Monday, September 8, 2008

PLACEBO - Potret Manusia Moden Menuju Makrifatullah


“ Wahai jiwa yang tenang-tenteram! Kembalilah kepada Tuhanmu
dengan hati yang puas lagi diredhaiNya.” Surah Al-Fajr

*

Abdillah SM bukanlah nama asing didalam direktori sastera Bumi Kenyalang. Namanya sebaris beberapa penulis tersohor kita seperti Jais Sahok, Saiee Driss, Majuni Palira, Zaini Ozea dan Adi Badiozaman Tuah.

Untuk beberapa waktu, nama beliau tenggelam. Samada sengaja atau tidak, Abdillah untuk beberapa ketika dilihat begitu memperjuangkan hayat sasteranya; berdepan dengan cabaran birokrasi dan tahap kesihatannya yang seperti roller-coster itu.

Namun, kini Abdillah mulai mengalir semula di daerah kecintaannya. Blog yang diusahakannya kini adalah bukti betapa semangat Abdillah seperti dibakar oleh suatu daya yang memungkinkan beliau ‘angkat pena’ semula pada akhir tahun 2007.

Daripada susunan muzik, lakaran berseni, puisi, cerpen sehinggalah ruangan pojok yang pernah popular suatu masa dahulu ‘Maaf Cakap’ , menunjukkan bakat luar biasa seniman kelahiran Kuching ini.

Saya tidak terlepas mengikuti jaluran pemikiran dan kreativiti beliau. Lalu di sinilah bermulanya cerita tulisan ini, apabila sebuah cerpen beliau yang mutakhir yang berjudul Placebo dijadikan bahan tatapan pengunjung ke blognya.

Saya memberanikan diri untuk membicarakan tentang beliau dan karya terbarunya itu bukan atas sebab ingin menunjuk pandai. Siapalah saya untuk berlagak pandai di hadapan seorang yang lebih dahulu kenal sepak terajang dunia sastera.

Namun setelah selesai membaca Placebo, berdetak di hati saya untuk memulaikan sebuah cetusan fikiran tentang beliau dan karyanya itu. Placebo- agak eksotik judulnya dan ternyata mengundang seribu satu persoalan. Paling penting judul sedemikian teramat provokatif dan mempunyai nilai komersil tinggi.

Justeru, teramat afdal kiranya saya memulai tulisan ini dengan beberapa kerat ayat tentang tafsiran istilah Placebo. Menurut Longman Dictionary of Contemporary English placebo ialah suatu kata benda (noun) yang membawa tafsiran “a subtance given instead of real medicine, without the person who takes it knowing that it is not real.”

Dalam konteks ini, substance yang dimaksudkan itu berfungsi sebagai kaedah peperawatan dengan memanipulasikan kuasa cadangan (power of suggestion) sebagai kaedah penyembuhan sesuatu jenis penyakit.

Satu contoh yang dapat saya perturunkan di sini ialah mengenai kes penyakit lumpuh. Di petik satu kenyataan berhubung kes ini seperti berikut, “Many paralyses have been removed by giving sugar pills called placebos, with the assurance that the medicine always works.” (Psychology Made Simple-Abraham Sperling Phd ms 227)

Dalam konteks cerpen Abdillah itu, watak aku seperti mengalami satu sesi terapi penyembuhan. Penyakit yang dialaminya sesungguhnya amatlah serius. Gambaran ini dapat diikuti pada rangkap pertama cerpen itu.

“ Detik basirah kualami dulu rupanya benar dan cukup jelas tersingkap. Telah keliru aku bagi pertama kalinya tentang alamat dan bayangan maut. Dan aku belum padam lagi. Syukran. Bukan takdir kalau belum terjadi.”

Memang benar. Detik didatangi maut akan mengubah 369 darjah persepsi kita, seperti mengalami U-turn. Itulah yang berlaku pada watak aku. Segala pemahamannya tentang maut dan alam barzakh bertukar seperti ditegasnya, “ ..menuju sebuah kehidupan di alam barzakh itu bukanhlah semudah yang kufahami dulu.”

Perenungan lanjut menjadikan saya sebagai pembaca berfikir bahawa tidak banyak sebenarnya yang dapat kita ftentang diri kita (baca: manusia). Saya teringat sebuah firman Allah didalam Hadis Qudsi yang berbunyi, “Manusia adalah Rahsiaku dan Aku adalah rahsia manusia.”

Mungkinkah watak aku sudah mencapai satu tahap tinggi didalam kehidupannya? Saya suka memikirkan kemungkinan ini setelah selesai membaca cerpen terbaru Abdillah itu. Ini disebabkan Abdillah memulakan cerpennya dengan sepotong ayat yang cukup signifikan.

Ayat itu berbunyi, “Nur dari limpahan kudrat terusan berdenyut dalam otakku-menjana memori dan minda” Saya mengeri ada justifikasi kuat disitu, lebih-lebih lagi apabila perkataan nur itu di tebalhitamkan.

Saya meletakkan sudut pandangan yang begini: ayat itu menyimpulkan segala apa yang tersurat dan tersirat didalam cerpen Abdillah itu. Amat mudah dan pemurah sekali. Pilihan penggunaan istilah nur (bukan cahaya) merupakan satu usaha pemaknaan yang tinggi.

Dalam konteks ini, suka saya mendekati duduk perkara nur ini menurut penyataan Al-Ghazali. Menurutnya, pengertian cahaya berbeza menurut golongan manusia ; orang awam, orang khusus dan orang yang lebih khusus.

“ Golongan khusus dan yang lebih khusus beruntung kerana telah mencapai tingkat hakikat kenyataan yang membuka rahsia kedua-dua tingkat itu. Apabila tingkat-tingkat itu dicapai akan jelas diketahui bahawa Allah swt adalah Nur Yang Maha Tinggi dan Maha Jauh, dan apabila tabir rahsia ini terbuka di alam kenyataan, maka yakinlah mereka baha Allah Nur Yang Nyata dan Nur Yang Hak, Dia adalah Esa tidak bersyarikat kerana disampingnya tidak ada cahaya lain.” (Al-Ghazali; Misykat al-Anwar hlm 1)

Apa mungkin watak aku tergolong di dalam salah satu daripada golongan tersebut? Hal ini dapat kita lihat apabila mengikuti pembacaan seterusnya cerpen itu. Watak aku seperti merasakan dia diberikan satu peluang kedua.

Peluang itu amat disedarinya ; :Kerana tertundanya peristiwa itu jugalah maka, terus kusentap kesempatan yang ada ini untuk menerima cabaran mencari pertada dan ilmu yang terdaya kukutip dari sisa hidup yang masih dizinkanNya bagiku”.

Bernada keinsafan, watak aku memulakan kemahuannya itu seperti yang pernah dialami oleh Nabi Muhammad saw iaitu dengan Surah Iqra’ . Sungguh ini adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang bermakna.

Antara pam biologi (jantung), memori dan mindaku (otak) , roh dan lembut janggutku merupakan usaha penanaman imejan kematangan usia yang mencecah tahap pemikiran yang tinggi. Hanya manusia yang sudah mengalami sesuatu yang besar sahaj akan mempersoalkan hal-hal ini.

Jangkauan pengarangnya bukan hanya setakat maut yang pernah menyapanya suatu ketika dulu tetapi alam yang lebih jauh dari itu. Lihat gambaran ini, “ Segala yang diketahui melalui maklumat yang didapati didalam memoriku adalah apa yang pernah dihasilkan dari detik ke detik awal kejadian sehingga terjadinya sebiah kemusnahan’ atau dalam peristiwa yang kusangkakan lematianku itu. Bukan bermulanya dari rahim ibuku tetapi lebih jauh lebih awal daripada peristiwa itu. Wujudku ketika di luar rahim kasih Ibu. Pernah aku wujud dalam dunia metafizika. Dunia yang wujud pada nama dan maya.”

Ya, yang dimaksudkan pada kalimat yang terakhir itu ialah alam Lahut, tempat Allah swt menciptakan semua roh dalam bentuk yang terbaik yang hakiki. Ia adalah alam asal bagi seluruh manusia setelah 4,000 tahun Allah menciptakan Arasy dari nur zat Nabi Muhammad saw.

Proses apakah yang sebenarnya dialami oleh watak aku ini ? Sesuatu yang besar sebenarnya sedang berlaku didalam dirinya setelah peristiwa hampir maut itu. Kesedaran yang begitu tinggi ini seperti membawa watak aku ke satu dimensi baru.

Nur dari limpahan kudrat itu telah mengubahnya menjadi orang lain. Nur itu makrifat dan makrifat itu nur. Namun tiada satupun perkataan makrifat digunakan oleh Abdillah, cuma saya merasakan konsep mencapai makrifat itu tidak diberikan gambaran yang jelas.

Ia adalam mesej sublime cerpen ini.

Watak aku memang tergolong antara golongan yang khusus atau golongan yang lebih khusus. Kesedaraan terhadap Allah swt amat terasa pada akhir-akhir cerpen ini, menyatakan lagi intensity watak aku terhadap kecintaannya.

Samada ia berahi dan mabuk itu tidak tergambar secara jelas, barangkali inilah peringkat permulaan ! Permulaan kepada pewujudan Tiflul Ma’ani (bayi maknawi) atau roh al-Qudsi. Keadaan ini akan wujud daripada dasar berikut :

“1) Ia lahir dari hati, seperti lahirnya bayi dari rahim seorang ibu dan ia diurus dan dibesarkan hingga dewasa. 2) Dalam mendidik anak-anak tentang keislaman, ilmu yang didahulukan adalah ilmu makrifat. Begitu juga bayi maknawi ini. 3) Bayi bersih dari kotoran dosa lahiriyah. Begitu pula bayi maknawi , ia bersih dari syirik (menyekutukan Allah) dan gaflah (lupa pada Allah).

4) Perumpamaan bayi maknawi merupakan gambaran kesucian kerana anak-anak lebih banyak yang suci daripada lainnya. Oleh kerana itu bayi maknawi terlihat dalam mimpi dengan rupa yang indah dan tampan. 5) Ahli syurga disifati dengan sifat anak-anak, sebagaimana firman Allah swt, “ Anak-anak muda melayani mereka, bagai mutiara yang terpendam. (At-Thur:24)

6) Bayi maknawi itu halus dan suci. 7) Tiflul Ma’ani adalah majazi ditinjau dari kaitannya dengan badan, ia berwujud seperti rupa manusia, juga kerana manisnya bukan kerana kecilnya; dan dilihat dari awal adanya ia adalah manusia hakiki kerana dialah yang berhubung langsung dengan Allah swt.

Saya tidak berniat untuk lebih memperdalamkan urusan ini. Barangkali, ia akan menjadi terlalu sulit untuk dimengertikan. Namun begitulah tanggapan saya terhadap cerpen Placebo karangan Abdillah ini. Watak aku mengalami tranformasi yang vital .

Proses yang diberikan tadi merupakan hanya permulaan ke arah sebuah perjalanan yang masih jauh. Tapikan permulaan itu yang paling sulit untuk dimulakan. Tapikan itu juga yang paling penting.

Apa yang dialami watak aku ialah manifestasi kemanusiaan yang paling agung iaitu mencapai tujuan penciptaannya- menuju makrifatullah. Dan apa lagi dorongan yang lebih berkesan selain daripada merasai detik kematian sendiri.

Seperti dilahirkan semula ! Nabi Isa bersabda, “Manusia tidak akan bisa masuk ke malakut langitNya, kecuali telah dilahirkan dua kali seperti burung.” Tidak sukar untuk memahaminya, bukankan fikiran dan matahati anda.

Burung dapat terbang setelah dua kali dilahirkan; pertama keluar telur dari induknya dan kedua menetas dari telurnya. Begitu juga manusia akan merasai pengalaman yang sama; pertama lahir dari rahim bondanya dan kedua lahir Tiflul Ma’ani dari dirinya !

Maaf, saya tidak ingin menyulitkannya tetapi begitulah tanggapan saya. Menyusuri isi kandungan cerpen terkini Abdillah ini membuka dimensi lain di dalam memahami makna hidup di dunia yang fana ini.

Kita tidak mungkin akan sengaja mendambakan pengalaman traumatik watak aku itu tetapi sekadar membacanya menimbulkan kesedaran bahawa hidup ini begitu singkat dan begitu juga kita harus menghargai apa yang ada kurniaan Yang Maha Esa.

Menambahkan lagi keinsafan kita.

Akhir persoalan, dimanakah placebo yang dimaksudkan dalam cerpen ini? Saya memberanikan diri untuk memperhitungkan rasional dan sampai pada satu kesimpulan bahawa placebo itu ialah pada peluru maya.

Gambarannya seperti berikut; “ Sambil mengurut-urut lembut janggutku semakin memutih, terasa dadaku diserang peluru maya sehingga terbit pada minda dan memoriku, cinta dan benci. Terkelu aku kerana kusedari kini wujud jauh dalam sanubariku perasaan sakit dan benci. Terjalin kini inspirasi dan minat terhadap sekelilingku.”

Peluru maya, substance yang tidak real tetapi masih mampu untuk memberikan talian hayat kepada watak aku. Membangkitkan semula makna kehidupan dan excitementnya namun bukan pula berpakaian palsu dunia materialistik tetapi pakaian yang lebih murni dan suci.

Pengarang memberikan kemenangan kepada watak aku, sekali gus memberikan satu perasaan empati didalam diri pembaca. Di sinilah kebijaksanaan Abdillah dalam menemukan penyelesaian kepada cerpennya ini.

Paling mengesankan ialah klimaks cerpen yang saya anggap satu-satunya yang sedemikian rupa pernah dihasilkan oleh seorang pengarang baik di Sarawak mahupun di Malaysia. Inisatif untuk memberikan salam perkenalan kepada Sang Pencipta merupakan satu momen yang syahdu dan penuh keinsafan:

Assalamualaikum, Ya Rabul Alamin
Assalamualaikum, Ya Rabbi
Assalamualaikum, Ya Ilahi
Ana Abdullah
Ana Abdillah
Ana Abdallah
Ana Mawujud
Mawujud
Syukran
Syukran
Thankyou, Allah
Thank you, Ilahi, Rabbi

Salam perkenalan seperti itu juga merupakan petanda bahawa satu penghidupan baru bermula buat watak aku. Inilah nur yang telah diberikan kepada watak aku (tidak sukar untuk menerka bahawa watak aku itu sebenarnya adalah sang pengarang sendiri)

Nur yang mengubahnya menjadi manusia baru, meninggalkan kekejangan jiwa materialistik dan memulakan perjalanan batin memperoleh makrifat yang hakiki.

Inilah permulaannya. Keluar dari kegelapan dan masuk ke pencerahan seperti yang ditegaskan, “ Di keluarkan oleh Tuhan dari kegelapan kepada Nur.” Al-Baqarah 2:257
Ya, luar biasa sekali. Saya percaya Danartopun akan ternganga membacanya !

Secara keseluruhannya, pembawaan Abdillah di sepanjang cerpen ini biarpun mudah dan sederhana, namun pengisian jiwanya begitu tinggi. Saya secara peribadi amat terkesan membacanya dan secara peribadi meletakkan inilah karya terbaik beliau.

Mengapa ? Ya, saya meletakkan dasarnya begini: “ Sebuah cerpen yang baik tidak semestinya sarat dengan pengungkapan teori penulisan ataupun pemanipulasian teknik mahupun penggunaan bumbu sastera. Sebuah cerpen yang baik dan menyentuh dapat juga berdiri eksistensinya daripada persembahan naratif yang sederhana tetapi berkesan, paling penting yang datang dari hati yang jujur dan tulus.”


*
“Allah membimbing kepada cahayaNya sesiapa yang Dia kehendaki”
Nasharuddin Al-Baidawi , Tafsir Anwar Ut tanzil wa Asrar al- Ta’wil





Survival Penyair Wanita Sarawak

Perkembangan dunia kepenyairan wanita di Bumi Darul Hana ini agak perlahan. Dalam kiraan sedekad (1990-2000) , hanya beberapa penyair wanita saja yang mampu berdiri, tetapi itupun tidak bertahan lama.
Beberapa nama wajar disorot kembali dan dilihat keberadaannya; Puteri Adena Saila, Aina Abadi dan Sofia Acol Abdullah ‘berkubur tanpa nisan’, penyair serba baru Rahayu Omar ternyata masih mengkal untuk disandarkan harapan besar, Maliah Adenan terlalu disibukkan dengan tugas birokrasi lantas malei, Hashimah Siri masih aktif, namun dalam momentum yang supra-perlahan.
Yang paling gah (barangkali) nama Sriwati Labot penyair kelahiran bandar Sri Aman yang pernah menjadi kebanggaan warga sastera tempatan (baca: Dewan bahasa dan Pustaka Sarawak) suatu ketika dulu. Beberapa karya puisinya dimenangkan dan sekali gus membangunkan ketersohoran namanya.
Namun entah kerana apa, nama Sriwati itu tenggelam dan akhirnya hilang begitu saja di persada sastera tempatan. Tiada lagi karyanya di dada akhbar, tiada lagi kelibatnya dalam aktiviti sastera. Tiada lagi Sriwati Labot !
Selepas itu saya mencongak, apa (siapa) lagi yang tinggal?
Penyair wanita veteran yang masih aktif sehingga sekarang hanya beberapa kerat saja. Lihat Latifah Shebli yang masih giat menurunkan buah inspirasinya. Dari semasa ke semasa, karyanya muncul di Utusan Sarawak.
Cuma saya sering menyatakan begini: semakin lama seseorang itu mengarang puisi, maka semakin bijaksanalah dia. Wise, wiser, wisest. Tetapi tidak begitu bagi Latifah. Secara umumnya saya pengkaryaan semakin merudum.
(Saya sedia untuk berforum dengannya berhubung hal ini. Bila?)
Maaf cakap !
Bagaimana pula senario mutakhir? Pastinya kemunculan nama-nama baru menjanjikan harapan yang besar (Moga-moga. Amin !). Pastinya mereka ini bakal memberikan ekspresi jiwa yang segar kepada penikmat sastera.
Ada antaranya yang sudah menerbitkan himpunan puisi sendiri, ada pula yang dalam proses penerbitan dan ada pula yang masih bertatih-tatih mengumpulkan karya yang bakal mengegarkan kita (sabarlah menunggu, katanya)
Contoh pertama, Rosaini Hiplee merupakan antara pelapis penyair wanita yang mempunyai potensi untuk dikembangkan. Himpunan puisi mutakhirnya ialitu Sari Rahsia Terindah merupakan manifestasi eksistensi Rosaini.
Membaca himpunan puisinya membuka satu tingkap baru ke dalam dunia kewanitaan yang penuh emosi dan syahdu. Menelaah himpunan itu membuka kita kepada pengertian hati seorang wanita yang halus dan tulus.
Welchasstauungnya terhadap diri, cinta, bangsa dan agamanya. Benar-benar menampakkan kematangan dirinya bukan saja sebagai seorang penyair tetapi juga seorang manusia yang manusiawi.
Namun demikian, Rosaini barangkali lebih bertuah kerana kedudukannya yang bertugas di Dewama (dan juga mantan kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak).
Justeru, laluannya untuk pantas berkembang seperti telah diatur sedemikian rupa.
Berbeza dengan Armiza Nila (Maslina Mahbu) yang terpaksa melalui pahit-getir dunia kepenyairan sebelum namanya secara rasmi dinobatkan sebagai penyair wanita yang turut berpotensi besar.
Didalam dunia realiti, nama Armiza seakan-akan tidak wujud seperti dunia realiti itulah sekejam-kejam dunia yang membunuh eksistensi Armiza. Walau apapun yang dilakukan masih tidak memadai untuknya berkembang.
Hanya sekali saja namanya berkumandang iaitu ketika diangkat sebagai penerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2005 melalui puisinya yang berjudul Bahasa Kepada Lelaki.
Selepas itu, tiada lagi gema namanya di dunia main stream sastera tempatan. Namun didalam dunia maya (virtual) nama Armiza Nila merupakan satu penyataan serius dunia kepenyairannya.
Melalui blognya Basah Dalam Setitik Nila, Armiza mengungkapkan persoalan yang mencakupi hubungan horizontal dan vertikal dirinya. Sekali-sekala terasa benar sensitiviti wanita menguntum bersama Armiza.
Armiza harus terus likat mencarigali kreativiti yang ada, sumur tanpa dasar itu. Selanjutnya Armiza harus membugar kemampuannya sehingga ke tahap maksima.
Paling penting Armiza harus membongkar kesejatian dirinya tanpa perlu mengambil acuan daripada penyair-penyair lain. Saya secara peribadi amat menyenangi puisi-puisinya yang padat dan bernas itu.
Kini, beberapa hari yang lalu saya amat bertuah kerana punya ruang dan peluang bertemu dengan seorang lagi pelapis penyair wanita yang saya fikir mampu pergi lebih jauh lagi.
Namanya Farid-Iman !
Saya telahpun menelaah sebuah karya terbaiknya iaitu Airmata Iman (karya itu telah disiarkan di sebuah akhbar tempatan Sarawak) dan melihat kemampuan daya cipta nama baru ini.
Farid-Iman masih baru dalam dunia kepenyairan tetapi intensitas dirinya amat terasa benar, stamina terasa terolah dengan baik dan paling penting daya perenungannya tajam.
Melalui sajak terbarunya itu, dia mengungkapkan persoalan besar yang semakin menuntut perhatian kita iaitu kemacetan institusi kekeluargaan yang jika tidak ditanggapi dengan baik akan menghancurkan strutur masyarakat.
Idealisme Farid-Iman melalui gambaran hubungan simbiosis sang ibu dan anaknya adalah satu pegangan yang tinggi dan muluk yang sewajarnya difikirkan dan diambil iktibar
Perenungan seperti ini amat diperlukan tertutamanya daripada seorang penyair wanita seperti Farid-Iman. Beliau ialah contoh a new breed of poet yang didalam dirinya terkandung kualitas penyair-pemikir.
Pendekatan bahasa yang mudah, lurus, ekonomis dan seakan-akan ketandusan bumbu sastera menjadikan puisi Farid-Iman berada dalam posisi kewujudannya tersendiri. Ia punya formasi kesenian yang unik.
Puisi yang menuju jalan yang benar, puisi yang membangun kejadiannya didalam benak fikiran, puisi yang menampakkan kelibat kejujuran seorang manusia-penyair yang sebenar-benarnya.
Bukan yang bertopengkan kata-kata puitis (tanpa halatuju yang jelas dan bernas) dan semata-mata untuk menyenangkan audiencenya.,mengglorifikasikan dirinya. Bukan itu sewajarnya.
Kini dikhabarkan Farid-Iman akan muncul dengan sebuah himpunan puisi berjudul Sajak Ikan Koi. Himpunan itu mengandungi 21 buah sajak mutakhir daripada beliau yang pastinya akan mencabar pemikiran penikmat sastera.
Namun Farid-Iman (dan Armiza Nila) barangkali sedikit menderita kerana terpaksa memilih the road not taken (judul daripada puisi Robert Frost) untuk langsungan survival dunia kepenyairan mereka.
Dari Armiza Nila ke Farid Iman, terletak harapan kita untuk melihat lahirnya barisan penyair wanita yang mampu berdiri di peringkat tertinggi. Mampu menatap wajah Siti Zainon Ismail sebagai teman.
A new breed of poets, Armiza Nila dan Farid-Iman dan API
Dimana letaknya sastera ?

“ SAYA kini mantan Sasterawan Negara dan tidak mahu lagi menggunakan gelaran tersebut.” tempelak A. Samad Said atau lebih dikenali di kalangan pengikutnya sebagai Pak Samad di salah sebuah akhbar tempatan .Marah bercampur kecewa, begitulah andaian saya.
Banyak yang terkejut, tidak kurang yang terpinga-pinga dan ada juga yang tidak berani berpihak.
Kita harus cuba memahami situasi yang menghentam Pak Samad. Barangkali, beliau marah dan kecewa kerana segala usahanya (baca:komuniti sastera) memartabatkan bahasa dan sastera diperlekehkan oleh sesetengah pihak. " Buat apa gelaran Sasterawan Negara jika karyanya tidak mendapat perhatian kerajaan (baca: Kementerian Pelajaran Malaysia)" bisik hati kecil saya.
Di antara banyak Sasterawan Negara, Pak Samad boleh dikatakan yang paling dikenali; bukan saja kerana penampilannya yang unik tetapi juga kerana karyanya yang mampu menggapai khalayak umum yang luas. Siapa tidak kenal Wira Bukit (novel), Lantai T. Pinkie (drama), Hujan Pagi (novel), Salina (novel) dan Di mana Bulan Selalu Retak (drama).
Berdiri sebagai ikon sastera di bumi Malaysia, Pak Samad mempunyai alasan kukuh untuk berkata demikian. Datangnya daripada seorang yang berkarekter teguh dan tegas, Pak Samad pasti telah meikirkan masak-masak akan keputusannya itu. Kita percaya ia dibuat daripada pertimbangan yang penuh bijaksana.
Namun perkara begini bukanlah baru bagi Pak Samad. Sekitar 1990-an, Pak Samad pernah menggemparkan negara apabila mengumumkan apa yang dikatakan sebagai ‘mogok seni’ sebagai bantahan kepada pihak tertentu terhadap layanan tidak munasabah terhadap dirinya yang sekali gus menjejaskan urusan kewajaran hidupnya sebagai seorang manusia.
Namun kali ini ia bukan atas landasan peribadi tetapi lebih kepada perjuangan komunitinya.
Kini Pak Samad membuka pula lembaran baru apabila dengan berani dan lantang menempelak pihak berwewenang berhubung isu teks baru Komsas yang akan digunakan di sekolah-sekolah menengah di Malaysia. Namun, kini suara Pak Samad seperti mewakili suara komuniti sastera Malaysia yang selama ini memang seperti melukut di tepi gantang.
Isu ini sebenarnya sudah berlarutan berminggu-minggu lamanya di ruang maya. Pemilihan teks baru “tidak menyenaraikan puisi, cerpen, novel dan drama dari pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta” sebaliknya menyenaraikan pengarang seperti Ahadiat Akashah, Zaid Akhtar (Mohamad Yazid Abdul Majid) dan Sharifah Abu Salem yang karya mereka dilabelkan sebagai karya popular.
Teringat pula zaman persekolahan saya tatkala teks sastera yang digunakan ialah Antologi Cerpen Suatu Subuh Yang Bening, karya klasik Hikayat Malim Deman, novel Seorang Tua Di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah dan Drama Tiga Zaman. Teks-teks tersebut mengetengahkan karya-karya daripada penulis tersohor Malaysia seperti Zakaria Arriffin, Lim Swee Tin, Rahman Shaari dan Usman Awang, A. Samad Said (sekadar menyebut beberapa nama)
Namun kini senarionya berubah. Pengumuman Kementerian Pendidikan (sehingga kini belum ada keteapan khusus diambil untuk menangani isu ini) untuk mengambil karya-karya popular itu benar-benar mengejutkan pelbagai pihak, bahkan peneraju alam bahasa dan sastera negara, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia seperti kelu seribu bahasa, tidak dapat memberikan respon secepat mungkin terhadap kemelut yang timbul itu.
Pengarang karya-karya popular didakwa tidak mewakili aspirasi bahasa dan sastera sebagai wadah pembentukan pemikiran kelas satu melihat kepada kelonggaran mereka dalam melahirkan karya masing-masing. Di satu sisi, penggunaan bahasa Melayu yang bersifat rojak (di selang-seli dengan bahasa Inggeris) dan beberapa istilah bahasa pasar atau slanga dikhuatiri bakal meminggirkan bahasa itu.
Di sisi lain pula, mesej-mesej remaja yang dimuatkan dalam karya-karya tersebut mungkin akan memberi impak negatif kepada para pelajar sekolah.Para pelajar tidak didedah dan dilatihkan untuk berfikiran lebih kritis dan analatikal dan ini dibimbangi akan melahirkan generasi Malaysia yang lembab daya fikirnya berlawanan dengan ambisi negara ke arah yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Bagaimanapun Kementerian Pelajaran sempat tampil dengan rasionalnya sendiri iaitu ia tidak mahu sukatan pelajaran membebankan para pelajar dengan karya sastera yang berat !
Apakah ini keputusan terbaik untuk remaja kita tatkala kita cuba membangunkan modal insan sebagai aset pembangunan negara pada masa hadapan ? Apakah ini perkara yang wajar diterapkan didalam pemikiran anak-anak kita tatkala ledakan infiormasi barat semakin menjadi-jadi merongrongkan seni dan budaya kita? Apakah ini jalan terbaik untuk membangunkan sebuah masyarakat masa hadapan yang bercirikan first class mentality?
Tidak dapat disangkalkan, karya popular yang rata-ratanya bertemakan cinta amat diterima oleh para pelajar. Temanya jarang yang berbelit-belit, bahasanya yang ringkas menyajikan pembacanya suatu bentuk hiburan minda yang mudah. Tidak dapat disangkalkan lagi, kemunculan penulis karya picisan ini seperti cendawan tumbuh selepas hujan dengan pelbagai nama samaran seperti watak-watak dalam filem cereka.
Ini ditambah lagi dengan permintaan syarikat penerbitan swasta yang memang merasakan projeksi laba keuntungan apabila menerbitkan karya-karya popular berbanding karya-karya sastera. Projeksi keuntungan ini menjadi motivasi mereka dan melipatgandakan usaha dalam mencari penulis-penulis yang berpotensi di seluruh negara Malaysia.
Di Sarawak sendiri, dua penulis yang dianggap sudah berjaya menghasilkan karya-karya popular ialah Dahiri Saini dan Radzemah Bolhassan.
Dimanakah agaknya titik penyelesaian kepada kemelut ini? Adakah pihak berwewenang akan mempertahankan keputusannya untuk mengangkat martabat karya-karya popular? Adakah mereka akan mengekalkan status quo dan menyenaraikan semula karya-karya sastera bermutu tinggi yang diakui baik di peringkat kebangsaan mahupun Asia Tenggara ? Atau adakah mereka akan cuba berkompromi, mencapai titik penyelesaian win-win situation bagi kedua-dua genre itu? Walau apapun penyelesaiannya, biarlah ia mengambil kira aspirasi negara yang berhasrat menjelma menjadi sebuah bangsa yang unggul.
Ya, unggul daripada segala segi; ekonomi, politik dan sosial ! Begitulah hendaknya? Soalannya dapatkah disandarkan gagasan yang begitu besar itu dibahu karya-karya popular yang sibuk menelaah urusan hati dan perasaan cinta tiga segi. Begitulah !
Namun agak hairan juga, ke mana pergi Sasterawan Negara yang lain, dimana menghilangnya pendirian pemenang SEA Writes Award itu (sehingga kini hanya Lim Swee Tin yang memberikan respon, itupun secara berseloroh mengatakan yang beliau akan mula menulis novel popular) dan bagaimana pula ketegasan penerima Hadiah Sastera Perdana itu dalam memperkatakan hal-ehwal ini ? Mengapa menyepi?
Paling penting, mengapa komuniti sastera yang selama ini berdegar-degar memperjuangkan agendanya membisu seribu bahasa ? Mengapa tiada kesatuan dalam menanggapi pokok persoalan yang boleh mengubah persepsi
Atau adakah pak Samad bersendirian dalam hal ini ? Wallahualam.





Antara Glen Walford dan WS Rendra

Setiap zaman ada geloranya ! Setiap zaman ada jeritnya ! Setiap zaman ada baranya !
Itulah kesimpulan saya selesai membaca ruangan pojok mutakhir Abdillah SM bertarikh 3 Januari 2008. Saya terlepas keluarannya di Utusan Sarawak atas sebab-sebab teknikal yang tidak dapat dielak. Namun membacanya di blog rasmi Abang Dill (www.dilsm.blogspot.com) seperti memberikan satu kepuasan yang tak terhingga. Abang Dill membawa pembacanya menuyusuri denai kenangan penglibatannya dalam bidang teater. Tak banyak yang kenal akan aura dan pesona Abang Dill sebagai seniman teater. Lebih banyak yang mengenalinya sebagai cerpenis dan kadang-kadang sebagai pemuzik lagu puisi dan sekali-sekala sebagai penyair. Tapi setelah membaca ruangan pojok terkini itu, tersingkaplah pengalaman berteaternya yang bukan calang-calang.
Saya terkesan satu perkara yang amat penting di dalam tulisannya itu. Satu perkara yang baru kini saya sedari. Perkara itu ada kaitannya dengan sebuah nama iaitu Glen Walford. Saya tidak kenal siapa itu orangnya, tidakpun pernah berjumpa dan tidakpun dapat membayangkan bagaimana rupanya dramatis itu. Namun setelah mencari-cari dapatlah saya latar belakang Glen Walford ini yang diletakkan sebagai “ artistic director, theatre specialist, innovator of epic productions, expert at directing in any language - Shakespeare & musicals in Japanese (Tokyo, Nagoya, Kyoto) and Cantonese (Hong Kong), Prometheus in Greek (Epidaurus), Blood Brothers in Russian (Siberia) and HMS Pinafore in California.” (dari laman rasmi Glen Walford)
Kerjaya teaternya baik sebagai pengarah mahupun pelakon bermula sejak tahun 1966 sehingglah sekarang menjadikan nama ini cukup besar di United Kingdom. Kepakarannya diakui di dalam “ adaptations, master-classes, workshops. Musicals, opera, comedy, farce and Shakespeare” .Selepas itu, barulah saya menyedari betapa besarnya nama itu. Tak dapat disangkal, generasi Abang Dill sesungguhnya telah memperoleh ilmu teater yang amat penting.Ini ditegaskan oleh Abang Dill seperti berikut, “ Gah habis! Memang benar seperti yang dijangka bahawa bengkel yang hebat itu telah memperkenalkan kami serba sedikit akan seni pementasan teater, sebagai pelakon dan selainnya sebagai anggota yang bekerja di belakang pentas. Dahsyat yang amat! Miss Glen Walford bukan sembarang nama tapi beliau pernah mengajar drama sampai ke Israel…”
Maka lahirlah nama-nama hebat seperti Ramli Ali, Archie Bujang, Fatimah Hashim, Margie Leo, Saniah Zainuddin dan ramai lagi. Sementara itu ada juga penggiat yang memang sudah berkecimpung lama dalam teater dan terkenal pakar bagi kami seperti Zaini Ozea, dan Esmawy Hj Husly, sekadar menyebut dua nama. Pelakon drama radio sehebat gelagat mereka di pentas teater juga memang sudah ada seperti Ahmad Badwi Narawi dan Mulyadi M Massino. Pendekata, seluruh eksistensi dan esensi Rusda dibina di atas kebesaran nama Glen Walford itu.
Akhirnya Rusda sebagai sebuah kumpulan teater berpengaruh mendominasi senario teater Sarawak untuk beberapa darsawarsa. Rusda menjadi agen pengembangan seni dan sastera dan mendapat kepercayaan kerajaan negeri untuk mengendalikan acara-acara penting kerajaan. Orang-orang kuat Rusda sehingga kini menduduki kerusi penting baik di peringkat kerajaan negeri, persekutuan mahupun non governmental organization.
Asas yang diberikan oleh Glen Walford lewat bengkel teater Tugau telah memberikan kekuatan dan magis kepada generasi tersebut dalam mencorakkan perkembangan teater tempatan sekitar tahun 70-an sehingga awal 90-an. Begitu hebatnya Glen Walford. Begitulah hebatnya anak didiknya. Namun di mana silapnya, sayapun tidak tahu.
Rusda akhirnya kecundang dalam arus perkembangan teater moden. Perpecahannya pada awal tahun 90-an (tepatnya tahun 1993) tidak dapat dielakkan lagi yang akhirnya merobohkan empayar kemegahan Rusda, tersungkur di kaki politicking yang semakin menjadi-jadi ketika itu. Rusda berkubur tanpa nisan.
Bagaimana pula ‘the other side of the coin’ ?
Generasi saya muncul pada waktu Rusda berada di ambang sore. Tahun 1990 dianggap sebagai tahun keruntuhan empayar Rusda dan tahun pembinaan kelompok muda yang baru. Semua ini bermula selepas Kursus Teater Sepanjang Tahun anjuran Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak bertempat di Pangkalan Sapi (Kuching Waterfront kini). Selepas pementasan graduasi kami iaitu teater Protes karya Dinsman dan arahan saya, kami (saya dan Tajol Ashikin) telah sepakat untuk bergabung dan menubuhkan sebuah kumpulan teater. Beberapa rentetan perbincangan diadakan; di Saujana Food Court, Tapian Gelanggang, Benteng Satok dan Pangkalan Sapi. Akhirnya pada April 1990 Grup Teater Sedarpun ditubuhkan dengan 25 ahli yang rata-rata terdiri daripada anak-anak muda belasan tahun. Projek pertama kami naskhah Adi Badiozaman Tuah, Suara Tenggang di Pekan Teater Negeri Sarawak 1993. Tiga tahun pertama kami seperti ‘ronin’ yakni ‘samurai tanpa tuan’.
Sebenarnya kami masih hauskan tunjuk ajar dan bimbingan.
Akhirnya semua itu berubah. Tahun 1993, rezeki untuk berguru dengan sebuah nama besar teater dunia tercapai. WS Rendra dijangka mengadakan beberapa siri bengkel di Sarawak. Ya, WS Rendra sebuah ikon besar teater Indonesia, bahkan juga terkenal seantero dunia. Selesai pengajiannya di New York, dia kembali menubuhkan Bengkel Teater Rendra (BTR) ; sebuah kelompok dramatis yang komited dan dedikasi terhadap pengerjaan kesenian. Kembaranya sehebat Glen Walford; pernah mengadakan pementasan di Tokyo, Amsterdam, New York, London, Sydney, Kuala Lumpur dan beberapa bandaraya utama dunia. Naskhah berbisanya seperti Perjuangan Suku Naga meninggalkan kesan terhadap pemerintahan Presiden Soeharto sehingga beliau pernah dipenjarakan kerana itu. Mas Willy, begitulah nama kunyahnya adalah pemimpin, pembimbing, pengarah, pelakon, pejuang kebenaran sehingga mendapat gelaran Si Merak.
Ya, begitulah. Rezeki akhirnya menjengah di dalam kehidupan seni kami yang baru bertatih itu. Beberapa ahli Sedar telah terpilih; Abdillah Untong, Mohd Rosli Muta, Malek Hassan dan saya sendiri. Peliknya tiada ahli Rusda ataupun bekas ahlinya yang turut serta.Kami berbengkel selama seminggu di Kem Belia Pueh, Sematan. Kami didedahkan dengan metoda Daya Hidup dan Daya Cipta amalan Bengkel Teater Rendra di Depok. Benar, latihan-latihan yang didedahkan lain daripada kebiasaan yang telah kami jalani. Apa yang berubah ? Segala-galanya. Bengkel itu telah memberikan sesuatu yang lain dan telah mengubah persepsi kami terhadap teater. Kami mulai menilai dalaman dan luaran dunia teater yang kami cintai itu.
Kami menuntut mutu hidup yang tumbuh dan berkembang khususnya dalam bidang teater. Bengkel itu mengubah kami menjadi lebih berani dan mengerti akan hakikat perjuangan memaknakan yang fana. Lalu lahirlah beberapa produksi eksperimental impromptu (teater tanpa naskhah) seperti Impromptu dan Impromptu “…?!”. Semangat itu menyebabkan kami tidak dapat dibendung lagi sehingga membawa kepada projek teater keliling ke Indonesia pada tahun 1996.
Ya, siapa sangka, kumpulan teater dari Sarawak mampu ke Indonesia. Satu pencapaian yang di luar daripada jangkaan. Ekstrem ! Anak hingusan dari Bumi Kenyalang berhasrat untuk pentas di Indonesia. Tidakkah itu kerja gila ! Tiga pementasan di Indonesia di tiga lokasi penting- Jakarta, Bandung dan Aula Bengkel Teater Rendra di Depok. Sedar menjadi kumpulan pertama dari Malaysia yang mengadakan pementasan di Indonesia.
Sekembali daripada Indonesia, metoda WS Rendra itu diserapkan kepada ahli Sedar yang lain. dan inilah yang menjadi asas kepada kemunculan beberapa individu teater dan beberapa kumpulan teater zaman sekarang. Nama-nama seperti Malek Hassan, Abdillah Untong, Safian Bujang dan Mohd Addly Mohd Alli tidak dapat tidak dianggap sebagai dramatis yang lahir secara tidak langsung daripada aura Rendra. Begitu juga dengan Jamsari Saili yang kini merupakan playwright yang gah di persada teater tempatan. Pelakon berbakat Wezan Saili juga pernah mengikuti latihan sedemikian (dibawah Setiausaha BTR, Marjuki Gading Rejo)
Sebuah lagi kumpulan teater yang datangnya daripada serpihan Sedar dan punya pengaruhnya ialah Grup Teater Kias Kasturi pimpinan Mohd Helmi Isa dan Nuraliza Othman. Grup yang aktif ini sering tampil dengan beberapa karya sendiri dan begitu prolific mengadakan pementasan mahupun bengkel teater. Sedangkan Sedar sendiri masih aktif di bawah pimpinan saya dan mulai mengorak langkah bermakna pada tahun 2007.
Didalam dunia sastera pula gerakan Angkatan Pengkarya Indie yang berlandaskan Lingkaran Energi Cinta Kasih (LECK) dapat dianggap memperoleh kekuatannya juga daripada metoda WS Rendra. LECK itu merupakan ambilan daripada konsep persaudaraan di dalam kelompok BTR.
Ampun. Bukannya berniat untuk membuat perbandingan ataupun mengadu domba antara kedua-dua nama besar itu mahupun untuk merasa taksub.
Tidak dapat dinafikan, itulah sebenarnya perkembangan yang akhirnya mencorakkan suasana teater Sarawak amnya dan Kuching khususnya. Antara Glen Walford dan WS Rendra, kedua-duanya telah memberikan sumbangan penuh bermakna kepada pengisian teater Sarawak dan juga terhadap pembangunan dramatisnya.
Seperti yang saya katakan pada awal tadi; setiap zaman ada geloranya ! Setiap zaman ada jeritnya ! Setiap zaman ada baranya !
Lahirnya Seorang Penyair

bermain api, seringkali
seringkali, terbakar diri
tak pernah ngeri, seringkali

Sajak pendek ini tersiar di laman blog penyair muda Yusuffansuri (dari blog ‘Puisi Fansuri’). Biarpun hanya mengandungi sepuluh patah perkataan, ia menepati tafsiran Samuel Taylor Coleridge yang mengatakan “puisi adalah kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik” . Namun itu sajakah yang dapat ditawarkan oleh penyairnya? Apakah kekuatan sajak pendek ini ? Bagaimanakah harus kita menanggapi sajak seperti ini? Soalan demi soalan pasti akan menerjeh pemikiran khalayak. Sajak pendek ini hanya satu contoh daripada berpuluh sajak Yusuffansuri yang mempunyai pola pengucapan yang sama. Saya teringat sebuah lagi puisinya yang pernah diulas oleh Penagunung yang berjudul ‘Berahi Peluru Hidup’ yang kira-kira berbunyi :

Berahi Peluru Hidup !
membenam ke dalam aku !
Cedera Yang Bahagia

Penagunung mengatakan, “Sajak yang pendek tetapi segar pengucapannya. Ia pendek [jumlah kata cuma 10] tetapi mampu membuka ruang perenungan yang tinggi. Yusuffansuri nampaknya lebih mempunyai kesedaran untuk pemilihan kata yang intensif dengan tidak mengabaikan wacana yang telah direncanakan sedemikian rupa supaya kelihatan melakukan penyimpangan atau deotomatisasi – [ yang biasa, yang normal, yang automatik dibuang, yang dipakai harus khas, aneh, menyimpang, luar biasa ; Victor Shklovsky , Erlich ]”
Dua puisi itu sebenarnya sudah cukup menimbulkan satu letusan perasaan didalam diri saya untuk cuba meneliti warna, gerak dan rasa seorang penyair muda daripada suku-sakat Angkatan Pengkarya Indie (API) itu. Untuk ini,saya teringat sebuah lagi petikan daripada kritikus sastera tersohor A. Teeuw, “ membaca karya sastera menuntut pembaharuan diri yang terus-menerus, penyesuaian diri dengan sistem konvensi yang tidak pernah stabil, menghendaki kehalusan budi dan setiap kali bersedia untuk membuka diri bagi kejutan dan penyimpangan yang membingungkan.”
Barangkali itulah yang harus saya dilakukan- “membuka diri bagi kejutan dan penyimpangan yang membingungkan”.
Apabila menelusuri pengkaryaan Yusuffansuri (daripada beberapa antologi ‘underground’ seperti ‘Edan Waktu Kasmaran’, 'Kembali Kepada Tuhan',‘Tubuh Bercinta’ dan ‘Tubuh-tubuh Bercinta’) saya tergugah akan kecenderungan penyair muda itu memanipulasikan unsur inversi sehingga ke satu tahap yang saya percayai terlalu ekstrem pemanipulasiannya itu. Inversi bukanlah unsur yang asing bagi sesiapa yang telah lama menulis puisi.
Definisi Encyclopedia Britannica meletakkan unsur inversi sebagai “pembalikan sintaktik dalam susunan normal kata-kata ataupun frasa didalam sesebuah ayat. Contohnya didalam bahasa Inggeris; perletakan adjektif selepas kata benda ('the form divine'), kata kerja sebelum subjek ('came the dawn') ataupun kata benda mendahului preposition ('world between'). Saeorang penyair terkemuka barat Emily Dickinson mempunyai kecederungan untuk menyusun kata-kata di luar kebiasaannya. Di dalam sajak ‘Chartles’s beliau menulis, “Yet know I how the heather looks (sepatutnya “Yet I know…” )dan “Yet certain am I of the spot (sepatutnya “ Yet I am certain…” )
Sementara di dalam sajak Humbert Wolfe ‘Love In Jeopardy’ terdapat pembalikan yang pelik tetapi logic seperti berikut : “ here by the rose/ they planted once/ of love in jeopardy/ an Italian bronze” yang pada susunan kebiasaannya ia berbunyi, “once upon a time they erected (planted) a bronze figure named 'Love In Jeopardy' (or Danger)” Penggunaan inversi oleh kedua-dua penyair itu menjadikan karya mereka berada di luar daripada dunia realiti kita. Namun dalam aspek lebih penting, penggunaan inversi juga memindahkan keutamaan kata-kata kepada yang lebih mustahak yakni mendinamiskan lagi sari kata-kata. Lihat pada contoh ini :

Dalam resah
Kita bertemu
melerai cuba
Simpul gelisah

Seperti di dalam petikan rangkap sajak ‘Dan Berlalu’ di atas (dari blog ‘Lagu Makhluk Asing Timoer Jauh’) , penggunaan inversi dikesani pada baris ketiga ‘melerai cuba’ yang mana penyairnya cuba mengalih kepentingan maksud kepada perkataan 'cuba'. Ertinya yang diberi tekanan dinamis ialah 'percubaan ' atau 'usaha' yang dilakukan untuk melerai simpul gelisah itu. Ini ialah satu contoh kebijaksanaan penyair dalam menyampaikan maksud puisinya.
Unsur inversi ini barangkali membentuki sifat dan sikap penyairnya. Bersumberkan latar hidup yang keras tantangan intelektual membuatkan kejiwaannya aktif di luar kotak konvensi, tidak mudah menjadi conformist (penurut) ataupun sekadar pengikut membabi-buta, sering cuba melihat opportunity baru yang boleh diterokai biarpun ia menyonsang arus perdana. “ Nilai estetik kata didalam sajak itu biasanya merujuk kepada intuisi atau kepekaan dan pengalaman seorang penyair sehingga mampu menciptakan pengertian kata dalam dimensinya yang baru “Titon Rahmawan [Galeri Karya, Cybersastra] Sehubungan ini, inversi menjadi satu penyataan welschastauung (world view) penyairnya yang pada akhirnya menjadi sandaran ataupun kekuatan kepenyairan Yusuffansuri !
Pada pandangan saya puisi-puisi Yusuffansuri berada dalam lingkungan ‘predominantly intuitive, imaginative and synthetic’ Herbert Read, suatu yang baru, barangkali ?
Namun dalam konteks kita, sesungguhnya unsur inversi ini sebenarnya bukanlah unsur yang begitu besar kesan penggunaannya. Barangkali sesetengah sasterawan akan mengatakan, “whats the big deal. Its no big deal !” yakni ia hanyalah sekadar pembalikan kata-kata daripada kebiasaannya. Namun di tangan Yusuffansuri, unsur tersebut telah memberikan satu dimensi pengucapan unik dan segar baginya (dan juga bagi sastera tempatan) kerana ia digunakan dengan begitu kreatif sekali. Lihat contoh yang satu ini :

Guris kecewa terasa
pedih masih
luka, cuba meraba
curiga pecah berderai kaca
tanganku berdarah cinta
('Guris' daripada 'Edan waktu Kasmaran')

Ya, sebegitu baik sehingga Yusuffansuri mampu menjadikannya sebagai satu bentuk seni (baca:pengucapan, ekspresi) yang otentik, menjadikan puisinya lain daripada yang lain, menjadikan kepenyairannya unik dan berkeperibadian. Barangkali inilah maksudnya apabila Yu Huang (novelis kontraversial China itu) mengatakan bahawa “ a genuine writer writes solely from the inner most heart” Saya lebih suka merujuk aspek ‘the inner most heart itu sebagai ‘batin’, ‘sanubari’, ‘sukma’. ‘nurani’, ‘ jiwa’ atau nuansa yang lebih bermakna ialah ‘roh’.
Teringat saya beberapa waktu dahulu, Yusuffansuri pernah menyatakan ingin berhenti menulis puisi hanya disebabkan beliau buntu ilham. Saya hanya menyarankan agar dia kembali kepada dirinya dan mulai membongkar kemampuan lain. “Memandang matahari dari satu sudut, memandang manusia dari segenap segi,” saya memetik kata-kata Rendra sebagai motivasi. Semenjak itu dia tidak berhenti bereksperimen dengan’ inner most heartnya’, membongkar lubuk kreativiti paling dalam yakni kemungkinan lain di dalam diri (sumur tanpa dasar itu).
Benar seperti apa yang dinyatakan Rendra,"peribadi kreatif selalu merasa perlu untuk menilik dan memperbetul diri. Dia perlu mencipta suasana terbuka di dalam jiwanya sehingga dia bisa melakukan pembetulan diri. Pembetulan seperti itu tidak cukup dengan kritik oleh diri sendiri tetapi juga daripada orang lain. Kritik dan pembetulan ini sangat ditakuti oleh peribadi yang mekanis, namun merupakan sarana yang utama bagi peribadi yang kreatif"
Sehingga ke hari ini Yusuffansuri masih lagi giat dalam proses, proses dan proses mematangkan dirinya!
Sebagai penulis, Yusuffansuri telah lama wujud di persada sastera tempatan ini seperti juga penulis lain. Diakui beliau memang telah agak lama juga bergelut di dalam dunia sastera Darul Hana ini terutama melalui pergerakan ‘underground’ API. Perkembangannya cukup memberangsangkan- tahun 2000 dihantar ke Perhimpunan Penulis Melayu SeNusantara di Batam, sekembalinya dari Batam menubuhkan Ikatan Karyawan Sarawak (selepas itu API), tahun 2005 beliau diiktiraf didalam Hadiah Penghargaan Sastera Sarawak melalui sajak ‘Ramadhan’ dan pada waktu itu jugalah beliau mengedarkan antologi ‘underground’ pertamanya berjudul ‘Edan waktu Kasmaran’, memperkenalkan kepada khalayak sastera akan pengucapan mutakhir daripada dirinya, sesuatu yang unik dan tulen.
Ketika itulah Yusuffansuri sebenarnya baru melangkah (baca:layak bergelar) sebagai seorang penyair dengan kredo keseniannya yang berpaksikan inversi itu dan kerana itu puisinya tiada bandingan dengan penulis lain yang seangkatannya hanya kerana ia datang daripada jiwa yang berakar umbi daripada dirinya, sesuatu yang berkeperibadian. Seperti mana juga ketika Sutardji mengumumkan kredo keseniannya :
“”Kata-kata bukanlah alat mengantarkan pengertian. Dia bukan seperti pipa yang menyalurkan air. Kata adalah pengertian itu sendiri. Dia bebas.... Bila kata telah dibebaskan, kreativitas pun dimungkinkan.... Menulis puisi bagi saya adalah membebaskan kata-kata, yang berarti mengembalikan kata pada awal mulanya. Pada mulanya adalah Kata. Dan, kata pertama adalah mantra. Maka, menulis puisi bagi saya adalah mengembalikan kata kepada mantra.”
Hari ini genaplah niat untuk memperkatakan tentang seorang penyair yang saya kenal. Lalu dengan berlangsungnya penyiaran rencana ini, maka sempurnalah sebuah proklamasi tentang kelahiran seorang penyair di bumi Sarawak Darul Hana. Seorang penyair yang diharap dapat membawa cabaran kesusasteraan Sarawak ke peringkat lebih tinggi, bukan dengan karya yang mengkal tetapi sebuah bentuk pengucapan unik, segar dan tulen yang kelak akan menjadi warisan kebanggaan dunia sastera Sarawak, ‘keterbalikan Yusuffansuri’ !


Tiadalah sebesarMu
diterbang aku
oleh angin
('Debu' daripada 'Kembali Kepada Tuhan')


Lahirlah seorang penyair!
ACP.

DIMENSI BARU ‘YANG INDAH ITU BAHASA’ ?

Bahagian 1


Ruangan Yang Indah Itu Bahasa (YIIB) akan dipindahkan ke akhbar Utusan Borneo (UB) ! Ini suatu peristiwa yang bersejarah, sekurang-kurangnya kepada golongan sasterawan tempatan. Sebelum ini YIIB amat sinonim dengan akhbar berpengaruh Utusan Sarawak (US). Setelah hampir satu darsawarsa bertapak di US, keputusan untuk berpindah ke tapak lot baru nampaknya mengundang kejutan. Saya tidak pasti apakah ini keputusan yang terbaik, namun mereka pastinya punya justifikasi untuk membuat penghijrahan sedemikian rupa. Barangkali juga ini ‘gesture’ bersempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini. Namun daripada segi magnitud peranan YIIB tidak akan banyak perubahan. YIIB tetap akan menjadi wadah untuk golongan sasterawan tersohor berpencak dengan ide dan pandangan masing-masing.
Lantaran itu, saya menerima khabar yang agak ‘menggemparkan’ itu dengan hati terbuka. Biarpun sebelum ini, perubahan seperti itu dirasakan ‘agak’ mustahil memandangkan dan tidak pernah tercetuspun di benak fikiran. Apatah lagi apabila menelusuri sejarah Utusan Sarawak sendiri dipenuhi dengan pergolakan jatuh-bangun yang amat dramatik; bermula daripada Fajar Sarawak (1930) yang dianggap memberi asas kepada penglahiran akhbar berbahasa Melayu di negeri ini, bertukar pula kepada Utusan Asas (1949) sebelum muncul Utusan Sarawak (1949) bermottokan 'Oleh Rakyat Untuk Rakyat' itu. Utusan Sarawak yang ada sekarang merupakan rentetan sejarah pergolakan akhbar berbahasa Melayu di bumi Darulhana ini. Utusan Borneo pula yang merupakan cabang daripada Kumpulan See Hua muncul agak lewat, namun sekitar 2006-2007, mulai menyusun strateginya untuk menjadi pesaing paling dekat terhadap US dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu di bumi Darulhana ini.
Menurut Jeniri Amir (Dari Budaya Ke Media), "Akhbar tempatan Utusan Sarawak mempunyai edaran harian 31,801 naskhah (angka terkini 40,000 naskhah), manakala Utusan Borneo difahamkan mempunyai edaran harian sekitar 10,000 naskhah sahaja" memberi perbandingan yang jelas akan kedua-dua akhbar tersebut. Tidak dapat dinafikan peranan US sudah membangunkan ketersohorannya dalam memperkembang dan memartabatkan seni dan sastera. Ketersohoran ini sering ditonjolkan didalam seminar baik di peringkat tempatan mahupun kebangsaan. Di samping itu, kepetahan dan kerancakan wartawan seni dan sasteranya iaitu Raden Azhar Raden Ahmad membuat liputan acara seni dan sastera baik di peringkat tempatan mahupun kebangsaan, menjadikan akhbar tersebut seperti ‘duta kecil’ dunia sastera di bumi 3 juta jiwa ini. Paling terakhir ialah Perhimpunan Penulis Pelbagai Kaum di Kem El-Azzhar, Banting,Selangor darul Ehsan pada 7-11 Disember 2006 (laporannya disiarkan di ruangan YIIB bertairkh 25 Disember 2006)
Namun kini kita terpaksa mendepani sebuah realiti biar betapa saspen sekalipun, si adik kini berusaha untuk menjadi yang terbaik daripada si abang. Namun persoalan yang perlukan sedikit perenungan ialah apakah dengan penghijrahan YIIB ke UB, senario seni dan sastera di Sarawak akan turut mengalami transformasi yang diharapkan itu ? Apakah pertukaran ini merupakan kerja ‘upgrading’ birokrasi pengelolanya yang selama ini sering dipertikaikan keberkesanannya dalam memartabatkan sastera dan bahasa kebangsaan sebelum ini? “Ini satu perkembangan yang pelik dan menarik untuk diikuti?” begitu saja saya memberi respon.

Bahagian 2

Sejarah telah menyaksikan dua pertukaran penuh dramatik yang akhirnya mengubah lanskap politik, ekonomi dan sosial dunia. Pertukaran pusat dunia ternyata memberi impak yang tidak kurang hebatnya terhadap kehidupan manusia sejagat.
Peristiwa pertama ialah pertukaran paling besar didalam ketamadunan agama Islam apabila Allah swt memerintahkan Nabi Muhammad (saw) menukarkan kiblat umat Islam dari Jerusalem (Baitul Maqdis) ke Mekah Al-Mukarammah Umum mengetahui Jerusalem merupakan sebuah bandar suci bagi Bani Israel yang sehingga kini menjadi objek perebutan di antara golongan Yahudi dan gentile (bukan Yahudi termasuk Arab). Ketika kiblat masih di Jerusalem, Nabi Muhammad berdepan risiko di perangi Bani Israel memandangkan kedua-duanya berkiblatkan pada arah yang sama. Namun pertukaran kiblat ke Mekah dianggap satu 'pertukaran stategik' yang akhirnya membangkitkan kemarahan puak Bani Israel.
Bagi mereka, pertukaran ini dilihat sebagai satu penghinaan kepada ‘ketamadunan’ bangsa mereka yang didakwa marga terpilih itu. Era kegemilangan sejarah kenabian mereka seperti telah dimomokkan oleh perintah Allah Maha Esa itu.
Maka, semenjak itu umat Nabi Muhammadpun mula bersembahyang dengan kiblat baru, sekaligus menyelamatkan 'survival' umat Islam sehinggalah ke hari ini. Sedangkan Baitul Maqdis masih kekal sebagai objek perebutan dan sentiasa dirudung konflik demi konflik sehingga mengakibatkan pertumpahan darah. Begitu merugikan.
Peristiwa kedua pula ialah apabila pusat tumpuan dunia bertukar dari negera Great Britain (GB) ke Amerika Syarikat (AS) . Sebelum Perang Dunia Kedua, Great Britain telah berperanan sebagai pusat dunia atau dengan kata lainnya 'pemerintah dunia'. Segala perkembangan tidak kira ekonomi, politik mahupun sosial adalah dibawah pengaruh Great Britain. Bahkan negera itu jugalah yang bertanggungjawab melahirkan negara Israel melalui Deklarasi Balfour 1917. Namun GB berhadapan zaman kesukaran ketika terlibat didalam kancah Perang Dunia Pertama, mereka nyaris-nyaris menjadi mangsa kekalahan pihak musuh. Namun campurtangan AS didalam perang tersebut telah menyelamat maruah GB, namun dengan sebuah harga yang tinggi iaitu menyerahkan tampuk 'pemerintahan dunia' kepada AS.
Selepas itu segalanya berubah; Paun Sterling kepada Dollar US, Downing Street ke Oval Office, London Bank ke World Trade Center, Big Ben ke Statute of Liberty, Beatles kepada The Doors, Perdana Menteri kepada Presiden dan seterusnya GB hanya menjadi pak turut di belakang buntut AS ! Hal ini semakin terasa pada zaman nuklir ini. Sebagai contohnya, peranan GB didalam Perang Teluk, krisis pemerintahan Taliban di Afghanistan, krisis pemerintahan Saddam Hussein di Iraq dan kini percaturan nuklir Iran.
Ternyata ke dua-dua contoh berkenaan telah menunjukkan impak yang begitu besar dan penuh bermakna dalam memperkatakan tentang tranformasi total yang dilakukan oleh pihak berkenaan. Yang jelas keputusan banyak mengambil kira percaturan stategi demi memastikan agenda masing-masing masih dapat dilaksanakan dengan penuh jayanya.
Bahagian 3
Namun apakah pula percaturan di sebalik pertukaran YIIB ke UB ?
Saya dimaklumkan menurut cerita hikayat di kaki tangga ia ada kena mengena dengan persoalan kurangnya dana sokongan, namun ada juga yang mengatakan sudah tiba masanya YIIB kembali ke pangkuan UB; tempat ia dilahirkan, seperti kata pepatah seperti sireh pulang ke gagang. Ada pula yang meletakkan kestabilan sebagai faktor penyebab perpindahan ini. Maaf cakap, saya bukan hendak mempertikaikan kredibiliti sesiapapun, jauh sekali kewibawaan kedua-dua akhbar itu. Bagi saya kedua-duanya boleh co-exist bersama dalam kapasiti fitrahnya. Walau apapun sebab-musababnya YIIB beralih angin daripada Jalan Abell ke Jalan Pending, diharapkan perubahan ini akan memberi satu nafas segar dalam usaha membangunkan seni dan sastera. UB mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dihadapan untuk memenuhi tuntutan memartabatkan dunia sastera kita ke satu tahap yang lebih tinggi daripada sebelumnya kerana ditangan mereka kini sudah ada satu saluran yang cukup berprestij, tempat golongan sasterawan tersohor berhimpun dan berinteraksi. Sementara US sewajarnya mencari alterbatif untuk menggantikan YIIB.
Anehnya saya mempunyai pandangan tersendiri apabila memperkatakan tentang hal ini. US harus muncul dengan ide dan inspirasi yang lain dalam menyahut cabaran untuk memartabatkan seni dan sastera tempatan. Ada banyak aspek didalam perkembangan seni dan sastera yang boleh dikembangkan. Sebagai contohnya pergerakan sastera alternatif yang mulai mendapat perhatian boleh diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan satu ruangan sedemikian rupa. Pergerakan Angkatan pengkarya Indie (API) umpamanya pernah muncul dengan akhbar sastera mereka berjudul Paksi.
Kesungguhan mereka ini terbukti apabila tiga keluaran Paksi menemui khalayak, namun disebabkan beberapa isu teknikal, ia terpaksa dihentikan. Namun kesungguhan seperti ini boleh dimanfaatkan oleh akhbar US seterusnya diperkembangkan ke tahap lebih tinggi. Saya percaya API (dengan sokongan US) jika diberi kepercayaan akan dapat memacu seni dan sastera di US. Cuma mereka ini sering diketepikan baik dari segi ide mahupun keringat yang mereka ada. Jika ini dilaksanakan, saya percaya dunia seni dan sastera di Bumi Kenyalang ini akan lebih meriah dengan pelbagai saluran untuk berekspresi; Paksi dan WBS di US, YIIB dan Suara Anak Seni di UB.
Masing-masing dengan keperibadian tersendiri !
Namun segala-galanya untuk satu tujuan, SATU TUJUAN SAHAJA iaitu untuk memantap dan memartabatkan seni dan sastera kita. Maisng-masing dengan peranan menyokong sesama sendiri dan BUKANNYA memusnahkan dan mencantas usaha yang dilakukan oleh pihak yang satu lagi.
Marhaban ya marhaban YIIB !

Terima Kasih Daro !


di sisi silam
serangga bunuh diri di cermin kereta
menciprati darahnya kelabu
putus asa mengejar malam
tangan waktu menyihir detik
menyerap gelap ke dalam ruang
berasap cakerawalaku
uban merakyat atas kenangan

Serasanya sudah 13 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke Daro. Benar-benar tempoh itu sudah melayakkan ia untuk diklasifikasikan sebagai ‘silam’. Memang silam benar. Kali terakhir ialah pada tahun 1994. Ketika itu rakan-rakan Grup Teater Tamu Seri Kuching (TASEK) sudahpun bertolak ke Kuala Lumpur buat menggalas cabaran didalam Pekan Teater Peringkat Kebangsaan. Sedangkan saya terpaksa menangguh pemergian kerana membawa sekumpulan anak-anak muda dari Kuala Lumpur untuk ‘pentas’ di Daro.
Mislina Mustapha, Rosdeen Suboh, Noraida Che Mustapha, Duratu Ain Abdullah, Tomok dan Namron (mereka sebenarnya pelajar Akademi Seni Kebangsaan) ketika itu bergabung sebagai Alternative Stage Co. mengadakan ‘pentas eksperimental’ di Dewan KEMAS, Daro dengan naskhah Dinsman ‘Di Pulau Sa dan Di’ (perjalanan mereka sebenarnya ialah teater keliling. Sebelum sampai di Daro mereka pentas di Kuching dan Sri Aman). Dipendekkan cerita, pementasan itu amat berjaya menampilkan satu dimensi baru teater ke Daro. Permainan mereka amat berkesan terutamanya dua aktor itu-Mislina dan Rosdeen, di samping kerja penyutradaraan Namron yang unik, berani dan inovatif. Saya merindui teater seperti itu !
Selepas itu saya menyepi daripada Daro. Sentiasa berharap untuk kembali tetapi pasti ada saja halangan.
Tiga belas tahun berlalu. Ternyata pada tahun ini tuah menyebelahi saya dan akhirnya saya menjejakkan kaki ke Daro semula. Perjalanan daripada Sibu-Mukah-Daro mengambil masa empat jam. Saya memasuki daerah kecil yang terkenal dengan ikan teruboknya itu ‘pada waktu paling afdhal’ iaitu sebelum Isya’. Di sepanjang perjalanan hanya ‘menyerap gelap ke dalam ruang’. Begitulah kira-kira gambaran puitisnya sajak yang saya beri nama ‘Tatkala Memasukimu Pada Waktu Paling Afdhal’. Tidak banyak yang dapat diperhatikan ketika itu. Hanya menunggu pagi untuk memulakan tugasan yang diberikan di dalam Praktikum Seni KPSU 2006 !
Kali terakhir saya mengendalikan pratikum sedemikian ialah ketika di Kapit bersama Yusuffansuri yang berperanan sebagai pembantu saya ketika itu. Itu pada tahun 2000 (kalau tak salah silap saya). Kini KPSU memberikan semula kepercayaannya dan pada pagi itu dihadapan saya duduk dengan penuh disiplin, anak-anak sekolah berjumlah 28 orang yang berusia sekitar 13-14 tahun daripada sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Puan Datu Patinggi Hajjah Normah. (Secara keseluruhannya 90 peserta terlibat didalam praktikum seni yang turut mengajar tarian tradisional dan muzik kreatif. Satu kejayaan bagi penganjurnya. Kudos! ).
Jangkawaktu yang begitu singkat iaitu empat hari sahaja (8-11 November) menjadi cabaran untuk mana-mana fasilitator mengerahkan keringat tubuh dan akalnya. Apatah lagi apabila berhadapan dengan peserta-peserta yang boleh dikatakan masih mentah dalam bidang teater itu. Pendek kata, mereka belum kenalpun apa itu teater.Pada peringkat inilah pembinaan asas penting agar selepas kursus mereka mempunyai keupayaan untuk bergerak.
Jika dikumpulkan jumlah masa yang boleh dimanfaatkan untuk sesi pembelajaran hanya 24 jam sahaja ! Anak-anak sekolah itu begitu berminat. Mereka tekun mendalami setiap topik yang diberikan. Sebenarnya hanya ada tiga topik penting yang saya rasakan amat perlu sebagai bekalan ‘hari-hari mendatang’. Pertama ialah mengenal teater dan unsur-unsurnya. Kedua ialah mengenal dunia lakonan dan unsur-unsurnya dan ketiga ialah mendalami pengerjaan sesebuah produksi. Itulah asasnya !
Disebabkan motto sekolah itu ialah ‘Berdisiplin dan Berdikari’ maka saya manipulasikannya menjadi kekuatan peserta kursus. Seawal hari pertama, mereka telah diarahkan untuk menghasilkan sebuah naskhah yang akan dipentaskan pada keesokan harinya. Minat dan keyakinan mereka amat terserlah dan pada penghujung waktu berkursus, dua buah naskhah terhasil dan menunggu untuk dibedah sebelum diangkat oleh sutradara masing-masing ke pentas. Seingat saya dua sutradara baru menyahut cabaran-Mas dan Norzi.
Hari kedua menghampir tengahari, mereka mula berlatih untuk pementasan. Masing-masing telah diberi tugasan; ada yang bertindak sebagai pengurus pentas, beberapa pula bertanggungjawab dengan kostum, yang lain sebagai pengurus pro dan latar dan sebagainya. Pendek kata pendedahan tentang hal-ehwal sesebuah produksi dpraktikkan .Pada hari ketiga sebelah pagi mereka pun mementaskan naskhah yang telah dilahirkan daripada buah fikiran masing-masing. Saya hanya jadi penonton !
Kedua-duanya tentang masalah gejala sosial; penglibatan remaja dalam dadah, arak dan sebagainya, di samping masalah kenakalan di sekolah. Selesai pentas, ulasan dan komenpun dibuat oleh fasilitator. Kelemahan dipertunjukkan dan diberi saranan bagaimana untuk memperbaikinya (inilah sebenarnya sari berbengkel). Masing-masing mencatat di dalam buku nota yang telah diedarkan oleh pihak penganjur. Tiba-tiba pada waktu tengahari, pihak sekolah memaklumkan bahawa acara penutupan akan diadakan di dewan sekolah dan pihak sekolah berkehendakkan sebuah persembahan yang menggabungkan semua peserta (teater, tarian dan muzik kreatif)
Lantaran, perubahan kepada konsep persembahan terpaksa dilakukan kerana harus memasukkan semua peserta di samping berintegrasi dengan kumpulan daripada tarian dan muzik kreatif itu. Penyelesaiannya ialah sebuah lakon teater gerak berjudul ‘Improvisasi 28’ yang merupakan sebuah lakon gerak bernada satrikal. Assemble teater ini mengambil masa beberapa jam sebelum dipentaskan pada hari keempat. Para peserta memberikan konsentrasi yang sepenuhnya ketika berlatih beberapa aksi dan gerak terpilih dan akhirnya pementasan itu berjaya dilaksanakan di dewan sekolah itu.
Pementasan di dewan sekolah memanfaatkan pentas arena, sesuatu yang dirasakan terlalu 'advance' bagi mereka tetapi telah dilakukan dengan baik. Syabas !
Sebelah malam hari keempat, sempat juga bersua kembali dengan aktivis seni Daro, Hashimah Siri. Pada malam itu, beliau sibuk mengajar anak-anak didiknya menari. “Jikalau menari, menari dengan kesungguhan hati, Bukan main-main,” katanya sedikit keras kepada calon anggota KASDA itu. Hashimah memang terkenal dengan disiplin tinggi dan komitment yang tegar. Beliau jugalah mentor saya ketika berusaha untuk ke puncak bidang deklamasi puisi hari kebangsaan suatu ketika dulu. Sekitar tahun 1980-an, bersama seorang lagi seniman ulung Daro, Mokhtar Hasim pernah menggegar persada teater tempatan.
Kini Hashimah masih aktif bergerak bersama KASDA, Mokhtar semakin dalam penerokaannya dalam bidang politik tetapi perlahan pengalirannya dalam bidang seni, namun seorang anaknya menjadi peserta tarian. Namanya Ken Zuraida (nama isteri seniman besar Indonesia Rendra). Persamaannya, mereka berkongsi bentuk dagu yang sama, runcing !
Tanggal 11 November pementasan teater ‘Improvisasi 28’ melewati perjalanan dua jam ke Mukah untuk dijadikan sebagai acara penutup Praktikum Seni KPSU 2006. 'Pentasnya' di Dataran Setia Raja, pentas terbuka. Secara tidak langsung peserta kursus itu telah melakukan sesuatu yang diluar daripada kemampuan mereka (dan sayapun tidak mejangkakan perkara itu akan berlaku) iaitu sebuah perjalanan teater keliling ; Daro ke Mukah. Sesungguhnya pengerjaan ‘Improvisasi 28’ merupakan satu pengalaman yang penuh bermakna bagi saya. Melihat anak-anak sekolah menguji tahap kemampuan mereka, melihat mereka mahu belajar daripada kesilapan, benar-benar menguja saya untuk berfikir.
Saya tersihir. ‘Berasap cakerawala’ pemikiran saya dek kerana kata-kata seorang daripada mereka, “Cikgu,jika kita hendak belajar janganlah datang dengan cangkir yang penuh. Jika penuh ilmu yang dicurah kedalamnya akan melimpah keluar. Sia-sia. Datanglah dengan cangkir yang kosong.’ Molek bahasanya dan benar kata-katanya. Sayapun kembali ke Kuching dengan kosong dan sebuah hasrat untuk belajar semula. Barangkali itulah penemuan paling bermakna di dalam perjalanan kali ini. Harta yang akan saya simpan sehingga ke akhir hayat.
Terima kasih Daro ! ACP