Monday, September 8, 2008


‘Seminar Teater’ di Kaki Lima


Malam minggu lepas, saya terserempak rakan lama. Amat terasa silamnya kenangan bersamanya. Namun kemesraan cepat terjalin. Kami bertembung di kaki lima jalan di Pasar Satok .DI kiri dan kanan, peniaga ikan hiasan sibuk meladeni pelanggan. Biasalah, kerana lama tak bertemu bertanya khabar. Dia masih sihat seperti zaman mudanya. Tapi sekarangpun masih muda juga. Kini mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Bandaraya Kuching.

Masih berteater ?
Tak lagi. Sekarang lebih kepada tarian.

Dulu ketika bersama Grup Teater Angkat, Sibu pernah menggalas cabaran di dalam Pekan Teater Peringkat Kebangsaan dengan naskhah Merico. Walaupun tak mendapat kedudukan baik tetapi persembahan mereka diakui berkesan dalam menganjak martabat teater Sarawak.Memang sekarang dia lebih kepada tarian dan menainggalkan pentas teater yang pernah diperjuangkan dirinya dan rakan-rakannya suatu ketika dulu.

Kebangkitan bagaimana?
Jauh sekali. Teater masih seperti itu.

Masih seperti itu ? Saya mulai faham dengan keluhannya. Dunia teater (begitulah besarnya gambaran yang cuba diberikan) tidak banyak yang berubah. Barangkali muka para penggiatnya saja yang bertukar tetapi rohnya tetap sama. Barangkali nama kumpulannya saja bertukar tetapi entitinya tetap sama. Barangkali naskhahnya saja baru tetapi mentalitinya tetap juga begitu sejak dari dulu.

Mungkin kau benar ?
Aku memang benar. Bukan mungkin.

Ada satu perkara yang tak berubah. Kesatuan orang-orang teater. Memang sejak dulu lagi orang-orang teater ini tidak bersatu. Tak salah untuk mempunyai perbezaan. Banyak perkara yang berbeza dalam hidup tetapi tetap co-exist dengan harmoni di dalam masyarakat. Orang-orang teater mesti serius berfikir tentang masa depan mereka, bukan memikirkan tentang diri dan kumpulan mereka saja.

Ini teguran yang ikhlas dan bukan untuk membangkitkan kemarahan siapa-siapa. Kalau kita sendiri tak mengubah nasib kita, siapa lagi. Kalau ada yang bertanya, mengapa di Sarawak ini, lambat benar nak ada Taman Seni, soalan itu kena Tanya balik kat diri sendiri. Adakah kita ini layak untuk mendapat sesuatu yang seperti itu?

(Perbualan semakin hangat dan saya cuma mendengar dengan penuh konsentrasi kerana topiknya menarik. Sekali-sekala mengangguk-angguk, sekali-sekala menggeleng-geleng. Orang lalu-lalang di kiri dan kanan sudah tidak dipedulikan. Rakan saya itu semakin bersemangat melontarkan hujah-hujah bernasnya. )

Jadi bagaimana untuk mengubahnya?


Kena ubah dari dalam. Sekarang dan masuk abad ke 21, dunia teater kita masih lagi terkapai-kapai mencari kewujudan peribadinya. Belum ada ‘being’ lagi. Nak berubah harus berubah mulai dari sini (jari telunjuknya menunjuk kea rah kepala). Kreatif memang penting. Idealisme memang penting. Separti kata aku tadi, tak salah untuk berbeza.

Yang absurd, yang sureal, yang realis, yang muzikal dan apa-apa lagi bagus untuk kepelbagiaan tema. Namun hala tuju harus satu. Alif. Kalau alif tak pernah dimatikan. InsyaAllah dunia teater akan tumbuh dan berkembang. Dari Mantera hingga ke grup-grup teater seharusnya meletakkan sesuatu yang konkrit untuk pembangunan dunia teater kita.

Seperti Taman Seni ?
Taman Seni ?

Sepatutnya begitu tetapi untuk sebuah Taman Seni perkara kelam-kabut dunia teater kita ini mesti diuruskan terlebih dahulu. Kita tak mahu jika ada Taman Seni, senario berbelah bagi, persaingan tidak sihat, pinggi-meminggir, perang-memerangi masih wujud di kalangan orang-orang teater. Orang-orang teater harus berubah, baru dunia teater berubah. Itu prasyaratnya.

Siapa yang harus memulakannya?
Itu soalan yang menarik.

Aku rasa, Mantera. Itu enjin perkembangan yang sepatutnya. Mantera harus mengorak langkah proaktif untuk memulakan revolusi yang boleh mengubah dan sekali gus menganjak dunia teater kita ke satu tahap yang baru. Sekarang Mantera baru nak berfungsi tapi itupun bukan daripada insiatiafnya tetapi inisiatif Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan warisan Negeri Sarawak.

Mantera jadi pak turut, bukan jadi trend setter tetapi jadi trend follower. Ini tak menyelesaikan masalah kita. Kita perlukan Mantera yang dinamis dan boleh dating dengan wawasan yang bernas. Seharusnya dengan kepimpinan sedia ada, Mantera tak bermasalah- cari pejabat, cari dana, mula usaha menyatukan teater Sarawak.

Di Kuching ?

Bukan di Kuching tetapi di seluruh negeri Sarawak. Mantera sebuah entity yang sepatutnya mencakupi satu negeri dan bukan satu bahagian. Tak masuk akal kalau fokusnya hanya di Kuching. Di bahagian lainpun ada kumpulan teaternya tetapi sekarang separuh mati, ada yang mati kerana tidak dipedulikan. Kesian mereka.

Jadi ada panduan untuk Mantera?
Panduan banyak. Kena banyak membaca, berfikir dan mencerna.

Carilah sebuah bukan berjudul ‘Leadship’ oleh penulis Jack Welsch. Banyak yang kata buku itu bagus untuk mereka yang mahu memimpin sebuah organisasi. Soal kepimpinan itu penting. Mungkin Mantera kurang kepimpinan yang baik. Itu pandangan saya, orang lain mungkin tidak bersetuju. Tapi kalau melihat prestasi semasa, banyak yang benarnya dengan kenyataan saya itu.


Jadi kepimpinan masalah sebenar Mantera?
(Berfikir panjang)

Pemimpin itu diliahirkan. Dalam Al-Quran menyatakan, kita ini dilahirkan sebagai khalifah di muka bumi ini. Macam saya. Macam awak baik dalam skala kecil seperti sebuah kelas, keluarga mahupun yang lebih besar seperti sebuah jabatan, negeri atau Negara. Tapi dalam pada itu perlu juga pendidikan tambahan. Yang fitrahnya memang sudah ada tetapi tekniknya kena diperhalusi lagi.

Kalau dalam konteks Mantera sekarang ini, soal menangani manusia itu lebih penting. Orang-orang teater ini sensitive dan berego tinggi. Untuk sekarang ini, kita perlu seorang pemimpin yang punya keupayaan untuk mengawalselia dan memujukrayu hati dan perasaan. Dia ada emotional intelligence (EQ).

Definisi EQ ?
Perlu definisi ?
Perlu. Untuk pemahaman dan pencernaan.

Emotional Intelligence, (EQ), is defined as the "capacity for recognizing our own feelings and those of others, for motivating ourselves, and for managing emotions well in ourselves and in our relationships," according to Daniel Goleman, author of Emotional Intelligence, (Bantam, 1998). Itu tafsiran yang saya dapat ingat.

Sementara kepentingan EQ ini dapat dikatakan seperti berikut : EQ is more important than IQ in almost every role and many times more important in leadership roles. This finding is accentuated as we move from the control philosophy of the industrial age to an empowering release philosophy of the knowledge worker age."

Tapi itu lebih kepada dunia perniagaan, korporat. Relevankah dengan Mantera sebagai sebuah NGO?

Relevan. Entiti sebagai NGO tetapi pentadbiran diurus seeprti sebuah korporat. Sinergi. Tak salah. Macam saya mengaplikasikan hal itu dalam kapasiti saya sebagai seorang guru. Ada kebaikan dan kesannya. Harap dengan perubahan mentality itu (setakat cakap-cakap kosong saja), Mantera dan orang-orang teater boleh merasai perubahan. Kita sebenarnya sudah layak untuk perubahan tetapi kita sendiri tak menyediakan medan untuk berubah.

Singgah minum sekejap.
Tak apa, Esok kena bangun awal. Ada mesyuarat PIBG sekolah. Tapia pa yang kita cakapkan, harap-harapnya tak berakhir di sini. Cuba-cuba kembangkan.






Kami Mahu Sebuah Taman Seni !

Tanggal 8 Februari lalu, saya dijemput menghadiri sebuah mesyuarat di Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan warisan Negeri Sarawak (Jabatan) . Jemputan meliputi mereka yang tersohor didalam berpencak silat teater mewakili beberapa persatuan teater yang aktif di sekitar Bandaraya Kuching seperti Kias Kasturi, Ngoncong, Saramart, Sanggar Akar, Sanggar Kreatif, Sifar, Asek, daripada institusi pengajian tinggi; Unitar dan UiTM serta yang paling utama ialah induk teater Sarawak iaitu Majlis Teater Negeri Sarawak (Mantera). Bagi saya itulah pertemuan kedua terpenting selepas seminar Perkembangan Drama Pentas di Sarawak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (Dewan) tahun lepas. Inisiatif Pengarah baru Jabatan, Encik Chua Tek Lui seharusnya dipuji dalam memastikan kesinambungan kerjasama terus wujud diantara Jabatan dan NGO teater.
Di antara banyak persoalan yang dibentangkan, saya amat tertarik dengan persoalan Taman Seni (sebut Taman sahaja). Seingat saya, isu Taman ini sudah berlanjutan berdekad lamanya tanpa penyelesaian konkrit. Sarawak (selain Johor) begitu ketinggalan dalam usaha mewujudkan Tamannya sendiri. Sedangkan Sabah jiran kita kini begitu berkobar-kobar menunggu Tamannya siap dan menjadi gelanggang permainan para dramatisnya. (Pastinya ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan teater di Sabah kelak.) Namun status Sarawak sehingga kini masih tergantung. Sebenarnya hal-ehwal Taman ini sudah saya dengar sejak zaman alif lagi. Sewaktu khidmat saya sebagai Jurulatih ‘tidak bertauliah’ Teater di Pejabat Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak (Pejabat ketika itu) dibawah Encik Mohd Radzi Mohd Nor, Taman sudahpun wujud namun dalam bentuk spiritual. Sebarang bantuan dana untuk projek teater kami, akaun Tamanlah yang menghulurkan sumbangan. Ini satu proses birokrasi yang mudah dan berkesan.
Kemudian hal ini bersambung pada era Encik Laliman Ahmad (yang saya anggap sebagai abang angkat itu). Pada waktu ini keseriusan isu Taman mulai menyerlah. Impian dan harapan untuk memiliki sebuah Taman, seolah-olah semakin jelas sehingga pada satu peringkat pihak Pejabat pernah terfikir untuk menyewa sebuah premis (rumah dua tingkat) dan dijadikan premis sementara Taman itu tetapi ide bernas ini tidak pernah terrealisasikan. Dalam jangkamasa pentadibiran pengarah lain seperti Encik Zaini Nyak Othman, Encik Rosli Adam dan Che Kassim Mahmud pula isu Taman seperti sudah menjadi bahan cerita basi dan kini diumpamakan mitos rakyat pula
Apa beza dengan Chua teraju baru Jabatan? Kita tunggu dan lihat.Setakat ini saya tertarik dengan keramahan dan kerendahan budinya.
Simpang parodoksnya, di pihak Dewanpun pernah tercetus ide untuk membangunkan sebuah Taman serupa itu. Ketika pentadbiran Encik Khalid Ahmad, cetusan pembinaan Taman begitu serius sehingga ke tahap pembinaan model mock-upnya. Berdasarkan perancangan, gudang gadang Dewan (pejabat Dawama sekarang) akan ditranformasikan menjadi sebuah auditorium dengan beberapa kemudahan lain seperti ruang latihan teater dan tari, bilik persalinan, ruang untuk berseminar dan berbengkel. Rasional Pengarah ketika itu ialah untuk menjadikan Dewan sebagai pusat seni di bandaraya Kuching.Ini sesungguhnya satu visi yang tinggi. Di samping itu katanya, “ Ini juga saya anggap sebagai sumbangan saya kepada Sarawak sebelum perpindahan ke Semenanjung.” Saya kira ketika itu, dialah penyelamat teater Sarawak dan mengharapkan cetusannya itu bakal menjadi realiti dan bukannya sekadar fantasi.
Namun yang dibimbangi pula menjadi kenyataan. Ide Encik Khalid itu hilang dengan tidak semena-mena, mungkin dibawanya pulang menjadi kenangan manis sewaktu berkhidmat di bumi Darulhana ini. Muncul pengarah baru, kitapun terpinga-pinga.
Kemelut Taman ini sebenarnya mudah sahaja. Isu tanah. Pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA) hanya perlukan sebidang tanah untuk tujuan membangunkan Taman itu. Struktur bangunan bertingkat yang dianggar bernilai menjangkau belasan juta ringgit, akan mengandungi beberapa komponen seperti auditorium, ruang latihan untuk teater, tari muzik, bilik persalinan, bilik VIP, bilik rehat, seminar serta kursus, disamping ruang pejabat yang kelak akan dimanfaatkan untuk kemeriahan teater di Sarawak amnya dan Bandaraya Kuching khasnya.Namun bukan mudah untuk mendapatkan tanah walaupun untuk tujuan murni seperti pembangunan Taman itu. Ia sehingga kini tiada penyelesaian apabila kedua-dua pihak (persekutuan dan negeri) bermain tarik tali. Siapa akan menang ?
Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu, begitulah pandangan saya jika tiada anjakan positif berlaku dalam waktu terdekat ini.
Jika begini sudahnya, proses pembangunan Taman akan berlanjutan lagi untuk beberapa tahun. Paling cepat 5 tahun dan paling lama tambahan 10 tahun lagi. Jadi jika logik ini digunapakai, paling cepat Sarawak akan mempunyai Taman ialah pada 2012 dan paling lama ialah pada tahun 2017. Realistik atau tidak itu terpulang. Semoga jangkaan saya ini tidak benar.Jika kenyataan ini benar, ketika itu betapa ketinggalannya kita. Betapa ruginya kita. Keluhan daripada orang-orang teater kedengaran berulang-ulang kali . “Kita perlukan sebuah Taman kerana sebelum ini anak-anak teater amat merempat,” begitu kata salah seorang sutradara daripada Ngoncong. Barangkali ‘merempat istilah yang agak kasar dan berbaur seperti menagih simpati Jabatan. Saya tidak beranggapan orang-orang teater itu merempat. Jika di Indonesia, saya percaya ini berlaku tetapi di sini orang-orang teater kita sebenarnya hidup manja.
Merempat atau tidak, itu sebenarnya bukan masalah anak-anak seni.
Sebaliknya, kita harus memikirkan persediaan kita untuk menyambut sebuah Taman yang serba menjanjikan kewujudan yang kukuh untuk teater Sarawak itu. Secara peribadi saya meragui akan keperluan sebuah Taman. Entah mengapa saya selalu memikirkan betapa orang teater itu belum diurus dengan begitu baik terutama oleh Mantera. Sistem pentadbiran teater kita masih di takuk lama. Mantera tidak berfungsi sepatutnya; menjadi payung kepada kumpulan-kumpulan teater yang ada. Asas untuk ke arah kecemerlangan harus bermula daripada Mantera sendiri dan bukannya daripada orang luar. Benar, tak ada urgency daripada kalangan orang-orang teater untuk mendesak kerajaan negeri mempercepat proses pembangunan Taman.
Bukannya di kalangan orang teater tidak berkemahuan untuk sesuatu yang sebesar itu, tetapi mereka tidak punya saluran efektif untuk menyatakan kemahuan mereka. Jika hanya satu dua suara, saya fikir itu tidak mencukupi apatah lagi relevan. Kita perlukan tolakan penuh bermakna daripada pemimpin yang dikatakan tersohor dan berkaliber di dalam Mantera untuk tegar mengatakan ‘Kami mahu sebuah Taman Seni !” Ternyata hakikat yang tidak dapat dinafikan, orang teater perlukan Mantera berfungsi sebaik mungkin-sebagai pentadbir dan bukan berperanan sebagai towkay bangsawan.
Namun selama ini, Mantera mengamalkan sistem feudalistik yang tebal; orang bawahannya hanya menunggu arahan dan tiada inisiatif langsung untuk menjanakuasakan perkembangan teater kecuali jika disalurkan dana, maka bangsawanlah jawabnya. Atau lebih mudah di kalangan ahli jawatankuasa tertinggi sebenarnya tidak punya daya kepimpinan. Secara sedar mahupun tidak sedar, Mantera mengabaikan kumpulan-kumpulan yang ada, tidak membantu mereka untuk tumbuh dan berkembang dengan baik, membiarkan mereka kekurangan zat untuk membesar dan akhirnya ada diantara kumpulan ini yang terencat mahupun mati. Sayapun sebenarnya berada di dalam ahli jawatankuasa kecil Mantera, namun tidak dilibatkan secara langsung mahpun tidak langsung didalam aktivitinya. Saya ingat salah seorang naib Presidennya iaiatu Zaini Oje pernah mengadu tidak dimaklumkan tentang sebarang mesyuarat Mantera.
Saya pula diibaratkan melukut di tepi gantang !
“Kemungkinan kita akan menyaksikan Mantera dibubarkan adalah besar,” saya kaget ! Sejarah akan berulang !!!!! And we are back to square one. Mungkin ada benarnya keluhan dramatis veteran Ahmad Beduwie Narawie, “ Kita terlalu mudah menuding pihak luar diatas kegagalan kita. Namun kita lupa kehancuran kita sebenarnya buatan orang-orang kita, daripada dalaman sendiri.” Seperti juga keruntuhan empayar teragung Melayu iaitu Melaka. Saya berharap nada saya ini tidaklah sekeras dulu ketika saya dianggap ‘pengacau’ di dalam persada teater di Sarawak ini. Namun sekali lagi waktu memihak saya , apabila segala kemelut Mantera terkeluar tanpa tapisan di dalam mesyuarat itu. Mujur Sang Pengarah baru itu bijaksana orangnya, tidak mahu terlalu menurut kekecewaan dan kemarahan orang-orang teater.
Lalu dengan senyum-simpul dan budi bahasa orang Kelantan mengajak para hadirin menikmati jamuan yang disediakan pihak Jabatan.
Teater oh teater ! Saya kira sampai bulan berbelah duapun, kemelut teater tidak akan selesai. Dari dulu hingga sekarang, temanya masih sama. Klische. Orang teater tidak mahu berubah ? Itupun satu kemungkinan juga. Yang berubah ialah warna rambut sesetengah orang-orang teater yang mulai menguning seperti padi masak di Bukit Siguntang itu. Modenisme sedang melanda atau sekadar kebodohan zaman berang. Masuk air sembahyang, ke atau tak bersembahyang langsung ?
Mungkinkah kerana sebahagian besar orang-orang teater itu Melayu, maka keadaan dunia teater itu selalu akan dirundung layu? Itu juga satu perkara yang menarik untuk direnung. Apakah harus ditukar nama Melayu kepada satu nama baru?
Wallahualam

















2006 Tahun Penuh Warna-Warni

Tahun 2006 menghampiri detik akhirnya. Sementara tahun 2007 menunggu untuk memulaikan catatannya. Selama 365 hari dilalui, pastinya banyak yang telah berlaku. Segala-galanya menjadi catatan kenangan ; ada yang mahu diingati selamanya, namun ada pula yang mahu dilupakan terus. Dunia seni dan sastera pada tahun ini tidak terkecuali. Beberapa hari kebelakangan ini saya cuba mengingati dan mengapreseasi beberapa cebisan peristiwa bersejarah berkaitan dunia seni dan sastera.
Saya pula tidak mahu terlalu meletak nilai mahupun membuat analisis terhadap beberapa peristiwa itu tetapi hanya sekadar memperkatakannya. Bagi saya cukuplah dengan segala retorika yang diluahkan selama ini. Pasti anda sebagai pembaca mahu berehat daripada beban pemikiran yang bukan-bukan :)
Justeru, saya bermula dengan kejayaan sasterawan Sarawak iaitu Jong Chin Lai memperolehi pengiktirafan paling berprestij daripada Raja Bhumipol Aldayudej iaitu anugerah South East Asia Writes Award (SEA). Kejayaan Jong ini telah menganjak sastera bumi Darul Hana ini ke satu tahap yang baru dan pastinya memberikan dorongan yang luar biasa kepada sasterawan tempatan untuk berusaha lebih lagi dan menambah bilangan sasterawan kita yang berjaya di peringkat antarabangsa. Tahniah Jong !
Seterusnya ialah penerimaan Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA) sebagai afiliasi Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) menjadikan jumlah persatuan dari Sarawak yang bernaung di bawah GAPENA ialah dua buah. Di dalam sebuah majlis yang gilang-gemilang, penerimaan itu telah diraikan bersama-sama Ketua Satu GAPENA iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS). Syabas PEKASA !
Sementara Istana Budaya sekali lagi melebarkan pengaruhnya dengan sebuah pementasan muzikal “Suzana@60’ yang telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di Bandaraya Kuching khasnya. Keterlibatan artis-artis pop yeh-yeh menjadikan jualan tiket laris seperti goreng pisang tanduk. Namun hal yang lebih penting ialah peranan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam merancakkan lagi senario teater di negeri kita seperti semakin jelas. Keberlangsungan projek ‘Perkampungan Orang Gila’ selepas itu oleh Grup Teater Sanggar Kreatif juga bukti betapa DBKU semakin menunjukkan minatnya dalam berteater. Teruskan memaknakan teater kita, DBKU !
Kegagalan Grup Teater Sanggar Kreatif di peringkat kebangsaan di dalam Festival Teater Malaysia 2006 juga mendapat fokus istimewa daripada peminat teater tempatan. Persediaan selama setahun rupa-rupanya bukan jaminan untuk berjaya.Teater ‘Terdampar’ arahan Mohd Asri Ibrahim (Badul) hanya memenangi hadiah Pelakon Lelaki Terbaik melalui Mohd Zohren Sahari dan pulang dengan desas-desus yang mengatakan masalah disiplin merupakan antara faktor kegagalan kumpulan itu. Benarkah ? Jika ya, ini seharusnya dijadikan sebagai pengajaran.
Seminar ‘Sejarah dan Perkembangan Drama Sarawak’ anjuran DBPCS juga mendapat perhatian yang sentimental daripada aktivis teater khasnya. Beberapa minggu sebelum seminar, kelihatan beberapa pembentang melakukan penyelidikan. Satu inisiatif yang baik.Namun tidak semua bersemangat begitu. Akibatnya beberapa pembentangan tidak mendapat restu daripada para dramatis Sarawak dan berlakulah pertembungan yang memang dijangkakan. Inipun satu iktibar yang mesti kita ambil kira.
Sambutan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-50 juga menjadi kemuncak acara seni dan sastera di Bandaraya Kuching. Pelbagai aktiviti telah direncanakan sebagai tanda meraikan usia panjang DBP itu.Pementasan teater muzikal ‘Puteri Santubong Pata Puteri Sejinjang’ arahan Mat KR menjadi acara kemuncak. Penampilan Nurul AF dan Anding AF menjadi daya penarik kepada pementasan itu. Sambutan di luar dugaan telah diterima.Nampaknya pendekatan popular menjadi pilihan penggiat seni dan sastera kini.
Di pihak Angkatan pengkarya Indie (API) pula, heboh diwar-warkan di laman maya Sastera_Sarawak, kejayaan mereka menerbitkan filem pendek berjudul ‘Detour’. Filem pendek tersebut diarahkan oleh Zamawi Sawek .Dikatakan ia merupakan filem pendek pertama yang diusahakan oleh sebuah pergerakan yang berlandaskan seni dan sastera dan menjadi satu produk sastera yang unik daripada API. Namun sehingga sekarang ia belum dilancarkan secara rasmi. Bila lagi, API ?
Penerbitan program ‘Anjung Budi’ oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga merupakan satu aktiviti penting tahun ini. Penglibatan sebahagian besar penggiat seni dan sastera menjadikan program ini sebagai aktiviti yang begitu kompak. Antara yang terlibat ialah Norzahan Bahani, Hashimah Siri, Dahiri Saini, Yusuf Fansuri , Armizal Nila, Wan Abu Bakar Wan Hassan, Kumpulan Sanggar Akar, beberapa buah sekolah dan kumpulan lagu puisi. Syabas, mereka telah menunjukkan persembahan yang baik dan saya dimaklumkan format rancangan Sarawak telah dijadikan format keseluruhan program itu !
Beberapa penulis muda mulai membangunkan wibawanya di persada sastera kita. Khabarnya Zahiran Zaidani akan muncul dengan antologi persendiriannya berjudul ‘Sari Rasa Terindah’. Penyair API, Armiza Nila pula telah diiktirafkan di dalam Hadiah Penggalakan Penulis Sarawak dan merupakan satu kejayaan peribadinya yang cukup manis. Sementara penyair Daro, Hashimah Siri beberapa minggu lalu, telah melancarkan antologi bersama ‘Ko Sayang Daro’ menghimpunkan beberapa penulis muda dari Daro. Peletusan tiga nama ini sesungguhnya satu perkembangan positif kepada perkembangan dunia sastera kita. Teruskan berkarya.
Kemunculan Roslan Jomel secara lebih ketara di gelanggang sastera Sarawak juga menjadi erti yang penting. Pembongkaran nama Roslan ketika sebuah seminar sastera di Miri oleh Kemala, membuka mata beberapa pihak yang selama ini menyepikan namanya. Penerimaan Hadiah Galakan Sastera Kenyalang oleh Roslan melalui cerpen berunsur realisme magisnya (pengaruh daripada Gabriel Garcia Marquez) ‘Seorang Tua Yang Seluarnya Ditembusi Sayap Malaikat’ menjadi titik-tolak pengembangan ‘kerjaya’ Roslan sebagai pemfiksyen berpotensi.
Bagaimana pula dengan Yusuffansuri ? Penyair muda API itu mulai menampakkan hasil pengkaryaannya yang teliti dan penuh bertenaga. Juga antara penerima Hadiah Galakan Sastera Kenyalang, beliau semakin mengalir di dalam arus kata-kata, di samping memacu pergerakan API menjadi sebuah pengaruh yang perlu diberi perhatian. Namun bakat kepenyairannya tidak dapat dinafikan merupakan aset sastera Sarawak pada masa hadapan.Terus mengalir, Yusuffansuri.
Sementara di laman maya, kemunculan beberapa watak misterius yang berselindung di sebalik nama pena, semakin merancakkan lagi gelora gelombang sastera di Bumi Kenyalang ini.Kritikan pedas daripada beberapa watak seperti Penagunung, Drghostiq, Mycven, Citrasukma, Ikerinduan, Mofa_j, Armiza_Nila, Ahqim_Genius dan Kelana_Juara (sekadar menyebut beberapa nama) sedikit-sebanyak telah memberi satu dimensi baru kepada dunia sastera. Polemik nama samaran mengisi ruang pemikiran sasterawan kita untuk beberapa minggu tahun itu. Seni dan sastera selepas itu tidak pernah sama seperti sebelumnya. Siapa yang makan cili, dia terasa pedasnya.
Di samping itu, kemasukan Abdul Rasid Subert sebagai Editor ‘Yang Indah Itu Bahasa’ merupakan satu keberuntungan kepada dunia sastera kita. Rasid yang pernah mengepalai penerbitan jurnal puisi Melayu iaitu ‘Perisa’ pastinya akan berusaha menambahkan lagi nilai makna sastera Darul Hana. Perpindahan Awg Zaidell Awg Jamil , naib setiausaha PEKASA dan moderator laman Pekasa Online (POL) ke DBP Kuala Lumpur, juga dianggap sebagai aset sastera yang harus diberi perhatian. Zaidel ketika ini berperanan sebagai Penolong Penerbit majalah tersohor Dewan Sastera. Pastinya satu cabaran kepada sasterawan kita untuk lebih memantapkan diri.
Tahun ini juga akan menyaksikan penyair dan dramatis terulung Sarawak Zaini Oje bersara daripada jawatanya sebagai Pengarah DBPCS. Sesungguhnya Zaini seorang pengarah yang amat prihatin terhadap dunia sastera.Pastinya pemergian Zaini itu akan dirasakan ketiadaannya dan kita sentiasa akan mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran berpanjangan kepada beliau. Menurut perancangannya selepas bersara, Zaini akan mencuba membuat beberapa pementasan yang telah lama tertunda. Ada rahmatnya juga dia bersara !
Sementara beberapa polemik sastera telah berlaku terutamanya di laman maya Sastera_Sarawak (S_S) dan POL. Antara yang sempat saya catat ialah persoalan penyatuan persatuan sastera di Sarawak telah membangkitkan pertembungan di antara kerabat API, Penagunung (bebas) dan PUTERA (Jaya Ramba). Di laman POL pula, isu matlamat penubuhan PEKASA menjadi pokok polemik. Sekali lagi Penagunung berperanan utama berpolemik dengan Kelana Akira (wakil PEKASA) , sasterawan yang tidak asing lagi di bumi Sarawak.
Manakala polisi keterbukaan yang diamalkan oleh laman Sastera_Sarawak tajaan API mendapat bidasan beberapa pihak. Dalam masa yang sama, laman POL anjuran PEKASA mengamalkan dasar tertutup. Laman POL menerima tamparan yang hebat apabila mendapat sambutan dingin daripada komuniti sastera maya. Selepas itu pemimpin PEKASA akhirnya terpaksa akur terhadap dasar langit terbuka dan membuka laman POL kepada khalayak umum. Sementara itu kejayaan PEKASA memulakan ruangan sastera di akhbar Utusan Sarawak juga harus mendapat pujian. Semoga usaha itu akan diteruskan.
Begitulah serba ringkas sorotan peristiwa penting ‘hari ini dalam sejarah’ yang sempat saya kutip daripada bank memori saya yang amat terbatas ini. Jika ada yang tertinggal saya mohon maaf dan tolong dimaklumkan kepada saya di HYPERLINK "mailto:zach2bach@yahoo.com" zach2bach@yahoo.com. Kita berharap tahun 2007 akan menjanjikan perkembangan yang lebih bermakna daripada pemain-pemain utama di pentas seni dan sastera kita. Sasterawan dan seniman pastinya akan likat bergelumang dengan ilham dan inspirasi.
Bagi saya pula tahun ini, saya mulai menulis di Utusan Borneo setelah lama tidak menumpahkah ‘piece of mind’ saya kepada khalayak seni dan sastera (9 tahun !). Saya muncul semula dengan satu azam, ingin memberikan sumbangan bermakna kepada dunia seni dan sastera. Untuk ini saya mengucapkan terima kasih kepada rakan lama Matnor Arif diatas kepercayaan beliau terhadap saya.
Di samping itu, beberapa tulisan mencakupi soal teater juga terbit di majalah kelolaan Istana Budaya, PENTAS; yang pertama berjudul ‘Teater Sarawak Yang Absurd’ telahpun diterbitkan pada bulan November ini dan kedua bertajuk “Perkembangan Yang Dilupakan’ terbit Disember ini. Untuk ini saya merakamkan terima kasih yang tidak terkira kepada ‘mullah’ sastera Rahimiddin Zahari di atas jasa baiknya 'memaksa' saya kembali menulis.
Rumusannya saya (baca: kita) harus mahu belajar daripada kesilapan yang besar-besar ; muhasabah terhadap diri sendiri, memperbaiki kelemahan dan kekurangan ke arah menjadi manusia yang bermanfaat kepada diri sendiri, masyarakat dan agama. Ya, tahun depan pasti akan tiba. Saya punya perencanaan tersendiri, namun dengan satu tujuan ingin merasai perubahan lain ! Amin.
Selamat Tahun Baru dan Selamat Hari Raya Aidil Adha !
ACP









SEJARAH BUKAN REKAYASA !


Naratif filem Schindler’s List menampilkan propaganda pro-Yahudi yang didalangi sutrabara tersohor Hollywood Steven Spielberg. Tidak dihairankan naratif yang dibuat sebegitu mengharukan itu mengundang rasa simpati sekali gus empati penonton seluruh dunia. Dengan memanipulasikan hitam dan putih, Spielberg berjaya mencipta realiti perang yang berkesan dan penonton seolah-oleh dipukau kebijaksanaan ilmu kepengarahan serta pilihan sinematografi beliau. Kita benar-benar dapat menghayati zaman berang Adolf Hitler itu. Ketelitian Spielberg dalam menanggapi sejarah bangsa sendiri sewajarnya mendapat penghargaan.

Spielberg enggan berkompromi dengan sejarah bangsanya. Apa yang diunjurkan adalah fakta dan bukan rekayasa untuk menghibur. Beliau sedar tanpa keprihatinan dirinya sebagai Yahudi tidak mungkin orang lain akan berbuat yang sama. Achirnya Spielberg berjaya muncul pengkampiun nasib malang dan terumbang-ambing bangsa Yahudi terkutuk itu dan secara tidal langsung merubah persepsi masyarakat dunia terhadap kekejaman mutakhir Yahudi terhadap Palestine seolah-olah memberi keadilan kepada mereka.

Namun rencana ini bukan bertujuan mengupas ilmu kepengarahan Spielberg tetapi sekadar mengambil contoh bagaimana sebuah naratif sejarah mengalami tranformasi sehingga menjadi filem sejarah ataupun sejarah yang difilemkan dan memberikan impak bernas terhadap sejarah antropologi sesebuah bangsa. Moral Spielberg sewajarnya diteladani dan menjadi dorongan kepada calon penulis yang berhasrat mempelopori naratif sejarah sebagai modal berkarya tidak kira dalam genre apa sekalipun agar prihatin serta teliti terhadap rentetan peristiwa, latar zaman dan masyarakat serta psikologi watak dan perwatakan amatlah dituntut.

Namun terdapat segelintir pengkarya yang sembrono mewujudkan sempadan dangkal antara karya sejarah dan sejarah yang dikaryakan kononnya yang pertama itu merupakan total sejarah ataupun fakta2, sementara yang kedua pula memberikan kebebasan untuk mencampuradukkan fiksi sehingga merusak nilai2 sejarah. Lebih berani lagi apabila ada pengkarya yang menggunakan rasioanal new-historisme sebagai kaedah penulisan seperti yang ‘dipelopori secara serius’ oleh Faisal Tehrani (sila rujuk novel 1511 dan Surat-surat Perempuan Melayu Johor).

Dalam konteks ini, kebebasan berkarya memang dituntut sebagai keberlangsungan proses kesejatian diri, namun kebebasan tanpa akal sihat akan meletakkan kewibawaan pengkaryanya bagai telur dihujung tanduk kerana mempersenda serta memomokkan sensitiviti massa adalah gangguan psikologi yang berbekas dalam.

Untuk menyelitkan elemen rekayasa hanya akan melabelkan karya tersebut sebagai fiksyen dan tidak sama sekali karya sejarah. Apatah lagi jika elemen fiksyen itu membentuk teras kepada sesebuah karya sehingga merusak kenyataan bahawa sejarah adalah fakta dan kronologi peristiwa.Justeru, sempadan antara sebuah karya sejarah dan sebuah karya fiksi sewajarnya dihormati. Pengkarya usah sewenang-wenang menggunapakai fakta-fakta serta kronologi sejarah tanpa pertanggungjawaban tinggi, malah sewenang-wenang pula mengutarakan teori sastera untuk menghalalkan kesilapan.

Umpamanya, mengambil Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang sebagai rujukan sejarah adalah tidak munasabah kerana ia adalah karya sastera dan bukannya teks sejarah. Malah dunia kesusasteraan melabelkan karya itu sebagai intertekstualiti seperti yang ditegaskan oleh Umar Junus di dalam buku birunya berjudul “Sejarah Melayu: Suatu Interpertasi Semula.” Nilai-nilai sastera sememangnya penuh dengan bumbu ‘tanpa logika’ seperti halnya dengan gaya metafora, personifikasi, hiperbola, anakronisme dan sebagainya Dan norma inilah yang memberikan kekuatan sastera sebagai pendodoi daya imaginasi seseorang. Tetapi ternyata sastera bercanggah dengan sejarah yang lebih berpihak kepada ‘sebab dan akibat’ serta bukti-bukti empiris yang sahih.

Dalam konteks ini, naratif sejarah yang disasterakan dengan penghasilan naskhah atau lakon layar harus tidak lebih daripada batas ini ; kemasukan elemen sastera hanya terbatas dengan penciptaan suasana zaman dan masyarakat, pembangunan langgam bahasa pengucapan, unsure-unsur kejutan, foreshadow, flashback dan sebagainya, itupun dalam bentuk himpunan kata-kata dengan makna tersurat dan tersirat dan penikmat mencakup individu sahaja. Selebih daripada itu adalah kerja-kerja produksi yang banyak mengambil kira estetika visual dan aural serta melibatkan jumlah penikmat yang besar.

Sehubungan ini, sutrabara yang bertungkus-lumus menterjemah genre sastera samada ke pentas atau filem sebenarnya bertindak selaku sang penghukum yang menghukummati sastera. Pendek kata sastera mati ditangan sutrabara !!! Nilai2 sastera tidak wujud (ceased to exist) di pentas mahupun layar perak, digantikan ungkapan seperti sinografi, ‘dramatic scene’ dan lain2. Lihat saja antara karya2 besar sastera ( berunsur sejarah ) seperti novel Onegin ( Alexander Pushkin ) dan novel Anna Kareina (Leo Tolstoy) tidak mungkin gizinya sama setelah ditranformasikan ke filem. Biarpun kenyataannya bahasa sastera adalah himpunan pemikiran yang diterjemahkan ke dalam bentuk kata-kata cuma sedangkan bahasa filem adalah kombinasi pelbagai cabang disiplin (seperti halnya dengan teater) namun moral menuntut sutrabaranya lebih prihatin terhadap fakta dan kronologi peristiwa.

Lainlah jika pengkarya pada awal-awal lagi berhasrat untuk menghasilkan karya fiksyen daripada cedokan sejarah (seperti drama tivi The New Adventure of Robin Hood, filem Robin Hood The Prince of Thieves) yang hakikinya tetap fiksyen ! Saya melihat karya-karya sejarah mempunyai kepentingan sebagai pencatat atau perakam untuk ditatap generasi akan datang. Putaran seluloid ataupun pementasan itu sebenarnya putaran kapsul masa. Lihat saja filem Thu Nyak Dien arahan Eros Djarot itu. Ketepatan fakta-fakta sejarah, di samping energi menterjemah situasi seperti sekitar peristiwa sebenar dan dibantu lakonan mantap daripada dua tokoh peran berwibawa Indonesia Christian Hakim dan Slamet Rahardjo berjaya mengangkat kebernasan perjuangan bangsa Indonesia.

Kita disajikan dengan kekejaman Belanda, penderitaan masyarakat petani, kekentalan semangat juang tokoh nasionalis serta kecurangan Bang Laut. Betapa filem ini sebenarnya adalah kesedaran nasionalisme tinggi bukan saja sutrabara, ahli produksi, para pelakon malah seluruh rakyat Indonesia. Dan efek ini tidak mungkin diperoleh jika dengan sembrono Thu Nyak Dien ditampilkan dengan penuh elemen-elemen rekayasa. Saya sebenarnya percaya pada kebebasan berkarya. Berkaryalah apa saja asal tidak mencemar kewajaran kerana memelihara kewajaran itu penting sebagai usaha mendorong mutu hidup. Tetapi untuk mencari lowongan menghalalkan sesuatu terutama berkaitan dengan sejarah bangsa sendiri (yang dimaklumi salah), adalah anti pengembangan untuk diri sendiri, apatah lagi aspek ketamadunan bangsa. Justeru dalam hal ini ironi sekali bangsa kita yang mahu dilihat sebagai bangsa terpilih tetapi masih tidak menghargai sejarah sendiri.

Atau segala kejulingan ini adalah natijah daripada pegangan ala-Sophisme yang lebih mengutamakan menang-kalah.


Perkembangan Yang Dilupakan

Tanggal 14 September 2006, barangkali tarikh ‘istimewa’ bagi para penggiat teater di Sarawak amnya dan Kuching khasnya. Sebabnya pada hari tersebut sebuah majlis keilmuan berjudul Seminar Sejarah dan Perkembangan Drama Sarawak telah direalisasikan. Beberapa bijak pandai bidang berkenaan dijemput untuk memperkatakan sebuah topik yang sudah begitu lama ditundakan kepentingannya. Lokasinya pula ialah di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS), memandangkan penganjurnya ialah DBPCS sendiri dan badan penaung drama di Sarawak iaitu Majlis Teater Negeri Sarawak (MANTERA) hanya berperanan sekunder sahaja (dicatatkan disetiap kertas kerja sebagai ‘ dengan kerjasama’) sekali gus menyatakan betapa ‘tidak bermaknanya’ MANTERA pada saat itu.
Para dramatis sudah berminggu-minggu menunggu dan amat terasa ghairah mereka terhadap seminar tersebut. Memang tidak dapat disangkal hal-ehwal 'sejarah dan perkembangan drama' merupakan aspek perbincangan yang amat menarik dan mempunyai nilai provokasi tinggi. Sehubungan itu,dua komponen utama seminar tersebut iaitu ‘sejarah’ dan seterusnya ‘perkembangan’ harus ditanggapi sebaik mungkin Saya pula ingin memfokuskan kepada aspek ‘perkembangan’ yang harus pula dianggap sebagai sari seminar tersebut. Sejarah memang penting, namun demikian dalam memperkatakan tentang pembangunan, perkembangan akan diutamakan.
Begitulah kira-kira maksud di hati saya, tetapi pada akhirnya saya berkongsi rasa kecewa bersama dramatis lain kerana rata-rata panel pembentang hanya ‘membaca sejarah’ tetapi tidakpun berusaha sebaik mungkin untuk menelaah perkembangan drama itu sendiri. Paling ketara sindrom ‘cut and paste’ menjadi stail sebahagian daripada mereka. Akhirnya ‘seminar itu hanyalah gambaran ‘lebih kuah daripada isi’ (ini menjelaskan kekecohan yang berlaku pada sesi soal jawab disebabkan kedangkalan pembentang menanggapi pokok pembentangan masing-masing)
Apatah lagi apabila mengambil kira, beberapa aspek penting berkaitan perkembangan drama terutamanya di tahun 1990-an seperti telah sengaja ditiadakan (tidak juga pasti samada pembentangnya tidak mempunyai pengetahuan tentang beberapa perkembangan signifikan itu atau atas sebab-sebab yang tidak dapat dijelaskan ia telah dilupakan. Wallahualam). Lantaran itu, izinkan saya untuk membangkitkan perkara ini yang saya istilahkan sebagai ‘perkembangan yang dilupakan’ dengan harapan agar sejarah dan perkembangan drama di muka bumi Darul Hana ini dapat diperbetulkan. Amin.
Kata yang empunya ceritera, perkembangan paling mustahak di dalam lipatan sejarah teater Sarawak ialah perpecahan Rumpun Seni Drama Sarawak (RUSDA). RUSDA merupakan pertubuhan teater Melayu moden pertama ditubuhkan setelah merudumnya populariti bangsawan sekitar tahun 1960-an. Ia diasaskan oleh AB Nor, Laili Budin, Kassim Daud, Mary Hashim dan Abang Sharil Abang Paleng sekitar awal tahun 1970-an dan semenjak itu menjadi gelanggang ‘berpencak’ bagi dramatis besar lain seperti Fatimah Hashim, Adi Badiozaman Tuah, Zaini Oje, Esmawi Haji Husly, Ahmad Beduwie Nahrawi, Bedui Une, Saet Ahmad, Hashim Tahot, Saniah Zainuddin, Hazis Wahab, Hajjah Sabtuyah Bolhi, Salbiah Nawi, Asmahwati Ahmad, Sabri Bujang .
Kehebatan RUSDA semakin menyerlah apabila mengemukakan gagasan 'Pengukuhan Pergerakan Teater' yang matlamat utamanya ialah untuk menggalakkan "penubuhan lebih banyak badan teater lain untuk menyertai pertandingan dengan mengurangkan penyertaan RUSDA. Pada akhirnya kepimpinan tertinggi RUSDA waktu itu (Zaini dan Esmawi) mensasarkan RUSDA menjadi badan pemayung kepada seluruh pergerakan teater di Sarawak" (Sejarah Kumpulan dan Persatuan Teater Sarawak-Saiee Driss).
RUSDA berjaya menembusi saluran kerajaan, sering mendapat kepercayaan orang-orang politik (bahkan suatu ketika penaungnya ialah YB Datuk Haji Noor Tahir sementara penasihatnya ialah Tuan Haji Taha Ariffin) dan diberi ruang dan peluang amat besar dalam mengadakan pelbagai aktiviti teater. Pendedahan demi pendedahan baik daripada bersama dramatis Semenanjung Malaysia mahupun antarabangsa telah melahirkan barisan RUSDA yang cukup mapan dan berkaliber dalam memproduksikan sebarang pementasan mahupun pergerakan teater. Ketika itu RUSDA dirasakan hanya satu-satunya pertubuhan teater yang akan wujud di negeri Sarawak dan tak mungkin ada yang mampu menggugatnya.
Walaubagaimanapun angin perubahan mulai terasa pada tahun 1993, apabila sekelompok orang RUSDA tampil pengerjaan teater mereka di dalam Pekan Teater Negeri Sarawak.. Sebagai contohnya Salbiah Nawi dan Asmahwati Ahmad mulai bergerak di atas nama Seniman Muda Sedar ('Binatang Jalang),sementara Saniah Zainuddin pula tampil dengan Grup Teater Serapi ('Suara-suara Mati') , Ali Mohamad pula menubuhkan Grup Teater Pesat ('Puteri Santubong Wawasan 2020') dan Othman Abu Seman dengan Grup Teater Kuching ('Melati Sarawak').
Maka secara tidak rasminya RUSDA menjelang awal 1990-an berada diambang keruntuhan. Perpecahan RUSDA ini dianggap sebagai ‘history turning point’ bagi perkembangan teater di Sarawak. Kemunculan kumpulan-kumpulan teater serpihan RUSDA ini mewujudkan satu senario penteateran yang likat dengan persaingan dalam pelbagai bentuk baik dari segi pergerakan mahupun aliran teater. Menjelang akhir abad ke 20, semakin ramai ahli RUSDA yang membawa haluan sendiri. Setelah kurang lebih tiga darsawarsa menguasai pentas teater Sarawak, pengaruh RUSDA semakin berkurangan dan akhrinya berkubur tanpa nisan.
Ya, malangnya seminar itu tidakpun menyebut tentang cebisan sejarah terpenting ini !
Setelah RUSDA, perkembangan yang berikut juga dianggap sebagai permulaan penuh bermakna bagi teater di Sarawak dalam menyambut pertukaran zaman baru. Serpihan RUSDA yang boleh dianggap paling berbisa ialah kumpulan pimpinan Hazis Wahab dan Hajjah Sabtuyah Bolhi iaitu Grup Teater Ngoncong (Ngoncong). Kemunculan Ngoncong sebenarnya berlaku selepas pementasan teater 'Ngoncong' karya jais Sahok, arahan Ismail Hamdan di Hotel Riverside Majestic, Kuching. Dua watak utama teater itu Hazis Wahab dan Hajjah Sabtuyah Bolhi dalam diam-diam mengambil nama Ngoncong sebagai nama kumpulan mereka dan seterusnya bergerak untuk mencorakkan perkembangan teater.
Kemenangan Grup Teater Ngoncong di Festival Teater Malaysia pada tahun 1998 dengan teater ‘Sawo’ sememangnya merupakan satu detik penuh bersejarah. Daripada sudut lain, kejayaan grup tersebut boleh dianggap sebagai satu lonjakan penuh bermakna apabila memperkatakan tentang perkembangan drama di Sarawak pada era berkenaan. Daripada sebuah negeri yang sering dipandang rendah di peringkat kebangsaan, teater di Sarawak telah mampu mencorakkan sebuah ‘revolusi pentas’ di persada Festival Teater Malaysia. Pencapaian ini bukannya kejayaan mengejut atau secara kebetulan kerana percubaan Sarawak untuk sampai ke peringkat tersebut telahpun bermula dengan Grup Teater Sanggar Kotaras di bawah pimpinan sasterawan tersohor Awangku Merali Pgn Mohamed dengan naskhah ‘Tukang Ensera’(naib johan), kemudian Grup Teater Tamu Seri Kuching (TASEK) dibawah pimpinan Malek Hassan dengan naskhah ‘Vakum’ (tempat ketiga) dan akhirnya Grup Teater Ngoncong di bawah pimpinan Hajjah Saptuyah Bolhi dengan naskhah ‘Sawo’ (johan).
Perubahan kerangka minda para penggiat teater di Semenanjung mulai berubah dan negeri Sarawak tidak lagi dipandang hanya memenuhi kuota tetapi sebaliknya berupaya memberikan cabaran penuh bermakna. Sementara perubahan kerangka minda juga berlaku di kalangan orang teater Sarawak; mereka semakin mempunyai ‘sense of pride’ terhadap bakat dan kebolehan masing-masing. Semangat untuk berteater semakin tinggi terutamanya menyentuh penyertaan di festival teater. Persediaan di mulakan dengan perancangan yang kemas dan teliti beberapa bulan sebelum berlangsungnya festival. Balai Budaya, DBPCS menyaksikan kumpulan-kumpulan teater terpaksa berbagi kawasan latihan sehingga ada yang berlatih di bawah lampu, gelanggang tenis, belakang stor , kaklilima jalan dan bagi yang bernasib baik di dalam dewan.
Begitulah impak yang diberikan oleh Ngoncong terhadap perkembangan drama di Sarawak . Namun didalam seminar itu kecemerlangan Ngoncong hanya dinyatakan oleh Abg Patdeli Abg Muhi (“Selayang Pandang Perkembangan Teater Melayu Sarawak Dalam Dekad 1990-an hingga 2005”) seperti berikut : “ Sebagai contohnya, pada tahun 1998, kumpulan teater Ngoncong telah meraih kejayaan yang cukup besar, yakni menjuarai pekan teater pada tahun berkenaan.” Dengan beberapa kerat kata-kata seperti itu seperti menggambarkan pencapaian Ngoncong sebagai suatu hal yang tidak penting sama sekali.
Tidak hairanlah, beberapa anggota kumpulan berkenaan melatah dan meratah panel pembentang akan kedaifan pemikirannya itu !
Di samping itu, satu lagi perkembangan yang dianggap penting di dalam memperkatakan tentang drama di Sarawak ialah pencapaian Grup Teater Sedar Sarawak (Sedar). Penubuhan grup ini pada 14 Jun 1990 dianggap sebagai jawaban kepada RUSDA. Seperti yang dinyatakan oleh Saiee Driis (‘Sejarah Persatuan dan Kumpulan Teater di Sarawak) “ ...dasar RUSDA mahu menjadi badan pemayung kegiatan teater di Sarawak bukan diterima oleh kesemua anak seni teater...Diantara akibatnya Grup Teater Sedar... memberontak terhadap dasar RUSDA menjadi badan pemayung itu”
Sedar diasaskan oleh sekumpulan anak-anak sekolahan iaitu Abdillah Untong, Safian Bujang, Tajul Ashikin Tambi dan Zamawi Sawek yang tercetus hasil daripada bengkel Teater sepanjang tahun anjuran Kementerian pembangunan Soial Sarawak (ketika itu). Sedar sebagai sebuah persatuan teater berdaftar dalam pelbagai inisiatif dan semangat telah berusaha untuk “membuktikan mereka juga mampu memimpin dan menggerakkan teater” dengan mengadakan beberapa siri pementasan tahunan (antaranya ‘Suara Tenggang’, ‘Embrio’, ‘Raja Pengemis’, ‘Sasau’, ‘Impromtu’) . Lebih memberangsangkan lagi, rata-rata anggotanya ketika itu ialah anak-anak sekolah daripada tingkatan satu hinggalah enam.
Pada tahun 1993, Sedar telah menggemparkan persada teater tempatan dengan projek teater kelilingnya ke seluruh negeri Sarawak (Kuching, Sarikei, Bintulu, Mukah, Daro dan Miri). Dengan menaiki sebuah coster, rombongan seramai lima belas anak-anak muda itu telah menjelajah bumi sendiri dan mementaskan naskhah Zaini Oje iaitu “Dunia Di Atas Ranjang”. Selanjutnya pada tahun 1996, Sedar telah berjaya membuktikan bahawa teater Sarawak mampu pergi lebih jauh apabila mereka berjaya mengadakan teater keliling ke luar negara (Bengkel Teater Rendra Depok, Institut kemahiran Ilmu Perguruan Bandung di Indonesia dan Akademi Seni Kebangsaan di Kuala Lumpur) dengan teater eksperimental Impromtu “...?!”. (Sedar merupakan kumpulan teater pertama dari Malaysia yang pernah mengadakan pementasan di Jakarta, apatah lagi di Bengkel Teater Rendra )
Tembok geografikal di samping stigma ‘jaguh kampung’ telah ditabrakkan oleh Sedar dengan kejayaan kedua-dua projek tersebut. Yang jelas martabat teater Sarawak dianjak lagi dengan ‘jerit baru yang bara’ (slogan perjuangan Sedar) ke peringkat antarabangsa. Kejayaan konsep pergerakan teater keliling Sedar itu telah membawa beberapa perubahan ketara di kalangan aktivis tempatan kerana fokus pementasan mereka selepas itu tidak lagi berpusat di Kuching tetapi telah beralih juga ke daerah lain terutamanya Daro.
Kumpulan dari Semenanjung pula pernah juga mengadakan beberapa projek teater keliling. Antaranya ialah Alternative Stage pimpinan Namron pernah menjelajah Sarawak dengan teater “ Di Pulau Sa dan Di (Mislina Mustpaha dan Rosdeen Suboh sebagai pemegang watak utama), destinasi sebenar mereka ialah Kuching,Sri Aman, Sarikei dan Daro. Bahkan di peringkat kebangsaan, Sedar telah menjadi tulang belakang kepada penyertaan Grup Teater TASEK di Festival Teater Malaysia 1996 dengan naskhah 'Vakum' (naib-johan) . Kemasukan anggota Sedar seperti Ismail Ketang, Suffian Jalet, Jamshari Saili, Helmi Mohd Isa, Raudhah Mat Isa, Zamawi Sawek telah menjadikan penyertaan wakil Sarawak itu tidak sia-sia. Sehingga kinipun Sedar masih bergerak, namun dalam gerak yang 'menggeng' (supra perlahan)
Ya, sekali lagi amat mengharukan apabila sejarah sepenting itu tidak disentuh dengan baik oleh pembentang. Bahkan sekali lagi Abg Patdeli hanya mampu menyimpulkan pencapaian Sedar itu sebagai “..cukup terasa kehadirannya dalam alam teater di Sarawak dengan nuansanya yang tersendiri.”
Tiga lembar sejarah dan perkembangan itu sesungguhnya merupakan satu pencapaian yang dianggap sebagai anjakan paradigma terhadap arus pembangunan teater di Sarawak. Tidak ada dramatis yang tidak merasa bangga dengan hakikat ketiga-tiga peristiwa itu. Ketiadaan fakta tersebut mahupun perbincangan tuntas berkaitan tiga perkara itu menunjukkan kedangkalan pemikiran, kedaifan penilaian serta kejulingan 'welschastauung' pembentang dalam memperkatakan tentang pertumbuhan drama di Sarawak. (Lebih mengharukan ia belum pernah disentuh oleh mana-mana pembentangan sebelum ini).
Untuk sebuah seminar seperti itu pihak penganjur sewajarnya berhati-hati dalam memilih panel pembentang bukan 'main van sapu' saja. Seminar sperti itu yang gah dengan judul besar itu, sewajarnya dapat memberikan kesan mendalam di samping kesedaran tentang reality sebenarnya teater di Sarawak bukan sahaja kepada para dramatis tetapi juga peminat teater amnya. Namun kesan lain pula yang terbit, cemuhan demi cemuhan terhadap pembentang dan juga penganjurnya.
Akhir kata, semoga dengan penjelasan ini akan dapat membuka mata khalayak teater di Semenanjung amnya dan Sarawak khasnya terhadap perkara sebenar yang berlaku dan bukannya menelan bulat-bulat apa yang disajikan oleh para bijak kaldai kita.
(Rencana ini pernah disiarkan di majalah PENTAS terbitan Istana Budaya)

Daftar rujukan
__Abg Patdeli Abg Muhi 14 September 2006 : Selayang Pandang Perkembangan Teater Melayu Sarawak Dalam Dekad 1990-an hingga 2005
__Saiee Driss 14 September 2006 : Sejarah Persatuan dan Kumpulan Teater di Sarawak
__Brosur teater 'Ngoncong' -Pusat Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak 16 Ogos 1992 : arahan Ismail Hamdan
__Brosur teater 'Dunia Di atas Ranjang'- Grup Teater Sedar Sarawak 5-21 Jun 1994 : arahan Abdillah Untong Teater Keliling
__Brosur teater 'Vakum' -Grup Teater TASEK (Tamu Seri Kuching) 20 Disember 1996 : arahan Malek Hassan
__Brosur teater Impromptu "...?! -Grup Teater Sedar Sarawak 30 Jun- 22 Julai 1996 : arahan Zamawi awek dan Abdillah Untong
__Brosur 'Binatang Jalang' -Seniman Muda Sedar 18 Disember 1993 : arahan Asmahwati Ahmat
__Perlembagaan Grup Teater Sedar Sarawak 14 Jun 1991























Teater Sarawak Yang Absurd


Sedarsawarsa lalu saya cuba menanggapi duduk perkara teater Sarawak itu. Dalam usia yang begitu muda dan penuh dengan idealisme. saya telah menggunakan segala peluang bekerja sebagai seorang wartawan di akhbar Utusan Sarawak untuk memperkatakan (memberi keprihatinan) tentang segala aspek teater Sarawak. Antara persoalan yang paling mendatangkan reaksi segera para aktivis teater ialah tentang masa depan teater Sarawak itu. Ketika itu reaksi bercampur-baur diterima dan berlakulah polemik berpanjangan di antara sesama aktivis sehingga mencetuskan suatu ‘peperangan’ yang kurang manis. Saya tetap dengan pendirian sehingga kini bahawa masa depan teater sarawak sebenarnya masih belum jelas. Sepuluh tahun berlalu, saya merasakan bahawa waktu memihak kepada saya dan telah membuktikan kebenarannya.

Justeru pada 14 September 2006 lalu apabila diadakan Seminar Sejarah dan Perkembangan Drama Sarawak di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) saya merasakan seperti sensasi de javu mendatangi diri saya beberapa hari sebelum tarikh itu. Biarpun saya tidak sempat menghadirkan diri ke seminar itu, namun berdasarkan laporan dan aduan yang diterima daripada teman-teman, ternyata banyak perkara yang tidak usai. Seminar tersebut dianjurkan oleh DBPCS dengan kerjasama Majlis Teater Negeri Sarawak (MANTERA), suatu kedudukan yang barangkali sedikit pelik memandangkan MANTERA merupakan badan terpenting teater Sarawak tetapi hanya berperanan sekunder.

Yang pasti seminar itu amat ditunggu-tunggu oleh sekalian penggiat teater yang sebenarnya dahagakan perhatian keilmuan seperti itu. Apatah lagi apabila mengambil kira panel pembicaranya yang terdiri daripada ‘mereka yang terpilih’ di dalam bidang teater seperti Abg Patdeli Abg Muhi ,Hazami Jahari, Jais Sahok, Saiee Driss, Hafifah Vanitha Abdullah, Zaini Oje, AB Nor, Zakaria Hassan ,Awg Azman Awg Pawi dan Jeniri Amir. Sebaliknya saya yang tidak sempat untuk datang ke seminar itu, hanya mengikuti jaluran pemikiran mereka melalui saki-baki kertas-kerja yang diberikan oleh seorang sahabat yang prihatin (terima kasih). Pada akhirnya saya merumuskan bahawa mereka telah begitu baik dalam aspek ‘membaca sejarah’ tetapi amat lembab dalam ‘menelaah perkembangan’. Panel terpilih itu seperti melakukan kerja melepaskan batuk di tangga, di samping mengaut keuntungan jangka pendek hasil daripada honorarium DBPCS.

Ya, bagaimana sebenarnya perkembangan (baca:masa depan) teater Sarawak ?

Justeru saya ingin memulakan perbincangan ini dengan sedikit tafsiran ‘sendiri-sendiri’. Perkembangan dan masa depan saling berkait. Perubahan pula ialah kesan daripada perkembangan yang akan menjadi katalis kepada pencorakan masa depan. Perubahan ialah peralihan kordinasi daripada keadaan lama kepada baru; daripada satu ke dua, dua ke tiga dan seterusnya. Perkembangan-perubahan-masa depan ialah sebuah proses kebudayaan yang tidak harus dilihat sebagai kesan jangkamasa pendek. Prosesnya berlangsung berkesinambungan tanpa henti. Tinggal lagi yang pentingnya perancangan yang sistematik yakni sebuah wawasan atau gagasan sebagai panduan untuk meralisasikan proses tersebut. Perancangan sistematik seperti satu prasyarat sebelum apa-apa langkah boleh dilaksanakan. Begitulah sari kepada perbincangan saya nanti tentang hal-ehwal perkembangan teater Sarawak.

Jika melihat kepada perkembangan semasa, teater di Sarawak telah jauh berkembang. Daripada sebuah negeri yang sering dipandang rendah di peringkat kebangsaan, teater di Sarawak telah mampu mencorakkan sebuah ‘revolusi pentas’ di persada Festival Teater Malaysia. Perubahan itu bermula dengan Grup Teater Sanggar Kotaras di bawah pimpinan sasterawan tersohor Awangku Merali Pgn Mohamed dengan naskhah ‘Tukang Ensera’(naib johan), kemudian Grup Teater Tamu Seri Kuching (TASEK) dibawah pimpinan Malek Hassan dengan naskhah ‘Vakum’ (tempat ketiga) dan akhirnya Grup Teater Ngoncong di bawah pimpinan Hajjah Saptuyah Bolhi dengan naskhah ‘Sawo’ (johan).

Perubahan kerangka minda para penggiat teater di Semenanjung mulai berubah dan negeri Sarawak tidak lagi dipandang hanya memenuhi kuota tetapi sebaliknya berupaya memberikan cabaran penuh bermakna. Sementara perubahan kerangka minda juga berlaku di kalangan orang teater Sarawak; mereka semakin mempunyai ‘sense of pride’ terhadap bakat dan kebolehan masing-masing. Semangat untuk berteater semakin tinggi terutamanya menyentuh penyertaan di festival teater. Persediaan di mulakan dengan perancangan yang kemas dan teliti beberapa bulan sebelum berlangsungnya festival. Balai Budaya, DBPCS menyaksikan kumpulan-kumpulan teater terpaksa berbagi kawasan latihan sehingga ada yang berlatih di bawah lampu, gelanggang tenis, belakang stor , kaklilima jalan dan bagi yang bernasib baik di dalam dewan.

Namun selepas itu prestasi Sarawak seakan-akan menurun. Penyertaan seterusnya seperti ‘Kosong’, ‘Inflakasta’ dan ‘Mati’ (kedua-duanya daripada Grup Teater Ngoncong) gagal di peringkat kebangsaan, bahkan Johan Negeri tahun 2004 Art of Saramart (naskhah ‘Sesat’) gagal terpilih untuk ke final di Kuala Lumpur. Sementara Grup Teater Sanggar Kreatif (naskhah ‘Terdampar’) pada tahun 2007 pula seperti kehilangan taring. Kegagalan demi kegagalan dirasai oleh setiap wakil negeri dan ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada orang-orang teater Sarawak. Ternyata sedikit-sebanyak hal ini telah menjejaskan moraliti mereka. Rasa kekecewaan mereka dipendam begitu lama menjadi kesenyapan yang nyaring.

Timbul pula persoalan; apakah yang sebenarnya telah terjadi kepada mereka (baca:teater Sarawak) ? Ada yang berpendapat prestasi teater Sarawak di peringkat setinggi itu merudum dengan teruknya. Permulaan ‘Sawo’ sebagai johan kebangsaan tidak dapat dikekalkan oleh kumpulan-kumpulan seterusnya yang sekadar merangkul hadiah sampingan seperti Teknikal Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik mahupun Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Apabila selesainya festival dan kembalinya anak-anak Sarawak ini ke bumi Darul Hana, berita tentang kegagalan mereka tersebar untuk beberapa minggu, di samping isu salah-menyalah antara satu sama lain berlaku secara tidak rasmi.

Perlahan-lahan hidup (baca:teater) kehilangan makna, hala tuju dan semangat juang berganti kekecewaan. Keluhan demi keluhan kedengaran baik didalam bualan harian mahupun didalam sebuah seminar. Realiti yang mendatangi mereka dianggap sebagai sebuah mimpi. Kekalahan masa lalu dipampaskan dengan alasan luar jangka tanpa mahu meneliti ke dalam kelemahan sendiri. Apatah lagi salah-menyalah. Lambat-laun komuniti ala-The Palgue karya Albert Camus pun menjelma. Inilah gambaran teater Sarawak mutakhir. Gambaran seperti yang dikatakan Martin Esslin sebagai “disillusioned,harsh and stark picture of the world”

Dalam ungkapan pendeknya, teater sarawak sebenarnya ABSURD !

Namun jika kita kembali berpijak di bumi nyata, kita seharusnya melihat kekurangan yang kita ada. Seorang pengamal ‘networker’ QuestGold Vijay Eswaran pernah berkata,”Jika kita ingin memperbaiki diri sendiri, jangan lihat pada kelebihan. Lihatlah pada kekurangan.” Dalam konteks ini kejayaan di Festival Teater Malaysia itu tidak harus dianggap sebagai ‘critical touchstone’ untuk melihat masa depan teater Sarawak. bahkan ia harus dilihat sebagai ‘sekadar’ perkembangan dan tidak harus ditafsirkan sebagai kejayaan mutlak sekali gus dijadikan sebagai benchmark untuk mengukur masa depan teater Sarawak. Saya berpendapat inilah kesilapan kita.

Masa depan teater di Sarawak terletak pada orang-orang yang mengakui dirinya orang teater. Rangkai kata ‘orang teater’ itu sengaja dipertebalkan kerana tidak semua orang teater itu orang teater (dalam ungkapan lainnya, tidak semua orang teater itu mencintai bidang teater) Mengapa saya katakan begitu kerana beberapa kerat ‘orang teater’ mempunyai agenda bukan teater.

Agenda bukan teater ini amat dirasai sekarang apabila dilihat kesempitan hidup amat menuntut manusia untuk memikirkan ruang dan peluang untuk mengaut keberuntungan. Agenda bukan teater itu boleh saja dalam bentuk hedonisme (seks, alkohol, material, glamor), glorifikasi mahupun pemburu gelaran yakni heroisme. Agenda seperti inilah yang banyak merosak ‘kesucian’ dan ‘ketulusan’ (innocent) teater dan pengamalnya yang benar-benar. Apabila agenda lain menguasai minda para penggiatnya, ternyata mutu teater yang cuba diungkapkan mereka tidak menjadi dan sering kali menjadi celupan generasi mendatang.

Ambil saja Festival Teater Malaysia itu! (Beginilah kurang lebih penjelasan saya terhadap prestasi wakil Sarawak yang kian kritikal itu). Ternyata selepas Grup Teater Ngoncong mengungguli persada kebangsaan pada tahun 2001, corak teater mereka (aliran realisme) telah menjadi ‘kegilaan’ kumpulan-kumpulan teater seterusnya. Dalam setiap persaingan, masing-masing cuba untuk meniru teater yang diperjuangkan oleh Grup Teater Ngoncong itu. Teater-teater seperti ‘Inflakasta’ (2002), ‘Mati’ (2003), ‘Sesat’ (2004) dan ‘Terdampar’ (2005) merupakan ‘reinkarnasi’ Sawo dalam bentuk baru dan bentuk inilah yang juga cuba dipertaruhkan di peringkat kebangsaan berulang-kali.

Pola pemikiran yang seperti ini sebenarnya bertitik-tolak daripada keinginan sutrabara dan kumpulannya untuk meraih kedudukan terbaik dalam pertandingan itu. Saya beranggapan ini adalah pilihan jalan singkat dan jalan selamat dengan harapan imitasi seperti itu akan mebuahkan juga kejayaan yang serupa. Namun akhirnya ia menampilkan kenyataan bahawa para penggiat teater kita sekarang ketandusan daya cipta lalu melahirkan generasi yang lemah daya fikir untuk mencetuskan sesuatu yang besar, berwawasan dan berdaya maju ke hadapan.

Jika kita mahu melihat hal-hal lain sebagai sokongan kepada perkembangan teater kita, negeri Sarawak mempunyai perkembangan yang baik; beberapa fasaliti yang bagus untuk tujuan pementasan teater, lahir pula beberapa playwright yang mulai membina nama seperti Jamsari Saili, Awgku Merali Pgn Mohamed dan Dahiri Saini , sementara sokongan dana daripada birokrasi seni dan sastera seperti Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak (KPSU), DBPCS dan beberapa korporat yang prihatin seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), sementara kita juga mempunyai beberapa nama yang pakar dalam bidang tersebut.

Justeru ini bukanlah permasalahan kita !

Bertitik-tolak daripada situlah saya ingin mengemukakan hujah dan saranan ini: pola pemikiran para penggiat teater harus berubah kearah yang lebih dinamis, inovatif dan kreatif bukan sahaja daripada segi produksi tetapi juga gerak kerja. Individu dan kumpulan teater mesti melihat bidang ini sebagai satu bidang yang boleh diceburi secara serius. Jika di Kuala Lumpur, kewujudan syarikat teater seperti Five Arts Center dan Actors Studio (sekadar menyebut beberapa contoh) telah membuktikan bahawa teater boleh menjadi sebuah industri, di samping itu keberlangsungan Stor Teater DBP pula boleh dicontohi sebagai upaya untuk memberikan alternatif pergerakan kepada para penggiat teater yang mahu bergiat secara serius. Namun senario di bumi Darul Hana ini masih berorientasikan musiman dan jika adapun yang dilangsungkan di luar kalender festival, selalunya ia adalah perencanaan ad hoc cuma.

Oleh kerana itu, kita dapat katakan kebanyakan kumpulan teater yang gah di peringkat pertandingan akhirnya akan terkulai layu dalam beberapa purnama akan datang. Mereka tiada perancangan ataupun lebih tepat lagi tiada kemahuan untuk pergi lebih jauh daripada sekadar sebuah grup teater. Kumpulan-kumpulan yang masih wujud sehingga kini seperti Grup Teater Kias Kasturi, Sanggar Teater Akar, Sanggar Teater Kreatif, Grup Teater Sedar, Grup Teater Embrio, Grup Teater Ngoncong, Art of Saramart dan Grup Teater Kakilima (Kuching),_ Kasda, Permata (Mukah) hanyalah cendawan yang tumbuh mengikut musimnya dan sebenarnya menunggu saat dan ketikanya untuk berkubur.

Hal ini berlaku suatu ketika dulu kepada kumpulan-kumpulan teater seperti Rusda, TeaterHaus, Grup Teater GATRA, Wayangan Nian, Seniman Muda Sedar, Grup Teater Nikosa, Grup Teater Generasi Baru dan ini termasuk Majlis Teater Negeri Sarawak sendiri. Disebabkan ini, teater Sarawak hanya melakukan putaran bundar semata-mata dan setiap kali perjalanannya akan kembali ke titik kordinasi yang sama seperti sebelumnya. Biarpun terdapat usaha untuk memperbaiki keadaan, namun segala saranan dan cadangan akan menjadi seperti sebuah pementasan teater absurd dengan susunan dialogny ,”seems to have degenerated into meaningless babble.”(Martin Esslin-Theater of The Absurd)

Betapa absurdnya teater Sarawak sehingga ke satu tahap pengerjaan teater dirasakan sebagai pekerjaan yang futile. Bagi yang bersemangat ekstrem, repitasi sesuatu yang meletihkan, ia akan menjadi rutin.Tanpa ada penemuan baru dan percubaan unik, pengerjaan teater akan memasuki ruang kebosanan. Bagi yang hanya ingin cuba-cuba memasuki bidang teater itu, rutin akan cepat membunuh mereka (dan bakat yang ada) kerana akhirnya hati akan mempertikaikan segala-galanya termasuk keikhlasan untuk mencintai bidang teater tersebut. Secara keseluruhannya senario teater dan komunitinya Sarawak sebenarnya kerugian berpanjangan seperti membangunkan istana pasir, ia akan roboh apabila bah ‘zaman’ mendatanginya.

Istana pasir yang amat mengecewakan sekarang ialah Majlis Teater Negeri Sarawak (dengan abreviasi barunya MANTERA). Biarpun diterajui nama-nama ‘besar’ baik daripada NGO, golongan sasterawan tersohor, mahupun birokrasi seni dan sastera kerajaan, namun masih belum mampu menjanakuasakan suatu perubahan yang nyata.Peliknya mereka-mereka ini mempunyai latar pendidikan seni yang baik tetapi tidak pula boleh memikirkan ‘blue print’ pembangunan teater di Sarawak. Benar segala kemegahan dan kejayaan teater Sarawak adalah hasil daripada kerja keras kumpulan terbabit dan bukannya perencanaan sistematik MANTERA. Sebaliknya MANTERA terlalu sibuk menjadi ‘tauke bangsawan’ daripada menjadi pentadbir teater di negeri Sarawak.

MANTERA yang berentitikan ‘majlis’ itu seharusnya berupaya menjadi nukleus kepada perkembangan teater yang lebih bermakna dan menyeluruh mencakupi bukan sahaja kepentingan di bandaraya Kuching tetapi juga di bahagian-bahagian lain yang turut mempunyai kumpulan teater aktif seperti Mukah, Sarikei, Limbang, Bintulu dan Sibu. Kumpulan seperti KASDA, Grup Teater Kecil, PERMATA di Mukah, KASS di Sarikei (sekadar menyebut beberapa nama) seharusnya disifatkan sebagai afiliasi MANTERA dan tidak sewajarnya dimarginalise sedemikian rupa sehingga membantutkan semangat juang mereka, bahkan ada sebahagian daripada kumpulan ini mempunyai kekuatan tersendiri dan pernah bertanding di peringkat kebangsaan. Aset seperti ini semestinya dipelihara dan selanjutnya dikembangkan potensinya oleh MANTERA.

Namun malangnya perhatian MANTERA nampaknya sehingga sekarang tidak mampu untuk pergi lebih jauh daripada sempadan bandaraya Kuching dan akibatnya menyisihkan mereka yang berada di luar lingkungan itu. Setakat ini kebanyakan (sebenarnya tak banyakpun) daripada aktiviti boleh disifatkan sebagai ad hoc dan tidak setaraf dengan status dirinya sebagai sebuah majlis. Paling menyedihkan MANTERA tidak mampu untuk menyatukan dan membantu (terutama daripada segi dana) kumpulan-kumpulan teater di seluruh negeri Sarawak di bawah sayapnya. Akhirnya masing-masing mempersoalkan faedah untuk mempunyai sebuah majlis seperti MANTERA .

Seperti kata pepatah mat salleh , ‘we are back to square one !’ Bundar.

(Maka selepas ini saya harus bercakap dengan semangat berkobar-kobar !) Kini, sudah tiba masanya komuniti teater Sarawak untuk bangkit dan memikirkan tentang masa depan teater kita. Sudah tiba waktu dan ketikanya mereka itu membuat sesuatu yang belum pernah dibuat sebelum ini iaitu berfikir tentang masa depan sendiri kerana Allah swt menjanjikan bahawa nasib sesuatu bangsa tidak akan berubah melainkan bangsa itu sendiri yang mengubahnya. Memang sebagai individu saya tidak berupaya untuk memikirkan sebuah revolusi yang begitu besar itu kerana ia harus mencakupi kesedaran semua pihak, bukan seorang manusia sahaja.

Saya sering mewarwarkan hal ini, bahawa kita mesti memikirkan satu pelan pembangunan teater yang lebih terancang. Cakap memang mudah tetapi pengerjaannya diakui sulit dan memerlukan sokongan semua pihak; MANTERA, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Jabatan Ketua Menteri Sarawak melalui peranan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan NGO yang lain. Koloborasi pelbagai agensi ini jika direalisasikan akan mencetuskan suatu ‘revolusi’ teater yang akan memacukan perkembangan teater Sarawak seterusnya. Mereka ini sebenarnya sudahpun terkandung dengan baiknya di dalam MANTERA dan kesedaran dan pengetahuan tentang gerak kerja yang saya maksudkan itu sudahpun dimaklumi.

Tetapi masalahnya masing-masing dengan egonya yang besar tidak mahu memikirkan kebaikan bersama ! Mengapa terlalu bermasalah ? Saya sarankan, lupakan perbezaan masa lalu dan mulakan bekerja untuk kebaikan bidang yang sama-sama kita cintai ini. Memang secara tidak langsung saya sudah menyatakan dimana segala-galanya harus bermula. tetapi jika ada juga yang bertanyakan kepada saya, “dimanakan segala-gala ini harus bermula?”saya akan terlebih dahulu tersenyum sebelum ketawa terbahak-bahak kerana jawabannya telah saya sentuh ‘dulu, kini dan selamanya’. Jika ada lagi yang bertanyakan kepada saya, “dimanakah kita harus bermula?” saya akan merenung biji matanya dan kemudian menjerit pula sebuah nama - MANTERA !

Benar atau tidak tumpahan pemikiran saya ini, goncang kepala, tanya minda !




Pelukis Jalanan Tegar Berkarya


Beberapa teman mencari makan dengan kerja seni di Kuching Waterfront. Mereka itu pelukis jalanan. Hakikatnya ‘profesi’ ini bukanlah kerjaya impian yang boleh menjanjikan gaji puluhan ribu ringgit ataupun kenaikan demi kenaikan di tangga kerjaya korporat. Namun teman-teman saya ini begitu bersungguh-sungguh memelihara kewajaran hidupnya, biarpun sering mendapat tentangan daripada masyarakat dan paling utama ahli keluarga sendiri. Komuniti pelukis jalanan mulai membina wibawanya di bandaraya Kuching ini. Lokasi paling mudah untuk melihat kelompok ini ialah di Kuching Waterfront.
Namun kira-kira lima tahun sebelumnya (atau lebih awal lagi) komuniti seperti ini jarang kita temui. Kelompok yang ada sekarangpun berjaya bertahan setelah beberapa percubaan gagal sebelum ini. Saya selalu menasihatkan agar ‘antibodi’ mereka tinggi jika mahu melihat budaya unik ini dapat diterima oleh masyarakat. “ Ia belum menjadi bahagian yang integral didalam masyarakat kita. Jadi kena banyak bersabar.” Begitulah kira-kira pesan ringkas saya.Memang bukan senang memujuk seseorang duduk beberapa minit untuk diambil potretnya. Hal seperti ini seperti satu kemustahilan beberapa tahun dahulu. Perasaan malu (baca: menjadi pusat perhatian bukan saja pelukis tetapi penonton yang datang karana curiga) masih menebal didalam masyarakat kita. Justeru ketika itu amat susah untuk pelukis jalanan ini mencari makan. “Untuk lepas sorupun susah,” kata Niki seorang kartunis yang kini ‘menetap’ di Kuching Waterfront.

Hal seperti ini juga berlaku di Central Market. Sebelum menjadi sebuah pasar seni, ia adalah sebenarnya sebuah pasar basah. Transformasi menjadi sebuah pasar seni menarik prospek pelukis jalanan untuk berhimpun dan berkarya di situ. Namun ia tidak semudah yang disangkakan. Masyarakat tidak mudah menerima, bahkan memandang sinis akan kehadiran para pelukis jalanan ini. Hal ini berlaku untuk beberapa waktu yang boleh dianggap amat menguja mereka. Tetapi berkat kejujuran dan banyak bersabar, pelukis di Central Market kini sudah menjadi seperti satu ‘lagenda’ tersendiri di Kuala Lumpur.

Di Taman Seni Ancol, Indonesia pula, terdapat komuniti pelukis jalanan. Mereka sebuah komuniti yang serba sederhana dan tampil dengan pelbagai nada dan warna. Saya terpukau sejenak melihat kepelbagaian ekspresi; ada pelukis potret yang memang tidak ada tolok bandingnya, ada pula pelukis abstrak, impresionisme yang memang luar biasa bakatnya, ada pula pelukis reproduksi iaitu meniru lukisan daripada para pelukis tersohor seperti Vincent Van Gogh, Pablo Picasso, Rembrandt dan hasilnya saling tak tumpah dengan yang tulen.Di satu sudut lain pula, Wirtono dengan berbekalkan gunting lipat kecil dan sekeping kertas manila hitam begitu asyik melahirkan karya uniknya iaitu meniru silhoutte (bahagian kepala sahaja) pelanggannya.

Saya mempunyai obsesi kecil terhadap dunia lukisan ini. Cuma malangnya saya tidak dilahirkan sebagai seorang pelukis. Namun beberapa teman rapat saya mempunyai bakat luar biasa, Cuma tidak diteruskan. Saya masih terkesan akan ekspresi penyair muda API iaitu Yusuffansuri suatu ketika dulu. Medium kegemarannya ialah charcoal. Gerak hati saya selalu merasakan bahawa lukisannya datang daripada naluri. Lakaran kasar namun bermakna tidak pernah gagal menggugah diri saya. Figura separuh tersembunyi, wajah yang diselubungi garis-garis kasar, perasaan yang dijelaskan dengan lorekan dan tarikan bebas menjadikan lukisan Yusuffansuri suatu refleksi serba misterius. Namun sekarang Yusuffansuri giat berpuisi dan meninggalkan bakat di belakang bingkai lukisan.

Seorang lagi rakan rapat saya yang mahir melukis ialah Vern. Ketajaman mata dan kehalusan intuisinya hampir merapatkan Vern (begitulah nama celupnya) ke harakat pelukis luar biasa. Kebundaran fokusnya kadang-kadang membawanya melukis sehingga ke dinihari, Beliau jatuh dalam kategori pelukis yang perfectionist, tidak mudah mahu mengalah pada kekangan mental mahupun fizikal apabila menghasilkan karya. Sebuah lukisan potretnya pernah digunakan didalam sebuah pementasan teater berjudul ‘Dunia Diatas Ranjang’. Kini Vernpun telah lama menggantung berus dan cat.

Saya tak pasti kapan mereka berdua itu akan melukis semula. Mungkin tidak akan terjadi !
Sementara komuniti pelukis jalanan di Kuching Waterfront sehingga kini masih tegar mempertahankan eksistensinya. Paling senior ialah Railey yang seangkatan Allahyarham Jaafar Selamat kini masih galak mempamerkan sentuhan ‘listriknya’. Sementara pasangan adik-beradik Halim dan Yan punyai kebolahan yang amat mempesonakan. Sering beberapa pelajar daripada sebuah kolej terkemuka di Bandaraya Kuching ini cuba mendapat pendidikan informal daripada mereka. Sementara pasangan suami-isteri Usufi dan Sofia telah menemui kejujuran mereka. Usufi dengan sentuhan halus potretnya mampu menarik perhatian pengunjung dan Sofia dengan seni lukis henna sering mendapat permintaan tinggi. Awang Ramli pula seorang pelukis yang unik. Kecacatan pada tangannya tidak menjadi penghalang untuknya muncul antara yang terbaik apabila memperkatakan tentang lukisan potret.

Pastinya tidak ketinggalan untuk memperkatakan tentang kartunis Niki. Karikaturnya amat digilai, di samping lukisan potretnya yang mudah dan cepat untuk dihasilkan. Ini menjadi kekuatan Niki yang telah lapan tahun bertapak di Halaman Rakyat.Mereka ini adalah seniman tulen yang hidup mencari rezeki halal membuat apa yang jujur pada hati dan perasaannya iaitu melukis. Pilihan mereka memang jarang dapat diterima dan seringkali respon sinis akan mereka terima. Namun sehingga kini, mereka telah membuktikan bahawa dengan melukis, mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan penjawat daripada profesi lain.

Cuma bagi saya mereka ini amat bertuah sekali dapat hidup didalam impian murni yang mereka tanam sejak kecil lagi. Namun ketegaran mereka mempertahankan kemahuan paling dalam mereka akhirnya berbayar apabila kini berjaya mencari rezeki dengan bergantung kepada bakat dan kehalusan intuisi masing-masing.
Begitulah kisah beberapa teman saya yang bergelumang dalam episod kehidupan di Kuching Waterfront, di sebuah kota raya. Mereka itu pelukis atau lebih tepat pelukis jalanan.