Thursday, December 25, 2008

Belasungkawa Grup Teater Sedar
(Jun 1991-Oktober 2007 )


Belasungkawa Grup Teater Sedar(Jun 1991- Oktober 2007) Tiada siapa menyangka ! Saya sendiripun seperti diambush ! A sitting duck ! Tetapi ternyata perkara sudah terlaku. Ada pihak yang tidak senang dengan kebangkitan Grup Teater Sedar (GTS) yang bermula pada tahun 2006 itu. Ada pihak yang sudah kemaruk dengan kemasyhuran sehingga takut dengan bayang-bayang sendiri. Dengan pembatalan pendaftaran GTS, maka senyaplah sudah ‘Jerit Yang Bara’.
Tiada lagi jerit.
Tiada lagi bara.
Sebermula apabila saya mengambilalih GTS daripada kelompok itu, saya berprasangka baik bahawa tiada apa-apa akan berlaku memandangkan GTS ketika itu hanya seperti rumah tak berpenghuni. Sebahagian besar daripada penghuninya telah berpindah ke rumah baru . Rumah jangan dibiarkan lama kosong, takut nanti ada yang lain akan mengisinya. Itu pesan orang tua yang saya pegang hingga sekarang. Setelah beberapa sesi muhasabah diri bersama sahabat saya Yusuffansuri, saya berkeputusan untuk kembali memeriahkan GTS yang semakin suram itu.
GTS memang amat bermakna bagi saya, sejarahnya adalah sejarah saya. Kerana itu kesedaran tinggi memayungi saya apabila GTS dibiarkan luyu tak bermaya bagai sayur-mayur di hujung hari. Namun tanpa saya sedari, bermulalah satu perjalanan rollercoster yang mengujakan. Pendaftarannya ketika itu sudahpun bagai telur dihujung tanduk. “Pertubuhan ini menunggu masa saja untuk dibatalkan pendaftarannya.” tegas seorang pegawai di Pejabat Pendaftar Pertubuhan (PPP). Lalu saya merayu agar diberi peluang kedua. Pihak PPP memberikan saya sebelum Tahun Baru Cina untuk menyelesaikan segala yang diperlukan.
Minit Mesyuarat Agung.
Laporan kewangan.
senarai AJK terkini.
Semuanya itu bermula dari tahun 2000-2006. Enam tahun, tempoh yang lama dan semestinya menunjukkan betapa tidak bertanggungjawabnya kelompok itu dalam memelihara nama serta kepentingan GTS. Hal ini telah saya tanggapi dengan baik dan akhirnya pendaftaran GTSpun diangkat semula. Untuk tempoh dua tahun (2006-2008) GTS membangunkan momentumnya untuk bangkit sebagai antara grup teater yang tersohor di Sarawak.
Untuk dua tahun GTS itu telah berjaya melakarkan kebangkitannya sedemikian rupa sehingga ada pihak yang mengatakan ia sebuah phenomenal. Memandang matahari dari satu sudut, memandang manusia dari segenap segi. Begitu GTS cuba melakar kembali langkah baru dalam persada teater tempatan. Sebuah odisi yang diharap dapat mengembalikan martabat GTS ke kedudukan sewajarnya.
Lalu, kebangkitannya direncanakan sedemikian rupa untuk menunjukkan betapa berdaya hidupnya GTS; dipentaskan naskhah tokoh absurd dunia Samuel Beckett ‘Krapp Last Tape’, penganugerahan Tajol Ashikin Tambi sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FTS 2007 dan pementasan ‘Wangi Jadi Saksi ‘ (WJS) karya U-Wei Haji Saari seorang tokoh filem nasional yang tersohor.
Hal ini memang dilihat mampu untuk memberikan momentum yang diharapkan; enter action with boldness ! Itu kata saya.
Hal sedemikian sedikit-sebanyak menimbulkan kegerunan di hati pihak tertentu. Barangkali mereka khuatir sekiranya GTS mampu untuk berkembang menjadi sebuah grup teater yang gah, mengatasi pencapaian setahun jagung itu. Dikhuatiri kebangkitan GTS ini akan membayangi kemasyhuran mereka (beberapa hari sebelum pementasan WJS, saya mendapat pengesahan kekhuatiran ini melalui sumber dalaman yang dipercayai) Mereka tidak menyangka GTS mampu mementaskan naskhah Samuel Beckett.
Mereka tidak menyangka GTS mampu menang anugerah Festival Teater.Mereka tidak menyangka GTS mampu mementaskan naskhah epik Melayu. Ya, tiada siapa menyangka ! Saya sendiripun seperti diambush ! A sitting duck ! Tetapi ternyata perkara sudah terlaku. Ada pihak yang tidak senang dengan kebangkitan GTS. Ada pihak yang sudah kemaruk dengan kemasyhuran sehingga takut dengan bayang-bayang sendiri. Dengan pembatalan pendaftaran GTS, maka senyaplah sudah ‘Jerit Yang Bara’.

Tiada lagi jerit.
Tiada lagi bara.
Yang tinggal hanya sebuah nama dan sejarahnya. Barangkali itu yang dimahukan mereka. Sebuah drama tragedi yang berakhir dengan pembunuhan sadis. Dasar Yunani !!!! Kerana terlalu berbaik sangka, maka inilah harga yang harus dibayar (dan saya menjadi seperti Julius Caesar yang tidak menyimpan sebarang syak wasangka pada Brutus yang akhirnya membunuh raja itu). Namun saya reda. Barangkali inilah kesudahan yang paling molek untuk GTS. Dalam masa yang sama saya sudahpun berdamai dengan diri sendiri. “Saya memaafkan kalian kerana kelemahan kalian ini.” ujar hati kecil saya penuh jujur.

Dalam masa yang sama, saya puas. Eksistensi GTS selama 16 tahun kewujudannya terisi dengan catatan sejarah yang luar biasa dan mengagumkan. Inilah yang saya dan sahabat pengasas Tajol Ashikin mahukan, memberikan sesuatu yang bisa memaknakan kehidupan yang fana ini.

Saya tidak mahu memanjangkan cerita, mengeruhkan suasana. Bagi saya segala yang terlaku sudah tidak relevan. Hidup mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun. Tidak mengengkari perjuangan meskipun nyawa terancam. Itu semangat Sang Sura yang saya tahu. Kelmarin adalah kenangan, hari ini adalah kenyataan dan esok adalah harapan !

Banyak sejarah yang telah dilakarkan, banyak nama yang telah lahir daripadanya, banyak fikiran yang tercetus daripadanya, banyak gelora yang terhasil daripada kocakannya, banyak juga pelajaran tentang hidup dan kehidupan yang terkutip lewat nafas hayatnya. Memang sejarah GTS ialah sejarah tentang perjuangan membongkar kemampuan diri, menabrak batas-batas diri sehingga menemukan kesejatian yang paling berharga itu.
Saya telah menemukannya. Terima kasih GTS.

Dan kini tiada lagi jerit yang bara. Justeru, saya tutup daya mati dan saya buka daya hidup !
ACP

Sunday, September 21, 2008

Betapa Kecilnya Jiwa Sastera Kita
“Peperangan positif,” begitu selorohnya. “ Ha, ha,” begitu pula sambut saya. Maka selepas ini kita akan berperang. Terima kasih di atas provokasi di Perkampungan Penulis Mukah 2008. Sekurang-kurangnya ia membangkitkan eksistensi saya sebagai makhluk berfikir . Kalau menurut Descartes, “Cogito Ergo Sum (aku berfikir, maka itu aku wujud) ” Tapi dimana pula perbicaraan ini harus dimulakan?Saya fikir lebih elok dimulakan dengan terminologi ‘provokasi’ itu sendiri !Ya, memang gampang mencetuskan provokasi. Kerana lidah tidak bertulang, maka provokasi itu semudah menyebut A-B-C. Terutama apabila provokasinya tidak disandarkan dengan hujah-hujah intelektual. Akal sihat akan pasti dapat membezakan antara provokasi yang mempunyai nilai-nilai intelektual yang akhirnya membuka laluan untuk pembugaran ilmu dan pencerahan ataupun provokasi murahan (dalam konteks perkampungan itu) yang bermatlamat untuk menyuburkan pengaruh melalui pemanipulasian rasa kegerunan atau kecederungan autokrasi yang berbaur feudalisme.Nah. jika ia bertolak daripada kasus pertama, maka dialah sipemikir yang berjiwa besar, peribadi renaissance alias sasterawan intelektual yang berusaha ‘memusatkan diri untuk memikirkan ide dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan kekuatan akliahnya’ (Syed Hussein Al-Attas: Intelektual Masyarakat Membangun)Selanjutnya, golongan inilah ‘ orang yang memiliki pengetahuan, mereka yang mendasarkan penilaiannya pada renungan dan pengetahuan, yang kurang langsung dan tidak semata-mata berasal dari persepsi deria (baca:emosi) tidak seperti halnya dengan kaum bukan intelektual.’( Robert Michels: Intelectual art. Encyclopedia of the Social Science, Jld 8 Macmillan)Namun, jika ia mengambil bentuk kedua itu, maka ini akan mengarah kepada kedunguan yang konyol ! Provokasi murahan seperti di perkampungan itu memang memenuhi konotasi ‘kedunguan yang konyol’ itu sehingga matijahnya telah menyebabkan beberapa pihak tersinggung. kecil hati, merajuk dan mengambil keputusan pulang lebih awal !. Hal yang tidak sepatutnya berlaku tetapi telahpun terjadi. Alahai !Bertitik-tolak daripada ini, saya cuba membangunkan premis pembicaraan dengan persoalan seperti ini, “Apakah ada spesies sasterawan intelektual didalam dunia sastera kita ini? Jika ada, siapakah dia yang selayaknya dianggap sasterawan intelektual? Apakah agaknya karya-karyanya yang mencerminkan keintelektualannya? Adakah dia ada di kalangan peserta di perkampungan itu? ”Fikiran saya selepas itu mengimbas pula beberapa dialog yang diucapkan dalam hubungan dengan perkara ini, “Tidak adapun hal-hal yang dianggap mampu memodenkan dunia sastera kita dibincangkan,” begitu kedengaran keluhan beberapa pihak. “Yang ada hanyalah perkara-perkara yang hanya akan membuai kita untuk akhirnya lalai yakni hal-hal sejarah.” ujar beberapa pihak lagi. “Kita perlukan sudut pandangan yang lain, approach yang lain terhadap sastera,” kata pihak yang satu lagi.Provokasi di perkampungan itu benar-benar telah mencetuskan satu persoalan serius tentang dunia sastera kita. Persoalan yang membuka kelemahan yang selama ini tidak diendahkan oleh pihak berwewenang bahawa dunia sastera kita ketandusan (atau boleh tidak dikatakan ketiadaan) sasterawan yang boleh dilabelkan sebagai intelektual. Selayaknya kita merasa cemas dan khuatir akan ‘penemuan’ terbaru ini.Maka tidak hairanlah disebabkan ini, jadilah kita ‘pahlawan dalam kandang kecil ‘(Ahmad Wahib:Pergolakan Pemikiran Islam) Sastera kita hanyalah kandang kecil yang mampu memuatkan sasterawan yang sering disajikan dengan kegiatan yang berbaur propasif; yang tidak menggalakkan percambahan fikiran dan yang tidak memungkinkan penemuan hal-hal yang baru baik daripada segi kefalsafahan, pengkaryaan mahupun pergerakan.Kita tidak akan membuat perbandingan terhadap negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia yang pastinya bilangan sasterawan intelektual berkembang-biak dengan sihatnya, apatah lagi terhadap negara-negara jiran seperti Indonesia yang sudah terbukti melahirkan sasterawan bertaraf dunia kerana pastinya perbandingan seperti itu tidak adil dan waras sama sekali.Namun hal paling penting ialah untuk mengakui usia sastera kita masih muda, masih mentah dan untuk mengejar kemajuan kita jangan malu bertanya dan belajar. Pendek kata, kita perlukan sesuatu yang besar; tangan besar untuk menulis sesuatu yang besar, mata besar untuk melihat hal yang besar, telinga besar untuk mendengar pemikiran yang besar, mulut besar untuk berkata hujah yang besar dan akal besar untuk mengungkapkan fwawasan yang besar.Inilah perubahan yang mesti dipertimbangkan oleh dunia sastera kita, terutamanya oleh peneraju utamanya iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak (DBPS).Masalah kita mudah sebenarnya. Kita tidak menyatakan diri kita sebagai komuniti yang berjiwa besar yakni berwawasan alias bergagasan. Kita menyatakan bahawa kita hidup di sebuah negera yang merdeka dan bebas, namun pemikiran kita masih di peringkat negara dunia ketiga. Contohnya mudah iaitu acara perkampungan itu yang sepatutnya menjadi katalis kepada perkembangan lebih dinamik tetapi telah disalahgunakan untuk tujuan mencetuskan sesuatu yang tidak relevan.Jika mahu diletakkan istilah prestij pada acara perkampungan itu, maka ia sepatutnya bercakap tentang segala-galanya yang mampu untuk menganjak paradigma dunia sastera kita ke satu tahap membanggakan, tumbuh dan berkembang secara menyeluruh. Ternyata hal-hal ini tidakpun berada dalam lingkungan otak mereka yang dianggap punya autoriti untuk bercakap di pentas prestij seperti itu.Nah, kita masih belum dapat menentukan jiwa sastera kita. Samalah kita seperti beberapa buah negara Afrika yang masih bergolak dengan perebutan kuasa itu. Sasterawan kita seperti rakyat di negara itu yang kehidupannya tak keruan. Ke depan, ke belakang, ke atas, ke bawah, ke mana?To be or not to be, that is the question ! Sekarang adakah kita punya cukup keberanian untuk mengimpikan perubahan.Saya merasakan kita perlukan satu revolusi untuk mengubah wajah sastera kita ! Kita perlukan sebuah idealisme untuk menggerakkan dunia sastera kita menjadi lebih dinamik dan progresif. Dunia sastera kita sewajarnya menilai kembali peranan mereka dalam sastera yang lebih besar iaitu meletakkan dirinya pencatur utama sastera kebangsaan. Sastera kita bukan hanya sastera Sarawak, penulis kita bukan hanya penulis Sarawak tetapi sastera kita juga sastera kebangsaan, penulis kita juga penulis nasional, sastera kita juga adalah sastera dunia dan penulis kita juga adalah penulis dunia.Tinggal lagi untuk kita memikirkannya. Kita memerlukan soladaritas jika ingin memulakan segala-galanya; tanpa prasangka, tanpa dendam, tanpa marah, tanpa merajuk, tanpa irihati, tanpa hasad dengki, tanpa penghinaan, tanpa kurang ajar. Sebaliknya segala-galanya adalah manifestasi hablun minnanas yang kukuh.“ Apabila sastera sudah mampu menangani dirinya sebagai entiti yang kukuh dan bersoladaritas, maka peranan seterusnya ialah ke arah sastera sebagai sebuah institusi sosial yang akan memperjuangkan ‘bahasa jiwa bangsa’ -premis yang selama 50 tahun merdeka telah gagal di perjuangkan ” bisik hati kecil saya.Buah cempedak di luar pagar/ ambil galah tolong jolokkan/ saya budak baru belajar/ kalau salah tolong tunjukkan. Akhirnya saya tinggalkan pembicaraan ini dengan satu pertanyaan lain; adakah kita sudah merasai perubahan ?

Monday, September 8, 2008

Viva API ! Menelusuri Sejarah API 8 Tahun

Saya dijemput untuk sebuah majlis memperingati ulangtahun penubuhan Angkatan Pengkarya Indie (API) beberapa hari yang lalu. Kejadian berlaku di sebuah restoran franchise terkemuka Coffee Beans yang terletak di kawasan segitiga emas Bandaraya Kuching. API merupakan sebuah pergerakan sastera yang tidak berorientasikan pertubuhan kini berusia lapan tahun. Barangkali angka lapan dalam tahun 2008 begitu istimewa bagi sekumpulan anak-anak muda yang berjiwa revolutionaire ini. Saya sempat menanyakan sejarah penubuhan API dan beginilah penceritaannya:

Yusuffansuri, anak muda yang berusia 25 tahun ketika itu. Di Perhimpunan Penulis Muda SeNusantara di Batam, Indonesia, dia merupakan peserta termuda, seorang penyair yang baru mencari tapak kepenyairannya berbanding peserta lain yang sudahpun ada kedudukan dalam atlas sastera Nusantara seperti Sutardji Calzoum Bachri dan Siti Zainon Ismail. Sekembali daripada perhimpunan penuh bersejarah itu, Yusuffansuri mulai mengolah perencanaan ke arah pencetusan sebuah pergerakan sastera.

Hasrat Yusuffansuri disambut dengan hati terbuka oleh beberapa teman akrabnya Zamawi Sawek. Akhirnya dalam semangat perjuangan yang ikhlas, mereka mencetuskan Ikatan Karyawan Muda Sarawak (ringkasnya Ikatan) pada 26 Jun 2000 sebagai platform untuk memulakan sebuah idealisme bahasa dan sastera. Aktiviti pertama Ikatan ialah bicara sastera bersama Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Biarpun Shahnon tidak dapat hadir pada waktu itu, namun aktiviti itu telah berjaya menghimpunkan beberapa penulis tersohor tempatan, membangkit kesedaran sasterawan tersohor tempatan tentang eksistensi Ikatan sehingga berlaku pertembungan mengenai sari penubuhan Ikatan.
Ketika itu isu Ikatan yang dikatakan berhaluan kiri amat terasa hanya kerana hubungan dengan Shahnon (yang ketika itu ialah orang kuat Parti Islam SeMalaysia), lantas istilah alternatif yang sering dikaitkan dengan Ikatan disalahtafsirkan dan di anggap mempunyai hubungan dengan Barisan Alternatif yang begitu bara pada waktu itu. Lantaran, beberapa rencana telah ditulis ekoran isu ini; “Prospek Penulis Muda Sarawak : Abg Patdeli Abg Muhi’, “ Kemana Arah Penulis Muda Sarawak : Farmilla Hamdi (Jaafar Hamdan)”, Penulis Muda; Apa Lagi Mahunya : Abg Patedli Abg Muhi” ,“Perihal Muda dan Kemudaan : Abg Patdeli Abg Muhi.” dan “Sastera Kita Sastera Mereka: Jaafar Hamdan”


Dalam tempoh tiga tahun pertama, Ikatan mula mengumpul kerabat yang mempunyai semangat dan cita rasa yang sama untuk menggerakkan perubahan. Sajali Mohammad, Armiza Nila (Maslina Mahbu) dan Sinora Azma (Rashid Hassan) antara yang terawal memberikan penyataan sokongan terhadap Ikatan. Dengan ahli yang beberapa kerat itu, Ikatan mulai mengorak langkah dengan beberapa aktiviti sastera di Kuching Waterfront. Antara yang signifikan ialah mempopularkan acara baca puisi jalanan pada setiap bulan, di samping acara baca puisi bersempena hari-hari peristiwa dan kemuncaknya Festival Seniman Jalanan 2001.
Matlamat Ikatan ketika itu ialah merakyatkan sastera ! (Hal inipun pernah menjadi isu hebat suatu ketika dulu)
Ikatan berlangsung untuk beberapa ketika, sebelum berita menggemparkan itu mengubah segala-galanya. Seorang tokoh sastera muda dan seorang lagi tokoh veteran tersohor Bumi Kenyalang mendakwa penubuhan Ikatan ‘terhutang budi’ kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak (DBPS). Dikatakan kononnya inisiatif untuk menubuhkan Ikatan dimulakan oleh beberapa pegawai DBPS setelah “ mendapat restu daripada Pengarah DBPS” (sila rujuk Getus Sastera Sarawak) . “Terhutang budi” barangkali satu situasi yang kritikal kerana kerabat Ikatan beranggapan ia sepatutnya sebuah pergerakan sastera yang independence tanpa pergantungan baik secara lahiriah mahupun batiniah dengan mana-mana birokrasi sastera, apatah lagi DBPS. Ketidakbergantungan ini ditafsirkan sebagai kebebasan- adalah pengisian yang teramat mustahak dan harus dipertahankan.
Lalu sebuah musyawarah telah diadakan di kalangan kerabat Ikatan untuk mengambil satu ketetapan bagi menjawab permainan politik daripada golongan tidak beragenda itu. Lantaran, Ikatan mengalami tranformasi yang tidak dapat dielakkan itu sehingga membawa kepada pewujudan Angkatan Pengkarya Indie (ringkasnya API) pada tahun 2004. Dalam satu majlis ringkas di Kuching Waterfront, API mengambil alih eksistensi Ikatan.
Selepas itu perkembangan API amat memberangsangkan. Pertambahan kerabat amat terasa menambahkan lagi eksistensi API yang masih bertatih-tatih di persada sastera Darul Hana itu. Awang Kelana, Raden Azhar, Piee Ling, Zulkifli Obik, Banahsan Segaf, Fauzi Haji Abdillah, Mus Legimu Mapol akhirnya menyatakan persekutuan mereka bersama API.
Kini lapan tahun usianya, API sepatutnya mengorak langkah yang lebih dinamis dan sistematis. Keunikan API sebagai pergerakan menjadikan setiap anggotannya organik, mampu berdiri di atas kaki sendiri namun dalam keadaanm diperlukan masih dapat diasimilasikan apabila ada kerja-kerja berkumpulan diadakan. Semangat ikhlas, berinisiatif dan persaudaraan menjadi teras kepada kekuatan API. Pewujudan portal API laman maya sastera_sarawak menjadi menjadi strategi seterusnya dalam melakarkan perkembangan API. Ia akan menjadi nyawa kepada penyaluran maklumat, pengetahuan dan perbincangan mengenai dunia sastera Darul Hana. Biarpun sering dikecam, portal tersebut tetapi ia tetap berdiri sebagai wadah untuk bukan saja kerabat API tetapi khalayak sastera umumnya untuk mengikuti perkembangan API khususnya dan dunia sastera Sarawak amnya.
Portal tersebut juga merupakan gateway untuk ke laman blog kerabat API. Laman blog tersebut merupakan satu lagi pendekatan berkarya kerabat API yang memaparkan pelbagai genre karya (puisi, cerpen, esei, foto) . Antara laman-laman tersebut ialah Kelongsong Peluru Puisi Indie, Lagu Makhluk Asing Timoer Jauh, Mabuk Cendawan, Basah Dalam Setitik Nila, Teropong Digital Api, Sentuhan SenI, dan AA Radin.
Dari segi lain pula, penerbitan dirasakan sebagai satu aspek paling penting apabila memperkatakan tentang dunia penulisan. API menyedari akan peri pentingnya penerbitan karya-karya kerabatnya. Justeru API menggerakan enjin janakuasa penerbitannya dengan bersandar kepada stail penerbitan ‘underground’ yang sehingga kini telah memberikan beberapa antologi puisi daripada kerabatnya. Seluruh kerabat API merasakan stail penerbitan yang dirasakan mudah dan kurang karenah birokrasi itu sebenarnya boleh dikembangkan lagi ke tahap tinggi (menyamai mutu penerbitan DBPS) dalam sedekad kelak. Namun sehingga kini yang dirasakan terbaik pengerjaannya ialah antologi genre sipp (60 patah perkataan) “Bulan Di Taman” karya Sinora Azma.
Genre sipp sendiri merupakan produk sastera API. Secara mudahnya genre sipp ialah sebuah kaedan penulisan kreatif mutakhir yang boleh dianggap “a cross between poetry and short story” . Penulisan yang tertakluk kepada 60 patah perkataan ini boleh diusahan menjadi bentuk penulisan baru. API sendiri telah menerbitkan dua buah antologi sipp dalam tempoh tujuh tahun penubuhannya iaitu; “60 paper: Zacharia AbdulManan, Sinora Azma, Sajali Mohamad dan Yusuf Fansuri” dan “Bulan Di Taman : Sinora Azma” . Kemasukan genre sipp ke dalam dunia sastera Darul Hana diharap dapat mempelbagai lagi kaedah pengkaryaan sasterawan di Sarawak khususnya.
Sehingga kini daripada sudut pengkaryaan, dua penulis API sudah berjaya menempah prestij sendiri apabila dikurniakan Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak oleh DBPS. Dua penulis tersebut ialah Yusuffansuri dan Armiza Nila. Sementara Sinora Azma pernah juga memenangi beberapa sayembara sastera.
" Untuk tahun 2008 dan seterusnya, API akan terus bergerak menjadi satu daya yang; kalau tidakpun mengubah, sekurang-kurangnya memberikan satu atmosfera yang berbeza didalam dunia sastera Darul Hana ini. Untuk lapan tahun pertama ini ‘atmosfera berbeza itu’ tidak dapat disangkal telahpun dirasai oleh komuniti sastera tempatan dengan kemasukan API ke dalam gelanggang persilatan sastera kita. Kini API genap lapan tahun dan usia seperti itu menandakan bermulanya perjuangan sebenarnya API dalam persada sastera Darul Hana. Jalan masih panjang dan berliku di hadapan. Tiada siapa mengatakan perjuangan itu seperti makan kandos, ia sebenarnya merupakan satu perjalan yang bakal memerihkan dan mengujakan." tegas Yusuffansuri penuh bersemangat.
Selamat Ulang Tahun Ke 8 API ! Semoga API kekal bersama idealisme sasteranya dan terus tumbuh dan berkembang menjanakuasa sastera Darul Hana, memberikan anjakan paradigma yang amat diperlukan itu.









Bergemalah Semboyan Teater Sarawak 2008


Kata sahibul hikayat, berlabuhlah juga tirai 2007. Pejamcelik- pejamcelik tak terasa kita dahpun sempurna mengorbit matahari. Siang dan malam, hujan dan panas, silih berganti. Detik terus berdetak meninggalkan hari-hari menjadi kenangan. Hatta, begitulah juga kita pada tahun baru ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun yang satu ini seperti menjanjikan sesuatu yang besar. Begitulah harapannya. Manusia seperti kita yang sentiasa mengharapkan kurniaan daripada Yang Maha Esa.

Barangkali dapat dikatakan tahun 2007 penuh warna-warninya untuk perkembangan teater kita.

Untuk ini kita tabik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak (JKKNS) diatas usaha berterusan mereka. Pengarah barunya, orang Kelantan berjiwa Melayu amat terasa cuba menganjak paradigma teater tempatan.Program Teater Berkala menjadi titk-tolak kepada sedikit perubahan yang macet sebelum ini. Usaha menjadikan pementasan teater sebagai aktiviti bulanan dilihat mampu menternak khalayak, di samping sebagai kesinambungan pengkaryaan para dramatis.

Biarpun peruntukannya‘ciput’, namun ini tidak mematahkan semangat mereka, bahkan didalam kemiskinan mereka mampu melahirkan produksi teater yang memberangsangkan. Amat terasa aliran kreativiti para dramatis kita.Namun ada juga kes dramatis yang menjual mahal sehingga menolak pelawaan pihak JKKNS, kononnya kumpulannya terlibat dengan sebuah produksi ratusan ribu. Tetapi akhirnya, masuk angina keluar asap’

Sehingga kini, sudah 7 produksi teater dilangsungkan yang melibatkan kumpulan teater di sekitar Bandaraya Kuching ini. Antaranya Persatuan Seni Persembahan Sifar, Grup Teater Kaki Lima, Grup Teater Sedar, Grup Teater ASEK, Grup Teater Sanggar Kreatif, , Grup Teater Ngoncong dan Grup Teater Kias Kasturi

Bertuah sungguh orang teater Kuchin tapi bagaimana pula di daerah yang lain?.

Kalender teater juga diserikan dengan kelangsungan Festival Teater Negeri Sarawak (FTNS) Aktiviti inipun anjuran pihak JKKNS yang telah agenda penting para dramatis untuk sekian lama. Ada yang masuk nak tunjuk idealisme teater, ada pula yang masuk nak timba pengalaman, ada juga yang masuk sebab nak dapat peruntukan dan tak kurang yang masuk sebab nak menang ! Inilah klimaks aktiviti teater di Sarawak. Seperti tahun sebelum dan sebelum-belumnya, tahun ini FTNS masih berpusat di Bandaraya Kuching. Pelik tetapi benar. Sebabnya mudah, penyertaan hanya daripada bahagian Kuching saja. Bagaimana pula dengan bahagian lain ?

Tujuh kumpulan teater telah bersaing untuk dinobatkan sebagai Johan Negeri, sekali gus akan menjadi wakil Sarawak ke peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada tahun 2008 ini. Kata orang, inilah festival yang telah mencatatkan sejarah hitam di dalam lipatan sejarah teater Sarawak. Protes daripada sebuah kumpulan yang terbawa hingga ke peringkat tertinggi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, sedikit-sebanyak telah mencemar imej teater Sarawak. Tindakan cuba mendapatkan sokongan kumpulan bersaing untuk surat protes telah membawa kepada pemalsuan tandatangan telah memberikan impak negative terhadap teater kita.

Mengapa begitu terdesak ?

Hatta, berlakulah seperti apa yang dimaukan. Penilaian semula dibuat oleh pihak penganjur yang kononnya demi untuk memperjuangkan martabat teater orang Sarawak (atau saya lebih suka meletakkan, memperjuangkan keserakahan ego kumpulan tersebut) Lalu, begitulah catatan sejarahnya. Golongan ekstrem dalam bidang teater sudah sampai pada dimensi baru. Kalau ekstremnya hanya pada aliran teater saja, itu tidak mengapa. Memang digalakkan kita punya perbezaan dalam mengekspresikan seni sendiri. Tetapi jika ekstremnya sehingga ke peringkat membangkitkan sensitivity nasional, itu kita kena tangani khususnya di kalangan para aktivis muda yang mungkin akan mengambil iktibar di atas peristiwa protes itu.

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Alahai, malangnya orang teater kita.

Beberapa pementasan yang berada di luar kalender JKKNS telah juga berlangsung. Teater Arum Bulak karya dan arahan Zakaria Hassan menemui khalayak sejurus selepas kemelut FTNS. Teater ini seperti cuba memberitahu khalayak tentang ketidakpuashatian mereka terhadap prestasi sewaktu bersaing di FTNS.Saya bersetuju dengan pandangan ini dan menyanjung sikap ingin menjadi yang terbaik daripada kumpulan ini. Nyata, pementasan mereka itu lebih baik mutunya daripada sewaktu bertanding di FTNS (ini kenyataan yang saya petik daripaad seorang dramatis lama)

Seterusnya, teater Sidang Hantu-hantu daripada Grup Teater Pekasa (Pekasa) . Sebelum itu produksi Teater Tokoh-tokoh menjadi projek bungas mereka. SHH merupakan kesinambungan Pekasa didalam menyusuri arus teater tempatan. Dibawah pengarahan Kelana Akira, SHH berjaya menampilkan dirinya sebagai teater komidi paling berjaya pada tahun ini.Kehadiran penonton yang memenuhi setiap ruang Balai Budaya tidak dikecewakan dengan keletah setiap watak hatun yang ditonjolkan didalam SHH. Antara watak-watak yang menonjol ialah Tajul Ashikin Tambi (penagih dadah 2) , Shazwani Abdul Hamid (Gadis) dan Hasfarazy Johari Mawi (penagih dadah 1).

Gabungan muka lama dan baru berhasil menampilkan teater ini sebagai suatu usaha sama paling berkesan. Lebih-lebih lagi keproduktifan Kelana Akira sebagai pengarah muda. Biarpun daripada segi penulisan naskhahnya, SHH agak kurang berbisa dan masih perlukan perhatian terutama daripada aspek pementasannya (staging), namun daripada segi pengarahan Kelana berjaya menyampaikan objektif naratif teater tersebut.

Kini kelibat 2008 sudahpun terpacak di depan mata. Kalau 2007 boleh dikatakan peranan JKKNS amat signifikan, mungkin 2008 Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) pula yang turut berperanan yang sama. Kata sahibul hikayat, ini hanyalah saranan demi kebaikan perkembangan teater kita. Bagaimana pula dengan Majlis Teater Negeri Sarawak (MANTERA) yang sunyi dan senyap saja tahun lepas. Tahun ini, harap-harap bergemalah semboyannya.







Orang sastera syok sendiri ?

Suasana di Kuching Waterfront malam itu sedikit lengang. Malamnya malam biasa. Sekejap lagi akan hujan. Malam itu saya dan Yusuf Fansuri ada janji temu dengan seorang anak muda yang amat meminati seni dan sastera. Namanya Mizan.
Beberapa gelas teh tarik, beberapa pinggan kueh tiaw dan perbualanpun bermula.
"Orang sastera syok sendiri !" Mizan mulai melontarkan persoalan. Terasa benar nada marah berbaur kecewa padanya. "Orang sastera syok sendiri," sekali lagi dia memuntahkan kesimpulan pahit itu. Saya dan Yusuf Fansuri hanya terdiam sambil memerhati tepat ke arah anak matanya.
Teringat pula zaman rebellious kami suatu ketika dulu. Kami saling berpandangan dan tersenyum, faham benar. Kami tidak pula mudah melatah tetapi cuba memahami geloranya itu. (Sewajarnya kita yang dulu merasa masinnya garam harus menjadi pendengar yang baik, Itulah yang diperlukan oleh anak muda seperti Mizan)
Kamipun menjadi pendengar yang cuba mengerti.
Pada akhirnya, saya menyimpulkan bahawa duduk perkara sebenarnya memang terjadi. Hakikatnya , memang orang sastera syok sendiri tetapi persepsi ini hendaklah dirungkai dan dirinci akan tafsiran serta pengertiannya dan bukan pula cuba disalahmengertikan, dimanipulasikan, disensasikan sehingga mencetuskan kepandiran fikiran.
Apakah sebenarnya yang berlaku ?
Begini ceritanya : rekod masa lalu menunjukkan kebanyakan kegiatan sastera di Bandaraya Kuching ini berpusat di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak. Ini fakta bukan auta. Sebabnya, kerana faktor kedudukannya yang strategik, birokrat yang mesra sastera, kemudahan mencukupi, sewa murah.
Walaupun ada cubaan untuk membawa kegiatan keluar daripada kepompong menjenuhkan itu, namun seperti ada kuasa yang menarik orang sastera untuk kembali mengimarahkan dewan itu, Akibatnya sastera menjadi suatu kegiatan yang ekslusif yakni khusus untuk orang sastera sahaja.
Persoalan menarik, siapakah pula orang sastera itu ?
Para penulis alias sasterawan, para pelajar seni dan sastera daripada sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, aktivisi seni/sastera, para peminat sastera yang sebenarnya kawan-kawan orang sastera, inilah dia khalayak sastera dan amat mengejutkan majoriti mereka ini adalah orang Melayu/Bumiputera.
Jadi tidak hairanlah dewan itu juga yang menjadi pilihan kerana letaknya yang strategik di kawasan Petra Jaya yang majoritinya penduduknya adalah Melayu/Bumiputera. Jadi persoalan seterusnya, adakah kegiatan sastera ini eklusif untuk orang Melayu/Bumiputera sahaja? (Maaf cakap, saya bukan cuba bernada rasis tetapi hanya cuba membuktikan bahawa hala tuju sastera kita perlu penilaian kembali.)
Dan bagaimana pula apreseasi daripada masyarakat Cina, India, Jawa, pelajar asing seperti dari Afrika, Eropah dan lain-lain yang dimaklumi begitu banyak jumlahnya di Bandaraya Kuching ini? Tak percaya, lihat saja di Kuching Waterfront.
Justeru, sastera kita harus berubah.
Saya pernah membangkitkan hal ini suatu ketika dulu. Malangnya tidak mendapat sambutan. Malu tersipu-sipu saya. " Action speaks louder than words," geramnya hati saya ketika itu. Lalu saya dan beberapa sahabat cuba mengusahakan acara baca puisi jalanan di Tebingan Kuching. Kami namakan cara itu Festival Seniman Jalanan.
Sambutan pada mulanya agak dingin.
Tetapi lama-kelamaan manusia kota mulai menghargai (kalau tidakpun memahami) puisi. Pernah kami menjemput beberapa deklamator (bidan terjun sebenarnya) Cina untuk turut serta dalam sesi. Pernah juga kami mendapat penyertaan dari pelancong asing seperti dari UK , Netherland dan sebagainya.
Mereka baca puisi dalam Bahasa Malaysia. Tidakkah itu membanggakan. Kegiatan seperti ini jika diteruskan tidak mustahil akan mencetuskan satu budaya menghargai sastera dan bahasa yang meluas didalam masyarakat kita. Tidak mustahil, sastera akan merakyat.
Ya, merakyatkan sastera, begitulah bunyinya.
Seingat saya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak pernah tampil dengan aktiviti Bajo Muzikasari; suatu bentuk aktiviti seni dan sastera yang memberi tumpuan kepada beberapa karyawan tempatan. Paling penting ia diadakan juga Tebingan Kuching.
Pegawai projek Encik Nizam sebenarnya mengambil risiko tinggi apabila bercita begitu besar untuk merakyat sastera. Katanya, dia berani. Kata saya, teruskan. Boleh dikatakan projek itu berjaya memberi pendedahan tentang seni dan sastera kepada khalayak di Halaman Rakyat, khalayak yang sebenarnya buta sastera, buta seni.
Bukankah itu sebenarnya urusan kita, mencelikkan rakyat untuk mengenali hal-ehwal kesenian dan kesusasteraan tempatan dan kebangsaan. Namun jalannya berbeza pula apabila kita hanya memberi tumpuan kepada khalayak yang sememangnya sudah celik seni dan sastera. Apakah itu sindrom bebalisme yang dipopularkan oleh Syed Hussein Al-Attas? (Sila baca buku Intelektual Dalam Masyarakat Membangun)
Barangkali atau inilah yang dikatakan orang sastera syok sendiri !
Daripada seorang anak muda bernama Mizan yang berfikiran jauh kehadapan seperti juga ketika Hang Nadim memberikan buah fikirannya yang bernas untuk menyelesaikan masalah Singapura di langgar todak. Masalah selesai ! Selebihnya, tepuk kepala tanya minda.
Ya, saya bersetuju. Mengapa tidak orang sastera turun ke gelanggang rakyat. Kerabat Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA) mahupun beberapa kumpulan teater yang ada di sekitar Bandaraya Kuching boleh mengadakan persembahan di tempat awam seperti Kuching Waterfront.
(Untuk makluman, statistik tidak rasmi menunjukkan Tebingan Kuching menjadi pilihan masyarakat Cina untuk bersantai dan beriadah pada hujung minggu, lebih tepat lewat petang sehingga malam. )
Pastinya pihak Pengurusan di situ amat mengalu-alukan kehadiran persembahan seperti ini. Saya percaya mereka akan memberi sokongan padu. Percayalah. Buat saja apa-apa kegiatan sastera; latihan baca puisi, teater, seminar, bengkel dan sebagainya, saya percaya pihak Pengurusan akan menyokong seratus peratus.
Adakah ini suatu yang terlalu tinggi untuk diminta? Adakah orang sastera terlalu merasa diri besar sehingga merasa terhina untuk turun ke teratak marhaen? Adakah ini ' kasta baru' yang ada didalam masyarakat kita ? Adakah peranan sastera menjadi jiwa bangsa (baca: rakyat) sudah berputar 360 darjah? Bahasa Jiwa Bangsa atau Bahasa Jiwa Melayu saja?
Adakah sastera hanya untuk sastera dan bukan untuk rakyat ? Atau orang sastera lebih selesa untuk syok sendiri.
Tukang Ensera dan Lembaran ‘Baru’ Sifar


Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri Sarawak akhirnya melabuhkan kontraversinya apabila Persatuan Seni Persembahan Sifar (Sifar) berjaya didalam pemilihan peringkat zon ke Festival Teater Malaysia 2008 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur sekitar November 2008 kelak. Dengan itu buat pertama kalinya, johan negeri (Grup Teater Ngoncong) tidak layak untuk menggalas cabaran negeri di peringkat kebangsaan.

Barangkali, festival kali ini dapat dianggap sebagai yang paling kontraversi. Ia bermula daripada protes Sifar terhadap keputusan festival yang berkisar isu hakim dan ini membawa kepada pencetusan inisiatif bagi membuka satu kemungkinan penilaian semula dilakukan.( Untuk makluman, penilaian semula tidak dilakukan, hanya penilaian peringkat zon sahaja). Ketika itu juga beberapa kumpulan berbelah bagi samada untuk menyokong ataupun tidak. Semestinya ini turut mencetuskan rentetan argument tersendiri.

Di pihak penganjur iaitu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak sewajarnya mengariskan segala yang telah berlaku sebagai iktibar ke arah menjadikan penganjuran festival seterusnya lebih baik dan sistematik. Di pihak kumpulan yang bertanding turut sama digesa untuk lebih berhati-hati apabila menyertai sebarang pertandingan dan lebih prihatin terhadap syarat-syarat penyertaan yang digariskan oleh pihak penganjur. Jangan pisang berbuah dua kali (walaupun tidak mustahil ia berlaku)

Namun untuk menuding kesalahan masing-masing, rasanya itu perkara yang paling tidak wajar dilakukan. Saya hanya mahu mengatakan; begitulah berakhirnya episod festival. Namun untuk Sifar pula, bermulalah satu proses persediaan untuk ke peringkat kebangsaan. Sebagai sebuah kumpulan baru yang menghimpun banyak orang lama, Sifar sememangnya mengidam-idamkan peluang keemasan seperti ini. Penglibatan beberapa kerabatnya seperti Suffian Haji Jalet dan Abdul Malek Hassan di peringkat kebangsaan pasti akan membantu Sifar.

Berprofesi seorang guru dan juga jurulatih di sekolah seni , Suffian sendiri pernah menjadi tonggak kepada kekuatan teknikal teater Vakum oleh Grup Teater TASEK yang bersaing di Festival Teater Malaysia 1998, sementara Abdul Malek pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik untuk teater yang sama. Untuk ‘Tukang Ensera’ (TS) Suffian berperanan sebagai Pengarah dan Abdul Malek pula memegang watak utama Remong. Pastinya kombinasi ini akan membuahkan hasil yang diharapkan.

Sifar juga memiliki keampuhan pimpinan Safian Bujang yang pernah mengarah teater ‘Sel’ ketika bersama Grup Teater Sedar Sarawak (Sedar) suatu ketika dulu. Safian seorang pegawai bank mempunyai ketajaman fikiran yang boleh digunapakai untuk lebih menajamkan lagi tombak saingan TS. Sementara graduan Industrial Design Universiti Teknologi Mara, Mohd Addly Mohd Ali telah menampakkan sentuhan ajaibnya ketika merencanakan kekuatan skenografi TS. Addly benar-benar telah memberi satu efek ilusi reality tiga alam TS yang memukaukan, yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pereka set sebelum ini. Di samping itu, banyak sebenarnya individu berpengalaman besar yang memberi sokongan secara langsung mahupun tidak langsung terhadap Sifar; Ahmad Beduwie Nahrawi,, AB Nor, Khalid Drahman (aktivis veteran), Jamsari Saili (playwright yang tersohor namanya) dan Abdillah Untong (graduan Universiti Sains Malaysia mengkhusus bidang lakonan dan pengarahan) yang pastinya merupakan aset Sifar mematangkan lagi persembahan mereka.

Pendek kata, sebuah kumpulan baru yang punya pengalaman bertahun-tahun lamanya. Rata-ratanya merupakan bekas anggota Sedar, tidak dapat disangkal idealisme yang diperturunkan Sifar masih mengekalkan semangat lama itu. Barangkali inilah kesan daripada perubahan pendekatan Sifar dalam menangani kewujudan mereka sendiri. Seperti yang ditegaskan oleh Presiden Sifar, Suffian, “ Sifar memiliki cara dan pembaharuan sendiri dalam perlaksanaan pengurusannya “ Ya, cara dan pembaharuan inilah yang telah membuahkan hasil penuh membanggakan dan amat memberangsangkan. Tiada yang lebih bahagia daripada mendapat apa yang dicitakan.

Di atas kebijaksanaan dan kreativiti Suffian, ‘Tukang Ensera’ (TS) mengalami tranformasi yang selama ini amat diperlukan. Kebijaksanaan dan kreativiti yang ada pada Suffian ini adalah kelebihan tersendiri Sifar. Jarang benar kita melihat kualiti pengarah yang sedemikian kecuali pada Suffian. Naskhah itu pernah dipertandingkan di peringkat kebangsaan apabila diarahkan oleh penulisnya sendiri dan meraih kedudukan Naib Johan dengan satu kemenangan solo Pelakon Lelaki Terbaik oleh Pau Utek (watak Remong). Semestinya kejayaan ini menjadi motivasi untuk Sifar mengatasi pencapaian terdahulu itu atau setidak-tidaknya meraih kedudukan yang sama.Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

Berdasarkan kepada pemecahan watak didalam TS, Sifar mempunyai peluang untuk meraih beberapa kategori seperti Pelakon Lelaki Terbaik (watak Remong) , Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Raja Barat atau Bomoh), Pelakon Wanita Terbaik (Sunti) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (isteri Remong atau Permaisuri). Sementara kemampuan teknikal juga boleh dipertaruhkan, apalagi untuk Pengarah Terbaik dan Drama Terbaik keseluruhannya. Ya, peluang untuk bergelar johan itu memang cerah.

Pastinya 3 juta jiwa di negeri Bumi Kenyalang ini menunggu sebuah kumpulan dari Sarawak untuk dinobatkan sebagai johan di peringkat kebangsaan. Begitu besar dan tingginya harapan itu setelah kegagalan beberapa kumpulan sebelum ini baik diperingkat zon mahupun kebangsaan seperti Art of Saramart dengan teater ‘Sesat’, Sanggar Kreatif dengan teater ‘Terdampar’, pasti ini akan membakarkan lagi kemurnian jiwa Sifar dalam mengenengahkan sebuah pementasan yang punya nilai ‘first class mentality’ .Kali terakhir Sarawak berjaya menggondol gelar johan ialah pada tahun 1998 apabila Grup Teater Ngoncong dengan naskhah Sawo menggalas cabaran negeri.

Suffian, Safian, Mohd Addly dan Abdul Malek; empat tonggak utama merupakan manifestasi ‘modal insan yang cemerlang dan seimbang’ yang lahir daripada ‘implementasi kemurnian jiwa’ dokongan Sifar itu. Mereka juga adalah contoh ‘transformational leadership’ yang membawa Sifar mencapai kedudukan yang dinikmati kini. Individu seperti ini boleh dijadikan role model untuk anak-anak muda yang berhasrat mencebur diri dalam bidang teater. Mereka punya kualiti untuk menjadi tokoh teater pada masa hadapan. Beruntungnya negeri kita ini dan kitapun bolehlah memasang angan-angan untuk menjadi reaktor kesenian dan kebudayaan Asia Tenggara dengan adanya barisan pelapis yang berkaliber dan berdinamika itu.

Melihat kepada latar belakang penubuhan Sifar dan pencapaian singkat mereka ini, ia sewajarnya dijadikan petunjuk bagi kebangkitan teater anak-anak muda di negeri Sarawak ini. Kumpulan lain seperti Grup Teater Kias Kasturi, Grup Teater PEKASA, Grup Teater Sanggar Akar, Grup Teater Kakilima, Grup Teater Sanggar Kreatif, Grup Teater Ngoncong, Grup Teater Sedar Sarawak seharusnya menjadikan Sifar sebagai iktibar bukan saja untuk mematangkan [pementasan tetapi mengejar yang namanya kemashyuran. Tanpa prejudis, barangkali Sifar juga boleh mengongsikan pengalaman dan kecemerlangan mereka bersama grup lain yang masih bertatih dalam gelanggang persilatan teater ini; menuangkan pengetahuan bertahun-tahun lamanya itu, menuntun aktivis teater tempatan dalam membangunkan kewibawaan kemanusiaan yang murni itu, mencorak teater Sarawak menjadi arena pertembungan idealisme yang jernih dengan menjadikan ukhuwah islamiyah sebagai dasar silaturrahmi dan akhirnya membangunkan teater menjadi sebuah institusi sosial yang boleh dipertanggungjawabkan ke atas pundaknya pembangunan negeri dan negara.

Begitulah, demi untuk perkembangan teater, demi untuk memperjuangkan martabat orang teater, demi untuk memperkasakan lagi pengisian teater, demi untuk kesinambungan teater di negeri Sarawak Darul Hana yang kita cintai ini, begitulah retoriknya dari dulu hingga sekarang.

Semoga teater kita menjadi semakin murni. Saya tetap doakan yang cemerlang, gemilang dan terbilang untuk kalian. Amin.

PLACEBO - Potret Manusia Moden Menuju Makrifatullah


“ Wahai jiwa yang tenang-tenteram! Kembalilah kepada Tuhanmu
dengan hati yang puas lagi diredhaiNya.” Surah Al-Fajr

*

Abdillah SM bukanlah nama asing didalam direktori sastera Bumi Kenyalang. Namanya sebaris beberapa penulis tersohor kita seperti Jais Sahok, Saiee Driss, Majuni Palira, Zaini Ozea dan Adi Badiozaman Tuah.

Untuk beberapa waktu, nama beliau tenggelam. Samada sengaja atau tidak, Abdillah untuk beberapa ketika dilihat begitu memperjuangkan hayat sasteranya; berdepan dengan cabaran birokrasi dan tahap kesihatannya yang seperti roller-coster itu.

Namun, kini Abdillah mulai mengalir semula di daerah kecintaannya. Blog yang diusahakannya kini adalah bukti betapa semangat Abdillah seperti dibakar oleh suatu daya yang memungkinkan beliau ‘angkat pena’ semula pada akhir tahun 2007.

Daripada susunan muzik, lakaran berseni, puisi, cerpen sehinggalah ruangan pojok yang pernah popular suatu masa dahulu ‘Maaf Cakap’ , menunjukkan bakat luar biasa seniman kelahiran Kuching ini.

Saya tidak terlepas mengikuti jaluran pemikiran dan kreativiti beliau. Lalu di sinilah bermulanya cerita tulisan ini, apabila sebuah cerpen beliau yang mutakhir yang berjudul Placebo dijadikan bahan tatapan pengunjung ke blognya.

Saya memberanikan diri untuk membicarakan tentang beliau dan karya terbarunya itu bukan atas sebab ingin menunjuk pandai. Siapalah saya untuk berlagak pandai di hadapan seorang yang lebih dahulu kenal sepak terajang dunia sastera.

Namun setelah selesai membaca Placebo, berdetak di hati saya untuk memulaikan sebuah cetusan fikiran tentang beliau dan karyanya itu. Placebo- agak eksotik judulnya dan ternyata mengundang seribu satu persoalan. Paling penting judul sedemikian teramat provokatif dan mempunyai nilai komersil tinggi.

Justeru, teramat afdal kiranya saya memulai tulisan ini dengan beberapa kerat ayat tentang tafsiran istilah Placebo. Menurut Longman Dictionary of Contemporary English placebo ialah suatu kata benda (noun) yang membawa tafsiran “a subtance given instead of real medicine, without the person who takes it knowing that it is not real.”

Dalam konteks ini, substance yang dimaksudkan itu berfungsi sebagai kaedah peperawatan dengan memanipulasikan kuasa cadangan (power of suggestion) sebagai kaedah penyembuhan sesuatu jenis penyakit.

Satu contoh yang dapat saya perturunkan di sini ialah mengenai kes penyakit lumpuh. Di petik satu kenyataan berhubung kes ini seperti berikut, “Many paralyses have been removed by giving sugar pills called placebos, with the assurance that the medicine always works.” (Psychology Made Simple-Abraham Sperling Phd ms 227)

Dalam konteks cerpen Abdillah itu, watak aku seperti mengalami satu sesi terapi penyembuhan. Penyakit yang dialaminya sesungguhnya amatlah serius. Gambaran ini dapat diikuti pada rangkap pertama cerpen itu.

“ Detik basirah kualami dulu rupanya benar dan cukup jelas tersingkap. Telah keliru aku bagi pertama kalinya tentang alamat dan bayangan maut. Dan aku belum padam lagi. Syukran. Bukan takdir kalau belum terjadi.”

Memang benar. Detik didatangi maut akan mengubah 369 darjah persepsi kita, seperti mengalami U-turn. Itulah yang berlaku pada watak aku. Segala pemahamannya tentang maut dan alam barzakh bertukar seperti ditegasnya, “ ..menuju sebuah kehidupan di alam barzakh itu bukanhlah semudah yang kufahami dulu.”

Perenungan lanjut menjadikan saya sebagai pembaca berfikir bahawa tidak banyak sebenarnya yang dapat kita ftentang diri kita (baca: manusia). Saya teringat sebuah firman Allah didalam Hadis Qudsi yang berbunyi, “Manusia adalah Rahsiaku dan Aku adalah rahsia manusia.”

Mungkinkah watak aku sudah mencapai satu tahap tinggi didalam kehidupannya? Saya suka memikirkan kemungkinan ini setelah selesai membaca cerpen terbaru Abdillah itu. Ini disebabkan Abdillah memulakan cerpennya dengan sepotong ayat yang cukup signifikan.

Ayat itu berbunyi, “Nur dari limpahan kudrat terusan berdenyut dalam otakku-menjana memori dan minda” Saya mengeri ada justifikasi kuat disitu, lebih-lebih lagi apabila perkataan nur itu di tebalhitamkan.

Saya meletakkan sudut pandangan yang begini: ayat itu menyimpulkan segala apa yang tersurat dan tersirat didalam cerpen Abdillah itu. Amat mudah dan pemurah sekali. Pilihan penggunaan istilah nur (bukan cahaya) merupakan satu usaha pemaknaan yang tinggi.

Dalam konteks ini, suka saya mendekati duduk perkara nur ini menurut penyataan Al-Ghazali. Menurutnya, pengertian cahaya berbeza menurut golongan manusia ; orang awam, orang khusus dan orang yang lebih khusus.

“ Golongan khusus dan yang lebih khusus beruntung kerana telah mencapai tingkat hakikat kenyataan yang membuka rahsia kedua-dua tingkat itu. Apabila tingkat-tingkat itu dicapai akan jelas diketahui bahawa Allah swt adalah Nur Yang Maha Tinggi dan Maha Jauh, dan apabila tabir rahsia ini terbuka di alam kenyataan, maka yakinlah mereka baha Allah Nur Yang Nyata dan Nur Yang Hak, Dia adalah Esa tidak bersyarikat kerana disampingnya tidak ada cahaya lain.” (Al-Ghazali; Misykat al-Anwar hlm 1)

Apa mungkin watak aku tergolong di dalam salah satu daripada golongan tersebut? Hal ini dapat kita lihat apabila mengikuti pembacaan seterusnya cerpen itu. Watak aku seperti merasakan dia diberikan satu peluang kedua.

Peluang itu amat disedarinya ; :Kerana tertundanya peristiwa itu jugalah maka, terus kusentap kesempatan yang ada ini untuk menerima cabaran mencari pertada dan ilmu yang terdaya kukutip dari sisa hidup yang masih dizinkanNya bagiku”.

Bernada keinsafan, watak aku memulakan kemahuannya itu seperti yang pernah dialami oleh Nabi Muhammad saw iaitu dengan Surah Iqra’ . Sungguh ini adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang bermakna.

Antara pam biologi (jantung), memori dan mindaku (otak) , roh dan lembut janggutku merupakan usaha penanaman imejan kematangan usia yang mencecah tahap pemikiran yang tinggi. Hanya manusia yang sudah mengalami sesuatu yang besar sahaj akan mempersoalkan hal-hal ini.

Jangkauan pengarangnya bukan hanya setakat maut yang pernah menyapanya suatu ketika dulu tetapi alam yang lebih jauh dari itu. Lihat gambaran ini, “ Segala yang diketahui melalui maklumat yang didapati didalam memoriku adalah apa yang pernah dihasilkan dari detik ke detik awal kejadian sehingga terjadinya sebiah kemusnahan’ atau dalam peristiwa yang kusangkakan lematianku itu. Bukan bermulanya dari rahim ibuku tetapi lebih jauh lebih awal daripada peristiwa itu. Wujudku ketika di luar rahim kasih Ibu. Pernah aku wujud dalam dunia metafizika. Dunia yang wujud pada nama dan maya.”

Ya, yang dimaksudkan pada kalimat yang terakhir itu ialah alam Lahut, tempat Allah swt menciptakan semua roh dalam bentuk yang terbaik yang hakiki. Ia adalah alam asal bagi seluruh manusia setelah 4,000 tahun Allah menciptakan Arasy dari nur zat Nabi Muhammad saw.

Proses apakah yang sebenarnya dialami oleh watak aku ini ? Sesuatu yang besar sebenarnya sedang berlaku didalam dirinya setelah peristiwa hampir maut itu. Kesedaran yang begitu tinggi ini seperti membawa watak aku ke satu dimensi baru.

Nur dari limpahan kudrat itu telah mengubahnya menjadi orang lain. Nur itu makrifat dan makrifat itu nur. Namun tiada satupun perkataan makrifat digunakan oleh Abdillah, cuma saya merasakan konsep mencapai makrifat itu tidak diberikan gambaran yang jelas.

Ia adalam mesej sublime cerpen ini.

Watak aku memang tergolong antara golongan yang khusus atau golongan yang lebih khusus. Kesedaraan terhadap Allah swt amat terasa pada akhir-akhir cerpen ini, menyatakan lagi intensity watak aku terhadap kecintaannya.

Samada ia berahi dan mabuk itu tidak tergambar secara jelas, barangkali inilah peringkat permulaan ! Permulaan kepada pewujudan Tiflul Ma’ani (bayi maknawi) atau roh al-Qudsi. Keadaan ini akan wujud daripada dasar berikut :

“1) Ia lahir dari hati, seperti lahirnya bayi dari rahim seorang ibu dan ia diurus dan dibesarkan hingga dewasa. 2) Dalam mendidik anak-anak tentang keislaman, ilmu yang didahulukan adalah ilmu makrifat. Begitu juga bayi maknawi ini. 3) Bayi bersih dari kotoran dosa lahiriyah. Begitu pula bayi maknawi , ia bersih dari syirik (menyekutukan Allah) dan gaflah (lupa pada Allah).

4) Perumpamaan bayi maknawi merupakan gambaran kesucian kerana anak-anak lebih banyak yang suci daripada lainnya. Oleh kerana itu bayi maknawi terlihat dalam mimpi dengan rupa yang indah dan tampan. 5) Ahli syurga disifati dengan sifat anak-anak, sebagaimana firman Allah swt, “ Anak-anak muda melayani mereka, bagai mutiara yang terpendam. (At-Thur:24)

6) Bayi maknawi itu halus dan suci. 7) Tiflul Ma’ani adalah majazi ditinjau dari kaitannya dengan badan, ia berwujud seperti rupa manusia, juga kerana manisnya bukan kerana kecilnya; dan dilihat dari awal adanya ia adalah manusia hakiki kerana dialah yang berhubung langsung dengan Allah swt.

Saya tidak berniat untuk lebih memperdalamkan urusan ini. Barangkali, ia akan menjadi terlalu sulit untuk dimengertikan. Namun begitulah tanggapan saya terhadap cerpen Placebo karangan Abdillah ini. Watak aku mengalami tranformasi yang vital .

Proses yang diberikan tadi merupakan hanya permulaan ke arah sebuah perjalanan yang masih jauh. Tapikan permulaan itu yang paling sulit untuk dimulakan. Tapikan itu juga yang paling penting.

Apa yang dialami watak aku ialah manifestasi kemanusiaan yang paling agung iaitu mencapai tujuan penciptaannya- menuju makrifatullah. Dan apa lagi dorongan yang lebih berkesan selain daripada merasai detik kematian sendiri.

Seperti dilahirkan semula ! Nabi Isa bersabda, “Manusia tidak akan bisa masuk ke malakut langitNya, kecuali telah dilahirkan dua kali seperti burung.” Tidak sukar untuk memahaminya, bukankan fikiran dan matahati anda.

Burung dapat terbang setelah dua kali dilahirkan; pertama keluar telur dari induknya dan kedua menetas dari telurnya. Begitu juga manusia akan merasai pengalaman yang sama; pertama lahir dari rahim bondanya dan kedua lahir Tiflul Ma’ani dari dirinya !

Maaf, saya tidak ingin menyulitkannya tetapi begitulah tanggapan saya. Menyusuri isi kandungan cerpen terkini Abdillah ini membuka dimensi lain di dalam memahami makna hidup di dunia yang fana ini.

Kita tidak mungkin akan sengaja mendambakan pengalaman traumatik watak aku itu tetapi sekadar membacanya menimbulkan kesedaran bahawa hidup ini begitu singkat dan begitu juga kita harus menghargai apa yang ada kurniaan Yang Maha Esa.

Menambahkan lagi keinsafan kita.

Akhir persoalan, dimanakah placebo yang dimaksudkan dalam cerpen ini? Saya memberanikan diri untuk memperhitungkan rasional dan sampai pada satu kesimpulan bahawa placebo itu ialah pada peluru maya.

Gambarannya seperti berikut; “ Sambil mengurut-urut lembut janggutku semakin memutih, terasa dadaku diserang peluru maya sehingga terbit pada minda dan memoriku, cinta dan benci. Terkelu aku kerana kusedari kini wujud jauh dalam sanubariku perasaan sakit dan benci. Terjalin kini inspirasi dan minat terhadap sekelilingku.”

Peluru maya, substance yang tidak real tetapi masih mampu untuk memberikan talian hayat kepada watak aku. Membangkitkan semula makna kehidupan dan excitementnya namun bukan pula berpakaian palsu dunia materialistik tetapi pakaian yang lebih murni dan suci.

Pengarang memberikan kemenangan kepada watak aku, sekali gus memberikan satu perasaan empati didalam diri pembaca. Di sinilah kebijaksanaan Abdillah dalam menemukan penyelesaian kepada cerpennya ini.

Paling mengesankan ialah klimaks cerpen yang saya anggap satu-satunya yang sedemikian rupa pernah dihasilkan oleh seorang pengarang baik di Sarawak mahupun di Malaysia. Inisatif untuk memberikan salam perkenalan kepada Sang Pencipta merupakan satu momen yang syahdu dan penuh keinsafan:

Assalamualaikum, Ya Rabul Alamin
Assalamualaikum, Ya Rabbi
Assalamualaikum, Ya Ilahi
Ana Abdullah
Ana Abdillah
Ana Abdallah
Ana Mawujud
Mawujud
Syukran
Syukran
Thankyou, Allah
Thank you, Ilahi, Rabbi

Salam perkenalan seperti itu juga merupakan petanda bahawa satu penghidupan baru bermula buat watak aku. Inilah nur yang telah diberikan kepada watak aku (tidak sukar untuk menerka bahawa watak aku itu sebenarnya adalah sang pengarang sendiri)

Nur yang mengubahnya menjadi manusia baru, meninggalkan kekejangan jiwa materialistik dan memulakan perjalanan batin memperoleh makrifat yang hakiki.

Inilah permulaannya. Keluar dari kegelapan dan masuk ke pencerahan seperti yang ditegaskan, “ Di keluarkan oleh Tuhan dari kegelapan kepada Nur.” Al-Baqarah 2:257
Ya, luar biasa sekali. Saya percaya Danartopun akan ternganga membacanya !

Secara keseluruhannya, pembawaan Abdillah di sepanjang cerpen ini biarpun mudah dan sederhana, namun pengisian jiwanya begitu tinggi. Saya secara peribadi amat terkesan membacanya dan secara peribadi meletakkan inilah karya terbaik beliau.

Mengapa ? Ya, saya meletakkan dasarnya begini: “ Sebuah cerpen yang baik tidak semestinya sarat dengan pengungkapan teori penulisan ataupun pemanipulasian teknik mahupun penggunaan bumbu sastera. Sebuah cerpen yang baik dan menyentuh dapat juga berdiri eksistensinya daripada persembahan naratif yang sederhana tetapi berkesan, paling penting yang datang dari hati yang jujur dan tulus.”


*
“Allah membimbing kepada cahayaNya sesiapa yang Dia kehendaki”
Nasharuddin Al-Baidawi , Tafsir Anwar Ut tanzil wa Asrar al- Ta’wil