaiki diri sendiri, jangan lihat pada kelebihan. Lihatlah pada kekurangan.”

Berbalik kita pula kepada persoalan masa depan teater Sarawak. Saya terkedu untuk menjawab soalan tersebut. Namun berusaha pula untuk meberi penjernihannya.

Masa depan teater di Sarawak terletak pada orang-orang yang mengakui dirinya orang teater. Rangkaikata orang teater itu sengaja dipertebalkan kerana tidak semua orang teater itu orang teater (dalam ungkapan lainnya, tidak semua orang teater itu mencintai bidang teater) Mengapa saya katakana begitu kerana beberapa kerat orang teater mempunyai agenda bukan teater.

Agenda bukan teater ini amat dirasai sekarang apabila dilihat kesempitan hidup amat menuntut manusia untuk memikirkan ruang dan peluang untuk mengaut keberuntungan. Agenda bukan teater itu boleh saja dalam bentuk perempuan, arak, wang ringgit glamour dan gelaran. Agenda seperti inilah yang banyak merosak ‘kesucian’ dan ‘keinnocent’ teater dan pengamalnya yang benar-benar. Apabila agenda lain menguasai minda para penggiatnya, ternyata mutu teater yang cuba diungkapkan mereka tidak menjadi dan seringkali menjadi ikut-ikutan generasi mendatang.

Ambil saja Festival Teater Malaysia ! Ternyata selepas Grup Teater Ngoncong mengungguli persada kebangsaan, corak teater mereka (realism) telah menjadi kegilaan kumpulan-kumpulan teater seterusnya. Dalam setiap persaingan, masing-masing cuba untuk meniru teater yang dikampiunkan oleh Grup Teater Ngoncong. ‘Sesat’, ‘Terdampar’,………merupakan 'jelmaan' Sawo dalam bentuk baru dan jelmaan inilah yang juga cuba dipertaruhkan di peringkat kebangsaan berulang-kali.

Pola pemikiran yang seperti ini sebenarnya bertitik-tolak daripada keinginan sutrabara dan kumpulannya untuk meraih kedudukan terbaik dalam pertandingan itu. Saya beranggapan ini sebagai jalan singkat untuk mencipta keglamoran. Namun yang jelas para penggiat teater sekarang ketandusan daya cipta. Usah bercakap tentang kekurangan naskhah, fasaliti, dana, kepakaran dan sebagainya. Seperti kata pepatah Melayu, dima ada kemahuan, di situ ada jalan.

Pola pemikiran para penggiat teater harus berubah kearah yang lebih dinamis. Individu dan kumpulan teater mesti melihat bidang ini sebagai satu bidang yang boleh diceburi secara serius. Jika di Kuala Lumpur, kewujudan syarikat teater seperti Five Arts Center, Actors Studio telah membuktikan bahawa teater boleh menjadi sebuah industri, di samping itu keberlangsungan Stor Teater boleh pula dicontohi sebagai upaya untuk memberikan alternative pergerakan kepada para penggiat teater yang mahu bergiat seacara serious.

Di sini, berani saya katakana, kita begitu tertinggal daripada segi membangunkan masa depan teater sendiri. Hal ini sebenarnya telah difikirkan oleh saya dan rakan-rakan di dalam Grup Teater Sedar sekitar awal 90-an dulu. Namun pandangan sini komuniti sendiri telah perlahan-lahan membunuh keinginan tersebut. Kini, sudah tiba masanya komuniti teater Sarawak untuk bangkit dan memikirkan (belum lagi melaksanakan) tentang masa depan teater kita.

Sebagai individu saya tidak berupaya untuk memkirkan sebuah revolusi yang begitu besar itu kerana ia harus mencakuip kesedaran semua pihak, bukan seorang manusia sahaja. Jika ada yang bertanyakan kepaad saya, “dimanakan segala-gala ini harus bermula?”saya akan terlebih dahulu tersenyum sebeleum ketawa terbahak-bahak kerana jawabannya telah saya sentuh ‘dulu, kini dan selamanya’. Jika ada lagi yang bertanyakan kepada saya, “dimanakah kita harus bermula?” saya akaan merenung biji matanya dan kemudian menjerit pula sebuah nama Majlis Teater Negeri Sarawak !

Benar atau tidak tumpahan pemikiran saya ini, tepuk kepala, tanya minda !

No comments: